HUMAIRA menggengam erat jari jemari Encik Firdaus yang diam tidak berkutik.Penat sudah dia menangis.Habis basah bajunya dek air mata yang tidak mahu berhenti, namun ayahnya masih juga tidak sedarkan diri.
"Memang penyakit ayah Cik belum sampai ke tahap yang membimbangkan.Tetapi disebabkan tekanan yang dialami sewaktu kemalangan berlaku memberi kesan yang buruk terhadap jantung beliau."
Hampir pengsan Humaira mendengarkan kata-kata Doktor Ridzwan yang merawat ayahnya sewaktu dia tiba di hospital tiga jam yang lalu.
"Yusra, kenapa abah tak bangun-bangun.Aku takut..."
Rintih Humaira tanpa memandang wajah Yusra yang menemaninya sedari tadi.
"Sabar, Maira.Kejap lagi pakcik mesti bangun."
Yusra ketap bibir menahan rasa lalu mengusap lembut belakang Humaira.
Oleh kerana kepenatan, Humaira akhirnya tertidur di sisi Encik firdaus.Bagaikan mimpi, Humaira terasa tangannya bergerak-gerak.Ketika dia membuka mata, Encik Firdaus sudah sedarkan diri.
"Abah!!Abah.."
Humaira menyambung tangis sambil memeluk erat ayahnya yang masih lemah.
"Maira..maafkan abah.."
Dalam kepayahan, Encik Firdaus menutur kata.Mata kuyunya tidak lekang dari memandangi wajah anak gadisnya yang tersedu sedan.
"Abah..Maira nak balik dengan abah.Maira panggil doktor dulu ya."
"Razman.."
Perlahan sebaris nama itu keluar dari mulut Encik Firdaus namun masih dapat ditangkap oleh deria Humaira.
"Abah, Maira janji Maira akan kahwin dengan Razman kalau itu boleh buat abah sembuh.Maira janji, abah!"
Humaira tidak menyangka sebegitu berharapnya Encik Firdaus agar dia berkahwin dengan Razman.Bahkan dalam keadaan tenat pun ayahnya tetap saja menyebut nama itu.
"Maira...abah..abah..."
Encik Firdaus tidak berdaya meneruskan kata-katanya lantas menggelengkan kepala beberapa kali sebelum tercungap-cungap seperti orang sesak nafas.
"Abah!Kenapa ni, bah!Yusra!Yusra panggil doktor, Yusra!Cepat!"
Yusra yang dari tadinya tercegat di pintu setelah kembali dari membeli minuman turut panik melihat keadaan Encik Firdaus yang nazak.
***************
Humaira menyapu tanah yang melekat di kakinya.Setelah mengucapkan selamat tinggal dan salam kepada ayahnya, Humaira berjalan lemah menuju ke arah Yusra yang sudah menunggunya di jalan.
"Jadi ke kau nak jual kedai tu?"
Laju Yusra menyoal sebaik mereka berjalan seiringan.Selendang yang hampir terlucut dari kepala dibetulkan.
"Apa lagi yang aku boleh buat, Yusra.Aku sorang manalah mampu nak uruskan kedai tu.Nak teruskan hidup pun dah tak ada semangat.Tengok kedai tu pun aku dah sedih sangat-sangat.Asyik terbayangkan arwah dekat situ."
Lemah jawapan yang keluar dari mulut Humaira.Hampir dua minggu Encik Firdaus pergi meninggalkan Humaira.Dalam masa itu jugalah kedai runcit itu tidak terurus.Seminggu juga Humaira berkurung meratapi permergian ayahnya.Terbang segala asanya untuk hidup waktu itu.
"Maknanya kau serahkan seratus peratus pada Razman la untuk uruskan?"
Yusra masih tidak berpuas hati dengan jawapan Humaira.Temannya itu dilihat seakan berputus asa dengan kehidupan.
"Nampaknya macamtulah.Lagipun kau tau kan esok-esok dia jadi laki aku jugak."
Humaira melepas keluhan berat.Kemudian mereka duduk berehat di atas rumput bawah pohon rendang yang terletak tidak berapa jauh dari tanah perkuburan.Memang itulah tempat dia dan Yusra selalu meluangkan masa berbual dan meluahkan isi hati sejak dari bangku sekolah lagi.Lapang rasa dadanya setiap kali melihat keindahan tasik kecil yang ada di depan.Kicauan burung riuh rendah turut menghiburkan hati.Namun itu dulu.Sekarang ini tiada apa lagi yang mampu mengukirkan senyum di bibirnya.
"Aku tau aku dah banyak kali tanya kau soalan ni, tapi kau betul-betul yakin ke nak kahwin dengan Razman?Hanya disebabkan keinginan abah kau?"
"Kalau tak sebab abah, dah lama aku lari dari kampung ni, Yusra.Aku tak tau macamana aku nak teruskan hidup lepas ni."
**************
"Awak jangan risau, okey.Pasal kedai tu semua saya dah uruskan.Lepas je kita kahwin nanti saya terus masukkan duit tu dalam akaun bank awak."
Razman senyum lebar.Tidak sia-sia penantiannya selama ini.Sedikit masa lagi Humaira akan jadi miliknya.Bukan setakat Humaira, wang hasil penjualan kedai runcit pun disapu bersih.Berlipat ganda keuntungan Razman setelah kematian Encik Firdaus.
"Kalau tak ada apa-apa lagi awak baliklah.Sebelum ada yang menabur fitnah."
Humaira tidak menyangka yang Razman berani datang ke rumahnya pada saat dia sendirian.Kecut hatinya pabila memikirkan hal-hal aneh yang bakal terjadi.Segera Humaira menjarakkan diri dari Razman yang mahu merapatinya.
Setelah memastikan pintu dikunci rapat, Humaira menapak lemah menuju ke bilik ayahnya.Sehelai kain pelikat yang terlipat kemas di dalam almari dikeluarkan lalu dibawa ke dakapan.Kemudian dia duduk bersimpuh di lantai dan bersandar pada katil.
"Abah, kenapa cepat sangat abah pergi?Maira belum puas bermanja dengan ayah.Dengan siapa Maira nak menumpang kasih?Maira takut, abah.Maira takut Razman sia-siakan Maira.Apa Maira patut buat, bah?"
Humaira merintih sayu.Basah kain pelikat itu dengan juraian air mata.Sungguh dia belum bersedia untuk menyerahkan hidupnya pada sesiapa apatah lagi pada Razman yang langsung tidak dicintainya.
***************
Humaira memejamkan mata sewaktu bulu matanya dipakaikan maskara.Humaira rimas,Sudah lebih setengah jam dia disolekkan oleh mak andam.Seumur hidup, dia tidak pernah bersolek.Jangan kan maskara, gincu bibir pun dia tak punya.
"Lama lagi ke, Mek?"
Akhirnya terpacul soalan itu dari bibirnya.Mek Ucu, nama panggilan mak andam itu tersengih sumbing mendengarkan pertanyaan bakal pengantin.
"Biasalah, dik..Nak kahwin sekali je kan.Takkan nak bersolek ala kadar je.Mek ni ditempah khas tau untuk solek adik.Bukan calang-calang ni."
Humaira hanya mampu menjebik melihatkan telatah Mek Ucu yang seperti mengangkat bakul sendiri.
"Alamak, dik..Mek tertinggal satu lagi bekas make up ni dalam kereta.Adoii, adik tunggu kejap ya.Mek pergi ambik kejap.Kejap je.Jangan pandai-pandai nak usik muka tu."
Sempat Mek Ucu berpesan sebelum menghilang di sebalik langsir pintu bilik pengantin.
Humaira mengeluh.Dipandangnya sekitar bilik pengantin yang agak besar dan luas.Dia dimaklumkan oleh ibu Razman bahawa itu adalah bilik Razman.Humaira telan liur yang terasa pahit.Seram sejuk tatkala memikirkan apa yang bakal terjadi setelah akad nikad nanti.
Humaira resah.Dia bangun dari kerusi lalu menuju ke jendela yang sedikit terbuka.Dikuaknya perlahan daun jendela selebar mungkin untuk melihat ke arah luar.Langit malam itu agak gelap dengan hanya disinari sedikit cahaya bulan yang diliputi awan.
Humaira mengeluh lagi.Jendela kembali dirapatkan.Kini dia berdiri pula di hadapan cermin.Humaira tersenyum memandang tubuhnya yang dibalut dengan sepasang kurung satin putih yang dihiasi labuci berbunga-bunga.Namun senyumannya segera mati saat mengenang nasib malang yang terpaksa dilaluinya kini.
Dalam pada Humaira mengeluh tentang nasib dirinya, tiba-tiba kedengaran sayup-sayup deringan telefon bimbit.Pada mulanya Humaira tidak mengendahkan.Namun setelah bertalu-talu deringan itu kedengaran, dia nekad untuk menemukan telefon bimbit tersebut.
'Mungkin panggilan penting.'
Bisik hati kecilnya.
Humaira cuba membuka laci-laci yang ada pada meja solek, namun gagal menemukan.Kemudian dia bergerak pula ke arah almari pakaian di mana nada deringan itu semakin jelas di gegendang telinga.
Dengan berhati-hati Humaira membuka pintu almari.Serentak itu juga nada tersebut berhenti dari berdering.Humaira tidak jadi menutup kembali pintu almari apabila terpandang akan pesanan-pesanan yang muncul di skrin telefon bimbit dipercayai milik Razman.
Bergetar dada Humaira saat meneliti baris-baris ayat pada pesanan itu.Tanpa berfikir panjang, dia membuka peti pesanan lalu membaca kesemua mesej yang tertera.Humaira menekup mulut.Menggigil seluruh anggota badannya ketika membaca ayat demi ayat.
Hampir tercopot telefon bimbit dari pegangan tangannya tatkala Mek Ucu masuk semula ke dalam bilik bersama bekas solekan.
"Lah, kamu buat apa tu dik..Meh cepat duduk sini.Majlis dah nak mula tu!"
Mek Ucu menggamit Humaira yang masih terpaku di hadapan almari.
"Mek..Mek boleh tolong Maira tak?Tolong..tolong ambilkan Maira air.Da..ha..ga."
Sedaya upaya Humaira cuba mengawal dirinya di hadapan Mek Ucu agar tidak terlihat mencurigakan.
"Hah, yelah.Tunggu kejap.Mek ambik kan."
Hilang saja Mek Ucu dari pandangan, Humaira segera mencari akal untuk lari dari situ.
"Aku tak boleh kahwin dengan dia.Aku tak boleh kahwin dengan orang yang dah bunuh abah!"
Humaira terpandang akan jendela yang dibukanya tadi.Dia mendapat akal.Sebiji kerusi kayu diambil dan diletakkan berhampiran tingkap yang telah dibuka lebar.Tanpa berfikir panjang, Humaira memanjat kerusi lalu melompat turun dari tingkap.
"Arghh!!"
Humaira tekup mulut rapat-rapat.Diliarkan pandangannya ke sekeliling andai ada yang melihat dirinya.Tanpa mempedulikan kakinya yang sakit, Humaira menapak laju menuju ke arah belakang rumah yang kelihatan sunyi dari orang ramai.
"Ya Allah, sakitnya."
Humaira memegang kakinya sambil berjalan terincut-incut.Air mata yang merembes laju tidak dipedulikan lagi.Apa yang ada dalam fikirannya saat ini adalah untuk pergi ke jalan besar.Di sana dia akan mencari bantuan sesiapa yang lalu lalang di kawasan itu.
Setibanya di jalan besar, Humaira sudah tidak mampu untuk berjalan lagi.Dia terjelepok di pinggir jalan sambil memandang ke kiri dan ke kanan, berharap akan ada kenderaan yang datang.Keadaan jalan raya yang kelam dan hanya disinari beberapa batang lampu jalan kuning samar-samar menyeramkan Humaira.Dia hanya mampu berdoa semoga yang datang nanti bukanlah manusia yang berniat jahat.
Humaira pegang kepala yang berdenyut kuat.Saat itu juga satu cahaya yang memancar dari arah jalan yang bertentangan memaksa Humaira mengangkatkan kepala.Sempat gadis itu melambai-lambaikan tangan ke arah kenderaan tersebut sebelum pandangannya bertukar menjadi gelap.
"Sial!!"
Razman menghempas telefon bimbitnya ke lantai.Tahulah dia Humaira melarikan diri gara-gara terbaca mesej antara dia dan rakan-rakannya.
"Macamana ni, Man..Mana mak nak letak muka kalau betul kamu tak jadi menikah!"
Puan Rafidah panik.Malu dengan orang kampung satu hal, duit pun sudah banyak dihabiskan untuk perbelanjaan perkahwinan anaknya.
"Mak fikir malu mak je ke?Man ni, Man dah hilang Humaira tau tak?!"
Razman menepuk-nepuk dadanya.Marah dan kesal kerana merpati yang sudah pun berada dalam genggaman terlepas akibat kecuaian diri sendiri.
"Man, kamu nak pergi mana pulak ni?!"
Puan Rafidah menahan Razman yang tergesa-gesa mahu beredar keluar dari bilik.
"Man nak cari Humaira.Walau apa sekalipun, Man tetap akan kahwin dengan dia!"
"Man!Man!Ya Allah..apa dah jadi ni.."
Puan Rafidah tidak berupaya menghalang langkah Razman yang bagaikan orang hilang akal.Dia hanya mampu terduduk di katil sambil memicit kepala yang berdenyut.
Terpisat-pisat Humaira membuka mata ibarat terbangun dari tidur yang panjang.Diperhatikan keadaan sekeliling yang agak asing baginya.Sejuk penghawa dingin mencengkam hingga ke tulang temulang.
"Alhamdulillah..kamu dah sedar."
Satu suara garau yang menyapa mengejutkan Humaira lantas menoleh ke sisi.Seorang lelaki yang agak sebaya dengan arwah ayahnya sedang tersenyum memandangnya.Namun jelas terpancar riak kerisauan di wajah tua itu.
Humaira cuba untuk bangun dari pembaringan tetapi kepalanya terasa berpusing saat dia bergerak.
"Tak payah bangun lagi, rehat je dulu ya."
Lembut saja Encik Nazri menutur kata.
Humaira hanya mampu memandang wajah lelaki itu.Banyak persoalan yang ingin diajukan tetapi keadaan yang masih lemah memaksa Humaira untuk berdiam diri.
"Kamu tinggal di mana?Ada nombor telefon sesiapa yang pakcik boleh hubungi?"
Encik Nazri tidak menunggu lama.Dia perlu segera memaklumkan keadaan Humaira pada keluarganya.Tentu sekarang mereka sedang risaukan gadis itu.
Humaira pantas menggeleng dan memejamkan mata.Setitis air mata hangat mengalir ke pipi.
"Kamu jangan takut..Pakcik bukan orang jahat.Pakcik cuma nak tolong."
Cuak Encik Nazri melihat Humaira yang menangis tiba-tiba.
"Saya tak ada tempat nak pergi."
Akhirnya Humaira bersuara.Tersedu sedan dia menahan tangis di hadapan Encik Nazri.
"Sabar, nak.Kamu boleh cerita pada pakcik.Kalau pakcik boleh tolong, pakcik pasti tolong."
Encik Nazri cuba menenangkan Humaira yang kelihatan tertekan.Sedih hatinya melihat keadaan anak muda itu walaupun dia tidak tahu keadaan yang sebenar.
Humaira ketap bibir.Masih berkira-kira apakah perlu dia menceritakan kejadian yang sebenar.
'Kalau aku cakap aku lari dari majlis nikah, tentu pakcik ni fikir aku ni perempuan yang tak baik.'
Humaira berasa malu dengan keadaan dirinya.Dia tidak tahu dari mana harus memulakan cerita.
"Tak apalah.Kalau anak belum sedia nak cerita, pakcik tak paksa.Tapi kalau kamu perlukan bantuan pakcik, kamu kenalah bagitau pakcik keadaan yang sebenar.Boleh?"
Encik Nazri cuba meyakinkan Humaira untuk membuka mulut.Dia dapat merasakan yang gadis itu sedang mengalami masalah yang berat.Kalau tidak masakan anak semuda itu bertekad melarikan diri malam-malam begitu.Bahkan sampai berkaki ayam.
Kira-kira limat belas minit kemudian, Humaira telah dibenarkan keluar dari wad.Setelah menyelesaikan segala dokumen di kaunter, Encik Nazri kembali mendapatkan Humaira yang sedang duduk menunggunya.
"Ni ubat Humaira."
Encik Nazri menghulurkan sebungkus plastik putih yang terisi beberapa jenis ubat kepada gadis itu.Kemudian dia membantu Humaira bangun dan berjalan keluar dari hospital kerana kakinya masih lagi bengkak gara-gara terjun dari jendela rumah Razman.
"Maaf pakcik, sekarang ni Maira tak ada duit nak bayar ubat ni.Tapi Maira janji Maira akan bayar."
Ujar Humaira bersungguh-sungguh setelah mereka berada di luar hospital.
Encik Nazri hanya mampu menahan tawa mendengar kata-kata Humaira yang dirasakan lucu.
"Pakcik tak mintak pun Maira bayar..Yang pakcik mintak sekarang Maira cerita pada pakcik apa sebenarnya yang berlaku pada Maira."
Encik Nazri masih berharap untuk mendengar cerita yang jujur dari mulut Humaira.Dia ikhlas ingin membantu gadis itu andai dia benar-benar tiada tempat untuk dituju.
"Saya ni anak yatim piatu, pakcik."
Humaira menundukkan wajah.Perasaan malu yang menebal mula menjalar tatkala menceritakan perihal diri.
"Tak payah malu..yang perlu malu kalau kita buat dosa.Anak yatim piatu ni sangat disayangi Allah."
Tersentuh Humaira dengan lembut kata-kata Encik Nazri itu.Serta merta dia teringatkan arwah ayahnya.Humaira tidak mampu menahan sebak.
Melihatkan keadaan Humaira, Encik Nazri kini semakin yakin untuk membantu gadis itu.Tanpa berfikir lagi, Encik Nazri mempelawa Humaira untuk tinggal bersamanya di bandar.Oleh kerana terhutang budi dan tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan lelaki itu, Humaira tanpa ragu-ragu menyambut baik pelawaan Encik Nazri.Lagi pula dia bimbang sekiranya dia masih berada di kampung, lambat laun Razman pasti akan menemuinya.
"Maira jangan takut..niat pakcik baik.Makcik mesti suka jumpa Maira."
Encik Nazri senyum lebar membayangkan wajah isterinya yang sedang menunggu kepulangannya.Telah dikhabarkan kepada isterinya bahawa dia pulang lewat sedikit kerana membawa hadiah bersama.
"Isteri pakcik dulu nak sangat anak perempuan.Sebab dia tak boleh mengandung lagi, kami sepakat untuk ambil anak angkat perempuan.Masa tu usia dia baru dua tahun.Tapi tulah, Allah lebih sayangkan dia.Anak angkat kami meninggal lima bulan lepas kami ambik dia.Rupa-rupanya dia dah sakit sejak lahir.Lepas dari tu makcik murung sekejap.Risau pakcik dibuatnya.Trauma dah pakcik nak ambik anak angkat ni."
Cerita Encik Nazri panjang lebar sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur.Entah kenapa mudah benar dia berasa selesa dengan Humaira.Gadis itu yang lebih banyak mendiamkan diri hanya tekun mendengar.
"Tak apa kalau Maira tak nak cerita.Tapi kalau pakcik boleh ringankan beban yang Maira tanggung tu, apa salahnya.Anggap jelah pakcik ni macam orang tua Maira.Pakcik tak kisah kalau Maira nak kongsi apa-apa pun.Tapi kalau Maira malu sangat, haa Maira boleh cerita dengan Makcik nanti.Yelah perempuan sama perempuan ni mudah sikit, betul tak?"
Encik Nazri masih ingin menceriakan suasana antara mereka.Dia mahu supaya Humaira berasa selesa dan tidak segan dengannya.
"Terima kasih, pakcik."
Ucap Humaira seakan berbisik.Matanya dipejam seketika.Memanjat syukur yang tidak terhingga kerana diberikan jalan keluar dan dipertemukan dengan sebaik-baik manusia.