Home Novel Cinta HER COFFEE
HER COFFEE
Hannaz
31/1/2021 23:28:18
17,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

KAKI dilangkahkan menuju ke pejabat Izz Ishraq yang pernah disinggahnya dahulu. Kali kedua dia menapak ke sini.

Terkejut juga dia apabila Izz membalas mesejnya dan terus bersetuju apabila dia mengajak berjumpa sekali lagi. Alasan yang diberi Amaya, kononnya nak berbincang soal projek itu walaupun dia sebenarnya ada agenda lain yang tersendiri.

Izz pula, tak banyak tanya. Terus bersetuju untuk berjumpa dengannya hari ini.

"Jemput masuk, Cik. Encik Izz dah menunggu di dalam," jemput setiausaha Izz.

Amaya mengangguk perlahan. Sempat menarik nafas dalam dan membetulkan postur tubuhnya. Harapnya tak nampak sangatlah mukanya yang sedang agak lesu ini.

Mana tak lesu bila malam tadi dia hanya sempat tidur dua jam sahaja? Asalnya, dia masuk tidur pada jam 1 malam. Tapi, tiba-tiba dikejutkan dengan berita Azim yang dimasukkan ke hospital. Dan, hampir dua jam dia di hospital menemani Azim makan KFC di awal pagi sebegitu. Pukul lima pagi, barulah dia pulang semula ke rumah.

Tak sempat nak tidur, dah terpaksa mandi untuk solat Subuh dan bersiap ke tempat kerja. Memang mengantuklah jawabnya.

Tangan Amaya bergerak menguak daun pintu tembaga itu sebelum matanya menangkap susuk tubuh Izz yang sedang menunduk mengkaji fail di tangan. Dan, apabila menyedari kehadirannya, Izz pantas mengangkat kepala.

"Come in, Cik Amaya."

Amaya melangkah masuk bersama segaris senyuman. Duduk di hadapan Izz, sempat matanya melirik penampilan lelaki itu. Dua kali berjumpa, dan first impression dia masih belum berubah.

Izz Ishraq memang kacak.

"It actually surprises me that you wanna see me. Just the two of us. Saya ingatkan awak datang dengan PA awak itu."

Spontan, Amaya menggeleng. Sengaja dia tak mahu mengajak Fatihah bersama.

"Saya nak bercakap soal projek itu nanti."

Izz tegakkan tubuh. Fail di tangan ditolak ke tepi sebelum kedua tangan disatukan di atas meja. Kepala diangguk perlahan. "Sure, keep going."

"Berdasarkan kertas cadangan projek yang pihak Encik sediakan, Encik ada kata yang semua kru member saya akan terima pas keluar masuk sebagai staf, kan?"

Izz angguk. Memang pas itu untuk membezakan siapa staf dan siapa tetamu. "Ya, dan awak bersama kru-kru awak juga akan diberi ruang rehat masing-masing. Kenapa ya? Ada yang awak nak ubah dari cadangan projek?"

Amaya menggeleng lagi. Nafas ditarik seketika. Tak pasti sama ada Izz akan bersetuju dengan permintaannya ini atau tidak.

"Kru member saya semuanya berjumlah 20 orang. Tapi, saya nak minta extra pass. Untuk seorang lagi tetamu tambahan."

Spontang, kening Izz terjungkit sedikit. Pas ekstra? Tanpa sempat dikawal, bibir ditarik mengherot. Agak sinis.

"Cik Amaya, jangan kata awak nak gunakan peluang ini untuk bercuti dengan kekasih awak pula?" Tak berlapik soalan yang terluncur dari bibir Izz. Ada nada curiga di situ.

Dan Amaya terus tersentak. Kekasih? "Bukan kekasih saya, Encik Izz."

"Jadi? Awak nak bawa siapa masuk?"

Amaya diam seketika. Tak tahu macam mana nak explain pada Izz soal Azim. Tak pasal-pasal Izz ingat dia nak bawa anak pula.

Izz bersuara lagi, "Saya bukan apa, Cik Amaya. Kalau hal-hal yang tak berkaitan dengan kerja, saya tak nak libatkan benda di luar profesionalisme saya. We are both a boss. We should know how professionalism works, right?"

Amaya masih diam. Riak wajahnya kekal tenang dan composed walaupun hatinya sedikit kecewa apabila Izz enggan memberi pas ekstra untuknya. Ingatkan senang-senang bersetuju nak jumpa, maksudnya senang jugalah nak penuhi permintaannya ini.

Lagipun, hanya satu pas. Bukannya dia nak bawa satu keluarga dia pun.

"He's someone I know."

Sekali lagi, kening Izz terjungkit. "So, betullah it's a 'he'?" Riak wajah Izz bertukar ingin tahu.

Amaya menghela nafas. "Ya, lelaki. Tapi, bukan kekasih saya."

"Takkan bapa awak pula, kan?"

Amaya tersentak. Terus kepala terdongak memandang Izz. Agak sensitif apabila nama arwah bapanya disebut. Namun, cepat-cepat dia mengawal riak wajahnya. Kembali kepada sisi self-composed dan profesionalnya.

"Look, Cik Amaya. Kalau awak tak boleh beritahu saya, saya juga tak boleh beri pas itu dengan mudah. This is a big official event. Tak patutlah saya langgar etika kerja saya hanya sebab awak yang minta, kan?"

Amaya menghela nafas. Kalau ikutkan hati, nak saja dia cakap 'okey, terima kasih' dan terus berlalu. Kebiasaannya, deal yang dibuatnya dengan klien lain semuanya profesional. Jarang dia minta permintaan secara peribadi macam ini.

Tapi, memikirkan Azim, terpaksa jugalah dia cuba meminta lagi.

Amaya hela nafas panjang. Nak tak nak, terpaksa jugalah dia membuka mulut. "Bukan kekasih saya. Tapi, anak saudara saya. Lelaki."

Spontan, kening Izz bercantum sebelum terangkat sebelah. Nak bawa anak saudara?

"Are you serious? Awak nak bawa anak saudara awak bercuti atas cruise tu? Atau itu sebenarnya anak awak dalam rahsia?"

Terus mata Amaya meluas mendengar tuduhan itu. Rasa nak saja diketuk bibir yang selamba membuat spekulasi itu. Dia dahlah bujang, tang mana pula nak ada anak? Dan, kalau dia ada anak, buat apa nak dirahsiakan?

"Saya ini tak gila lagi nak rahsiakan anak sendiri, Encik Izz." Sedikit memerli.

"Jadi, kenapa awak nak bawa dia? Also, you are more than capable of bringing him to a trip on your own. You're a successful businesswoman, Miss Amaya."

Amaya diam seketika. Memanglah dia mampu nak bawa, tapi dia memang sangat sibuk dengan kerjanya. Nak bercuti sehari pun susah, inikan pula nak bercuti berhari-hari untuk melancong sana sini.

"Let's just say ada sebab saya minta izin untuk bawa anak saudara saya. Also, as professional as I am, saya bukan minta secara percuma. Saya akan bayar untuk pas ekstra itu. I just thought I should ask for your permission to have the extra ticket, Encik Izz."

Izz masih mengerut dahi. Masih tak faham.

"Kalau saya kata saya refuse permintaan awak, macam mana?"

Sekali lagi, Amaya terdiam. Kalau dah tak setuju, apa lagi yang boleh dibuatnya? Terpaksalah dia cari waktu lain untuk membawa Azim bercuti. Baru berangan dapat ajak Azim bercuti. Mesti Azim seronok. Nak-nak lagi, budak itu baru habis demam. Mesti melonjak seronok punya.

Sementara itu, Izz ralit memerhati reaksi Amaya. Jelas gadis itu agak kecewa dengan penolakannya, namun dia dapat melihat Amaya yang masih cuba mengawal riak wajahnya.

Memang dia ini jenis yang tak suka ekspresi perasaan sendiri ke apa?

Belum sempat Amaya hendak bersuara lagi, mereka sama-sama menoleh apabila pintu tiba-tiba dikuak dari luar. Muncul seorang wanita yang agak berusia bersama dulang di tangan. Dua cawan berisi kopi diletakkan di atas meja.

"Saya minta tealady buatkan awak latte. Is that okay with you?" tanya Izz. Manalah tahu Amaya ada anti jenis kopi lain selain kopi hitam, kan?

"Saya okey." Amaya berkata sambil mengerling cawan kopi di atas meja. Sempat dia menyeringai sedikit apabila melihat cawan kopi Izz. Hitam pekat. Gelap-gelita. Spontan, kepala tergeleng perlahan. Tidak suka apabila bau kopi pekat itu menusuk hidung.

Mata dipejam seketika.

"Awak ada sejarah dengan kopi hitam ke?"

Hah? Mata Amaya terus terbuka. Kepala dipanggung pantas untuk membalas pandangan Izz. Terkejut dengan soalan serkap jarang yang tiba-tiba mengena itu.

Spontan, Izz ketawa perlahan. "Tak perlu terkejut sangat, Cik Amaya. Saya tanya sebab saya tengok awak geli sangat dengan kopi hitam. It's just coffee. In fact..." Izz hentikan kata-katanya bersama senyuman. Tangannya menolak kopi di hadapannya ke arah Amaya.

"Awak mungkin suka kopi hitam ini."

Amaya sekadar mengerling dengan hujung mata. Sikit pun tak terliur dengan kopi berwarna hitam legap itu.

"Black coffee isn't my thing, Encik Izz." Sopan Amaya menolak semula cawan itu ke arah Izz.

"Why not?"

"Terlalu pahit untuk saya."

"Espresso and americano is also a very bitter kind of coffee. Awak boleh terima?"

"Saya ambil espresso bersama flat milk dan americano saya dengan steamed milk. Paling pahit yang tekak saya terima ialah ristretto dan itu pun tak sepahit mana."

"Saya rasa kopi hitam paling sedap. Black and solid. Simple but strong."

Amaya mengepal erat tangannya di bawah kerusi. Tersembunyi dari pandangan mata Izz. "Ya. Kuat. Terlalu kuat untuk saya." Amaya menggumam perlahan. Lebih kepada monolog diri sendiri, namun tetap sampai ke telinga Izz.

Amaya berdehem perlahan. Tiba-tiba, dada terasa berkocak apabila kenangan lama mula mennggamit minda. Kepala digeleng perlahan sebelum tangan terus mencapai kopi di depan mata. Ralit punya pasal, tangannya sama sekali tak menyedari arah gerakan tangannya.

"Eh, Cik Amaya!" Izz pantas menyeru apabila tangan Amaya mencapai cawan kopi hitam miliknya. Nampak sangat mata itu bagaikan hilang dalam dunia sendiri bersama tangan yang menarik cawannya.

Dan apabila tangan Izz spontan tersentuh tangan Amaya, si gadis terus tersedar. Dan dalam sekelip mata, tangannya ditarik kasar. Terkejut dengan sentuhan itu walaupun secara berlapik.

Tarikan kasar itu menyebabkan cawan yang berada di hujung tangan Amaya sedikit tertolak. Dan sesaat kemudian, mata Amaya terus terbeliak!

Allah, tumpah!

"Ya Allah, Encik Izz!" Amaya terjerit kecil. Terus tubuhnya ditegakkan sebelum dia kalut bangkit dari kerusinya lalu lengan Izz ditolak sedikit agar menjauhi tumpahan air kopi itu.

Aduh, habis baju mahal anak orang, Amaya oi!

"Ya Allah, saya minta maaf, Encik Izz." Kalut Amaya bersuara bersama tangan yang menyeluk beg tangannya untuk mengeluarkan tisu. Satu-persatu lapisan tisu diletakkan di atas meja sebelum pantas dihalang oleh Izz.

"Tak perlu, tak perlu. Nanti saya panggilkan staf saya untuk bersihkan." Izz tarik sedikit Amaya agar menjauhi mejanya. Takut air yang tumpah itu mengenai Amaya pula. Dahlah Amaya hanya memakai blaus berwarna beige. Kalau kena kopi, memang ketara sangat kesannya nanti.

Amaya menggigit bibir. Serba salah. Apatah lagi apabila matanya jatuh ke arah lengan blazer Izz yang sudah bertompok. Kesan kopi hitam. Aduh! Habis baju mahal pengarah muda itu, Amaya!

"Baju Encik..." Amaya bersuara dalam serba salah.

Izz tunduk merenung lengan bajunya. Ya, baru perasan ada kesan tompok di situ.

"Tak apa. Nanti saya hantar ke dobi."

"Ya Allah, saya minta maaf sangat, Encik Izz. Saya betul-betul tak sengaja." Masih dalam kalut, Amaya bersuara. Hilang segala imej tenang dan self-composed yang biasa ditayangkannya kepada orang luar.

Izz senyum segaris. Kenapa nampak comel pula dia dalam kalut-kalut macam ini?

"Saya okey, Cik Amaya. Nothing to worry. Baju aje." Dalam senyum, Izz berkata. Ditepuk-tepuk sedikit lengan baju yang agak comot itu. Gaya santai. Bukannya dia tak ada baju spare dalam pejabat ini.

Amaya garu belakang leher pula. Takkan nak biar aje? Kenalah bertanggungjawab, Amaya!

"Boleh tak Encik buka baju Encik itu?"

Spontan, Izz angkat sebelah keningnya. Amaya dipandang atas bawah. Dan tangan dibawa bersilang ke dada bersama bibir yang mula mengherot nakal. "Yang kotor lengan aje. Jangan ambil kesempatan pada saya, Cik Amaya. Saya masih teruna."

Dari riak bersalah, terus Amaya cerunkan pandangan pada Izz yang sudah memeluk dada. Tajam menikam. Macam nak telan orang pun ada.

"Encik dah gila ke? Ingat saya ini apa? Sugar mummy?" marah Amaya, namun masih dalam suara tertahan. Belum lupa lagi hubungan perniagaan yang wujud di antara mereka.

Amaya merengus pula. Pandangan spontan dialihkan. Tak tahu kenapa, bila dengan Izz, mulalah macam-macam emosi keluar. Padahal baru dua kali bertentang mata dengannya.

Amaya menarik nafas dalam. Cuba mencari ketenangannya semula.

"Maksud saya, saya nak baju Encik itu supaya saya boleh hantarkan ke dobi. It's the least I could do as an apology." Serius Amaya bersuara. Takut lain pula yang ada dalam kepala Izz. Pertama kali dalam seumur hidupnya dia dituduh nak mencabul anak teruna orang. Cis!

Spontan, Izz tergelak kecil. Tangan yang tadi menutup dada dijatuhkan bersama mata melirik wajah tegang Amaya. Emo sungguh cik bos di depannya ini.

"Saya gurau ajelah. Tak apa. Nanti saya uruskan sendiri."

Tapi, Amaya pula menggeleng. "Please, Encik Izz. At least untuk saya hilangkan rasa serba salah saya." Dalam geram, Amaya tetap berkeras. Dia bukannya jenis yang suka lari dari tanggungjawab.

Izz tersenyum lagi. Okey, kenapa dia rasa Amaya ini nampak comel bila tengah geram? Muka serius pun, tetap comel. Akhirnya, dia ketawa perlahan.

"Betul, Cik Amaya. Awak tak perlu risau." Sambil berkata, tangan Izz tetap bergerak membuka blazer di tubuh. Bukan niat nak diberi pada Amaya, tetapi sekadar ditanggalkan kerana takut terkena lapisan pakaiannya yang lain. Dan, takut bau kopi melekat pada badan. Macam mana nak hadap klien lepas ini?

Dan, apabila Izz letakkan blazer di tangannya ke atas meja, spontan nafas Amaya bagaikan tersekat. Tidaklah terlalu dekat, tetapi kedudukan blazer itu membuatkan bau perfume yang dipakai Izz tadi semakin kuat menusuk hidung.

Spontan, liur ditelan. Dada mula berkecamuk dengan rasa.

Minyak wangi lelaki. Kopi hitam.

Dua benda yang paling tak disukainya kini ada bersama.

Ah, sesak!

Tangan yang berada di atas riba spontan digenggam kuat. Ya Allah, jangan fikir, Amaya! Jangan fikir. Benda dah lepas! Lupakan kejadian itu.

Dada sedikit berombak dengan nafas yang tak teratur. Namun, kepala diangguk beberapa kali untuk memujuk diri sendiri. Akhirnya, Akhirnya, nafas ditarik dalam untuk menenangkan diri sebelum dia kembali memandang Izz yang kini hanya berkemeja putih.

Mujur kopi tadi hanya terkena lapisan blazer di luar. Kalau kena kemeja dalam, mahu Izz tanggal kemeja itu sekali. Tak sanggup nak bayang!

"Cik Amaya?"

Amaya tersentak. Terus tersedar yang kepalanya sudah hanyut entah ke mana. Dari kenangan lampau sehinggalah membayangkan badan anak teruna orang. Huh, tak senonoh sungguh.

"Encik Izz, saya balik dululah." Kalut Amaya bangkit dari kerusinya. Terus lupa dengan tujuan asalnya datang ke mari. Tak selesa dengan macam-macam bau yang dah mula menusuk hidung. Boleh migraine dia dibuatnya.

Izz yang sedang membetulkan kolar kemejanya terus tersentak. Terkebil-kebil seketika. Eh, dah nak balik dah? Bukan datang sini nak minta pas ekstra ke?

"Eh, Cik Amaya!" Pantas Izz menahan apabila Amaya sudah menapak untuk ke muka pintu pejabat.

Dan, langkah Amaya terus mati. Mata dipejam seketika. Bagaikan terbayang satu suara garau yang pernah memanggil namanya. Seram dan menakutkan.

Allah, lupakan dia! Lupakan dia, Amaya!

"Awak okey ke? Saya ada buat salah ke?" tanya Izz, hairan. Takkan Amaya fikir bukan-bukan hanya sebab dia tanggalkan blazer? Bukannya dia nak buat benda tak senonoh pada anak orang.

"Saya... tak berapa sihatlah. Saya minta diri dulu. Maaf sekali lagi." Tanpa berpaling, Amaya bersuara. Namun, langkah kakinya mati sekali lagi apabila Izz kembali bersuara.

"The extra pass. Do you still want it?"

Kali ini, Amaya tersentak. Ya Allah, sungguh dia terlupa! Dan, perbualan mereka tadi pun terhenti dek kerana penghantaran kopi oleh staf Izz itu. Semuanya terganggu oleh perasaannya yang tiba-tiba berkecamuk.

Spontan, kepala ditoleh semula agar memandang Izz.

"Encik izinkan?"

Kepala diangguk perlahan. "Tak perlu bayar. My treat for your nephew. Saya harap dia suka." Izz ukirkan senyum. Bukannya dia kedekut sangat pun. Sengaja nak menguji Amaya tadi. Nak melihat reaksi si gadis. Tapi, tak sangka pula sampai terus angkat kaki nak minta balik lepas stafnya bawakan kopi.

Akhirnya, Amaya senyum. Terus lupa soal bau yang menyesakkan tadi. Kini, terbayang pula wajah Azim dalam kepala. Mesti Azim suka!

"Terima kasih, Encik Izz." Masih dalam senyuman, Amaya bersuara. Kepala ditunduk sedikit sebagai tanda terima kasih. Dan setelah itu, barulah Amaya meminta diri untuk berlalu. Masih dengan senyuman di bibir.

Dan kali ini, Izz tidak lagi menghalang. Sebaliknya, bibirnya pula yang tersenyum. Bagaikan masih ternampak-nampak senyuman Amaya tadi. Akhirnya, dia tergelak perlahan. Boleh senyum juga perempuan itu rupanya. Ingatkan asyik serius memanjang.

Namun, sesaat kemudian, Izz berkerut sedikit. Mata mengerling air kopi yang sudah tertumpah di atas meja dan pakaiannya tadi. Kening diangkat sebelah.

Apa masalah Amaya dengan kopi hitam sebenarnya? 

----------------

< Sneak peek cup 5 >

Saat cecair Lungo itu menyentuh lidah, spontan dahi Izz berkerut sedikit. Ada satu rasa aneh mengecap tunas rasanya.

"Tak sedap ke?" Laju mulut Amaya bertanya. Tak sempat nak dikawal.

Izz menggeleng. "Bukan tak sedap. Taste new. Rasa yang baru bagi saya."

"The next sip will taste better. It always lilke that with coffee." Amaya mengangguk sekali untuk meyakinkan. InsyaAllah, sedap kalau Izz memang sukakan kopi pahit.

Izz senyum. "Rasa yang agak menarik, actually."

Amaya senyum pula. Dah agak dah. Siapa saja yang boleh tolak penangan kopi buatannya?

"Sama menarik macam tukang buatnya." Izz senyum. 

--------------------

Maaf atas kekurangan. Terima kasih baca :)

31/01/2021

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hannaz