Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,714
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6
“SABAR ajelah, Rys. Jangan ambil hati sangat dengan mulut dia tu. Bahasa dia memang kasar. Tak reti nak cakap  baik-baik. Anak orang utan agaknya.” Muncung-muncung mulut Huda mengumpat Si Rambut Kembang.

Eryssa menarik nafas panjang. Dia masih lagi termenung memikirkan kata-kata yang dilemparkan oleh Zeek sebentar tadi kepadanya. Ada ke patut Zeek suruh dia balik ke rumah jadi pencacai najis kalau kalah lawan catur esok?

Ingat ni macam filem P.Ramlee Tiga Abdul tu ke? Eryssa sering kecil hati dengan kata-kata Zeek. Walaupun mereka sekumpulan, Zeek tak pernah menunjukkan sikap mesra terhadapnya dan juga ahli-ahli kumpulan yang lain.

Menurut rakan-rakannya, Zeek diperintahkan masuk kelab catur jika tak mahu dibuang sekolah. Memasuki kelab catur ialah hukuman yang perlu diterima oleh Zeek kerana selalu datang lewat, ponteng kelas dan berpakaian selekeh. Nasib Zeek agak baik kerana hanya disuruh menyertai kelab catur.

Nasib rakan-rakannya yang lain lagi dahsyat. Ada yang dihukum menyertai kelab memasak, kelab andaman dan kelab asuhan. Di sekolah itu, guru-guru mengamalkan hukuman dengan cara mendidik.

Sesiapa yang melanggar peraturan sekolah, tak dirotan ataupun dimalukan sewaktu perhimpunan. Sebaliknya mereka diberi pelbagai tugas yang mendidik sahsiah mereka seperti membuat kerja amal dan kebajikan di samping menyertai kelab ‘perempuan’ jika pelajar itu lelaki.

“Jomlah balik. Hari dah petang. Nampak macam nak hujan aje,” ajak Huda selepas puas membebel.

Eryssa menyandang begnya di bahu. Bersama-sama Huda mereka melangkah keluar daripekarangan sekolah yang lengang.

“Alamak... budak rambut kembang tu pun tunggu bas.” Huda agak tak senang melihat Zeek turut sama menunggu bas bersama pelajar-pelajar lain.

“Buat tak tahu ajelah. Nanti dia lazer kita, tak pasal-pasal pula semua orang ikut ejek kita.” Eryssa tak mahu mencari perseteruan dengan Zeek. Dia amat maklum dengan mulut celopar pelajar itu yang suka mengejek pelajar yang tak disukai olehnya.

Apa saja yang diejek oleh Zeek, pasti menjadi ikutan pelajar nakal yang lain. Dulu Zeek pernah menggelar seorang pelajar gemuk dengan gelaran Badak Ayu. Hampir semua pelajar nakal memanggil pelajar bernama Kamisah itu dengan gelaran tersebut.

Kamisah terpaksa menahan telinga. Walaupun dah diadukan kepada guru-guru, gelaran itu memang melekat padanya hingga ke hari ini.

Eryssa dan Huda berdiri agak jauh dari tempat menunggu bas yang berbumbung. Mereka tak mahu menarik perhatian Zeek dan rakan-rakannya yang sedang membuat bising di pondok menunggu itu. Tak sampai lima minit mereka di situ, hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba.

Dengan berat hati, Huda dan Eryssa terpaksa berteduh di pondok menunggu bas itu. Walaupun berbumbung, kesemua pelajar yang berteduh di situ hampir basah kerana angin bertiup agak kencang.

Nasib mereka baik kerana bas yang tak berpendingin hawa itu tiba awal dari biasa. Kesemua tingkapnya dinaikkan. Pasti berkuap dan panas keadaan di dalamnya. Eryssa tiada pilihan. Jika dia tak menaiki bas ini, sejam lagi barulah ada sebuah bas lain. Tentu waktu itu hari dah gelap.

Pelajar-pelajar berebut-rebut menaiki bas yang dah penuh. Riuh-rendah bunyi suara mereka. Huda dan Eryssa ditolak-tolak ke belakang oleh rakan-rakan mereka sendiri. Begitu bising mulut Huda memarahi mereka.

“Hoi! Diamlah Murai Kepeng!” Suara Zeek lantang menyuruh Huda diam. Mendengar saja gelaran yang baru diberi, beberapa orang pelajar lelaki yang nakal ketawa yang dibuat-buat sambil mengulangi gelaran tersebut.

Wajah Huda merah padam menahan marah. Esok tentu satu sekolah menggelarnya Murai Kepeng. Rasa nak diganyang saja mulut Si Rambut Kembang itu.

“Buat tak tau aje, Huda. Lagi kau lawan, lagi suka mereka mengejek.” Eryssa menarik beg Huda menuju ke belakang. Ada ruang kosong di situ apabila bas berhenti menurunkan penumpang.

Huda mengetap giginya dengan geram. Habis kejang kulit wajahnya. “Kalau aku dapat Si Rambut Kembang tu, aku lanyak-lanyak dengan steamroll biar penyek macam lempeng. Tak guna. Dahlah rambut kembang macam sarang tebuan. Mulut pula tak makan saman!” Huda terus merungut-rungut.

Eryssa diam. Dia tak mahu cakap apa-apa. Nanti kalau dilayan, bak menyiram minyak ke bara api pula. Sedikit demi sedikit penumpang mulai berkurangan. Hujan di luar juga dah renyai-renyai. Ada tempat duduk yang kosong di belakang.

Eryssa ajak Huda duduk di situ. Kakinya lenguh berdiri lama. Rumah mereka bukannya jauh sangat, tapi disebabkan bas uzur yang bergerak perlahan dan kerap berhenti itu membuatkan jarak rumah mereka terasa amat jauh.

Huda keberatan apabila ternampak Si Rambut Kembang dan rakan-rakannya dah menghuni sebaris tempat duduk paling belakang. Tapi selepas dia sendiri berasa penat berdiri, akhirnya dia mengalah. Lagipun tempat duduk kosong itu selang sebangku dengan tempat duduk paling belakang.

Beberapa orang rakan-rakan Zeek turun di perhentian seterusnya. Tak lama kemudian, Huda pula yang turun. Kini hanya tinggal beberapa orang saja di dalam bas. Eryssa tak mahu menoleh ke belakang melihat siapa yang tinggal kerana dia tahu Zeek masih belum turun.

Kebetulan mereka turun di perhentian yang sama iaitu perhentian paling akhir. Bas berhenti di sebuah kebun getah dan seorang lelaki naik. Walaupun terdapat banyak tempat kosong, lelaki itu duduk di sisi Eryssa.

Eryssa rasa agak pelik tapi dia diamkan saja. Tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu yang mencucuk tubuhnya di sebelah tepi. Eryssa hanya biarkan saja dan anggap lelaki di sebelahnya itu tak sengaja. Tapi, makin lama semakin kuat dan menjalar-jalar menghampiri dadanya.

Eryssa jadi takut. Nampaknya lelaki itu cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Lantas dia menjarakkan dirinya dari lelaki itu. Eryssa duduk rapat ke tepi dinding bas.

Tapi, lelaki kurang ajar itu tak faham bahasa. Sebaliknya dia semakin menghimpit Eryssa. Kali ini sebelah tangannya pula meraba-raba paha Eryssa dengan berani. Eryssa tak tahu nak buat apa. Dia panik.

Mahu menjerit meminta tolong tapi peti suaranya bagaikan tersumbat. Eryssa tahu dia tak sepatutnya membiarkan lelaki itu bertindak kurang ajar kepadanya. Lantas dengan berani, dia menolak tangan lelaki itu.

Lelaki itu diam tak bertindak apa-apa. Agak lama juga dia begitu. Eryssa berasa lega kerana akhirnya lelaki itu faham bahasa. Namun, keadaan itu tak lama. Kali ini Eryssa terasa kain sekolahnya diselak dengan kaki. Lelaki ini memang kurang ajar!

Dengan geram, Eryssa memijak kasutnya. Akibat tindakan itu, lelaki berkenaan menjadi semakin berani. Dia menyelitkan tangannya di belakang tubuh Eryssa dan mula meraba-raba.

“Hoi! Kau buat apa hah?” Tiba-tiba satu suara menyergah dari belakang.

Serentak dengan itu, satu tunjalan hinggap di kepala lelaki keparat itu. Apabila lelaki itu bangun dan mahu bertindak balas, Zeek menunjukkan bet besbol di tangannya ke muka lelaki itu.

“Kau nak kena ni?” Zeek mengugut.

Lelaki keparat itu terpisat-pisat. Dia terus berdiri dan menekan loceng. Apabila bas berhenti, dia segera turun.

Penumpang-penumpang yang duduk di bahagian depan langsung tak tahu apa yang berlaku di belakang. Mereka hanya mendengar Zeek memarahi lelaki itu. Tapi, mereka malas mahu ambil tahu kerana menganggap perkara itu sebagai masalah budak-budak sekolah.

Bas kembali bergerak perlahan. Eryssa masih tergamam dengan kejadian yang baru berlaku kepada dirinya. Air matanya mengalir perlahan. Dia berasa terhina kerana diperlakukan begitu oleh lelaki yang tak berperikemanusiaan itu. Jika Zeek tak ada sebentar tadi, entah apa pula yang jadi kepada dirinya.

“Lain kali menjerit minta tolong. Bukan diam saja!” Zeek yang duduk di belakangnya, menghulurkan sehelai sapu tangan kepada Eryssa.

Teragak-agak Eryssa mahu menyambutnya. Air mata yang mengalir deras di pipi segera dikeringkan.

Akhirnya bas berhenti di perhentian terakhir. Hanya tinggal tiga orang penumpang termasuk dia dan Zeek yang turun di situ. Kadang-kadang hanya Eryssa seorang. Apabila memikirkan perkara itu, Eryssa jadi semakin takut nak pulang dari sekolah selepas ini.

Jika diadukan perkara itu kepada mama, tentu mama membebel dan dia dah ada sebab kukuh memaksanya tinggal di sekolah berasrama seperti kakak dan abangnya. Kalaulah papa ada ketika itu, tentu dia tak susah naik bas setiap hari ke sekolah.

Sejak kebelakangan ini, papa sibuk menguruskan ladang strawberi di Blue Valley sehingga tak ada masa nak hantar dan jemput dia dari sekolah seperti selalu.

Sewaktu Eryssa berjalan pulang ke rumah petang itu, dia perasan yang Zeek mengekorinya dari belakang. Dia tahu arah rumah Zeek bertentangan dengan arah rumahnya. Ketika itu Eryssa dapat merasakan yang Zeek bukannya seburuk yang disangka.

Di sebalik sikap nakal dan mulutnya yang celopar itu, pelajar itu memiliki hati yang murni. Sewaktu membuka pagar rumah, ingin sekali Eryssa berpaling dan mengucapkan terima kasih kepada Zeek. Tapi sebaik saja dia menoleh ke belakang, bayang pelajar itu tak kelihatan di mana-mana.

Sapu tangan yang dipinjamkan oleh Zeek masih tergenggam di tangannya. Esok, dia akan pulangkannya. Dia juga perlu mengucapkan terima kasih kepada pelajar itu kerana telah menyelamatkan dirinya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin