Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
73,051
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 14

 KelasTahanan

Di sekolah Tinggi Muar pencapaian akademik dan kokurikulum amat ditekankan. Kebiasaannya pelajar-pelajar yang cenderung akademik tidak begitu berminat dengan aktiviti kokurikulum seperti sukan dan badan beruniform yang lain. Aku antara pelajar yang kurang cenderung bersukan walaupun ada sedikit bakat bermain sepaktakraw. Tekong adalah posisi kegemaran aku.

Sebagai pelajar contoh ketika  bersekolah rendah memang aku tidak ada sebarang masalah disiplin. Malahan aku kerap kali ditugaskan oleh cikgu untuk mengawasi disiplin pelajar lain. Tetapi aku tersentak apabila buat pertama kali aku dikenakan hukuman terpaksa menghadiri kelas tahanan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil ‘ Detention Class’ atau singkatnya DC.

DC ialah  satu kelas yang diadakan pada hari Sabtu untuk pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Sebelum aku ‘terpilih’ untuk ke Kelas Tahanan  aku kerap kali juga dimomokkan oleh pelajar-pelajar yang pernah kena Kelas Tahanan . Mengikut cerita mereka pelajar-pelajar yang kena Kelas Tahanan  akan diarahkan mencuci tandas sekolah atau sebarang kerja yang difikirkan sesuai oleh guru bertugas pada  hari itu.Aku tidak ada sebarang masalah untuk melakukan kerja sebegitu tetapi aku amat kecewa kerana pelajar yang penah kena Kelas Tahanan  telah dianggap mempunyai rekod yang tercalar di dalam laporan tamat sekolah nanti.

Punca aku kena Kelas Tahanan  kerana aku tidak hadir ke latihan sukan peringkat rumah yang diadakan oleh sekolah. Oleh kerana latihan sukan setiap pasukan diadakan pada sebelah pagi, maka kami pelajar sessi petang tepaksa datang awal pagi untuk latihan sukan dan datang pula ke sekolah untuk sessi persekolahan yang bermula pada pukul 1 petang. Bagi pelajar yang tinggal berdekatan mereka mudah untuk balik ke rumah menyalin baju  selepas sessi latihan rumah sukan dan datang semula ke sekolah sebelum pukul 1. Begitu juga bagi pelajar-pelajar yang tinggal di asrama, mereka tidak ada masalah.

Tetapi aku yang tinggal di estet kalau nak hadir ke latihan sukan pada sebelah pagi terpaksa naik bas  seawal pukul 6 pagi untuk dan akan sampai semula ke rumah hampir pukul 8 malam.Meninggalkan rumah hampir 14 jam. Tambahan pula aku sendiri memang kurang berminat dengan sebarang aktiviti sukan. Lebih baik aku penuhkan masa pagi membantu emak dari bersukan  di sekolah.Namun begitu, kadang-kadang aku pergi juga ke sekolah pada sebelah pagi dan balik ke rumah malam. Tengahari terpaksa menumpang mandi di masjid Jamek Muar yang terletak tidak berapa jauh dari sekolah.

Pada hari aku sepatutnya hadir ke Kelas Tahanan aku datang tepat waktu dengan debaran. Tak tahu lagi guru manakah yang bertugas pada hari itu. Bersama-sama dengan aku ada beberapa orang lagi pelajar yang juga dikenakan Kelas Tahanan  atas pelbagai kesalahan disiplin. Aku dah lupa cikgu manakah yang bertugas tetapi apa yang aku ingat kami duduk di dalam satu bilik darjah dan diawasi oleh seorang pngawas bertugas. Kami diminta membuat kerja sendiri dan tidak pula diarahkan melakukan sebarang kerja lain. Mungkin guru dan pengawas bertugas melihat muka kami yang hadir pada hari itu semuanya muka baik-baik dan kami semuanya kelihatan seperti ‘nerds’ atau bahasa sekarang dipanggil sebagai budak skema.

Kira-kira jam 12 tengahari kami ‘dibebaskan’dari tahanan dan bebas untuk balik. Itulah sekali dalam hidupku pengalaman dikenakan tindakan tata tertib samada ketika belajar mahupun ketika sudah bertugas. Aku tidak pasti samada amalan kelas tahanan masih lagi ujud disekolah ataupun tidak sekarang ini. Pengalaman dikenakan tindakan tata tertib memberi pengajaran yang amat bermakna buat diriku dan diingati sehingga sekarang walaupun ia berlaku lebih 40 tahun yang lepas.

Semasa bersekolah dari tingkatan satu hingga ke tingkatan 3 di Sekolah Tinggi Muar aku tidak ada ramai kawan rapat. Sifat aku yang agak pendiam dan rasa rendah diri membataskan pergaulan aku. Tidak ramai pelajar sekelas dengan aku yang berlatarbelakang anak estet.Walaupun rata-rata kami dalam Tingkatan 1 Rancangan Khas datang dari keluarga kurang berada tetapi aku rasanya antara yang paling pendiam.

Walaupun aku pendiam tetapi oleh kerana prestasi akademik aku agak memuaskan, ada juga antara rakan-rakan yang ingin berkawan dengan aku kerana mungkin mereka ingin belajar sesuatu dari aku.

Antara rakan baik aku yang masih aku ingat sampai sekarang ialah Razali Hussin, budak Kesang. Ayah Razali berkerja sebagai guru dan pernah mengajar abah semasa abah bersekolah di Kesang. Abah berhenti bersekolah ketika darjah 2. Aku tak pasti kenapa abah berhenti sekolah, berkemungkinan besar disebabkan kesempitan hidup.

Aku dan Razali mula berkawan rapat ketika kami berada di dalam tingkatan 3 dan akan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau sekarang telah ditukar  menjadi Penilaian Menengah Rendah. Pada ketika itu pelajar yang gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran tidak layak naik keTingkatan 4.

Razali pencapaian akademiknya agak sederhana.Dia ingin belajar dengan aku terutamanya subjek Matematik yang dia lemah. Aku bersetuju untuk menjadi gurunya. Setiap hari dia datang kesekolah lebih awal dari biasa dan kami menggunakan ruangan koridor PejabatTanah Muar sebagai tempat untuk kami berbincang tentang pelajaran.

Oleh kerana hampir setiap hari aku berbincang dengan dia hubungan aku dan Razali semakin rapat. Razali memaklumkan kepada aku dia berminat dengan ilmu mempertahankan diri terutamanya Kung Fu. Dia memberitahu aku di sebelah rumahnya ada sekumpulan anak Cina yang memang belajar Kung Fu. Dia mengintai anak Cina yang belajar Kung Fu untuk mengetahui rahsia mereka. Apa juga yang dipelajari oleh pelajar-pelajar Kung Fu itu dia sampaikan kepada aku. Aku dan Razali menjadikan koridor Pejabat Tanah Muar untuk kami mempraktikkan ilmu Kung Fu yang dikutip oleh Razali melalui intaiannya. Walaupun kami berlatih berulang-ulang kali pun aku tetap tidak pandai berkung fu.

Razali juga memperkenalkan aku dengan makanan mewah yang tidak pernah aku rasa sebelum ini. Oleh kerana ayah Razali bertugas sebagai guru, satu jawatan yang dianggap hebat pada tahun 70an dulu, dia didedahkan dengan sedikit kemewahan berbanding dengan aku yang tak pernah merasa semua itu. Razali memberitahu kepada aku yang ada satu tempat makan yang eksklusif di Bandar Muar pada ketika itu, Kim Leng. Aku tahu restoran  Kim Leng tapi aku tak pernah masuk ke restoran itu kerana harganya yang agak mahal. Pada ketika itu tidak banyak tempat yang menyediakan makanan eksklusif di Muar.Kim Lenglah antara tempat makan yang biasa dikunjungi pasangan bercinta dan si lelaki ingin memberi gambaran positif kepada wanita tentang kedudukan kewangannya.

Apabila Razali kerap kali bercerita pengalamannya dibawa keluarga makan di Kim Leng aku rasa ingin mencuba makan di Kim Leng tetapi malangnya harga makanan di situ di luar kemampuan kami. Razali mencadangkan supaya aku dan dia sama-sama menyimpan duit saku masing-masing untuk beberapa hari. Bila jumlah yang dikumpul mencukupi barulah kami ke Kim Leng.

Itulah pengalaman kali pertama aku masuk ke Kim Leng. Kami diberi menu untuk memilih makanan. Sebelum ini akut ak pernah pula tahu yang restoran atau kedai makan menyediakan menu untuk kami pilih. Selepas melihat harga pada menu yang dipaparkan dan mengambil kira jumlah wang kami berdua yang telah dicampurkan cukup untuk membeli satu ‘banana split’. Kali pertama aku makan ‘banana split’ pada usia 15 tahun. Aku dan Razali berkongsi makan banana split sebab duit kami hanya cukup untuk satu banana split aja. Kami makan berkongsi, kalah orang yang sedang bercinta.

Jarak masa telah memisahkan kami tetapi terima kasih kepada Facebook yang telah menemukan kami semula. Razali sekarang ini dikatakan telah menjadi ‘bomoh’ dan boleh mengubat orang sakit.Cita-cita dia nak menjadi ‘KungFu Master’ nampaknya telah berkubur. Sehingga sekarang kami masih berhubung antara satu sama lain.

 

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.