Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,323
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

FISH berasa bangga dengan dirinya sendiri. Dia berjaya sampai di pejabat dua hari berturut-turut dengan lebih awal. Tetapi apa yang lebih menggembirakan lagi, tidak sekali pun Joshua memberi komen-komen yang tidak membina seperti yang selalu dilakukan lelaki itu. Mungkin majikannya itu tidak memuji, tetapi Fish tidak peduli tentang pujian. Hakikat yang dia tidak dikeji itu lebih indah berbanding ribuan pujian.

Jumaat itu adalah hari yang baik buat Fish. Sebaik sahaja dia bangun untuk solat subuh, Shaina sudah bangun dan telah pun mengejutkan adik-adiknya yang lain. Oleh kerana itu, Fish berjaya menyiapkan sarapan yang lebih baik berbanding teh dan roti bakar yang selalu dihidang untuk anak-anaknya. 

Keempat-empat mereka juga sampai di sekolah tepat pada waktunya, membolehkan Fish bertolak ke tempat kerja dengan lebih cepat dan tidak terperangkap dalam kesesakan jalan dan tiba lebih awal di kiosk kopi kegemaran Joshua. Dia juga agak bertuah kerana pelayan di belakang kaunter cam muka Fish dan sudah pun menyediakan Americano Joshua dan memanaskan salmon quiche lelaki itu sebaik sahaja giliran Fish sampai.

Angin Joshua agak tidak baik sebaik sahaja lelaki itu sampai di pejabat pagi itu. Ia sepatutnya sesuatu yang membimbangkan, tetapi angin yang tidak baik itu juga menyebabkan Joshua tidak mempedulikan Fish ketika gadis itu muncul untuk mengemas mejanya, sekali gus membawa kepada ketiadaan komen-komen tentang wajahnya yang nampak kusam atau mata pandanya atau bajunya yang berkedut atau kasutnya yang tidak sesuai.

“You dah siapkan the payment outline for freelancers yang I minta?” soal Joshua tanpa memandang Fish.

“Dah nak siap dah,” jawab Fish.

“Bila boleh dapat?” soal Joshua.

“Sebelum meeting,” jawab Fish dengan yakin.

Dia cuma perlu mengemaskini garis kasar panduan pembayaran itu, menambah beberapa maklumat di nota kaki sebelum menghantarnya kepada Joshua.

“Soft copy by 2.00 pm. Hard copy by 2.15.” Joshua memberi arahan dengan tegas. 

Tidak ada nada marah. Hanya nada angin tidak baik yang pastinya tidak ada kaitan dengan Fish. 

Mungkin masalah peribadi, getus Fish.

“Noted,” balas Fish sebelum melangkah keluar.

Semuanya begitu lancar. Begitu indah. Tetapi bak kata mat salih, ‘nothing lasts forever’. 

Situasi itu berlaku ketika Fish sedang menikmati makan tengah harinya yang berupa Maggi cawan dan air kosong di pantri. Dia sudah biasa makan sendirian di pantri untuk mengurangkan perbelanjaan. Dia baik dengan rakan-rakan sepejabatnya sekalipun tidak rapat, cuma dia tidak punya masa untuk diluang pergi membeli-belah atau minum di rangkaian kopi mewah seperti yang lain. 

Sedang dia menyuap mi segera yang masih panas, telefon pintar berbunyi. Perkataan ‘Sekolah Nana/Aril’ muncul di skrin. Nama yang tertera itu bermaksud panggilan itu datang dari pejabat pengetua.

“Assalamualaikum,” ucap Fish, cuba melembutkan suaranya. Memastikan tidak ada nada cemas. 

“Waalaikumussalam. Ini Puan Naila Farafisha ke? Penjaga kepada adik-beradik Shairil Azim?” soal suara di hujung talian.

Kenapa dia sebut ‘penjaga kepada adik-beradik Shairil Azim’ dan bukan ‘penjaga Shairil Azim’? Fish mula berasa curiga yang panggilan itu ada kaitan dengan ketiga-tiga beradik itu.

“Ya, saya. Siapa ni?” soal Fish, pura-pura tidak tahu apa-apa.

“Saya Suraya, kerani sekolah. Saya telefon bagi pihak puan pengetua. Anak-anak puan ada kat sini. Tadi, anak puan serang pelajar lain. Jadi sekarang mereka semua ada kat pejabat pentadbiran. Puan pengetua nak berbincang dengan puan,” jelas wanita di hujung talian.

“Siapa yang serang? Tak mungkin Shairil.”

Tidak mungkin juga Shaina kerana sekalipun gadis remaja yang seorang itu sering bergaduh dengan adiknya, dia bukan gadis yang kasar. 

“Adiknya, Shaila.”

“Hah? Macam mana pulak boleh… Shaila tak sekolah kat… kenapa dia nak… what?” Fish pening kepala.

“Lebih baik puan datang ke sini untuk bincang dengan puan pengetua. Saya nak cakap pun, saya tak pasti apa yang dah berlaku. Bila puan boleh sampai ya?” soal Suraya.

Fish melirik jam di dinding pantri.

“Dalam 15 minit kalau tak jammed,” ujar Fish. 

Kalau ada kesesakan jalan pun, Fish akan pastikan dia sampai di sana dalam masa 15 minit. Tidak kisahlah sama ada dia perlu melanggar setiap lampu isyarat yang ada. Kalau dia perlu langgar kereta orang pun dia sanggup.

“Okey, nanti saya beritahu puan pengetua.”

Usai berbicara di telefon dengan Suraya, Fish segera menghantar mesej kepada Haidir.


Tak payah dtg jemput budak2. Aku on d’way ke sana.


Fish tidak menunggu jawapan daripada Haidir. Selepas menghantar dokumen kerja yang diminta Joshua melalui emel, Fish tinggalkan Maggi yang tidak sempat dijamah, lantas segera keluar dari pejabat.



FISH tiba di sekolah pada jam 1.30 tengah hari. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam pejabat pengurusan, dia mendapati ketiga-tiga anak tanggungannya sedang duduk di atas sofa di luar bilik pengetua. Faiq sedang membaca sebuah buku cerita, Shaina sedang termenung sambil menguis-nguis bahagian sofa yang terkoyak, manakala Shaila pula tunduk merenung lantai sambil kakinya digoyang-goyangkan.

“Mana Aril?” soal Fish.

“Mama!” Shaina dan Faiq segera bangkit lantas mendekati Fish. 

Hanya Shaila yang masih duduk di sofa. Wajahnya sugul dan ada rasa bersalah mewarnai ekspresinya.

“Mana Aril?” soal Fish sekali lagi.

“Shairil ada kat kantin, puan. Cikgu kelas dia temankan,” jelas wanita yang sedang duduk di meja yang berdepan dengan sofa itu. Suraya, si kerani sekolah.

“Oh, okey. Terima kasih. Saya kena bercakap dengan pengetua ke?” soal Fish, canggung.

Suraya menghadiahkan sebuah senyuman sebelum bangun untuk mengiringi Fish ke bilik pengetua.

“Budak-budak tu biar saya tengok-tengokkan dulu,” ujar Suraya dengan lembut sebelum membuka pintu.

Fish mengangguk, lantas segera melangkah ke dalam. 

Pengetua sekolah yang dimaksudkan merupakan seorang wanita pertengahan usia. Wajahnya mengingatkan Fish pada pelakon Rubiah Suparman. Nampak tegas tetapi ramah dalam masa yang sama. Nama Puan Rozita Hamid tertera pada plak yang diletakkan di hadapannya. Wanita itu bangkit lantas menghulur tangan untuk bersalam.

“Puan Naila, kan?” 

“Cik Naila,” balas Fish dengan senyuman.

“Maaf. Terlupa pulak saya. Cik Naila. Duduklah dulu.”

Fish melakukan seperti yang diminta. Agak lama mereka duduk bertentang mata. Puan Rozita masih mengekalkan senyuman sambil tangan kanannya meramas tangan kiri. Fish cuba menahan diri daripada menggoyangkan kaki kanan seperti yang selalu dilakukan apabila dia tidak selesa. 

“Dah berapa lama Cik Naila jaga budak-budak ni ya, kalau saya tak salah nak bertanya?” soal Puan Rozita setelah lama berdiam diri.

“Dah lebih dua tahun. Nak masuk tahun yang ketiga.”

“Saya rasa, bapa Shaina pernah jelaskan pada saya dulu. Tapi mungkin saya terlupa. Macam mana Cik Naila tiba-tiba boleh jadi penjaga budak-budak ni?”

Fish menarik nafas panjang. Sudah lama dia tidak buka cerita tentang hubungan mereka kepada orang lain.

“Akma, arwah ibu kepada budak-budak ni dulu kakak angkat saya, tapi dia dan suaminya, bapak budak-budak tu, dah bercerai. Shariman pindah ke Jepun tak lama lepas tu. Bila dia meninggal dalam kemalangan yang melibatkan seluruh ahli keluarganya, suaminya minta saya tolong jadi penjaga kepada budak-budak tu sebab semuanya masih bersekolah, dan susah kalau dia orang nak menyesuaikan diri duduk luar negara dalam keadaan masa tu. Jadi saya bersetuju untuk jaga dia orang sementara Shariman pulak akan hantar duit setiap bulan untuk cover expenses sekolah.”

Banyak maklumat lain yang Naila tidak sampaikan kepada Puan Rozita, termasuk hakikat bahawa Shariman tidak mampu menjaga anak-anaknya kerana mereka tidak pernah rapat. Ahli keluarga Shariman yang lain juga menolak kerana punya tanggungan sendiri. 

“Budak-budak tu ada cakap dengan saya, dia orang suka tinggal dengan Cik Naila,” ujar Puan Rozita sambil mengangguk-angguk. Kemudian, dia mengeluh.

Fish berkerut dahi, tidak tahu arah tuju perbualan itu.

“Apa yang dah berlaku sebenarnya, puan?” soal Fish.

Lalu, Puan Rozita menjelaskan semuanya. Shaila muncul bersama Faiq di sekolah itu pada jam 12.30 tengah hari, usai waktu persekolahan di sekolah rendah berhampiran. Menurut Puan Ng, guru matematik yang mengajar di kelas Shairil ketika itu, tidak sampai beberapa saat dia melangkah keluar dari kelas, dia nampak Shaila masuk ke dalam kelas itu, lantas meneriakkan nama Khalif dan bertanya siapa empunya nama itu.

Sebaik sahaja Khalif bangun, Puan Ng kata Shaila terus menerkam dan menarik rambut remaja lelaki itu. Para pelajar lain pula terpempan melihat kejadian itu, jadi tidak ada siapa yang cuba meleraikan atau membantu apabila Shaila membelasah Khalif. Kalau Puan Ng tidak masuk kembali ke dalam kelas untuk meleraikan pergaduhan itu, sudah pasti Khalif cedera dengan lebih teruk.

Menurut Puan Rozita lagi, Faiq juga berada di tempat kejadian. Tetapi mujur si anak yang cembeng itu tidak melakukan apa-apa, kecuali menangis di luar kelas. Shairil pula hanya ternganga, terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh adik perempuannya.

“Shaila ni memang macam tu ke? Atau dia ada masalah lain? Maksud saya…”

Fish menggeleng sebelum sempat Puan Rozita menyambung ayatnya.

“Dia budak yang normal, puan. Cuma dia dan kakaknya memang sangat protective terhadap Shairil, lagi-lagi sejak Shairil tak boleh berjalan. Saya tak tahu mana dia dapat tahu hal ni, tapi sebelum ni ada pelajar kelas Shairil yang tuduh Khalif yang puan sebut tadi tu ada kaitan dengan kemalangan Shairil sebelum ni,” ujar Fish.

Puan Rozita mengangguk-angguk. Dia sedia maklum tentang kemalangan yang berlaku di luar kantin itu. 

“Sebelum ni, memang saya ada dapat surat layang daripada dua tiga orang pelajar yang kata Shairil tak jatuh sendiri. Tapi saya tak ambil tindakan sebab tak ada siapa nak come forward dan jadi saksi. Susah bila kita nak siasat benda ni bila orang yang melapor tak nak tunjukkan diri. Saya cuma risau, Cik Naila. Saya bukan nak takutkan cik, tapi kita tak nak hal ni jadi isu lain. Keluarganya nak datang bercakap dengan saya tadi, tapi saya kata saya nak bincang dulu dengan pihak Cik Naila dan kenal pasti isu sebenar.” Puan Rozita mengeluh lagi.

“Sebenarnya, sebelum ni saya sendiri memang nak panggil Khalif dan siasat hal kemalangan Shairil tu betul-betul, sebab kalau memang betul Khalif salah, ni dah jadi kes buli dan pihak sekolah ada cara sendiri untuk uruskan. Tapi bila Shaila datang dan buat apa yang dia dah buat tu, benda ni jadi lebih rumit. Cik faham maksud saya, kan?”

Fish mengangguk. Sudah tentu dia faham. Sebaik sahaja Shaila buat keputusan untuk menyelesaikan isu itu dengan tangannya sendiri, dia meletakkan Fish dan pihak sekolah di kedudukan yang sukar. Kini, Khalif boleh mengatakan dirinya mangsa buli dan bukan sebaliknya. Sekiranya ibu bapa Khalif tidak mahu berkompromi, mereka boleh buat keputusan yang akan menyusahkan Fish.

Memburukkan lagi keadaan, mereka boleh buat laporan pada pihak polis atau jabatan kebajikan masyarakat sekiranya mereka dapat tahu Fish bukan saudara kandung dan hanya penjaga tidak bertauliah yang tidak punya pengesahan mahkamah. Fish tidak mahu tahu apa yang akan berlaku sekiranya itu jalan yang mereka pilih.

Ada panggilan masuk di telefon pintar Fish. Tetapi dia tidak punya keinginan untuk memeriksanya.

“Apa boleh saya buat sekarang, puan?” soal Fish.

“Saya boleh tolong set perjumpaan Cik Naila dengan keluarga Khalif. Kita boleh bincang hal ni dengan baik,” ujar Puan Rozita.

“Boleh saya tahu nama ibu dan bapa Khalif?” soal Fish.

Puan Rozita menyebut namanya dan sebaik sahaja perkataan dato’ dan datin meniti bibirnya, Fish berasa pening kepala. Tetapi dia tetap mengangguk, bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu.

Telefon pintar Fish bergetar buat kali kedua. Dan ketiga. Kemudian ia bergetar lagi, tetapi lebih pendek dan berkali-kali, tanda ada beberapa buah mesej baru masuk.

“Bila saya boleh jumpa keluarga Khalif?” soal Fish.

“Memandangkan hari ni hari Jumaat, mungkin Isnin ni kalau Cik Naila tak kisah?”

Isnin. Dia masih punya dua hari lagi untuk memikirkan strategi. Fish bersetuju.



“MAMA…”

“No, mama tak nak cakap apa-apa. Tak seorang pun boleh bersuara,” ujar Fish sebaik sahaja melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu.

Keempat-empat anaknya yang sudah sedia mengambil tempat masing-masing di tempat duduk penumpang lantas mendiamkan diri.

Perjalanan pulang ke rumah agak senyap. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang berani bersuara. Tetapi belum pun mereka sampai di kawasan perumahan, Fish menghentikan kereta di tepi jalan. Matanya hanya merenung ke arah jalan raya di hadapan.

“Mama tak faham. Kenapa jadi macam ni? Kenapa?” Soalan itu tidak ditujukan kepada sesiapa.

Shaina yang mula mengalirkan air matanya terlebih dahulu.

“Ni semua salah Nana. Nana yang beritahu Lala pasal Khalif walaupun mama tak bagi,” ujar Shaina.

“Bukan salah Kak Nana, ma. Kita yang tanya dia. Kak Nana tak suruh kita pukul Khalif pun. Kita yang buat sendiri,” cantas Shaila.

“Ni semua salah saya sebab tak defend diri sendiri,” ujar Shairil pula.

“Oh, jadi sekarang semua orang tiba-tiba nak mengaku salah masing-masing? Selama ni, semua orang macam anjing dan kucing, hari-hari nak bergaduh. Tapi tiba-tiba sekarang semuanya nak shoulder the blame? Faiq? Awak pun nak nak libatkan diri jugak?”

Faiq mulai cembeng. Tiba-tiba Fish berasa bersalah kerana melibatkan si kecil itu dalam hal yang telah berlaku.

“Mama, kita tau kita buat salah,” ujar Shaina.

“Buat salah? Nana, ni bukan pasal buat salah atau tak. Ya, awak buat salah. Lala pun sama. Mama dah kata jangan buat keputusan melulu. Kau orang buat jugak. Benda ni lebih rumit daripada sekadar awak pergi pukul orang tahu tak? Kalau mak bapak Khalif laporkan hal ni, mama boleh kehilangan kau orang semua. 

Nak ke jadi macam tu? Kalau kau orang dah tak suka duduk dengan mama, cakap. Mama boleh call abah kau orang. But don’t do this to me. Jangan buat macam ni pada keluarga kita, pada Aril. Pada Faiq,” ujar Fish sambil mengesat air mata yang mengalir di pipi dengan kasar.

Shaina dan Shaila mula menangis teresak-esak.

“Nana dan Lala buat macam tu untuk Aril. Kita orang tak terfikir pun yang…”

“Tak terfikir? Ya, memang tak terfikir. Kau orang ingat mama tak pernah fikir nak buat benda sesuka hati mama? Tak pernah ada terdetik nak tinggalkan kau orang kat rumah bergaduh sesama sendiri dan pergi minum kopi kat McD tanpa perlu fikir pasal kau orang semua? 

That’s all I wanted. Just a cup of coffee on my own tanpa perlu dengar Nana terjerit-jerit, tanpa perlu betulkan sofa yang Lala alihkan, tak perlu nak pujuk Faiq setiap kali dia menangis, tak perlu kutip sampah celah kerusi roda Aril. Kita semua ada benda yang kita nak buat, tapi kita tak buat sebab kita fikir pasal orang lain. Kita fikir pasal consequences!” bentak Fish.

Banyak yang mahu dia perkatakan kepada anak-anaknya. Tetapi Fish letih. Dia segera menghidupkan enjin kereta lantas meneruskan perjalanan. Tetapi semakin lama, semakin kuat rasa bersalah dalam hatinya kerana memarahi mereka. Dia tidak sepatutnya membentak mereka atau mengatakan apa yang telah diluahkannya tadi. 

“Dahlah tu. Jangan menangis lagi. Jom kita pergi beli KFC kejap,” ujar Fish, lantas membuat pusingan U menuju ke arah restoran KFC berdekatan.



SEBAIK sahaja kesemua anaknya masuk ke dalam rumah bersama dua bungkus ayam KFC, Fish kembali ke kereta. Telefon pintar dikeluarkan. Ada mesej daripada Haidir yang bertanya apa yang telah berlaku. Dia abaikan mesej itu. Fish tidak punya masa untuk menjelaskan apa-apa .

Darahnya berderau apabila melihat ada lima panggilan tidak berjawab daripada Joshua dan satu mesej daripada MAXIS yang mengatakan dia ada satu pesanan suara. Fish menelan air liur. Baru dia teringat pesanan Joshua untuk menghantar salinan cetak panduan sebelum jam 2.00. Dalam kesibukannya cuba menguruskan masalah anak-anak, dia terlupa akan tugasnya. Dia hanya teringat untuk menghantarnya melalui emel.

Sebenarnya, salinan yang diminta sudah pun dicetak dan dikepilkan. Fish sudah pun letakkan di atas mejanya. Dia cuma terlupa untuk meninggalkannya di atas meja Joshua sebelum dia keluar.

Lantas dia mendail nombor yang tertera untuk mendengar pesanan suara itu.

“You’ve got one voice message,” ujar si operator automatik. 

Suara Joshua yang muncul, tegas dan keras.

“Miss Fara. When you have finished playing hooky, please come back to the office and get your stuff. No need to come back on Monday.”

Serentak itu, air mata Fish jatuh berderai. Letih. Dia terlalu letih untuk menghadapi semuanya.










Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.