Home Alternatif Komedi/Romantik Komedi Precious Day
Precious Day
ae0907
4/5/2022 21:26:17
27,164
Kategori: Alternatif
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Keheningan pagi hari pertama sekolah setelah cuti dua hari menyelimuti seisi kelas 4 Utarid. Hanya kedengaran suara wanita berumur hampir 40 an yang setia kehulur-hilir sambil tangan kanannya mencatit sesuatu di papan putih menghadap lebih kurang 25 orang pelajar.

Pembelajaran hari ini adalah tentang pengupasan antologi buku KOMSAS dan itu adalah topik yang sangat tidak sukai oleh kebanyakan mereka. Bahkan ada yang hampir tertidur dek kebosanan yang meliputi hening pagi.

"Okey, siapa yang nak volunteer untuk baca isi rangkap puisi untuk 'Aku Mahu Membaca'?"

Pertanyaan Cikgu Zuliana membuatkan seluruh isi kelas terdiam bahkan yang tertidur itu kembali segar. Baik lelaki mahupun perempuan. Dan, ada yang berpura-pura mengfokuskan pandangan pada buku dan tidak terkecuali mereka yang berpura-pura sibuk.

Namun, di sebalik kesibukan para pelajar dalam mencari cara supaya nama mereka tidak dipanggil, ada seseorang yang dengan rela hati membangkitkan tubuhnya untuk berdiri.

"Saya, cikgu! Dengan senang hati!"

Cikgu Zuliana tersenyum. Sudah mengagak pelajar itulah yang akan menawarkan diri terlebih dahulu berbanding pelajar yang lain.

"Bagus, Bella! Ini yang cikgu mahu. Baiklah, cikgu nak awak baca ikut nada ya!"

Seisi kelas kini menatap ke arah pelajar perempuan yang terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian dia mengukirkan senyuman manis seraya berkata dengan yakin.

"Tak apa cikgu! Saya akan cuba yang terbaik sehingga cikgu kagum dan hantar saya buat persembahan peringkat kebangsaan!"

Cikgu Zuliana terkekeh. "Iyalah! Ha, kamu semua! Jadi lah macam Bella. Selalu volunteer sekaligus meringankan kegelisahan kamu."

Seisi kelas tertawa kerana memang benar apa yang dikatakan oleh Cikgu Zuliana.

****

"Wah, hebatnya cik Bella kita baca puisi! Sangat menyentuh hati ini!"

Bella dan rakan-rakannya kini berada di meja kantin sambil menikmati waktu rehat. Memandangkan kebanyakan mereka membawa bekal, jadi berkongsilah mereka daripada beratur membeli. Hal ini sudah menjadi rutin mereka sejak tingkatan satu lagi.

"Ish! Saya ingatkan nada macam pantun je!" Bella mendengus setelah selesai mengunyah mi goreng yang ditawar oleh Imani.

"Serius Adam dan geng dia ketawa kuat gila tadi," Kaira terkekeh sambil menyisip air kotak Milo yang dibawanya dari rumah.

"Dieorang memang," Mayra membenarkan setelah selesai menutup botol minuman yang diteguknya tadi.

"Tapi tak apa, Bell. Awak dah cuba, lagipun segar mata kami." Safiya menepuk bahu Bella perlahan membuatkan Bella  menghela nafas pasrah.

"By the way, mana Aira ya? Dia kata nak ambik sudu dia yang tertinggal tadi dekat kelas." tanya Dhiya.

"Bersangka baik. Mungkin dia tengah cakap masa depan dengan Adam," ujaran Amirah membuatkan mereka tersedak.

"Haish!" Imani mencebik. "Kalau betullah, saya memang sokong. Dieorang serasi,"

Damia mengangguk mengiyakan. "Sedondon sangat! Sorang heboh, sorang pendiam and ayu,"

"Serius sepadan!" Hayati tertawa mengiyakan.

Setelah itu mereka kembali menikmati waktu rehat mereka dan Bella meminta diri dulu untuk ke tandas yang berada di bangunan kelas.

"Bella!"

Gadis bernama Bella itu menghentikan langkahnya tatkala mendengar namanya dipanggil dengan suara yang tidak asing baginya. Dia kini dalam perjalanan ke tandas setelah sesi makan bersama rakan sekelas yang lain di kantin.

"Oh, Aira! Kenapa tak pergi kantin tadi?"

Aira hanya menggaru kepalanya dengan wajah yang agak memelas. "Hehe.. Saya kenyang lagi,"

Bella memincingkan matanya merasakan bahawa ada yang tidak beres dari pertuturan Aira.

"Oh, ya! Tadi Darmin cari awak,"

"Darmin?" Bella mengerutkan dahinya. "Untuk apa dia cari saya?"

Aira terkekeh sembari menepuk pelan bahu rakannya itu. "Macam biasa, hadiah kecil setiap hari. Tapi dia dah minta saya amik. Cantik tau! Saya letak dalam laci meja awak,"

Bella memejamkan matanya seketika seraya menghembus nafasnya pasrah membuatkan Aira tergelak kecil melihat keadaan rakannya itu.

"Awak ambil je la,"

"Seriously? Huwaa! Serius saya berkenan gila tengok hadiah tu! Thankyou babe!"

Darmin adalah pelajar kelas sebelah yang boleh dikatakan 'crush' kepada Bella. Hal ini terjadi semenjak mereka di tingkatan dua. Lelaki itu sempat ditegur Bella ketika mereka bertembung di pintu hadapan koperasi kerana terlupa mengikat tali kasutnya dengan benar dan hal itu membuatkannya berfikir Bella menyukainya.

Sehari dalam seminggu sehinggalah mereka kini telah menginjak tingkatan empat, lelaki itu akan memberikan hadiah kepada Bella tidak kira betapa mahalnya atau kualitinya barang tersebut. Mahu menolak, Bella tidak sanggup dan sebab itulah lelaki itu akan semakin suka memberikan hadiah kepadanya. Dan terkadang, ada barang yang sangat disukainya dan diterimanya dengan senang hati.

Bella menganggapnya sebagai hadiah biasa sahaja.

Kalau Darmin? Hanya Tuhan dan dirinya sahaja yang tahu.

"Tula, bagi harapan. Jangan dikecewakan lelaki sebegitu. Satu dalam sejuta," Pesan Aira dengan kekehan yang masih belum reda.

"Astaga, Aira. Saya tak bagi harapan lah. Saya hargailah. Lagipun hadiah yang dia bagi sayang tak ambil. Tak baik tak terima pemberian orang." Ujar Bella dengan nada yang hampir pasrah.

Aira mencebik. "Yalah tu,"

"Tapi, apa yang penting, kita kena cari lelaki kaya dulu," gurau Bella.

"Darmin ni dah masuk kategori mangsa,"

"Astaga, Bel! Jangan jadi mata duitan!"

Bella tergelak. Kata-katanya tadi hanyalah sebuah gurauan semata-mata dan tidak dianggap serius. Bagi sesiapa yang rapat dan mengenalinya, pasti mengetahui betapa 'heboh'nya dan 'aneh'nya gadis itu.

"Dahlah, saya nak pergi tandas," Kata Aira lalu berlalu pergi meninggalkan Bella yang masih dengan sisa tawanya.

"Hei, hei! Jangan ambil tandas nombor dua!"

"Terlambat!"

****

Seorang remaja dengan tubuh tinggi lampai keluar dari perut kereta sembari menggalas beg sandangnya. Matanya menatap lekat area persekolahan yang akan menjadi tempatnya belajar tidak lama lagi.

"Suka sekolah ni?" seorang wanita berumur antara 40 an menepuk pundak jejaka tersebut.

"Tak pasti lagi, ibu,"

Wanita itu mengangguk. "Jom, kita serah borang daftar dulu. Esok baru boleh masuk lepas ambil buku dan beli baju,"

Jejaka itu mengangguk dan mengikuti langkah sang ibu masuk ke dalam pejabat yang terletak di tingkat bawah bangunan sekolah. Setelah hampir beberapa minit berada di dalam pejabat, jejaka itu menjadi bosan dan meminta izin untuk mengelilingi sekolah barunya.

"Ibu, Wafiy nak tengok-tengokkan dulu area sekolah ni boleh?"

Si Ibu hanya mengangguk memberi izin. "Tapi jangan jauh sangat. Nanti sesat pula,"

"Dekat-dekat sini je, ibu,"

Si Ibu hanya terkekeh. "Yalah,"

Setelah itu, jejaka itu meneruskan langkahnya menuju ke persekitaran sekolah barunya. Sesekali dia menatap takjub pada dekorasi dan mural dinding bangunan itu.

"Weh, tengok! Besarnya ulat bulu ni!"

Wafiy terkejut bukan main. Suara nyaring itu membuatkan jejaka itu menggerakkan kepalanya ke sana sini untuk mencari pemilik suara itu. Dia yakin, suara itu bukanlah pontianak ataupun langsuir kerana masih siang hari. Kakinya kemudian melangkah ke arah sumber suara yang diyakini datang dari tempat itu. Dan ya, ada suara samar-samar kedengaran di situ.

"Yak, Bella! Awak ni senyap la sikit! Kita bukannya dekat hutan nak bising! Dah la dekat dengan pejabat!"

"Tengok, ni! Dia makan kayu! Ada ke ulat makan kayu! Kita kena panggil ayam suruh dia makan!"

"Astaga, Bella! Dia ada nama!"

"Nono!"

Wafiy mengernyit bingung. Dia melihat ada dua pelajar perempuan yang berjongkok membelakanginya. Tidak mahu menganggu, dia berbalik semula untuk meninggalkan tempat itu namun nasib seakan tidak menyebelahinya kerana sebaik sahaja dia berbalik, kakinya terpijak ranting pokok yang entah bila berada di situ. Maka, terhasilnya bunyi membuat dua gadis itu berpaling.

"Argh! Hantu!!!!'

Rasanya, Wafiy harus menjalani pembedahan telinga sekarang juga. Sungguh, jeritan dua gadis itu tidak ubah seperti pontianak dan langsuir yang sering dia tonton di televisyen.

"Hei! Hei! Cakap elok-elok!" Wafiy cuba menenangkan keadaan. Dia tidak mahu orang salah faham dengan kehadirannya di situ.

"Eh, hantu boleh cakap!" salah satu gadis itu melongo membuatkan rakannya di sebelah menepuk bahunya.

"Diam, Bella!"

Wafiy menggelengkan kepalanya melihat telatah dua gadis di hadapannya ini.

"Jangan salah faham. Aku Cuma tengok-tengokkan sekeliling dan terdengar suara kau berdua. Jadi, aku ingatkan kau berdua ada masalah sebab tu aku datang ke sini." Jelas Wafiy dengan wajah yang datar tanpa ekspresi membuatkan gadis itu mengangguk faham namun hanya seorang sahaja yang terlihat mengangguk, manakala seorang lagi menyipitkan matanya, memandang Wafiy ragu.

"Betulkah? Muka kau macam menakutkan! Entah-entah kau ni nak mencuri dalam sekolah kiteorang eh!"

Wafiy menghela nafas. Rasanya jiwanya akan menjadi gila jika berurusan dengan gadis ini lagi-lagi ini merupakan sekolah yang bakal didudukinya esok.

Ok, Fiy. Anggap je minah dua orang ni junior kau. Biasalah, budak-budak...

"Hei, Bella! Husnudzon!" rakannya di sebelah menegurnya.

Oke. Yang sorang lagi nampak matang berbanding minah di sebelah.

"Mak saya cakap, jangan percaya dengan orang luar!" ujar Bella bersungguh-sungguh.

"Kita kena laporkan dekat pengetua kalau tak...,"

Belum sempat Bella meneruskan kata-katanya, rakannya terlebih dahulu menutup mulutnya sembari tersenyum canggung.

"Maafkan kawan saya ni. Dia ni baik je sebenarnya cuma heboh sikit. Maafkan kami, hehe...,"

Wafiy hanya mengangguk dan menjeling ke arah gadis yang berburuk sangka padanya. Tanpa dia duga, gadis itu juga memberi sorotan tajam kepadanya membuatkannya mencebik.

"Budak pelik!" gumam Wafiy dalam hati lalu melangkah pergi. Tak terasa dia sudah lama berada di situ dan dia harus menuju ke arah pejabat kerana pasti ibunya sedang menunggu.

"Bella! Kenapa awak cakap macam tu kat dia? Mana tahu dia anak YB yang datang melawat sekolah ke? Atau cikgu amali?" soal Aira sebaik sahaja melepaskan tangannya dari membekap Bella.

"Saya behave je sebab sekarang ni banyak kes. Awak ingat tak kes yang pasal orang minyak dekat hujung taman perumahan Pari tu? Mungkin tu dia! Dia menjelma jadi manusia siang, lepastu malam jadi hitam minyak!" tanya Bella dengan nada yang serius membuatkan Aira terciut.

"Ish! Kita kena husnudzon! Dah, jom masuk kelas! Dah la subjek Sains lepas ni!"

Mereka berdua bergegas menuju ke kelas tanpa menyedari seseorang yang ternyata mendengar perbualan mereka sebentar tadi.

"Tak guna. Boleh dia fikir aku ni orang minyak?" Wafiy mengetap bibir sambil menatapi dua gadis itu yang telahpun hilang dari pandangannya.

****

Sejak habis waktu rehat tadi, Adam sesekali menoleh ke belakang untuk melihat raut wajah Aira yang tampak lesu. Dia tahu benar dengan apa yang terjadi pada gadis itu yang masih belum makan.

Sekarang, mereka sedang melakukan tugasan untuk subjek Bahasa Inggeris tentang esei. Meskipun guru tidak hadir, mereka harus menyiapkan juga kerana harus dihantar terus ke meja guru habis masa nanti.

"Ui! Kau tengok apa tu?" tanya Atiq yang sememangnya duduk bersebelahan Adam.

Adam sedikit tersentak namun disebabkan dia sudah tahu situasi itu akan diketahui juga oleh rakannya, dia menghela nafas.

"Masa aku nak masuk kelas waktu rehat tadi, aku ternampak Aira macam baru habis bersihkan sesuatu kat depan pintu kelas. Aku nak tolong tapi macam dia dah siap. Aku tanya la dia tapi dia cakap tak ada apa dan terus pergi macam tu. Tapi, aku nampak la dia bawak bekal dia macam kosong. So, aku agak dia punya bekal jatuh and berterabur semua,"

Atiq mengerutkan dahinya. "La, patutlah aku nak masuk kelas tadi macam lengket je tapak kasut aku,"

Adam hanya menghela nafas. "Aku nak pergi keluar jap,"

"Aik, pergi mana?"

"Koperasi,"

"Buat apa?"

"Cari nafkah," jawab Adam selamba.

"Pwft! Memang bukak ke? Kau nak kena rotan dengan cikgu KZ?" desis Atiq.


Adam tersenyum miring. "Jangan risau, ini Adam la,"

"Ceh,"

Matapelajaran terakhir mereka iaitu subjek Sains dilaksanakan di bilik ICT. Kesemua mereka bersiap mengemas semua barang dan dimasukkan ke dalam beg dan menuju ke arah bilik ICT yang terletak di lantai satu bangunan.

"Aira!" Aira sedikit terkejut dengan sapaan Adam yang kebetulan menunggunya di luar kelas. Dan, terlebih lagi Aira ketika itu keluar agak lambat dan ditinggalkan rakan-rakannya yang lain yang pergi mendapatkan tempat. Dia sudah meminta bantuan Bella untuk menjagakan tempat kosongnya, sebab itulah dia tidak kalut untuk ke sana kerana kekurangan tempat.

"Ya?"

"Nah," Adam menghulurkan roti. "Saya tahu awak belum makan,"

Aira mengerutkan dahinya. Apa maksud Adam?

"Ambil je, buat alas perut. Nanti sakit pula,"

Aira sedikit ragu sebelum mula mengambil. Bukannya dia tidak tahu bahawa rakan-rakannya mengatakan bahawa lelaki di hadapannya ini menyukainya dari dulu.

"Dia nampak ke?"

"Terima kasih," Aira mengambilnya jua sebelum tersenyum tipis. Setelah itu, Aira berlalu pergi meninggalkan Adam yang sedari menahan senyum supaya tidak membuatkan Aira berasa kurang selesa dengannya.

Mereka berdua sudah saling mengenal dari tingkatan satu dan menjalinkan hubungan sebatas rakan sekelas. Mendengar bahawa Adam menyukainya membuatkan Aira sedikit tersipu namun menganggapnya hal itu biasa sahaja kerana Adam tidak pernah mengungkapkan hal itu. Terlebih lagi, kelakuannya yang spontan, kelakar dan biasa tetapi tetap sahaja Aira dapat menemukan titik terang melalui itu. Namun, Aira memilih untuk mengabaikan kerana ini ibarat cinta monyet yang biasa terjadi oleh sesiapa ketika di alam sekolah menengah.

"Dam, nak senyum sorang jangan kat sini. Nampak macam tak waras," tegur Atiq yang sedari tadi melihat adegan ala sweet Adam.

Adam mendengus kerana rakannya itu memusnahkan kebahagiaan sementaranya sebentar tadi.

"Yalah! Jom! Nanti lambat pulak!" Adam merangkul bahu Atiq yang sedikit rendah darinya dengan riang. Percayalah, ribuan kupu-kupu sedang berterbangan riang di dalam perutnya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.