Home Untold Story Seram/Misteri Danau
Danau
Lentera Kalbu Shaz
27/1/2021 17:13:21
6,464
Kategori: Untold Story
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Danau

Kisah ini bukanlah kisah yang panjang. Hanya sekadar cerita pendek serta lebih kepada berkongsi cerita tentang satu kejadian yang pernah aku alami hampir 15 tahun yang lalu. Hari dan tahun yang tepat aku sudah lupa. Maaf juga jika apa yang akan aku kongsikan ini nanti, jalan ceritanya agak tunggang langgang. Cerita yang aku tiba-tiba teringat setelah hasil dari berkongsi kisah-kisah pelik yang pernah dialami oleh aku dan teman-teman sekerja. Atau mungkin juga kerana aku sejak akhir-akhir ini agak sensitif kepada hal-hal mistik sebegini. Setelah mendengar cerita dari teman sekerja, aku teringat kisah yang nak aku kongsikan di sini. Aku tak nak kongsikan tempatnya di mana kerana aku mahu menjaga sensitiviti penduduk sekitar dan menghormati privasi mereka.


Kisahnya bermula apabila dalam perjalanan di antara rumah aku ke tempat kerja melalui jalan kampung serta lalu juga di beberapa danau kecil sebelum tiba ke kawasan perladangan tempat aku bekerja ketika itu. Bukan aku yang pertama mengalami pada mulanya. Seingat aku orang yang mula-mula mengalami adalah seorang rakan kerja aku yang dalam perjalanan balik kerja dari ladang kelapa sawit tempat kami bekerja ke kampungnya. Setibanya dia di danau yang aku maksudkan ini, tiba-tiba dia melihat cahaya terang dari tengah danau tersebut. Dia hairan sebab sudah bertahun dia melalui danau yang terletak di pinggir jalan ini tidak pernah sekali pun dia mengalami kejadian sepelik itu. Waktu ketika itu hampir tengah malam. Kira-kira pukul 1130 minit malam dan keadaan danau itu diterangi cahaya seolah-olah dipasang ‘spotlight’. Meremang juga bulu roma dia almaklumlah hanya dia seorang yang melalui jalan ini ketika itu dan hanya bermotorsikal. Dia apalagi... Memecutlah tanpa menoleh ke belakang. Keesokan paginya setelah kami semua kembali bekerja dia pun menceritakan kejadian ini kepada kami. Jangankan dia yang rasa seram malah aku atau orang lain pun sama juga rasa seram jika tiba-tiba kena kejadian sebegitu. Mula-mula dia ingatkan ada orang dah pasang 'spotlight' di celah-celah pokok sawit yang terletak di pinggir danau itu. Tetapi setelah dia fikir manalah orang nak letak 'spotlight' dekat situ. Hanya ladang sawit saja pun malah yang ada pun hanya rumah dan pondok kebun warga tempatan di sana. Namun tidak ada penghuni kerana tuan rumah dah balik ke rumah mereka yang lagi lain dan hanya dijadikan tempat berehat ketika penat berkebun. Setahu rakanku ini dan juga kami yang sering berulang-alik melintasi jalan ini, danau yang diterangi cahaya ini hanya digunakan oleh orang kampung yang punya rumah tepi jalan ni mandi dan untuk digunakan sebagai keperluan harian seperti mencuci atau menyiram hasil tanaman dan juga digunakan oleh pekerja ladang untuk mengambil air untuk menyembur racun rumpai. Malah juga merupakan tempat warga memancing. Apabila malam menjelang kawasan sekitar danau ini memang gelap! Namun tidak pernah pun terjadi kejadian aneh sebegini.


Namun kejadian pelik di danau tersebut tidak hanya terjadi malam itu sahaja malah ia berlarutan hampir 3 bulan! Ya 3 bulan! Aku ingat benar! Paling menyeramkan apabila kisah pelik itu mulai tular ke daerah lain di sekitarnya. Maka bermulalah orang yang selama ini tak pernah nak masuk ke jalan yang sering kami lalui ini mulai masuk. Berpusu-pusu! Semuanya kerana hendak melihat sendiri kejadian aneh tersebut. Menjelang Maghrib ada saja yang tiba dan sanggup menanti di pinggir danau semata-mata mahu melihat kejadian aneh itu. Malah ada yang sanggup seharian menanti di sana sehingga malam. Apa yang mereka lakukan? Adakah anda faham dan anda tahu kenapa mereka begitu? Ada yang datang membawa buah limau, membawa benda-benda yang lebih kepada ‘persembahan’ kepada benda ghaib. Tak perlu aku sebutkan satu persatu. Sudah pasti anda tahu jika sesuatu yang berbaur benda ghaib apakah ritual yang mereka lalukan. Aku…yang melalui jalan ini berulang alik setiap hari merasa sangat hairan. Selalunya aku akan melalui jalan ini sekitar pukul 430 minit pagi untuk pergi ke tempat kerja aku dan balik kerja kadang-kadang aku kena lalu di sini dalam pukul 1100 ke 1200 tengah malam. Aku takut. Tetapi inilah jalan yang perlu aku lalui setiap hari. Tawakal sahajalah.


Pengalaman aku sendiri? Jujur aku tidak pernah melihat apa-apa yang menakutkan ketika lalu di jalan ini. Aku hanya melihat kawasan danau ini terang seperti disinari cahaya lampu. Hanya satu kejadian aneh yang aku sendiri lihat pada satu malam semasa aku pulang dari kerja, aku melihat di tengah-tengah danau itu ada rumpunan lalang yang terapung. Pulau lalang yang terapung di danau kecil itu benar-benar hidup! Warnanya diterangi cahaya kuning keemas-emasan yang entah dari mana datang cahaya tersebut. Itu sahaja. Tengok penampakan aku sama sekali tidak pernah dengan mata kasar aku. Selebihnya aku hanya berdoa agar aku sentiasa dilindungi oleh Allah swt dijauhi dari perkara-perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah setakat yang aku alami hanya itu sahaja. Tetapi orang lain yang juga merupakan kawan sama tempat kerja dan orang-orang yang berani mengambil gambar di sekitar danau itu, jika bernasib baik mereka akan dapat merakam entiti yang ada di sekitar danau itu selama hampir 3 bulan kawasan tersebut diterangi cahaya. Aku masih ingat lagi pada satu hari seorang kawan mengambil gambar di danau tersebut kerana dia seperti ingin tahu apakah benar ada entiti yang dapat tertangkap dek kamera seperti yang diperkatakan oleh beberapa individu sebelum beliau sendiri yang mengambil gambar. Ternyata gambar yang dia ambil di antara waktu Maghrib dan Isyak itu merakamkan banyak sosok di dalam kameranya! Kemudian dia menunjukkan kepada kami semua. Ada seorang lelaki sedang duduk di atas singgahsana. Berpakaian warnanya kekuning-kuningan seperti persalinan seorang raja. Bersamping, bermahkota di kepalanya serta ada keris tersisip di pinggangnya. Ada juga sosok yang tertangkap di kamera yang bertengkolok, berjubah sambil memegang tasbih. Ada wanita serta anak-anak kecil. Ada yang lengkap berpakaian. Ada yang berkemban. Sama seperti manusia juga. Cuma…yang berbeza adalah bentuk wajah dan sosok tubuh mereka. Ada yang seperti orang kerdil. Ada juga wang bentuk wajahnya runcing, ada juga yang berbentuk seakan segi empat hexagon. Ada dapat bayangkan tak bagaimana rupa mereka? Wajah mereka putih bersih, namun bentuk hidung dan dagu mereka runcing. Apa yang aku sangat terkejut dia menangkap gambar tersebut di pulau lalang yang aku sendiri lihat beberapa hari sebelum danau itu menjadi bualan masyarakat sekitar. Aku sedari bahawa pulau lalang itu sering berubah-ubah kedudukannya. Ya. Memang ia terapung yang menang benar ia selalu berubah tempat. Gambaran entiti atau sosok yang aku lihat sendiri di kamera kawanku ini adalah gambar yang di ambil dari pulau lalang itu!


Lama-lama aku mula terfikir kenapa agaknya MEREKA ini begitu berani menampakkan diri kepada manusia dalam jangka masa yang saya sendiri rasa agak lama iaitu hamper 3 bulan. Aku juga sebenarnya kurang berpuas hati dengan segelintir masyarakat yang terlalu taksub melakukan ritual untuk memanggil sosok-sosok ghaib ini untuk kepentingan mereka sendiri. Aku juga berfikir adakah ritual yang mereka lakukan itu berhasil? Masih menjadi tanda tanya dalam diri aku sehingga kini. Namun, apa yang aku tangkap daripada senario ini adalah di telingaku sentiasa terngiang-ngiang kata-kata ini….


”ANDAI MANUSIA TERLIHAT SECARA TIDAK SENGAJA, KADANG-KADANG KAMI JUGA TIDAK SENGAJA MEMPERLIHATKAN DIRI. KAMI SAMA SEPERTI MANUSIA TETAP PUNYA KEGIATAN JKEHIDUPAN DI ALAM KAMI SENDIRI. BAIK SIANG ATAUPUN MALAM DI DUNIA KAMU MANUSIA. KITA SAMA. NAMUN KAMI TIDAK MENGGANGGU. HANYA MAHU MENUNJUKKAN BAHAWA KAMI ADA. TETAPI MANUSIA ITU BANYAK MAHUNYA. KEMAHUAN YANG TIDAK MASUK AKAL!”


Dari mula kejadian tersebut hinggalah ke hari aku menulis kisah ini. Bisikan ini yang tidak pernah berubah walau sudah belasan tahun. Ya. Benar. Oleh itu sebagai seorang manusia kita dijadikan tinggi darjatnya. Jika mengkehendakan sesuatu mintalah kepada Yang Maha Esa bukan meminta kepada yang bukan ahlinya. Itulah mesej yang dapat aku simpulkan dari kisah ini.


Setelah 3 bulan kawasan danau itu diterangi cahaya setelah selesai bulan habis mengambang atau bulan terang danau itu kembali seperti sebelumnya. Gelap, sunyi dan airnya tetap bergenang tenang. Tiada lagi cahaya, tiada lagi pulau lalang yang sentiasa berubah kedudukannya di permukaan danau, tiada lagi kunjungan masyarakat. Apa yang tinggal setelah kejadian itu, hanya kami yang orang yang sentiasa melalui jalan dan danau ini tak kira masa siang atau malam. Hanya orang kampung dan pekerja ladang yang meneruskan hidup dengan kegiatan harian seperti biasa. Demikianlah kisah benar yang aku sendiri pernah alami hampir belasan tahun lalu dan kini danau itu masih kekal di situ dan aku sudah lebih 10 tahun tidak bekerja dan tinggal di kawasan itu. Kejadian itu? Aku yakin ia tak akan kembali lagi terjadi seperti dulu kerana bisikan yang terngiang-ngiang di telingaku seakan-akan menceritakan segalanya. Wallahualam.  MEREKA di mana? Apakah masih di sana? Aku tidak tahu. Kita masing-masing di alam kita sendiri. Mereka boleh saja berada di mana-mana sama seperti kita juga yang mempunyai tempat dan rumah sendiri. Kalian mahu percaya atau tidak. Itu semua terpulang. Aku tidak mengajak kalian untuk percaya kerana aku hanya menulis dan sekadar berkongsi cerita.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.