Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
13,075
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

KAU ni, Katy.  Dari dulu sampai sekarang tetap tak berubah.  Tak semenggah langsung!” 

Aku mengelap mulut Katy yang ada kesan buih teh tarik yang berbentuk seperti misai dengan tisu.  Katy tersengih melihat aku dengan muka tidak bersalah.  Aku toleh kiri kanan.  Mujur tiada sesiapa yang perasan.

“Kau nak cakap apa tadi?” tanya Katy dengan mulut penuh.  Aku harap tiada sesiapa yang nampak Katy seperti orang kebulur setahun tak dapat makan. 

“Aku dah dapat bilik sewa,” kataku gembira.

“Apa?”  Suara Katy bak petir bila terkejut.  Aku rasa nak menyorok bawah meja bila pandangan pelanggan-pelanggan di situ terarah kepada kami berdua.

“Aku dah dapat bilik sewa,” ulangku lagi.  Katy meneguk teh tarik dengan perlahan.  Pandai pula dia minum dengan sopan.

“Kau nekad?  Kat mana?  Berapa harganya?”  Bertubi-tubi soalan yang dilontarkan kepadaku sekaligus.  Aku geleng kepala.

“Tanyalah satu-satu.”  Katy tersengih apabila menyedari kesilapannya.

“Dekat Wangsa Maju.  Harga sewa pun berpatutan.  Sesuailah dengan aku.  Oh ya, perabot asas pun disediakan sekali.”

Tidak semena-mena wajah Katy bertukar muram.  Sudu dan garpu diletak ke tepi.  Baki teh tarik yang tinggal suku gelas dicicip.

“Sunyilah aku nanti.”  Nada suaranya kedengaran sebak.  Gelas teh tarik diletak semula di atas meja.

Aku menarik nafas dalam-dalam.  Aku dah dapat menduga ayat itu akan lahir dari ulas bibir Katy.

“Ala… kau dialu-alukan untuk datang bila-bila masa.  Bukannya jauh sangat, kan?  Apa kata kau menyewa dengan aku sekali?”  Entah bagaimana idea itu terlintas di fikiranku.

“Aku tak boleh.  Kau kan tahu mak aku macam mana?”

Ya, aku masih ingat akan Puan Munirah iaitu ibu kandung si Katy.  Jika Katy ada berbuat silap, pasti ibunya akan meleterinya hingga berjam-jam lamanya.  Aku ingat lagi, Katy sampai tertidur dengan telefon melekap di telinga mendengar bebelan Puan Munirah.

“Aku faham.  Tak apalah.  Kalau kau rasa nak datang, datang ajelah.”  Aku merupakan spesis yang tak pandai nak pujuk orang.  Sebab selalunya kalau aku merajuk pun, aku sendiri yang akan memujuk hati sendiri. 

“Jadi, kau dah pergi tengok ke rumah tu?” tanya Katy penuh minat.

“Belum lagi, tapi cadangnya nak pergi tengok dulu sebelum pindah.  Iyalah, kadang-kadang kita tak boleh percaya bulat-bulat apa yang diiklankan.  Takut indah khabar dari rupa.” 

“Betul, betul, betul!” Katy mengangguk laju-laju tanda setuju seraya mengajuk percakapan Upin Ipin.  “Jadi, bila nak pergi?  Aku boleh je temankan kau,” sambung Katy bersungguh-sungguh.

“Tunggu aku berurusan dengan tuan rumah ni dulu, eh?”  Katy mengangguk lagi.

“Dah habis makan?  Jom, kita balik.  Hari pun macam nak hujan aje ni,” ajak Katy.  Padahal dia yang paling lewat makan.

Sampai di rumah, terpacul kelibat Pak Teh dan anak-anaknya yang sedang beristirehat di ruang tamu sambil menonton TV.  Kami memberi salam serentak lalu mengayun langkah ke bilik tidur.  Aku perasan wajah Pak Teh nampak berseri-seri macam orang baru menang loteri satu juta.  Lagaknya pula seperti biasa, tidak pula miang seperti selalu.  Petanda baik nampaknya bagi aku.

BETUL ke ni tempatnya?” soal Katy, seraya menjenguk keluar ke rumah pangsa lima tingkat yang kelihatan agak suram.  Aku turut sama meniru gelagat Katy.  Sekali imbas, bangunan tersebut nampak lama dan dimamah usia.

Tak sangka pula kawasan rumah sewa ini agak terpencil dari perumahan yang lain.  Aku cuba berfikiran positif.  Sekurang-kurangnya, kehidupanku nanti jauh dari hiruk-pikuk kota yang menyesakkan dada.

“Kalau ikut alamat yang Puan Joyah bagi ni, memang dah betul.”  Pandanganku ditebar di sekitar kawasan rumah pangsa yang sunyi-sepi.  Hanya ada beberapa buah kereta yang di parkir di halaman.

“Kita naik ajelah dulu.” 

Kami berjalan beriringan lalu menapak ke tangga.  Lif memang tidak disediakan di rumah pangsa lima tingkat itu.  Ketika melewati tingkat ketiga, aku dapati banyak kertas-kertas berwarna kuning yang ditulis dalam tulisan cina berdakwat merah berterbangan di luar rumah.  Bau colok kuat menyantak ke hidung kami.

Dum!

Hampir tercabut jantungku tatkala dentuman pintu kedengaran.  Kami mempercepatkan langkah dan akhirnya tiba jua ke tingkat paling atas bangunan tersebut.

“Pelik betul tuan rumah kau ni.  Dia tak datang sekali ke? Main aci redah sendiri je.  Hah, kuncinya mana?” bebel Katy panjang lebar.

“Kalau ikut WhatsApp dia tadi, kunci rumah dia ada letak atas palang pintu utama.  Sekejap!” kataku.

Aku menjinjitkan kaki lalu meraba-raba atas palang pintu.  Habuk-habuk sawang mula terbang dan jatuh ke muka.  Tudung bawal yang aku pakai ditarik sedikit buat menutup hidung.

“Jumpa!”  Hampir terjerit aku kegembiraan. 

Anak kunci dicucuk ke dalam tombol lalu dipulas.  Suasana di dalam rumah agak gelap.  Katy memetik suis lampu lalu ruang tamunya terang-benderang.  Kami melangkah masuk setelah memberi salam.

“Boleh tahan!” 

Anak mataku disorot ke segenap ruang rumah.  Rumah pangsa itu hanya mempunyai dua bilik, satu di bahagian depan, dan satu lagi terletak berhampiran dapur.

“Aku nak tengok bilik kau je,” celah Katy sambil tersengih seperti kerang busuk.

“Hahaha.  Kau pula yang lebih teruja daripada aku.  Jomlah, bilik aku kat hujung sana tu kot.”

Tanpa berlengah, kami segera menolak daun pintu bilikku.  Lampu kalimantang berkelip-kelip seketika sebelum menyala sepenuhnya.  Katy terus saja menghempaskan tubuhnya di katil bujang yang tidak beralas.  Hanya ada perabot asas di dalam bilik; katil bujang, almari dua pintu dan sebuah meja kecil.

“Nampak gayanya aku kena cari bantal.  Temankan aku beli bantal nanti, eh?”

“Baik, Puteri Yuriana.”  Katy tertawa setelah mengejek aku.  Nasib baiklah dia tu kawan sejati aku.

Ada satu tingkap kaca di tepi bilik.  Aku tarik pemegang tingkap ke bawah dan meneliti pemandangan di luar.  Banyak pokok pisang yang ditanam di bahagian belakang bangunan, tapi macam tidak terurus.  Daun-daun pisang yang kering terbiar begitu saja di atas tanah.  Batang-batamg pokok pisang yang tumbang pun sama.

“Kau tengok apa?” soal Katy dekat dengan telingaku.

“Kus, semangat!  Kau ni buat aku terkejut aje!” marah aku lalu menampar lengan Katy.

“Emmm….” gumam Katy lama.

“Kenapa?”  Aku kurang senang dengan sikap Katy dengan picingan matanya ke luar tingkap sambil mengusap-ngusap dagunya.

“Serius kau nak tinggal di sini?” Soalan Katy membuat jantung aku berdegup pantas.

“Kau rasa?”  Aku jawab soalannya dengan soalan juga.

“Rumah ni okey, tak ada masalah.  Cuma suasananya je yang agak… menyeramkan!”  Katy membuat aksi hantu dengan tangan yang didepa luas dan mimik muka menyeramkan.

“Jangan nak menakut-nakutkan aku, boleh tak?  Sudah, aku nak tengok dapur.” 

Aku melenggang ke dapur yang terletak beberapa langkah dari bilik.  Ruangnya kecil saja, tapi lengkap dengan kemudahan memasak.  Ada pintu dapur yang menghubungkan satu ruang kecil yang muat-muat satu mesin basuh dan tempat menyidai baju.  Sepasang uniform jururawat berwarna putih tergantung di situ.  Pakaian itu bergoyang-goyang apabila ditiup angin.

Aku menyimpan anak kunci ke tempat asal, iaitu di atas palang pintu.  Ketika mahu melangkah turun, aku teringatkan sesuatu.  Rasanya pintu bilik di bahagian depan macam terbuka sedikit.  Sedangkan masa aku mula-mula sampai tadi ianya tertutup rapat dan berkunci.  Aku tahu berkunci pun sebab si Katy yang gatal tangan cuba membukanya.  Harap-harap, itu cuma perasaanku saja.

Menurut Puan Joyah, bilik satu lagi disewa oleh seorang jururawat.  Dia bekerja di Hospital Kuala Lumpur dan bertugas mengikut syif.  Patutlah tak nampak tadi.  Mungkin dia pergi kerja.

Aku
Saya dah tengok rumah tu.  Dan saya setuju untuk menyewa.


Puan Joyah
Alhamdulillah.  Kalau begitu, bolehlah Cik Yuri bayarkan depositnya.

Aku
Baiklah, esok saya akan buat pembayaran. Terima kasih.


WhatsApp terakhir yang dihantar olehku tidak berbalas.  Hanya ada dua tanda tick berwarna biru.  Mungkin dia sedang sibuk.  Oleh kerana terlalu penat, aku terlelap lebih awal. 

MASA berlalu dengan pantas.  Pejam celik, sudah sebulan aku tinggal di rumah Mak Teh.  Sepanjang tempoh itu, Pak Teh langsung tidak bersikap aneh.  Aku pula yang berasa aneh dengan perubahan drastiknya.  Mungkin dia telah insaf, siapa tahu.  Tapi, aku bersyukur, segala-segalanya berjalan dengan lancar.

“Pindah juga akhirnya, aman sikit rumah aku ni.” 

Pedas sindiran Mak Teh menusuk ke lohong pendengaranku.  Adakah selama ini aku selalu terpekik terlolong tanpa henti sampai dia sanggup berkata demikian?   Katy seakan cuba mengatakan sesuatu, tapi segera ditegah oleh aku.  Katy menolong aku menarik beg troli kepunyaanku ke luar rumah.  Dua buah baldi yang berisi barang-barang keperluan yang lain, aku letakkan ke bawah.  Langkah disusun tertib ke arah Mak Teh yang sedang bermalas-malasan di sofa.

“Mak Teh, saya dah nak pindah ni….”

“Haa… nak pindah tu, pindah ajelah!” pintas Mak Teh laju.  Aku memejam kelopak mata dan menelan semua herdikan Mak Teh dengan berlapang dada.

“Sebelum saya pergi, saya nak minta maaf pada Mak Teh, Pak Teh, kalau selama saya di sini.  Halalkan makan minum saya.  Saya pergi dulu.” 

Aku meraih tangan Mak Teh untuk bersalaman, belumpun sempat aku mengucupnya, Mak Teh terlebih dahulu menarik tangannya dari genggamanku.  Sempat aku menyelitkan sekeping sampul surat kecil berisi sedikit wang, sebagai token setelah menumpang di sini.

“Dah, dah.  Tak payah fikir banyak.  Kita pergi cepat,” arah Katy seraya menarik lengan bajuku.

SALAM diberi sebaik pintu rumah dibuka.  Suasananya sama sewaktu aku mula-mula menjejakkan kaki ke sini.  Teman serumah pun tak ada.  Susah jugalah kami nak berkenalan kalau macam ni.

“Aku ingat nak sapu lantai dan mop dulu bilik tu.  Hari tu tak sempat nak buat apa-apa,” ujarku lalu menonong ke dapur mengambil peralatan pembersihan.

Katy berehat di kerusi sambil membelek-belek telefon pintarnya.  Telefon baru beli, macam-macamlah nak kena godek.  Mulutku ternganga tatkala melihat keadaan bilik yang sudah bersih.  Lantai bilik seperti baru dimop.  Aku periksa tingkap kaca pula, jari telunjuk aku sapu di permukaan lapisan cermin, tak ada langsung kesan habuk!

Bagus betul Puan Joyah.  Dia dah bersihkan bilik aku siap-siap.  Aku heret beg troli bawa masuk bilik.  Baju-baju yang ada aku gantungkan dulu dalam almari.  Selebihnya aku lipat dan simpan dalam rak bertingkat yang aku baru beli.  Cadar katil pun dah pasang baru.  Aku tolak katil rapat ke dinding.  Ruang bilik kelihatan lebih luas dari sebelum ini. 

Siap semua kerja aku keluar ke ruang tamu.  Bertuah punya budak,  Katy terbaring atas sofa dengan dengkuran kuat yang membingitkan telinga. 

“Katy, bangunlah.  Kenapa tidur kat sini?” Aku kejutkan Katy yang masih lena pulas.  Penat sangat gamaknya temankan aku ke sana-sini dalam beberapa hari ini.

“Apa?” tanya Katy dengan mata terpejam.

“Kalau nak tidur, tidurlah dalam bilik aku tu.  Tak selesa tidur kat sini.” 

Katy membuka kelopak mata lantas mengerdipkannya beberapa kali.  Dia merenungku dengan muka serius.  Bulu romaku merinding tatkala tatap matanya langsung tidak dialihkan.

“Katy, kau okey ke?”  Aku memberanikan diri bertanya. 

Air liur mula berkumpul di kerongkong.  Bahunya kusentuh mengharapkan dia sedar dan bukannya mengigau.  Malangnya, kelakuanku turut diperhatikan dengan ekor matanya.  Aku menelan liur dengan bersusah-payah.  Ketika ini, aku mengharapkan agar rakan serumahku segera pulang.











Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas