Home Novelet Komedi/Romantik Komedi SIAPA TAK SAYANG BINI? Raya!
SIAPA TAK SAYANG BINI? Raya!
Nur Insyirah
9/7/2014 16:05:10
12,548
Kategori: Novelet
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Episod 1 - Ragam Bakal Bapak!

Kondominium Marina Bay

FAHIM duduk menyendiri di balkoni. Dari aras 20 kondominum itu, pemandangan laut sangat cantik dan jelas kelihatan. Malah lebih indah bila dapat melihat pergerakkan kapal-kapal yang lalu lalang. Entah berapa kali keluhan berat terbit dari bibirnya. Buaian yang yang menjadi tempat duduknya dihayun perlahan.

“Amboi! Anak mak yang sorang ni pandai layan perasaan kat sini sorang-sorang ya? Dah ada bini pun nak termenung lagi?”

Lamunan Fahim tersentak. Wajah emaknya yang tersenyum manis, penuh keibuan di balas dengan senyuman tawar. Setawar hatinya yang libang libu. Otaknya juga sudah letih berfikir.

Mak Diah duduk di bangku kayu bertentang dengan Fahim. Wajah kusut anaknya direnung penuh kasih.

“Awat ni? Cuba cerita dengan mak. Dari tengah hari tadi mak tengok Im murung aje?”

Fahim menggeleng perlahan. Dalam hatinya berkira-kira. ‘Nak cerita ke, tak? Cerita ke, tak?’

“Im?” panggil Mak Diah lagi.

Fahim menarik nafas dalam-dalam. “Mili, mak…”

“Kenapa dengan Mili?” Kening Mak Diah bertaut. Hati tuanya dapat mengagak, tetapi sengaja dia ingin mendengar Fahim mengadu. Rindu nak mendengar anak-anaknya mengadu itu ini terutamanya, Fahim. Sejak kecil Fahim jarang meluahkan rasa. Sudahnya dipendam sendirian. Jadi kali ni, Mak Diah lebih suka mencungkil apa yang dirasai oleh anak lelaki tunggalnya itu.

Fahim masih berbolak-balik dengan hatinya. Hendak dicerita dia malu. Jika tak dicerita, hatinya yang penasaran.

“Cerita ajelah Im. Kalau Im pendam, masalah tak selesai, kan?” pujuk Mak Diah lagi.

Fahim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Reaksi spontan! Dia sendiri tak tahu nak mulakan dari mana. Keliru!

“Mak… Im rindukan Mili… Rindu sangat…” Mukadimah Fahim yang belum habis, terhenti bila Mak Diah tergelak spontan.

“Tidur sekatil pun rindu?”

“Hmm… Rindu mak…Im nak Mili yang dulu. Asal Im balik aje, tersengih-sengih dia depan pintu. Kadang-kadang siap bersenduk bagai. Ceria aje... Mulut dia pulak, macam murai tercabut ekor. Ada aje modal dia nak cerita kat Im, mak.” Fahim ketawa kecil tatkala flashback tentang Amili diceritakan pada emaknya.

Mak Diah turut tersengih. Dia faham apa yang dirasai oleh Fahim tika itu. Cuma Mak Diah lebih suka memilih untuk terus mendengar.

“Kadang-kadang tu kan mak… Bila Im balik lambat, dia sanggup tunggu Im sampai tertidur sebab nak makan malam sama-sama dengan Im. Kalau dia lapar sangat kan, mak… dia punya membebel tu… sampai muncung sedepa! Tapi Im suka!” Fahim ketawa kecil. Di matanya kini terlayar semua ragam mencuit hati isterinya. Senyumannya makin meleret. Rindu semakin mencengkam dada. Adakalanya nafasnya sesak. Tak tertanggung rindu yang dirasakan.

Mak Diah turut tersenyum. “Habis, sekarang ni… Mili dah tak layan kamu ke?”

Soalan Mak Diah terus mematikan senyuman Fahim. Serta-merta keluhan berta kembali terbit di bibirnya.

“Lah… mengeluh lagi? Tadi bukan main seronok cerita pasal bini dia…” Usik Mak Diah. Seketika kemudian, bibirnya diketap kuat. Menahan gelojak rasa lucu di hati. Makin dipandang wajah cemberut anaknya, makin kuat bibirnya diketap. Bimbang terlepas ketawa besarnya nanti.

“Dah tak saying bini ke? Dulu bukan main lagi canang kat mak…”’

“Ada pulak tak sayang… mestilah sayang! Cuma… cik bini tu…”

“Kenapa?”

“Cik bini… dah tak sayang Im… kot!” lambat-lambat Fahim meluahkan kegusaran hatinya. Entah di mana silapnya, hubungan mereka dingin.

Mak Diah senyum nipis. “Merajuk dengan binilah tu…”

“Bukan merajuk. Kecik hati!”

“Fahim… Fahim… belajar aje tinggi-tinggi. Tapi bab hati dan perasaan ni, gagal terus!” usik Mak Diah lagi.

“Amboi, mak! Tahulah Mili tu menantu kesayangan mak. Satu-satunya menantu perempuan mak… tak acilah asyik nak back-up dia aje. Habis, Im ni siapa nak back-up?

“Okey-okey. Mak Bukan nak back-up sesiapa. Tapi, yang Im ni pun… nak merajuk tak bertempat. Dah sah-sah si Mili tu tengah bawak perut. Pembawakan budaklah tu. Mestilah angin dia lain macam sikit. Im kenalah banyak bersabar dan mengalah. Nak-nak pulak ni anak sulung.” Pujuk Mak Diah lembut.

“Err… tapi… yang Im musykil ni… alahan yang uweek-uweek tu bukan ke jadi masa trimester pertama aje ke? Lily pun macam tu jugak. Kan ke dia orang mengandung sama-sama. Im tengok Lily sekarang rileks aje. Makin romantik lagi dengan Abang Wafiy tu. Mana aci! Im pun nak romantik-romantik jugak dengan bini Im… nak sembang-sembang dengan anak Im… Ini tak… nak dekat pun bila dia dah tidur aje. Kalau tak, jangan haraplah! Pantang dekat… Uweek-uweek! Sampai lembik dia termuntah-muntah!”

Mak Diah tak mampu nak sembunyikan ketawanya. Tanpa simpati, dia terus menghamburkan ketawa yang ditahan sejak tadi.  Lucu pula Mak Diah melihat ragam bakal bapa ni. Fahim pula makin panjang rajuknya. Malu dan rajuk bersatu.

“Jadi, Mili masih alah dengan bau badan Fahimlah ni? Alahai… kesiannya.” Ujar Mak Diah sambil mengesat juring matanya yang berair kerana ketawa tadi.

“Mak ni… Im tengah kesedihan, kerinduan, kegusaran, ke…” kata-katanya mati di situ. Tersengih-sengih dia memandang Mak Diah yang menunggu ayat seterusnya.

“Ke apa lagi?”

“Ngee…. Tak ada apalah mak. Aduh! Mak… tolonglah nasihatkan bini Im tu… takkan Im nak kena berenggang dengan dia lagi empat bulan? Jenuhlah mak… Im… kurang kasih sayang bini ni...”

Melihat Fahim terkulat-kulat begitu, Mak Diah bagaikan sedang melihat arwah suaminya yang merajuk dan merengek-rengek ketika dia mengalami alahan yang teruk sewaktu mengandungkan Fahim dulu. Kenangan…

“Mak! ALLAH mak ni… Anak mak tengah bergelut dengan masalah kurang kasih sayang ni, mak boleh sengih-sengih pulak…” Fahim merengek lagi. Kali ini sudah hilang rasa malu. Hilang juga karekter serius dan karisma seorang pensyarah muda. Yang ada cuma rengekkan seorang anak kepada emak. Meminta kasih, sayang dan pengertian dari seorang ibu.

“Ala… masalah kecik aje tu. Kamu yang tak pandai nak ambil hati bini kamu tu…” selamba aje Mak Diah membalas.

Wajah Fahim turus berubah riak bila melihat gaya selamba emaknya. Seolah-olah, masalah itu terlalu ‘kacang’ untuk diratapi. “Mak biar betul? Im dah lima bulan dok tanggung peel tak bermusim Mili tu…” Fahim bagaikan tidak yakin. Permainan apakah ini?

“Mak ada petua… Yang ni, mak jamin! Mesti Mili akan boleh terima kalau Im dekat-dekat dengan dia nanti!”

Cermin mata Fahim terus ditanggalkan. Dia terus melompat turun dari buaian dan terus melutut di hadapan Mak Diah.

“Cepatlah mak ! Cakaplah apa petuanya?! Im dah tak sabar ni!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.