KRING!!!
Razif menutup kedua-dua belah telinga dengan tapak tangan. Ah, dia berbunyi lagi seperti biasa dan seperti biasa jugalah Razif terpaksa menghentikan bunyi deringan itu dengan menekan tombol yang kedudukannya di atas jam loceng tersebut. Dengan perasaan malas Razif mencari jam loceng di atas meja dengan mata yang masih tertutup, akibatnya..
Prang!
Jam loceng yang dicari terjatuh pula.Buntang terus mata Razif melihat nasib jam locengnya yang terhempas di lantai.Sejenak, bunyi itu tidak kedengaran lagi. Razif tersenyum seolah-olah sedikitpun tidak berasa bersalah atas tindakannya.
“Awal lagi, lagipun masih cuti. Boleh sambung tidur lagi.”
Razif membiarkan jam loceng itu terus berada di atas lantai. Razif menarik semula selimut dan menyelimuti dirinya sehingga menutupi kepala. Tatkala ini syaitan sedang bersorak gembira kerana seorang lagi manusia sudah masuk ke dalam perangkapnya.
Sebenarnya sengaja Puan Mastura iaitu ibu Razif menetapkan waktu jam loceng itu berbunyi setiap hari walaupun hari minggu supaya Razif tidak terlepas untuk solat Subuh . Razif pula merasakan tindakan ibunya hanya membuatkan tidurnya terganggu.
"Bila lagi dapat tidur puas-puas."
Razif dengan perasaan senang hati terus menyambung semula tidurnya dan dia tidak sedar masa semakin meninggalkannya.
'Ah, lepas-lepas ni aku qadha la,' getus Razif sebelum menyambung tidurnya.