Home Novelet Cinta Janji Setia
Janji Setia
Miss Honey
25/7/2021 18:21:54
21,161
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 1

RAHANG diketap sekuat hati, sementara pedal minyak ditekan sepenuh tenaga. Jarum menghala pada had paling laju. Stereng kereta dicengkam dengan penuh amarah di dada.

Berdesing telinganya tatkala orang sebelah sibuk berleter hal yang sama. Hal yang sama, tajuk yang sama dan topik yang sama, setiap hari! Dah naik menanah gegendang telinganya.

Selang beberapa minit, ngongoian kedengaran. ‘Nak minta simpatilah tu,’ desis hati jejaka berkulit putih itu.

Had kelajuan pemanduan, lama-kelamaan berubah kepada sederhana. Mana bisa memandu dengan had yang laju di kawasan berbukit. Suara leteran kian hilang. Sekadar kedengaran suara sedu-sedan.

"Isya nak putus."

Brek mengejut. Kereta terus berhenti di tepi jalan. Tepat berdekatan gaung. Sangat yakin, kalau kereta ini terjatuh ke dalam gaung tersebut, pasti tiada sesiapa yang dapat menemui mereka berdua.

Jejaka itu menoleh ke kiri. Bibir tayang sengih sumbing.

"Putus? Are you sure, Isya?"

Kura tangannya mengesat air mata. Angguk. Sinar mata wanita itu redup.

Anggukan dia sekadar dibalas tawa. Jejaka itu ketawa terbahak-bahak. Sehingga berair mata si jejaka oleh sebab ketawa yang berlebihan.

Wanita itu membuat pilihan. Pintu di sebelah dikuak. Baru kaki kiri ingin melangkah, tudungnya sudah dicengkam seseorang.

Tertarik kakinya masuk ke dalam semula. Pintu tertutup.

"Ingat tak apa pesan ayah, Isya? Zaf yang hantar Isya dan Zaf yang kena hantar Isya balik," bisik Zafran halus ke cuping telinga Isya. Cengkaman dilepaskan kasar.

Sakit?

Cis, Zafran peduli apa. Hatinya lebih sakit apabila sifat kelelakiannya dicabar.

"Boleh Isya ulang sekali lagi tak ayat Isya tadi?" pinta Zafran kemudian menahan gelak yang masih tersisa.

"Isya, nak putus." Setiap patah perkataan ditekankan.

Zafran mengetap gigi.

Putus? Selepas 4 tahun menyemai kasih, baru sekarang berani nak meminta putus?

"After four years?" soal Zafran seakan-akan tidak percaya. Rasa macam mimpi pun ada.

"Yes. Isya dah tak sanggup nak hidup bersama dengan Zaf. Zaf takde hak untuk kongkong hidup Isya!"

Sekonyong-konyong Isya melenting. Had kesabarannya kian menipis. Ikatan mereka sekadar pertunangan, bukan perkahwinan. Tempoh 4 tahun, bukanlah jangka masa yang singkat.

Pada jangka waktu 4 tahun, sudah lebih dari cukup untuk mereka mengenal hati budi masing-masing. Kebahagiaan hanya dirasai pada fasa pertama, fasa selebihnya adalah penderitaan.

Ikatan pertunangan sahaja sudah sukar untuk mereka pertahankan. Apalagi jika mereka tetap meneruskan hubungan sehingga ke jenjang pelamin?

Lebih baik mereka putus sekarang, sebelum bercerai-berai di kemudian hari.

"I'm your fiance. Isya kena ikut cakap Zaf," tegas Zafran seraya menuding jari.

"No! Isya tetap nak terima tawaran study dekat New York tu!"

Suara Isya tinggi satu oktaf. Dia sudah lelah melayan sifat cemburu buta dan kuat mengongkong Zafran. Sambung belajar dalam bidang perubatan di luar negara?

Itu merupakan impian terbesar dalam hidup Isya. Impian yang masih belum dia capai. Mengapa Zafran perlu mengekang apabila rezekinya telah sampai?

"It's okay, Isya faham. Mesti Zaf takut kalau nanti Isya curang kat belakang Zaf kan? Oh ... Zaf ingat, Isya sama macam Zaf ke? Main kayu tiga!"

Lantas kedua-dua mata Zafran mencerlung. Lahar di hatinya sedang berapi. Main kayu tiga? Semakin hari, dia berasa tembelangnya telah diketahui oleh Isya.

"Zaf ... tengok cincin tunang di jari manis Isya. Isya janji yang Isya takkan tanggalkan walaupun sesaat," kata Isya bersama tangisan. Dia merayu. Cincin tunang yang tersarung di jari ditunjukkan.

"No," bantah Zafran. Berpegang sali dengan keputusan.

"Kalau macam tu, Zaf ikut Isya. Kita study sama-sama kat New York." Isya berterusan mencuba nasib.

"Stop Isya! Stop!" jerkahan Zafran bergema memenuhi ruang kereta.

Bungkam. Isya bersandar. Membazir air liur saja bercakap dengan orang seperti Zafran.

"Zaf, takkan dapat sambung study sampai ke luar negara tu ... Isya sendiri tahu kan? Daddy Zaf, baru je meninggal. Zaf tak boleh tinggalkan mommy seorang diri."

Intonasi Zafran berubah lemah lembut, bercampur sayu. Dia merenung wajah Isya. Inginkan gadis di sebelahnya itu membalas renungannya.

"Kalau macam tu, lepaskan Isya. Kita putuskan ikatan pertunangan. Isya tetap nak sambung belajar kat sana."

Zafran berlakon pekak. Kenderaan kembali dipandu. Siulan berirama dengan begitu sumbang. Amat bising di telinga si pendengar.

Itu adalah Zafran. Sehari tak buat Isya berasa sebal, tak sah!

Kereta BWM M5 telah melepasi laluan bukit. Sekejap sahaja lagi untuk tiba di rumah. Dia tidak betah lagi duduk lama-lama di sisi Zafran.

Cahaya lampu menerangi pekarangan rumah banglo mewah. Terlihat merah menyala kereta itu sebaik saja memasuki pekarangan rumah mewah.

Akhbar di tangan segera dilipat. Kemudian menempatkan ia ke sebelah secawan kopi. Secawan kopi yang hangat dihirup sedikit.

Tengku Aariz membingkas dari kerusi. Dia langkahkan kaki sambil sepasang matanya mencerun tajam ke arah dua figura yang keluar serentak dari perut kereta.

"Lambat balik? Dah pukul lapan malam baru sampai rumah?"

Suara parau menegur mereka berdua. Tiada sambutan yang mesra, sebaliknya kepulangan Isya dan Zafran disambut dengan air muka merah padam.

"Ayah, tanyalah Zaf. Isya naik bilik dulu," tutur Isya halus sejurus mengucup tangan bapanya. Letah-letai langkah Isya masuk ke dalam rumah.

Isya sudah berlalu masuk ke dalam, Zafran masih tercegat di luar banglo yang tersergam megah.

"Tengku," sapa Zafran seraya menunduk hormat. Dicium tangan lelaki separuh kurun yang berketurunan bangsawan itu.

"Kalian berdua ada masalah ke?"

Zafran tetap tersenyum manis. Dah tahu jawapannya, masih nak tanya lagi. Zafran berdecit dalam hati.

"Apa nak jadilah dengan kamu berdua? Ini baru bertunang, belum bernikah lagi."

Tergeleng-geleng kepala Tengku Aariz apakala menyaksikan kisah cinta budak-budak zaman kini.

"Hmm ... tengku, saya balik dulu? Ada hal penting." Zafran seolah-olah cuba mengelakkan diri. Dikucup sekali lagi tangan kanan Tengku Aariz.

"Zafran, tunggu."

Setibanya dia di kereta, perbuatan membuka pintu kereta terhenti.

"Ada apa, tengku?" soalnya tidak berganjak.

"Marilah solat maghrib berjemaah .... Isyak pun dah nak masuk ni," seru Tengku Aariz cuba menduga bakal menantunya.

"Takpelah, tengku. Nanti saya singgah solat kat masjid berdekatan sini. Alang-alang tu, saya solat isyak di sana terus. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam ..."

Kereta warna merah itu, meluncur pergi seperti kilat. Tengku Aariz menyungging senyum sinis. Sesuaikah peria seperti Zafran untuk dijadikan menantu?

Jangan jadi hantu nanti, sudahlah.




TERENGKEH-RENGKEH dia memikul beban beg plastik. Tangan kiri dan kanan dipadati barang. Tidak pasti sama ada dia seorang kuli atau kekasih saat ini. Kerana cinta, dia sanggup menggagu daripada merungut.

Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Silap-silap nanti kalau pecah di mulut, meranalah badan.

Mereka berdua keluar dan masuk dari satu butik ke satu butik. Habis satu pusat membeli-belah ini mereka teroka. Kedai terakhir adalah kedai jam berjenama.

"Baby, cantik tak jam ni?" tanya Sally kuat macam bercakap dengan orang tuli.

Semua mata tertancap ke arah dia dan Sally.

Farhad anggukkan kepala. Perlukah memanggil dirinya dengan gelaran 'baby'? Ya, dia tahulah muka dia 'baby face'. Tapi tak perlu kut panggil gelaran itu dengan kuat.

Jatuh air muka kelelakiannya.

"You nak jam ni? I belanja?"

Farhad garu kulit kepala. Berkilauan jam Rolex berwarna perak itu. Jika diikutkan kata hati, ingin saja dia menjawab 'nak'.

"It's okaylah, Sally."

"Baby ... apa ni? You dah temankan I shopping sehari suntuk. Tapi, you tak shopping apa-apa langsung."

Farhad terdiam. Dicapai jam tangan yang berat itu dari tangan Sally. Dia menilik kecantikan dan kemewahan yang ada pada jam tangan itu. Harga dilihat.

"Allahuakbar."

Rasa nak tercabut jantung Farhad.

"Baby, are you okay?" soal Sally tatkala melihat peluh merenik di dahi Farhad. Dilap peluh itu dengan tisu.

"RM 1000? Wow. I think lebih better you simpan je duit 1000 ringgit tu daripada belikan I jam semahal ni."

Jam tangan warna perak itu diletakkan ke tempat asal. Farhad meraih tangan Sally dan mengheret teman wanitanya keluar dari kedai tersebut.

"Apa you ni? Main tarik-tarik tangan I!" bentak Sally tanpa mempedulikan orang sekeliling.

Farhad mengagihkan separuh beg plastik kepada Sally. Dia ingat Farhad ini apa? Kuli?

"Sally ... jom balik. You pun dah habis shopping kan?"

Roman muka Sally masam mencuka.

"No. I tak nak balik."

Farhad menggaru kepala. Merajuk pula cinta hatinya yang seorang ini.

"Sally, I tolak pelawaan you tadi sebab I tak nak you bazirkan duit semata-mata untuk I. Simpanlah duit tu untuk kepentingan di masa akan datang," nasihat Farhad agar Sally tidak mencontohi amalan syaitan.

"Baby, I can't bila tengok duit I berkepuk-kepuk kat dalam bank tu. Papa I setiap hari bagi I duit belanja, so I apa lagi?"

Farhad tersenyum segaris. Sally masih belum memahami nikmat sebenar duit. Dari kecil, Sally sudah diberi kemewahan dan dimanjakan dengan wang.

Sementara Farhad?

Dia sudah diajar untuk berdikari sejak azali. Kesusahan telah mengajar dirinya tentang erti sebenar duit.

"Jomlah balik. My driver tengah tunggu kat bawah."

Sally berjalan terlebih dahulu, jejaka itu ditinggalkan. Farhad zip mulut, berterusan membuntuti Sally. Sepanjang menuruni eskalator, Sally seboleh mungkin memalingkan pandangan ke arah lain.

Pintu gelangsar terbuka. Pemandu peribadi berserta kereta sudah terpacak di hadapan bangunan IOI City Mall.

"I balik dulu," pamit Sally.

Farhad mengangguk.

Sally menghulurkan tangan, membuatkan Farhad terpinga-pinga.

"Ciumlah tangan I ni ... macam filem orang putih selalu buat tu," ujar Sally dengan serius.

Farhad menggelengkan kepala.

"Kita ni orang Melayu ... orang Islam."

Syarahan Farhad dah bermula. Ada sahaja kesalahan Sally yang boleh dijadikan bahan ceramah pemuda itu.

"I balik dulu. Bye," ucap Sally bena tak bena.

Lambaian Farhad dari jarak jauh, tidak dibalas. Farhad mengukir senyuman biarpun dia terlihat seperti orang tiada akal. Kereta Audi A6 beredar meninggalkan IOI City Mall.

"I love you, Sally. I harap bila kita dah bernikah, I mampu untuk mebimbing you ke jalan yang lurus."










Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miss Honey