4
“MAK
JAH, oh Mak Jah!”
Adam yang laju menuruni tangga ke
tingkat bawah menjengah ke dapur. Kelibat Mak Jah dicari-carinya ke pelosok
dapur. Tak ada! Mana pulak Mak Jah ni pergi pagi-pagi kelam ni?
“Mak Jah!” jerit Adam lagi.
“Encik Adam…” Mak Jah yang baru
masuk ke dalam ruangan dapur tersentak melihat keberadaan Adam Farhan mencari-carinya.
Ada apa hal pula ni? Puan Arlisa dah beritahu apa-apa mengenai hal semalam ke?
“Haa… Mak Jah! Saya ingat Mak Jah ke
pasar beli barang untuk masak berbuka. Saya nak tanya ni…” Adam mengerutkan
dahinya dan mula memperlahankan nada suara. “Semalam isteri saya tidur seorang
ke? Anak-anak semua tidur dengan Mak Jah?”
“Ya, encik…” Tangan Mak Jah sudah
terketar-ketar. Kalau Encik Adam tanya lebih-lebih, memang aku akan beritahu
hal sebenar!
“Lisa… dia tidur tak bangun-bangun
tau. Saya cuba gerak dia tapi dia cakap dia nak rehat lagi… Saya risaulah,
kut-kut dia merajuk dengan saya ke. Makan pagi pun tak nak,” ucap Adam
berhati-hati. Bimbang mamanya mencuri-curi dengar dari belakang. Nanti mama
persalahkan dia pula sebab pulang lewat semalam.
“Err… umm…” Wajah Mak Jah mulai
pucat lesi. Habislah! Habislah kalau Encik Adam tahu yang mereka mendiamkan
saja mengenai perihal semalam tanpa memberitahunya sepatahpun!
“Mak Jah? Kenapa sebenarnya ni? Lisa
marah dengan saya ke?”
“Bukan! Bukan tu sebenarnya…”
Bunyi suara Anissa yang merengek
nangis menangguhkan bicara Mak Jah. “Encik Adam, Mak Jah tengokkan Anissa
sekejap ya.”
Mak Jah menikus pergi tanpa
mengakhiri kata-katanya. Adam pula hanya mampu terdiam sambil merenung kelibat
orang tua menghilang dari pandangan. Ada yang tidak kena di mana-mana ni!
***
ARLISA
mendodoi-dodoikan Anissa di buai. Rambut nipis anaknya itu dibelai. Ya ALLAH,
lindungilah Anissa dari sebarang bahaya. Anaknya tidak bersalah! Yang
bersalahnya dia. Dialah pembawa segala masalah yang bukan-bukan ke dalam
keluarga ini.
“Arlisa?” Mak Jah terkejut melihat
keberadaan Arlisa di kamar Ameera. “Dah bangun? Nak sarapan tak Mak Jah
buatkan?”
“Tak apalah Mak Jah… saya tak
berselera.” Arlisa mengeluh halus. Pandangannya menunduk ke lantai. Peristiwa
semalam masih menghantuinya.
“La… kenapa? Masih teringat-ingat
lagi tentang hal tu? Lisa, Mak Jah rasa baik Lisa beritahu aje Adam tentang
masalah ni. Kalau berdiam begini, masalah tak selesai. Tadi Adam baru bertanya
Mak Jah… kenapa Lisa diam dengan dia? Bangun tak mahu. Makan tak mahu. Dia
ingat Lisa merajuk dengan dia,” luah Mak Jah.
Arlisa menggeleng-gelengkan
kepalanya. Matanya mula berkaca. “Tak tahulah Mak Jah. Saya ni tak ada kekuatan
lagi nak beritahu dia pasal hal semalam.”
“Hal apa ni, Lisa?”
Arlisa dan Mak Jah berkalih ke pintu
kamar yang renggang. Puan Murni menjengah ke kamar Ameera dengan wajah yang
curiga.
“Hal apa yang Lisa risaukan sampai
tak makan, tak nak bangun dari tidur?” soal Puan Murni lagi.
Arlisa menelan air liurnya.
Pandangannya beralih pada Mak Jah yang sudah sedia menggigil.
“Jah? Kenapa diam? Apa masalahnya
ni? Cuba cerita dengan saya!” Puan Murni tidak tahan dengan kebungkaman Arlisa
dan Mak Jah. Dah macam orang bisu mereka berdua ni.
“Puan… sebenarnya…”
Arlisa menggeleng-geleng pada Mak
Jah. Air matanya sudah menitis lebat.
“Astaghfirullah! Lisa?” Puan Murni
memeluk tubuh kurus Arlisa erat. Belakang menantunya itu diusap-usap perlahan.
“Beritahu mama, apa yang terjadi?”
Dalam sedu-sedan Arlisa melepaskan rangkulannya
dari Puan Murni. Tangan wanita itu digenggamnya erat. “Kamal datang ugut Lisa
semalam.”
“Hah? Kamal mana ni?” Puan Murni
kaget mendengar nama tersebut. Nama itu pernah meniti di bibirnya namun dia
lupa atas sebab apa.
“Kamal yang peras ugut Encik Adam
dan Arman tulah, puan!” celah Mak Jah yang tidak tahan untuk meluahkan segala
isi cerita.
“Astaghfirullah… Kamal yang ugut dua
juta tu ke? Dia nak apa? Kenapa tak beritahu kami semalam? Ya ALLAH, Mak Jah
telefon aje si Adam tu. Biar dia report
polis! Masukkan si Kamal tu ke dalam jel. Dia apa-apakan Lisa dan Mak Jah tak?
Cucu-cucu saya macam mana?” kata Puan Murni emosi.
“Itulah puan. Memang saya nak
telefon tapi Lisa ni menegah. Nasib baiklah dia tak buat apa-apa pada cucu-cucu
puan. Tapi dia berkasar dengan Lisa dan dia juga ikat saya dan Siti kat dapur!”
cerita Mak Jah beriya-iya.
Arlisa hanya mampu menangis dan
tidak lagi punya kekuatan untuk berbicara. Kata-katanya bagai ditenggelami air
mata yang jatuh mencurah-curah.
“Lisa! Kenapa Lisa buat macam ni
sayang? Beritahulah mama, Adam… Fida dan suami dia pun ada semalam… kenapa nak
diam macam ni? Ya ALLAH, nasib baik tak ada apa-apa terjadi kepada Lisa dan
anak-anak,” kesal Puan Murni. Kepala Arlisa yang bersanggul tinggi itu dielus
lembut. Masih terkejut agaknya si Arlisa ni.
“Lisa tak nak peningkan kepala Adam…” ucap
Arlisa tersedu-sedan. “Lisa ni banyak menyusahkan mama dan Adam. Kami adik
beradik ni memang tak pernah buat mama dan Adam hidup senang!”
“Ya ALLAH!” Puan Murni menggeleng-geleng.
“Antara Lisa dan Arissa tu banyak bezanya tau! Tak payah nak samakan Lisa dan
arwah. Yang penting sekarang ni kita kena cakapkan hal ini dengan Adam. Ini
masalah kita sekeluarga. Bukan masalah Lisa seorang saja.”
“Puan baik cepat-cepat! Si Kamal tu
cakap dia beri masa tiga hari aje untuk dapatkan RM 1 juta untuk dia. Kalau
lambat… dia nak culik Anissa lepas tu jual cucu puan untuk dapatkan duit,” kata
Mak Jah.
Hampir nak tercabut jantung Puan
Murni mendengarnya. “Gila si Kamal tu! Nak jual cucu aku? Sebelum dia buat
benda-benda tak elok… baik mama cakap dengan Adam dan Arman tentang hal ni.
Nanti bila Adam dah balik kerja, awak beritahu saya ye Jah.”
Mak Jah mengangguk laju. Manakala
Arlisa pula hanya menurut kata Puan Murni. Dia sudah tiada daya nak berbuat
apa-apa. Tambahan pula dengan keadaannya yang tak mampu nak bergerak jauh. Nak
keluar rumah pun tak boleh! Apatah lagi nak ke pejabat dan bincangkan hal ini
dengan Adam secepat yang mungkin.
***
SOFEA
menguak buka pintu kamar pejabat Adam. Kosong? Takkan tak sampai pejabat lagi?
Sambil mengeluh berat, Sofea melangkah masuk ke kamar lelaki yang menjadi
pujaan hatinya itu tanpa segan. Biarlah dia menanti Adam sekejap di sini. Nanti
boleh mereka berbual-bual kosong masa untuk mengisi waktu makan tengahari
nanti. Untung juga Arlisa berpantang di bulan Ramadan. Bolehlah dia ambil masa
ini untuk masuk jarum ke hati Adam.
Sedang Sofea leka berimaginasi akan
dirinya dan Adam, Vivian masuk ke dalam kamar pejabat tersebut. Pembantu
peribadi Adam itu meletakkan sepucuk surat berwarna putih ke atas meja dan
meninggalkan Sofea sendirian semula.
Surat tersebut dicapai Sofea. Tiada
nama pengirim dinyatakan di atas surat tersebut. Kemungkinan besar ini surat
peribadi. Tulisan tangan yang tertera di atas surat itu pula tampak seperti
tergesa-gesa. Hmm, tak salah kut kalau tengok sikit aje? Nafsu jahat Sofea
berbisik.
Sofea mengoyak surat tersebut buka.
Isinya diluahkan di dalam hati.
Encik Adam,
Masih
ingat lagi akan saya? Bekas kekasih isteri Encik Adam, Arlisa. Saya yakin Encik
Adam takkan dapat lupakan saya bukan? Sejuta ringgit duit Encik Adam melayang
demi menyelamatkan maruah keluarga Encik Adam kerana skandal adik beradik
kembar tu.
Kali
ini saya kembali lagi. Saya mahukan RM 1 juta yang Encik Adam tipu saya tu. No negotiation! Jumpa lagi tiga hari.
Apa-apa nanti saya akan contact
isteri Encik Adam yang cantik menawan tu.
Jangan ingkari arahan saya! Kalau tak, anak
Encik Adam yang baru lahir tu akan saya culik dan jualnya dengan harga yang
amat lumayan. See you in the next three
days starting from today.
Sofea menekup mulutnya rapat. Kamal?
Kamal ada di Malaysia selepas hampir dua tahun menghilang? Bekas kekasihnya itu
kini memeras ugut Adam Farhan sebanyak RM 1 juta lagi! Gila. Mamat ni memang
sengkek dan pemalas!
Namun tiba-tiba suatu idea datang
menerjah ke minda Sofea. Perancangan yang dia rasa amat sesuai untuk menangguk
di air yang keruh demi memuaskan kehendak hatinya. Tanpa berfikir panjang,
Sofea memasukkan surat yang dikirim Kamal tadi ke dalam beg tangannya. Dia
kemudian keluar dari kamar pejabat Adam dan terus menuju ke lif.
Arlisa oh Arlisa! Jodoh kau dan Adam
takkan lama.
***