8
PINTU
utama rumah ditolak buka dengan perlahan-lahan. Tepat pukul 11 malam Adam tiba
di rumah. Keadaan ruang tamu yang samar-samar tak berlampu itu membuatkan Adam
sedikit cuak. Lalu langkahnya dipantaskan naik mendaki tangga.
Namun belum sempat dia sampai ke
anak tangga yang paling atas, nama Adam disahut kuat dari bawah. Adam
mengalihkan badannya dan kelihatan Puan Murni sedang bercekak pinggang sambil
membuat mimik wajah garang.
“Pergi mana? Malam baru nak balik,”
soal Puan Murni lagak polis.
Adam tidak menunjukkan sebarang
reaksi. Hatinya masih lagi sakit. Mama tidak memahami apa yang sedang
dilaluinya. Mama hanya pandai… Ah!
“Keluar dengan kawan.”
“Kawan mana? Sofea?” tebak Puan
Murni.
“Ya. Sofea,” jawab Adam berterus
terang. Langkahnya dipanjangkan naik ke anak tangga terakhir.
“Adam! Mama tak habis cakap lagi
dengan kamu ni! Kenapa keluar dengan Sofea? Dah lupa dah kat rumah ni ada
isteri, ada anak?” Puan Murni meninggikan suara. Degil! Sejak bila perangai
degilnya ini datang kembali?
“Mama, Adam nak mohon dengan mama
supaya jangan masuk campur hal urusan rumah tangga Adam. And please… don’t defend you beloved daughter-in-law tu! She is just the samelah!” ujar Adam
tajam. Langkah kakinya terus berjalan laju menuju ke kamarnya dan Arlisa.
Puan Murni mengejar dari belakang,
namun dia terpaksa mematikan langkahnya kerana penat berjalan terlalu pantas.
Astaghfirullah! Apa kena dengan si Adam ni! Tiba-tiba nak samakan Arlisa dengan
Arissa pula.
Arlisa yang sedang mengintai Adam
dari balik pintu kamar tersentak apabila lelaki itu menolak pintu biliknya
kasar. Wajah Adam bengis dan kelat. Matanya langsung tidak menyinggah wajah
Arlisa.
“Adam… kenapa awak cakap macam tu
dengan mama?”Arlisa mendekati Adam yang sedang berdiri di hadapan almari. Bahu
suaminya itu disentuh lembut.
“Don’t
act like an angel, Lisa!” tengking Adam kasar sambil menjegilkan matanya.
Almari baju dibuka dan sepasang pijama dibawa keluar.
“Apa yang I buat dekat you sampai
you layan I macam ni, Adam?” soal Arlisa. Nanar otaknya memikirkan soal ini
dari petang tadi sehinggalah ke malam. Kenapa Adam melayannya begini? Kenapa?
“Jangan tanya I macam-macam. You
tahu jawapannya. You dan Arissa tu sama saja. Mula-mula memanglah baik… lepas
tu…” Adam tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Kepalanya tergeleng-geleng
laju. Di matanya hanya terimbau gambar-gambar mesra Arlisa dan Kamal.
“Kenapa you nak samakan I dengan
Arissa? Kan kita dah berbincang dulu sebelum kahwin, you takkan ungkit pasal
kakak I. Adam…” Arlisa menitiskan air matanya deras. Tangan Adam disentuh
lembut.
Walau bagaimanapun, sentuhan itu
ditepis Adam. Kakinya pantas berjalan menuju ke pintu kamar.
Arlisa tidak berputus asa. Adam
diekorinya dari belakang. “Adam… you nak ke mana ni?”
“Lisa, you dengar sini baik-baik ya!
Mulai hari ini, kita tidur asing-asing. Macam dulu-dulu…” kata Adam tegas tanpa
berpaling wajahnya ke Arlisa. Seterusnya, pintu kamar tersebut dihempas kuat ke
muka Arlisa.
Pernyataan Adam membuatkan jantung
Arlisa hampir-hampir berhenti berdetak. ‘Ya ALLAH, tergamak sungguh dia! Adam
dah tak sayangkan Arlisa lagi ke?’ rintih hati Arlisa yang sudah parah ditoreh
kesedihan.
***
PAGI
yang mendung. Hujan mulai turun rintik-rintik ke bumi. Adam Farhan yang sedang
bersiap-siap untuk ke tempat kerja di kamarnya terdengar akan bunyi tangisan
Anissa dari bilik sebelah. Hatinya berdetak kencang. Rindu pada Anissa. Rindu
tidurkan Anissa dan saling bergilir-gilir berjaga malam bersama Arlisa.
Sudah dua hari Adam dan Arlisa
berpisah tempat tidur. Mereka tidak berbicara antara satu sama lain. Malah Adam
selalu menjauhkan dirinya dari Arlisa apabila isterinya itu mendekat dan cuba
untuk berbincang mengenai masalah mereka. Perasaan Adam remuk seperti remuknya
hati dia semasa Arissa menipunya dahulu. Dia tidak boleh lagi mencintai wanita
lain seperti mana dia mencintai Arlisa. Namun kini, dia juga tidak boleh
mencintai Arlisa lagi kerana cintanya kini telah didustai.
Walau bagaimanapun, tangisan Anissa
menggerakkan hati Adam untuk berkunjung ke kamar isterinya. Dia tidak masuk ke
dalam tetapi cukup hanya mengintai dari celah pintu melihat Arlisa mendodoikan
Anissa tidur. Wajah isterinya tampak sedih dan matanya bengkak seperti tidak
cukup tidur. Namun Arlisa tetap tersenyum apabila dia mendodoikan Anissa tidur.
Pada saat ini, Adam mengakui yang Arlisa memang seorang ibu yang baik. Bukan
sahaja untuk Anissa tetapi untuk anaknya juga, Ameera.
“Hai anak mama ni kenapalah tak nak
tidur?” Arlisa merungut kecil. Dahinya berkerut bimbang melihat Anissa yang
asyik menangis.
Akibat letih berjalan ke sana ke
mari, Arlisa duduk di kerusi panjang yang terletak berhadapan dengan katil.
Anissa dibaringkan ke dadanya. Sambil-sambil itu belakang anaknya itu diusap
perlahan.
Adam menelan air liurnya. Perit.
Perit hati ini melihat keadaan Anissa begitu. Dia tidak sanggup! Namun oleh
kerana amarahnya terhadap Arlisa, dia terpaksa! Adam menarik pintu kamar yang
renggang itu rapat. Kakinya mula melangkah turun ke tangga.
Namun sebaik saja dia memulakan
langkah, suara Arlisa yang berselawat untuk mendodoikan Anissa itu mematikan
langkahnya. Ya ALLAH… suara isterinya memang merdu! Teringat lagi dia kali
pertama mendengarkan suara Arlisa mengalunkan ayat-ayat Al-Quran semasa
mengajar Ameera mengaji dahulu. Pada ketika itu, Arlisa belum lagi menjadi
isterinya dan dia menyamar sebagai Arissa.
Bibir Adam diketap kuat. Adakah apa
yang dia lihat di gambar-gambar itu benar? Ataupun ada orang yang ingin
merosakkan hubungan dia dan Arlisa? Tak mungkinlah Arlisa sebaik ini mampu
berbuat perkara sejahat itu. Dia kenal Arlisa! Arlisa bukan Arissa. Mereka
berbeza.
Adam kembali ke kamar isterinya.
Pintu bilik tersebut ditolaknya lembut. Arlisa yang sedang leka berselawat tersentak
melihat kehadiran Adam. Mata mereka saling bertentangan, namun tiada sebarang
kata yang terkeluar dari lidah masing-masing.
Setelah diam beberapa saat, Adam
terpaksa bersuara. Tangannya dipanjangkan untuk menyentuh Anissa. “Biar I
tidurkan dia. Mungkin… dia rindu I,” kata Adam tanpa perasaan.
Arlisa tersenyum. Akhirnya Adam
meruntuhkan egonya yang tinggi! Namun Arlisa mengambil keputusan untuk tidak
berbicara sepatahpun. Dia bimbang kata-katanya mampu melukakan Adam. Adam nak
tolong tidurkan Anissa pun dah satu rahmat! Tangannya Arlisa pantas mengangkat
Anissa dan menyuakan anaknya itu ke Adam.
Saat Anissa berada di pelukan Adam,
anak kecil itu tak sampai sepuluh minit sudah terlelap lena. Memang benar dia
rindukan ayahnya. Dua hari Adam tidak ambil pusing langsung mengenai Anissa.
Dua hari itu jugalah Arlisa mengalami kepayahan dalam menidurkan Anissa.
Syukurlah, hati Adam terbuka hari ini untuk menyentuh Anissa, getus hati
Arlisa.
Setelah Anissa lena dipangkuannya,
Adam meletakkan anaknya tidur di katil kecil bayi itu. Tanpa berlengah, Adam
membuka pintu kamar dan bercadang untuk melangkah kelur dari kamar tersebut.
“Adam… tunggu.” Arlisa menahan Adam
dari pergi. Dia tahu pasti ada sesuatu yang telah dilakukannya yang membuatkan
Adam begitu marah dan benci terhadapnya. Arlisa tidak betah lagi hidup begini.
Dia ingin memohon kemaafan Adam dan mengetahui apa salahnya.
Tubuh Adam perlahan-lahan berpaling.
Dia menatap Arlisa dengan wajah yang tidak berperasaan langsung. Seperti sudah
terhapus rasa cintanya pada Arlisa walaupun jauh di sudut hati dia amat
merindui wanita ini.
“I cuma… nak minta maaf kalau I ada
buat salah dengan you. I tak tahu apa salah I tapi… tolonglah maafkan Lisa,
Adam. Lisa tak boleh hidup macam ni. Lisa sayangkan Adam. Lisa sayangkan
hubungan kita,” ujar Arlisa yang sudah berkaca matanya.
Adam terdiam. Niat di hatinya ingin
meluahkan segala-galanya. Biar Arlisa tahu. Biar kebenaran sebenar dapat
dinyatakan Arlisa atas apa yang telah terjadi. Namun dia takut Arlisa mengakui semua
yang dilihatnya itu benar. Dan juga memang benar Arlisa curang kepadanya!
“Adam… jangan diam macam ni. Kalau
Arlisa ada buat salah dengan Adam, tolonglah cakap dengan Lisa apa salah Lisa,”
kata Arlisa lagi. Air matanya sudah mencurah-curah turun.
“Betul Lisa nak tahu?” Adam menarik
nafasnya tinggi. Berat hatinya untuk menyatakan semua ini. Berat! Tangan Arlisa
ditariknya keluar bilik menuju ke biliknya.
“Duduk,” kata Adam sambil
menunjukkan arah ke katilnya. Adam menggodek beg sandang kulit yang selalu
digunakan untuk ke tempat kerja. Sekeping envelop bersaiz A4 dikeluarkan dan
dihulurkan ke Arlisa.
Arlisa bingung dengan pemberian
Adam. Apa semua ni? Surat apa pulak ni?
“Bukalah… cepat,” arah Adam tegas.
Tangan Arlisa dimasukkan ke dalam
envelop tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila mengeluarkan isinya. Empat
keping gambar. Empat keping gambar dirinya dan Kamal dalam aksi yang sangat
mengelirukan! Astaghfirullah!
“Ya ALLAH…” Arlisa menekup mulutnya
rapat. Air matanya sekali lagi berderai. Memang salah dia. Ini akibat yang
perlu dia tanggung atas dosa yang telah dia lakukan.
“Can
you explain this to me? Apa semua ni? Is
this you?” soal Adam bertubi-tubi. Jauh di sudut hati Adam, dia masih
berharap yang Arlisa akan menidakkan gambar-gambar itu semua adalah dirinya.
Adam tahu yang Arlisa tidak akan tergamak melakukan semua ini kepadanya.
“Adam… Lisa minta maaf. Ya, memang
semua ni gambar Lisa. Memang Lisa berjumpa dengan dia. Maafkan Lisa, Adam…
Maafkan Lisa…” ucap Arlisa sebak.
Kata-kata Arlisa bagaikan renjatan
elektrik menusuk ke jantung Adam. Sangkaannya meleset! Arlisa mendustainya!
Arlisa curang!
Adam memalingkan wajahnya dari
menatap wajah Arlisa. Air matanya bergenang di kolam mata. Namun Adam
menahannya dari tertumpah. Ego Adam membesar. Dia tidak menyangka perkara
seburuk ini berlaku kepadanya buat kali yang kedua.
“Great
Lisa. Terima kasih sebab buat suami you macam ni. I tak sangka yang you ni…
sejahat ni. Syaitan yang bertopengkan manusia!” tengking Adam.
Tangisan Arlisa makin melebat. Ya
ALLAH, Adam tersalah anggap akan semua ini walaupun memang sungguh dia bersalah
atas semua yang terjadi.
“Adam, you kena dengar dulu apa yang
I nak cakap dengan you. I can explain all
this.”
“Explain
what Lisa? Selepas you mengaku yang you jumpa Kamal, you nak explain apa lagi?” Adam menyentap bahu
Lisa. Pandangannya tajam merenung mata Arlisa yang dipenuhi air mata.
“Tak… ini semua bukan macam you
sangkakan. I takkan buat you macam ni. Walaupun I mengaku yang I memang jumpa
dengan Kamal. I isteri yang derhaka. I keluar tanpa kebenaran you. I buat
keputusan tanpa beritahu you. Tapi I buat semua ni sebab I nak selesaikan semua
masalah ni. You kena faham, Adam. I takkan curang dengan you. I sayangkan you…”
luah Arlisa bersungguh-sungguh.
“Shut
up! Jangan cakap yang you sayang I! You sanggup jual diri you untuk
selesaikan masalah ni haa?” Adam tidak dapat mengawal perasaannya. Amarahnya
makin membuak-buak. Dia terlupa yang dia sedang menjalani ibadah puasa!
“No!
No! Demi ALLAH, I tak buat macam tu Adam. Dalam hati I hanya ada you dan
anak-anak kita. Kalau I nak buat macam tu… I takkan kahwin dengan you. I takkan
berkorban segala-galanya hanya untuk kebahagiaan kita. I takkan… khianati kakak
I sendiri dengan berkahwin dengan you…” bicara Arlisa dengan nada suara yang
makin mengendur. Ingatannya terhadap Arissa membuatkan hatinya pedih. Semua
yang berlaku adalah berpunca dari dirinya yang tamak akan cinta. Dia cintakan
Adam tetapi dia terlupa yang Adam itu adalah suami kakaknya yang terdahulu.
“Sudahlah Lisa. Enough of this jokes. I can’t take this anymore. You boleh cakap
apa yang you nak cakap, but nothing is
going to change!” Adam menolak badan Arlisa keluar dari kamarnya. Pintu
biliknya ditutup rapat. Mereka berdua berdiri di koridor saling memalingkan
wajah.
“Adam… I mohon pada you untuk dengar
penjelasan I. Apa yang Kamal nak dengan I pada malam tu… Dia datang untuk cakap
dengan I yang dia tak nak ugut kita lagi… Dia….”
“Enough
Lisa!” potong Adam. “You dengar sini ya… The only reason why I’m still here living with you is because of Anissa
and Ameera. Anak-anak I. Dan juga mama. Sebab I tahu mama akan jadi gila
tanpa you. I tak tahu apa yang you dah buat dengan mereka semua, but you did it!
Tapi dalam hati I ni… rasa cinta tu
dah remuk. Hilang! I tak tahu kenapa TUHAN selalu beri I ujian ini. Bila I
cintakan seseorang, hati I selalu akan dihancurkan. I sangka you adalah wanita
yang paling baik yang pernah I jumpa… but
then I realized something. Nobody is perfect. And there are no such things as
angels living on earth.”
Adam
berlalu turun dari tingkat atas. Manakala Arlisa pula dibiarkan terpaku di situ
tanpa belas kasihan. Adam benar-benar membencinya. Adam benar-benar tidak
mencintainya lagi! Kini hatinya juga remuk. Sama seperti Adam walaupun dia
tidak dikhianati kerana dialah yang mengkhianati janji-janji mereka berdua.
Arlisa dihenyak perasaan bersalah. Bersalah kerana keluar tanpa kebenaran
suami. Bersalah kerana mengingkari kata-kata suaminya.
Tanpa Arlisa dan Adam sedari, Fida
tekun mendengar perbalahan mereka berdua dari kamar Puan Murni. Puan Murni yang
berada di belakang Fida menggosok-gosok dadanya. Penat dan sesak dadanya
melihat ulah suami isteri itu. Astaghfirullah… sampai bila masalah mereka ini akan
selesai?
***