Home Novelet Cinta Amnesia
Amnesia
Que
5/11/2019 11:16:01
30,211
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Part 5

Nadiya dan beberapa manusia di ruang tamu itu memandang pintu rumah saat ketukan bergema di pintu itu. Terkejut dengan bunyi ketukan yang mengganggu waktu istirehat mereka malam itu.

            “Siapa datang malam-malam macam ni?” Tanya Puan Seri hairan. Setahunya, dia tidak menunggu sesiapa malam ini. Dan dia juga tidak dihubungi sesiapa untuk menunggu kehadiran tetamu.


            “Biar Nad buka.” Nadiya yang paling dekat dengan pintu bersuara. Dia bangkit. Kunci pintu diselak sebelum pintu besar itu ditarik. Di hadapannya kini, ada dua orang manusia. Dan ada seorang anak kecil di dukungan seorang wanita.


            “Nad?” Tanya wanita yang berdiri di hadapan Nadiya. Terkejut dengan kehadiran Nadiya di sini.


            Sementara Nadiya sudah terkelu. Dah lama dia tdak melihat wajah ini. “Kak Shaz?” Soalnya minta kepastian. Pelik dengan kehadiran Kak Shaz yang tiba-tiba malam-malam sebegini.


            “Along?” Suara Syafiq dari belakang kedengaran. Dia pantas bangkit bila suara yang menyebut nama Nadiya tadi seakan familiar di telinga. “Ehh masuklah.” Ajaknya.


            “Kenapa balik tak beritahu?” Suara Puan Seri sebaik sahaja Kak Shaz melabuhkan duduk di sisinya. Makin bahagia wajahnya bila anak dan menantu berkumpul di rumahnya hujung minggu begini. Tidak dirancang langsung.


            Shazleen tersenyum. “Sebenarnya kita orang tak rancang pun nak balik sini. Tapi dah kebetulan Fareed ada kerja dekat Melaka, tu yang datang sini terus.” Lembut suara Shazleen menjawab.


            “Duduk sini sampai bila?” Soal Puan Seri lagi. Berharap yang anaknya akan menginap lama di sini.


            Shazleen pandang suaminya sebelum kembali pandang Mummynya. “Empat hari je, Mummy.” Bukan niatnya tidak mahu berlama-lamaan di sini. Tapi tuntutan kerja mereka suami isteri yang memaksa mereka tidak boleh berlama di sini.


            Puan Seri ukirkan senyuman walaupun jangkaannya jauh terpesong. Dia mengerti dengan tugas anak menantunya. “Okaylah tu. Sekejap dapat jumpa pun jadilah. Asal Mummy nampak dengan mata sendiri keadaan anak Mummy semua.” Senyum lagi.


            “Nad.” Nadiya menoleh bila namanya disebut Shazleen. Dia tersenyum bila nampak senyuman wanita itu. “Nad okay?” Soalnya. Matanya melirik seketika pada adiknya yang lagi mengacah anaknya di hujung sofa. Matanya kembali pada Nadiya.


            Nadiya jungkit sebelah kening. Soalan apakah ini? Dia berada di sini, masih sihat walafiat, dan Kak Shaz masih tanya soalan itu? “Err, Nad okay.” Dia tetap juga berikan jawapan walaupun dia hairan. “Nad okay.” Dia angguk kepala.


            Shazleen senyum. “Baguslah. Lega hati akak tengok Nad okay.”


            Nadiya pandang Shazleen tidak berkelip. Masih lagi tak faham apa yang Kak Shaz cuba sampaikan padanya.



HELAIAN muka surat seterusnya diselak. Mata setia memerhati setiap bait ayat yang tertera di kertas putih itu. Setiap patah kata ditanam ke dalam hati. Mahu menjiwai cerita yang dikarang si penulis.


            Jarum jam berdetik melepasi angka sepuluh. Kantuk yang tadinya bermaharajalela di kelopak mata, sudah hilang entah ke mana. Rasa yang membuak-buak ingin mengetahui penamat kisah itu menghancurkan rasa mengantuknya.


            Bunyi pintu yang ditutup tidak mengganggu fokusnya untuk terus membaca. Rasa henyakan di sebelahnya juga tidak mengalihkan matanya dari dada buku. Helaian seterusnya diselak lagi.


            “Baca apa tu?”


            Suara tu entah mengapa mengejutkan Nadiya yang tekun membaca. Tersentak dia memandang wajah Syafiq di sebelah. Terkejut.


            “Kenapa?” Soal Syafiq hairan. Terkejut lain macam. Aku tanya baca apa je.


            “Err..” Mata berkelip pandang wajah Syafiq. “A.. Apa dia?” Soalnya.


            Syafiq mengeluh. “I tanya, you baca apa?” Lantas soalan yang sama diulang buat kali kedua. Dia bukan seorang yang suka mengulang soalan yang sama beberapa kali.


            “Ohh..” Telan liur. “Baca buku ni.” Buku tebal di tangan di angkat separa bahu. Menunjuk pada Syafiq tajuk buku yang dibacanya.


            Syafiq baca tajuk buku berwarna hitam itu. Amnesia. Entah kenapa, tajuk buku itu mampu buatkannya menelan liur. Dia pandang Nadiya kemudiannya. “Best ke?” Nadanya tiba-tiba bertukar keras. Suara tanpa nada. Dan dia sendiri bingung – tak mengerti tentang dirinya.


            Nadiya hembus nafas perlahan seraya mengganguk kepala. “Sangat best.” Jeda. “Macam mana si perempuan tu cari semula jalan hidup dia yang samar-samar. Kena cari seorang diri sebab dia rasa semua manusia menipunya, termasuk suami dia sendiri.” Nadiya menceritakan jalan cerita setakat yang dia baca mengenai buku di tangannya.


            Syafiq telan liur lagi. Terasa seolah, Nadiya memerlinya dengan jalan cerita itu. “Ohh.” Balasnya pendek.


            Tiba-tiba rasa menyesal menyoal isterinya tentang buku itu. Bibirnya yang tiba-tiba kering dibasahkan dengan lidah. Dia baringkan tubuhnya di sisi isterinya. Selimut ditarik sehingga ke paras dada. Bersedia mahu tidur.


            “Err, you nak tidur dah ke?” Tanya Nadiya bila keadaan mereka hanya sepi. Tapi sungguh, dia rasa nak tamatkan pembacaannya saat ini.


            Syafiq pejamkan matanya. “Hmm..” Balasnya.


            Nadiya pantas menuruni katil. Buku di tangan ditutup dan dipegang bersama langkah ke suis lampu di dinding sebelah pintu bilik. “I tutup lampu okay.” Beritahunya sesaat sebelum lampu ditutup. Gelap menyelubungi bilik itu. “I baca buku dekat luar.” Beritahu Nadiya dan dia pantas memboloskan diri dari bilik itu.


            Syafiq kembali buka matanya bila dengar bunyi pintu bilik ditutup. Perlahan-lahan dia melepaskan nafas keluhannya. Dia memandang syiling yang gelap. Sekali lagi dia mengeluh. Kata orang, jangan cepat mengeluh. Tak baik.


            Tapi entah kenapa, dia tak pedulikan apa orang kata. Yang dia tahu, dia hanya mahu mengeluh saja saat ini. Mengeluh dengan apa yang berlaku.


            Semuanya salah dirinya.


            Segalanya.


            Dan dia masih lagi mencari jalan untuk keluar dari tembok ini. Sebab dia tahu, isterinya tidak mahu lagi terus bersamanya dengan apa yang berlaku.


            Ceraikan Nadiya, huh?



Previous: Part 4
Next: Part 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Que