Hari minggu itu Rizman tidak ke klinik kerana dia ingin bersama
keluarganya. Pagi hari minggu begini, biasanya Rizman suka bersiar-siar di
halaman banglo itu, menghirup udara segar dan menyaksikan matahari terbit dari
ufuk timur.
Rizman tidak lupa membelek mawar putihnya yang ditanam di dalam
pasu. Seringkali mawar putih itu mengingatkan dia kepada wanita yang masih
bertakhta di hatinya itu. Ya, dia masih mencintai wanita itu sungguhpun Sarah
yang menjadi jodohnya hingga ke hari ini. Haryati, wanita yang dinikahi 17
tahun lalu kerana cinta. Sarah pula wanita pilihan ibunya. Kerana Haryati bukan
di kalangan golongan berada, Datin Mariani menyisihkan Haryati dari hidupnya.
Padahal cintanya buat Haryati begitu tebal. Selepas Haryati melahirkan anak
mereka, Datin Mariani menyuruh dia menceraikan Haryati dan mengahwini Sarah.
Tambahan pula anak mereka meninggal sewaktu lahir, jadi bertimpa-timpa
penderitaan Haryati.
‘Haryati, abang masih mencintaimu. Maafkan abang. Jika masih ada
jodoh dan pertemuan, abang masih nak teruskan hubungan kita yang terputus.
Tapi, Haryati di mana? Ya ALLAH, berikan petunjuk agar aku bertemu Haryati.’
Namun setelah berkahwin dengan Sarah, mereka tidak dikurniakan zuriat.
Datin Mariani mencadangkan mereka
mengambil anak angkat saja. Indra Faris diambil menjadi anak angkat Rizman dan
Sarah. Kini Indra Faris sudah berusia 17 tahun. Dia diasuh dan dididik bagai
menatang minyak yang penuh. Sungguhpun begitu, awal-awal lagi Indra Faris telah
dimaklumkan bahawa dia hanyalah anak angkat keluarga itu.
Rizman mencium mawar putih itu. Haryati suka benar dengan mawar
putih. Bagi mengingati Haryati, Rizman mengabadikan pohon mawar putih itu
sebagai ingatan buat Haryatinya. Sekuntum mawar putih dipetik. Segala kenangan
silam terbungkus kemas di dalam hatinya. Kenangan silam itulah peneman kala
rindunya pada Haryati bertandang. Namun dia pelik sendiri tatkala baru
terperasan, ada batang-batang mawar putih yang telahpun dipotong separas satu
jengkal.
‘Eh, siapa yang potong batang-batang mawar ni? Sarah? Tak ada pula
Sarah cakap apa-apa.’
Persoalan itu akan ditanyakan pada Sarah nanti. Rizman masuk ke
dalam rumah. Tersenyum dia melihat Indra Faris awal-awal pagi sudahpun tekun
belajar di ruang tamu rumah. Faris memang rajin belajar. Tidak hairanlah dia
antara pelajar cemerlang di sekolahnya.
“Is, macam mana persediaan SPM?” Rizman duduk di sebelah Faris.
“Insya-ALLAH papa, Is cuba
buat yang terbaik dalam SPM nanti. Papa doakan Is ya,” ujar Faris.
Rizman memeluk bahu Faris. Kepala anak itu diusap penuh bangga.
“Abang, Is… Mari sarapan,” suara Sarah kedengaran memanggil dari
dapur.
Rizman meletakkan sekuntum mawar putih yang dipetiknya tadi ke
dalam aquarium mawar putih. Dibiarkan mawar itu terapung bersama mawar-mawar
yang lain yang masih segar. Kebiasaannya bila Rizman memetik mawar putih, dia
akan apungkan mawar itu di dalam aquarium itu.
Sarah meneliti tindak-tanduk suaminya. Faham sangat dia dengan
kerinduan Rizman pada isteri pertamanya itu. Sarah tidak meningkah
tindak-tanduk Rizman sungguhpun tingkah itu seringkali menerbitkan bibit-bibit
cemburu di hatinya pada Haryati. Namun dia hormat, Haryati tetap menjadi cinta
pertama Rizman. Itu kata Rizman sewaktu mereka diijabkabulkan. Bertambah rasa
bersalahnya tatkala Rizman dipaksa menceraikan isterinya semata-mata dipaksa
mengahwininya, kerana Datin Mariani tidak menyukai Haryati.
Namun tanpa pengetahun Datin Mariani, Rizman tidak menceraikan
Haryati. Hingga kini Haryati masih isterinya. Malah Rizman masih memberi nafkah
wang bulanan kepada Haryati menerusi akaun. Cuma permintaan Haryati yang mahu
agar mereka tinggal berasingan kerana tidak mahu hubungan yang masih wujud itu
dihidu Datin Mariani. Setelah beberapa lama berjauhan, Haryati sudah tidak
dapat dihubungi. Rizman tak tahu bagaimana lagi mahu menjejaki Haryati. Namun
hingga kini Rizman masih memberi nafkah wang bulanan kepada Haryati menerusi
akaun.
“Is, kejap lagi kita nak pergi rumah nenek. Marilah sarapan dulu.
Kemudian kita akan ke Pekan Kuah menjenguk nenek,” ujar Sarah lagi.
Faris mengemaskan buku-bukunya kemudian pergi ke meja makan untuk
bersarapan.
“Papa, nenek masih sakit ke?” soal Faris setelah menghabiskan mee
gorengnya.
Rizman dan Sarah saling memandang. Sudah lebih dua bulan Datin
Mariani terlantar di rumahnya. Diserang strok yang menyebabkan sebahagian
tubuhnya lumpuh.
“Nenek belum sihat. Puas Pak Long dan Pak Ngah berikhtiar
menggunakan rawatan moden dan tradisional, namun tak sembuh juga. Malam tadi
Pak Long call papa suruh papa ke sana. Katanya nenek asyik sebut nama
papa aje,” ujar Rizman sambil menghirup kopinya.
“Papa, orang tua-tua kalau sakit teruk dalam masa yang lama, tu
tandanya dia banyak dosa? Betul ke papa?” soal Faris yang sudah menghabiskan
sarapannya.
Sekali lagi Rizman dan Sarah saling memandang.
“Hmm…itu di luar pengetahuan kita, manusia biasa. Kita pun tak
tahu. Entah-entah kita yang sihat ni lagi banyak dosa. Jadi kita mesti sentiasa
bertaubat dan beristighfar. Pengalaman papa bekerja sebagai doktor, setiap hari
berdepan dengan kematian pesakit. Macam-macam. Namun, sakit tu juga kaffarah
dosa kita. Jadi kita mesti selalu memohon keampunan pada ALLAH, agar terampun
dosa-dosa kita. Kerana kita tak tahu bila ajal kita,” ujar Rizman lagi.
Faris menganggukkan kepala tanda faham kemudian berlalu ke bilik
untuk mengemas barang-barang. Faris sudah menyiapkan semua kerja sekolah. Jadi
dia tidak berbelah-bahagi untuk pergi menjenguk neneknya yang sakit. Surat
Irdina juga sudah dibalas. Dia senang hati. Malah dia berazam nak kenal Irdina
dengan lebih rapat lagi. Sekeping wajah itu terlayar di minda. Disebabkan mahu
memohon maaf pada Irdina, dia terpaksa memotong sepuluh batang mawar putih
papanya. Selesai berkemas barang untuk balik kampung, Faris duduk di meja makan
semula.
“Sarah, Sarah ada
potong batang mawar abang?”
Berderau darah Faris mendengar soalan Rizman itu. Nak aje dia
bangun dari meja makan dan berlalu keluar, tapi kakinya seperti melekat di
lantai pula.
‘Aduss…habislah aku kali ni.’
Sarah yang sedang menghabiskan jus oren mengangkat bahu. Mereka
saling memandang sebelum pandangan itu dihalakan pada Faris. Faris cepat-cepat
bangun.
“Faris, nanti
dulu,” tegas suara Rizman buat Faris kecut perut.
“Err…ada apa papa?” Faris buat-buat tak faham.
“Hmm…apa yang Is dah buat dengan batang-batang mawar papa tu?”
Serkap Rizman. Kalau dah bukan Sarah yang potong, dah tentulah Faris punya
kerja.
Faris menggaru kepala.
“Err…Is… Hm…Is hadiahkan pada kawan, pa. Is minta maaf tak minta
izin papa atau mama,” jawab Faris terkulat-kulat.
Wajah tegas Rizman tadi berubah menjadi senyuman.
“Kawan Is tu perempuan ke?” Rizman menyerkap lagi.
Perlahan Faris mengangguk. Pipinya dah merah.
“Kawan biasa aje papa,” jawab Faris lagi.
Rizman termenung.
“Mama Haryati kamu pun suka sangat dengan mawar putih tu. Dulu papa
pikat Mama Haryati kamu dengan mawar putih tu la. Terus Mama Haryati kamu jatuh
hati pada papa. Kami kahwin dan hidup bahagia, tapi nenek kamu tak sukakan Mama
Haryati. Sebab tu Mama Haryati kamu meminggirkan diri dan akhirnya
menghilangkan diri. Hingga sekarang papa tak tahu di mana Mama Haryati kamu,”
ujar Rizman sebak.
Perlahan Sarah mengurut belakang badan suaminya. Setiap kali
teringatkan Haryati, Rizman pasti menuturkan kata-kata seperti itu.
“Insya-ALLAH bang, kita tetap akan cari kak Yati. Kita banyak
berdoa, semoga ALLAH permudahkan urusan kita ya bang,” pujuk Sarah lagi.
Rizman mengangguk. Wajahnya memendung. Faris turut termenung. Entah
bilalah dia dapat melihat wajah papanya tersenyum? Hanya doa dipanjatkan, moga
satu hari nanti Mama Haryatinya akan kembali ke pangkuan papanya.
Sejak malam tadi Datin Mariani asyik meracau sambil memanggil
Rizman. Dia nak jumpa anak bongsunya itu. Dia nak minta maaf. Rizman sekeluarga
baru aje tiba di luar rumah.
“Man, pergilah jenguk mama tu. Sejak malam tadi mama asyik tanyakan
Man. Mungkin ada perkara yang dicakapkan dengan Man tu. Cakap baik-baik dengan
mama. Apa pun salah dia, dia tetap ibu yang melahirkan kita,” kata abang
longnya lagi.
“Baik abang long,” ujar Rizman terus masuk ke dalam rumah diikuti
Sarah dan Faris.
Mereka bersalaman dengan Datin Mariani. Sampai giliran Rizman, Datin
Mariani terus menangis dan meraung macam hysteria.
“Mann… Maafkan mamaa… Mann…badan mama dah tak boleh gerakkk… Man,
maafkan mama. Mama menyesal. Mama bersalah memisahkan Man dan Yati. Yati baik.
Mama yang jahat. Hukumlah mama Man… Mann…”
Mendengar pengakuan mamanya, Rizman beristighfar. Serentak itu air
matanya mengalir laju. Wajah Haryati membesar di mindanya.
“Mama, Man pun nak minta maaf pada mama. Sebenarnya Man tak
ceraikan Haryati. Haryati masih isteri Man, ma. Cuma kami tinggal berasingan.
Namun setelah beberapa lama, Man dah tak dapat hubungi Haryati. Puas Man cari
dia tapi tak tahu dia di mana,” ujar Rizman lirih.
Mendengar kata-kata Rizman, Datin Mariani meraung lagi.
“Man, mama yang upah orang untuk halau Yati. Mama tahu Man masih
berhubung dengan Yati. Mama tak mahu Man terus mencintai Yati dan sia-siakan
Sarah. Namun rupanya cinta Man begitu teguh pada Haryati. Mama minta maaf Man,”
ujar Datin Mariani teresak-esak.
Mendengar kata-kata itu, Rizman menangis. Rata-rata keluarga
abangnya turut beristighfar. Mereka kenal, Haryati baik orangnya sungguhpun dia
hanyalah gadis kampung.
“Mama, kenapa mama kejam pada Yati? Apa dosa Yati pada mama?
Tergamaknya mama halau Yati dari rumah dia sendiri,” ujar Rizman kesal.
Air mata Rizman mengalir lagi. Wajah Haryati semakin membesar dalam
layar mindanya. Isterinya itu memang tidak pernah jauh dari hatinya.
“Yati tak berdosa pada mama. Tapi mama yang berdosa pada Yati, Man.
Man, sebenarnya kau ada anak Man. Anak perempuan. Anak perempuan Man masih
hidup,”ujar Datin Mariani dengan nafas tersekat-sekat.
Serta-merta Rizman merenung ke wajah Datin Mariani. Air matanya
dikesat.
“Apa ma? Man ada anak? Bukankah anak Man mati ketika lahir?” soal
Rizman lagi.
Datin Mariani menangis sambil menggelengkan kepala.
“Anak Man masih hidup. Mama yang buang dia. Mama tak nak dia warisi
sesen pun harta keluarga kita. Mama bersalah Man. ALLAH bayar perbuatan mama
dengan tak kurniakan zuriat pada Man dan Sarah. Mama bersalahh… Anak perempuan
itu satu-satunya cucu mama, Man carilah dia. Mama ada pakaikan gelang emas yang
terukir nama Mariani di gelang itu. Mama sengaja tinggalkan gelang tu dengan
anak kamu. Cucuku, nenek minta maaf kerana buang kamu. Nenek menyesal cu…
Maafkan nenek,” ujar Datin Mariani teresak-esak.
Rizman terdiam. Sebak di hatinya bercampur kesal. Tergamak mamanya
buang cucu sendiri.
“Man, janjilah dengan mama. Man mesti cari Yati, mintakan maaf mama
pada Yati. Mama turut upah nurse tu untuk palsukan kematian anak kamu.
Kamu carilah maklumat tentang cucu mama tu di hospital, Man. Maafkan mama ya
Man. Ah, sakitnya,” ujar Datin Mariani sambil menekan dadanya.
Rizman beristighfar. Dia tidak sangka mamanya sanggup buat apa saja
demi memisahkan dia dan Haryati. Tak sangka mamanya sanggup pisahkan anak dari
ibunya. Tergamak mamanya menipu mereka yang bayi mereka meninggal. Air matanya
gugur. Dia masih tidak dapat menerima apa yang telah dilakukan mamanya.
Abang longnya terus memangku tubuh Datin Mariani. Anak mata Datin
Mariani tiba-tiba kelihatan terbeliak dengan nafas tersekat. Orang ramai sudah
mula membaca Yasin.
“Man, lepaskanlah derita mama dengan kemaafan kau buat mama. Kesian
mama terseksa menjelang sakaratnya tu,” ucap abang ngahnya pula.
Rizman jatuh kasihan. Terus dia menggenggam jemari Datin Mariani.
“Mama, Man maafkan mama. Mama, mengucap maa… La ila ha illallahh…”
Beberapa kali Rizman mengajar mamanya mengucap dua kalimah syahadah
itu. Beberapa minit kemudian, Datin Mariani pun menghembuskan nafasnya yang
terakhir, meninggalkan jasadnya yang terbaring kaku dan lesu. Rizman menangis.
Perasaannya bercampur baur kini. Sampai ke hujung dunia pun dia akan cari
isteri dan anaknya itu.
Pagi itu, heboh satu sekolah apabila pengawas bertugas yang
melakukan sportcheck menjumpai surat cinta di meja Hilda. Kecoh semua
pelajar di sekolah memperkatakan hubungan cinta Faris dan Irdina. Faris dan
Irdina dipanggil ke bilik guru disiplin. Hilda turut dipanggil namun sejak tadi
dia hanya menundukkan wajah.
“Ustazah, bukan saya yang tulis surat-surat tu. Memang Faris ada
beri saya surat, tapi saya dah buang surat tu ke dalam semak. Ustazah boleh
tanya Hilda. Hilda ada dengan saya waktu saya buang surat tu ustazah.”
Bersungguh Irdina membela diri. Guru disiplin, ustaz Firdaus, cikgu
Faridah dan ustazah Seri saling memandang. Faris sejak tadi hanya terdiam dan
mematungkan diri.
“Faris, betulkah surat ni kamu yang tulis?” soal ustaz Firdaus.
Faris menganggukkan kepala. Anak mata ustaz Firdaus kini pada wajah
Hilda pula.
“Hilda, betulkah surat ni Irdina yang tulis?” soal ustaz Firdaus
lagi.
Hilda tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Tidak berkedip
ustazah Seri merenung wajah Hilda. Dia yang membela Irdina di hadapan guru
disiplin itu apabila melihat tulisan di surat itu bukan tulisan Irdina. Tambahan
pula Irdina seorang yang tekun dalam pelajaran. Dia yakin Irdina tidak akan
terjebak dengan gejala cinta monyet itu.
“Baik kamu cakap betul-betul, siapa sebenarnya yang tulis surat
tu?” soal cikgu Faridah, garang.
“Hmm…sebenarnya surat tu sa.. Saya yang tulis, cikgu,” ujar Hilda
lagi.
Faris dan Irdina tersentak. Irdina tidak menyangka Hilda akan
melakukan semua itu. Selama ini dia menganggap Hilda sudah seperti saudara
kandung. Sanggup betul Hilda melakukan semua itu demi kepentingan dirinya.
Faris mengetap bibir. Antara terkejut dan rasa kesal mula bercampur.
“Cikgu, kalau saya tahu bukan Irdina yang balas surat saya, saya takkan
layan surat Hilda tu cikgu. Saya tulis surat pada Irdina hanya untuk berkenalan
dan bertukar-tukar fikiran berkenaan pelajaran saja. Tak lebih dari itu.” Faris
mula membela diri.
Hilda mengetap bibir berseli malu yang teramat sangat.
“Saya minta maaf cikgu. Saya tak buat lagi. Maafkan saya, cikgu.”
Hilda menangis teresak-esak.
“Faris, saya minta maaf. Sebenarnya Irdina tak nak surat awak dan dia
dah buang surat awak tanpa membacanya. Saya kasihankan awak sebab tu saya
pungut surat tu dan balas surat tu agar awak tak kecewa.”
Kata-kata itu membuatkan kesemua guru yang berada di situ tergelak.
Kali ni wajah Irdina pula yang merona kemerahan. Sungguh dia tak sangka Hilda
sanggup pungut surat yang dibuangnya tempoh hari. Malah Hilda sanggup membalas
surat-surat itu menggunakan namanya.
“Kamu ni Hilda, mengaku aje la yang kamu syok kat si Faris ni kan?”
usik ustaz Firdaus lagi tambah membuatkan Hilda malu.
Faris pula hanya tertunduk.
“Faris, Irdina dan Hilda, ustazah nak ingatkan kamu, surat,
chatting, sms dan segala bentuk cara berhubung lelaki dan perempuan itu,
semuanya itu jalan-jalan ke arah zina. Kamu tak takut terlanjur ke? Memanglah
sekarang tidak lagi. Tapi bila dah bersurat-surat, dah kenal rapat, mulalah nak
keluar berdua, kemudian berpegangan tangan dan akhirnya bunting sebelum nikah.
Kamu ni muda lagi tau. SPM pun tak ambil lagi. Ustazah nak ingatkan kamu,
jangan wujudkan percampuran lelaki dan perempuan. Lebih-lebih lagi pergaulan
dan percampuran yang tidak terkawal. Jangan dilayan cinta monyet waktu remaja
ni. Tumpukan perhatian pada pelajaran kamu. Itulah kewajipan kamu pada ibu dan
bapa kamu. Mereka sangat mengharapkan kejayaan kamu,” ujar ustazah Seri panjang
lebar.
Faris, Irdina dan Hilda sama-sama mengangguk. Setelah menerima
kaunseling dari guru kaunseling dan guru disiplin, mereka dibenarkan kembali ke
kelas. Mereka tidak didenda. Hanya diberikan kata amaran agar tidak mengulangi
hal tersebut.
Keluar dari bilik kaunseling, Faris terus berlalu ke kelasnya.
Melihat kelibat Faris sudah jauh, Irdina pantas mendepani Hilda.
“Ida, aku tak sangka kau sanggup buat semua tu. Kalau kau syok kat
Faris, kenapa tak berterus-terang aje kat dia? Kenapa kau guna nama aku? Aku
memang tak sangka. Aku ingat kaulah sahabat baik aku. Aku malu, tau tak,” ujar
Irdina kesal.
Selesai berkata-kata, Irdina terus meninggalkan Hilda yang hanya
membisu. Hilda terus ke tandas. Merasa malu dengan tindakannya, dia menangis
semahu-mahunya di tandas. Seharian itu dia tidak masuk langsung ke dalam kelas.
Rupanya kes surat cinta itu memberi tamparan yang hebat pada Hilda.
Disebabkan hal surat itu, Hilda kerap bersendirian. Dia sudah tidak berkawan
dengan Irdina lagi. Beberapa kali Irdina cuba menegur Hilda, namun Hilda lebih
suka mengelak dan melarikan diri. Jadi Irdina pun membawa diri. Nak ke
mana-mana pun seorang diri. Nak mengulangkaji pelajaran pun seorang diri juga.
Mujurlah Irdina rapat dengan guru-guru di sekolah. Guru-gurulah yang banyak
membantu dan memberi motivasi pada Irdina menjelang peperiksaan SPM, lebih-lebih
lagi ustazah Seri yang tidak jemu-jemu memberikan dorongan semangat pada
Irdina. Selain Hilda, hanya ustazah Seri yang mengambil berat tentang apa yang
dihadapi Irdina di rumah batu dua tingkat itu.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…