Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,519
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 7

"Dari tadi tersengih je, kenapa?" tegur Mardiyah kepada Mikayla. Sejak mereka balik dari bilik gerakan lagi, dia perasan Mikayla sering tersenyum sendiri.

"Eh ye ke?" Mikayla bertanya. Tidak perasan pula dirinya tersengih dari tadi.

Muka Mardiyah mula berubah. Dia tersenyum senget sambil menyiku sahabatnya itu berkali-kali.

"Haaa... teringatkan siapa ni?" Mardiyah bertanya lagi. Mikayla memukul lengan Mardiyah pelan.

"Tak ada apa-apa," Mikayla berkata sambil mengambil buku dari dalam beg sekolahnya.

"Elele... Macam saya tak tahu," Mardiyah makin galak mengusik rakan baiknya itu. Mikayla memandangnya tajam. Mardiyah tersengih melihat renungan rakannya itu.

"Ok, ok. Tak buat dah. Tapi kan, kenapa awak tak couple ala-ala islamik gitu?" Mikayla hanya menggeleng mendengar kata Mardiyah.

"Awak tahu tak apa persamaan dengan couple islamik dengan couple  yang biasa tu?"

Mardiyah menjadi hairan mendengar pertanyaan Mikayla itu. Dia lantas menggelengkan kepalanya.

"Couple islamik tu ibaratnya macam minum arak tapi baca bismillah. Hah, arak haram ke halal, cik Mardiyah?"

"Hurmm. Mestilah haram," ujar Mardiyah yang kini mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Mikayla itu.

Perumpamaan bercinta dalam Islam adalah seperti arak. Mahu halalkan sekalipun dengan cara islamik, tetap haram juga. Begitu ideologi Mardiyah.

Mikayla tersenyum melihat reaksi Mardiyah yang sudah memahami apa yang hendak dikatakan itu.

Sebenarnya, dia tidaklah berfikir jauh tentang hubungannya dan Wajdi. Cukup sekadar teman rapat semasa kecil. Hanya Mardiyah sahaja yang melebih-lebih. Haish... beberapa kali menidakkan, diusik juga.

'Mikayla ni, susah juga nak diusik, huhu...' keluh Mardiyah dalam hati. Sebenarnya dia hanya suka mengusik Mikayla, namun sayangnya tidak terlalu berjaya tampaknya.

Apakah dirinya sendiri yang agak keterlaluan?

~~~

Sudah genap dua minggu Faiz menjadi warden di sekolah yang pernah menjadi nostaglia dalam
kehidupannya.

Malam itu, dia mengemaskan beberapa buku dan fail yang berselerak di atas meja kerjanya. Sedang asyik berkemas, tiba-tiba sekeping polaroid jatuh dari celahan buku yang entah dari mana.

Tanpa banyak soal, dia mengambil dan menatap kepingan polaroid itu. Satu senyuman tipis mekar pada bibirnya.

Polaroid itu memaparkan tiga  remaja sebaya memeluk bahu masing-masing dengan wajah yang gembira.

Ada beningan halus mula menitis di kelopak matanya, membuatkan Faiz teringatkan sekilas memori yang pernah menjadi salah satu kenangan terindah dalam hidupnya.

Beberapa tahun dahulu...

Tiga orang remaja berlari meninggalkan perkarangan sekolah sebaik sahaja mereka berjaya melepasi pagar.

"Uih, nasib baik pak guard tak nampak." ujar salah seorang dari mereka dengan nada yang tercungap-cungap.

"Tadi pun dah hampir-hampir nak kantoi tadi. Nasib baik ada ustaz panggil pak guard tu. Selamat kita," keluhan lega dilepaskan oleh mereka.

"Dah, jom. Tukar baju."

Mereka bertiga berjalan ke  belakang sebuah rumah yang tersorok. Setelah menukar baju, mereka bergegas menuju ke suatu tempat.

"Huih, leganya!" ucap salah seorang dari mereka sambil mendepakan tangannya ke udara. Menarik nafas segar

"Itu lah, semak aku hari-hari dengar warden kita tu membebel. Dah macam mak orang aku tengok!" Katanya membuatkan dua lagi rakan ketawa besar.

"Sekarang ni kita dah keluar, segar sikit badan aku. Tak adalah lemau sangat kita macam dekat dalam asrama tu." Mereka mengangguk setuju.

"Kita nak lepak mana ni?" soal rakannya.

"Awal gila nak lepak. Jom ah makan dulu,"

"Weh, Faiz. Kau belanja kan?"

"Untuk bestie aku Nurhan ngan Asif, semua boleh! Asalkan kau bayar balik!"

"Wei, tak ikhlas dowh..."

Ketiga-tiga mereka ketawa serentak.

Faiz tersenyum. Itu adalah antara memori semasa mereka di akhir tingkatan empat. Nakal. Ya sangat nakal.

Kejadian itu bukan kali pertama bagi mereka. Sudah berkali-kali, meskipun diberikan surat amaran oleh pihak sekolah.

"Macamana kau sekarang eh, Asif?" Faiz mengetap bibir. Polaroid yang dipegangnya itu ditenung lama.

"Ustaz! Ustaz!"

Namun, ketukan pintu membuatkan lamunan Faiz mati. Bukan itu sahaja, panggilan itu turut mengejutkannya.

Dengan pantas, dia meletakkan polaroid itu ke dalam laci meja kerjanya.  Mujurlah buku-buku dan fail yang ada masih disusun rapi dan tidak terlalu menyepahkan keadaan bilik.

Faiz melangkah ke arah pintu Tombol pintu digenggam dan pintu dibuka. Sebaik sahaja pintu dibuka, terpapar seorang pelajar dengan raut wajah yang sangat cemas.

"Kenapa ni, Arif?" Faiz mengenali wajah pelajar itu.

"Ada... ada orang... orang bergaduh ustaz!" Pelajar itu berkata dengan tercungap-cungap.

Mata Faiz membuntang luas apabila mendengar kata-kata pelajarnya itu. Tanpa banyak soal, mereka pantas berlari ke arah tempat kejadian.

Dalam hati, Faiz berharap agar pergaduhan itu tidak begitu teruk dan dia tidak terlambat. Namun, siapa sangka dia silap?

~~~

Dua orang remaja itu masih dalam pergelutan yang tidak kunjung sudah. Para exco telah pun  berusaha melepaskan mereka berdua, namun aksi ganas yang ditunjukkan oleh kedua orang itu sudah tidak boleh dibawa bincang! Usaha mereka hanya sia - sia.

"Wajdi, sudahlah!" Hilman, selaku ketua Asrama berusaha meleraikan pergaduhan itu. Taufiq dan Haziq yang juga merupakan exco asramaturut berusaha menghalang pergelutan itu meskipun mereka juga hampir - hampir disiku oleh Wajdi yang bertindak agak ganas.

Orang ramai yang mengerumuni termasuk junior  dibubarkan segera oleh beberapa exco lain. Beberapa junior yang mengigil ketakutan melihat pergaduhan itu. Tidak pernah lagi mereka melihat pergaduhan yang sebegini rupa, lagi-lagi secara langsung di hadapan mata mereka.

Wajdi sudah tidak lagi peduli dengan apa yang akan terjadi padanya nanti. Azhar dan Fahmi pula sudah sehabis tenaga menenangkan serta tidak kalah erat memeluk dirinya agar menghentikan pukulan pada si mangsa.

"Astaghfirullahaladzim... Wajdi!" Laungan yang mampu merobohkan asrama itu membuatkan pergelutan itu  terhenti, sekaligus membuatkan semua  yang berada di situ terkejut bukan main. Wajdi pula masih berkeadaan menarik kerah baju si mangsa yang telahpun tidak terdaya, menghempaskannya begitu sahaja. Tubuh itu ditahan oleh Haziq dan Taufiq.

Bagaimana mereka boleh menjadi begitu kaku dalam sekelip mata? Sudah tentunya kerana suara laungan itu dari warden asrama mereka, Ustaz Faiz Isyraf.

Dengan wajah yang tidak ada seulas senyuman, Faiz mendekati kerumunan itu. Para pelajar mula memberi laluan kepada sang warden untuk mendekati mereka yang menimbulkan kekecohan sekaligus ketakutan kepada para junior. Wajah para pelajar itu, Faiz perhatikan satu persatu dengan tatapan penuh datar.

Faiz memandang ke arah wajah Wajdi yang sedikit lebam, kemudian mengalihkan pandangan ke arah seseorang yang sudahpun terbaring lemah di atas lantai akibat dipukul.

"Haziq! Ambik first aid di pejabat!" arah Faiz lantang. Kemudian dia meminta para exco yang lain memapah mangsa pukulan Wajdi dan meletakkan di atas katil berhampiran kawasan itu.

"Wajdi, ikut ustaz sekarang!" tegas Faiz dengan nada yang lembut namun penuh penekanan. Mahu tidak mahu, Wajdi terpaksa mengikuti juga dengan wajah yang berang.  Hilman pula membuntuti Wajdi dari belakang dengan penuh hati-hati. Takut juga kalau tiba-tiba Wajdi menyerangnya pula!

Wajdi sempat menyepak kaki milik mangsanya itu sebelum beredar membuatkan beberapa exco panik dengan tindakannya.

'Maafkan aku, Wajdi...' lirih mangsa yang tidak berdaya itu pelan, malah tidak langsung didengari oleh sesiapa.

~~~

Raut wajah Faiz sangat serius dan juga datar. Matanya tidak lepas daripada sebatang tubuh yang sedang berdiri di hadapannya dengan wajah ditundukkan. 

"Kamu sedar tak apa yang kamu buat ni Wajdi? Kamu nak bunuh kawan kamu sendiri ke?" soal Faiz tegas namun tenang. Wajah anak muridnya itu dipandang tajam.

Wajdi tidak menjawab dan hanya berdiri kaku. Kedua-dua tangannya yang berada di sisinya digepal dengan penuh amarah, seolah-olah masih lagi ada rasa dendam dengan pelajar tadi.

Faiz menghela nafas berat apabila melihat Wajdi yang seakan tidak mahu berbicara. Tampaknya dia sudah sedikit terbiasa dengan perangai pelajar itu. Lihat sahaja ketika hari pertama mereka bertemu, tidak ada langsung perkataan yang Wajdi keluarkan apabila dia meminta remaja itu menerangkan apa yang berlaku. Hampir Maghrib sesi soal siasat itu berlangsung, membuatkan Faiz hilang sabar dan menyerah. Lagipula, dia tidak mahu hubungannya dengan pelajar itu buruk lagi-lagi itu adalah kali pertama dia bergelar seorang warden.

Dan, Faiz belajar satu hal dari itu. Begitukah perasaan wardennya ketika dahulu ketika menghadapi kenakalannya sewaktu ketika itu? Baiklah, tampaknya Faiz sudah pun menerima karmanya. Mungkin. Anggap sahaja itu adalah pengajaran untuknya.

Dia kemudian kembali duduk di atas kerusinya. Tangannya menampung dagunya.

"Ceritakan kepada ustaz, apa yang berlaku." ujar Faiz santai, seolah kejadian yang dialami tidaklah terlalu besar baginya.

Wajdi terpempan. Kepalanya terus diangkat memandang ke arah ustaz baharu itu namun kemudian di turunkan kembali. Apakah dia tersalah dengar?

"Saya tak percaya ustaz akan 'percaya' kalau saya cerita." gumam Wajdi, namun didengari jelas oleh Faiz.

Dia tidak percaya ini kali pertama dia berjumpa dengan orang yang akan mendengarkan ceritanya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman ke atasnya. Kebiasaannya, dia akan mendengar bebelan berkenaan peraturan sekolah atau dilaporkan terus kepada ibu bapa atau penjaga, selepas itu terus dirotan. Dia sendiri sudah lali diperlakukan sebegitu. Namun kali ini, kenapa berbeza?

"Kamu tak cerita lagi, macam mana ustaz nak percaya? Lagi pun, ustaz nak dengar cerita dari kedua-dua belah pihak. Ustaz tak mahu dicop pilih kasih jika menghukum kamu hanya kerana kamu mempunyai rekod buruk di sekolah." Faiz mengangkat kening. Dia tersenyum nipis apabila melihat wajah keliru Wajdi ketika itu.

Wajdi menghela nafas, meskipun agak terkedu dengan permintaan Faiz. Akhirnya,  dia mula bercerita.

~~~

"Wei Johan, kenapa si Wajdi tu pukul kau? " soal Haziq sebaik sahaja dia selesai menyapu antiseptik dan bandage di setiap lebam yang terdapat pada badan rakannya itu.

Semua  yang berada di situ sekadar memerhati keadaan rakan mereka yang agak 'teruk' dibelasah oleh Wajdi. Tidak sangka Wajdi itu sangat kuat dan tumbukkan dari remaja itu amatlah mengerikan. Hanya para exco tingkatan lima sahaja di situ, manakala yang lain sudahpun diarah untuk tidur.

Setahu mereka, Johan dan Wajdi tidak pernah rapat. Apatah lagi bercakap dari tingkatan satu sampailah sekarang. Cukup sekadar rakan sekelas sealiran. Itu kerana, mereka juga hidup satu asrama, sudah semestinya mereka tahu. Tambahan pula, Johan adalah rakan mereka yang sangat mereka rapat berbanding Wajdi. Jadi mereka amat tahu hubungan Johan dan Wajdi bagaimana.

"Ish, dia tengah sakit tu. Kau pun!" Aiman, salah seorang exco memarahi Haziq.

"Yalah. Takpe la kau rehat dulu." Haziq mengemas first aid dan menuju ke bilik simpanan untuk menyimpan first eid.

Johan tidak menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya. Pukulan yang diterima oleh Wajdi sudah cukup menyakitkannya. Mahu bercakap, dia sendiri tidak mampu mengeluarkan sepatah perkataan pun dari mulutnya. Apatah lagi mahu menyuruh dia menceritakan apa yang berlaku di antara dia dan Wajdi.

Dalam benak fikirannya, dia mula terfikir mengapa Wajdi menjadi begitu. Ah! Mahu difikirkan sebabnya membuatkan kepalanya berdenyut kuat dan dia berasa semakin sakit. Terpaksa juga dia memukul Wajdi tadi kerana mahu mengelak daripada serangan Wajdi dan melindungi dirinya sendiri. Namun dia tidak terdaya kerana Wajdi itu terlalu kuat. Lagipun dia tahu bahawa dirinya bukan tandingan Wajdi. Belum apa-apa, lebih baik dia menyerah kalah terlebih dahulu.

Sungguh, dia sendiri tidak tahu kenapa Wajdi bertindak sedemikian rupa. Dia sendiri terlalu terkejut sehingga membiarkan Wajdi memukulnya pada awal pergaduhan mereka.

Dari jauh, ada sepasang mata yang melihat suasana itu dengan lirikan yang sinis. Senyuman jahat terukir di bibir. Dia memandang wajah pelajar yang cedera teruk itu tanpa simpati. Baginya, pelajar itu hanya merupakan perasa di dalam rancangannya.

~~~

Titisan hujan pada hari itu tidak terlalu deras dan lebat. Kipas siling Faiz laraskan pada kelajuan tiga, tidaklah ruangannya terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.

Sekarang adalah waktu Qailullah bagi para pelajar. Mereka diarahkan untuk tidur sebentar sementara menunggu azan Zohor berkumandang. Para pelajar pula akan digerakkan mengikut para exco yang bertugas.

Johan diminta untuk berehat seharian di asrama. Meskipun Faiz telah mengizinkan untuknya pulang, tetapi remaja itu menolaknya mentah-mentah. Kata Johan, dia tidak mahu menyusahkan ibubapanya kerana dia tinggal di luar negeri.

Ramai yang masih tidak percaya pergaduhan yang berlaku antara Johan dan juga Wajdi. Setahu mereka, Johan merupakan pelajar yang baik dan pendiam. Malah, mereka sendiri tahu tentang sikap Johan yang tidak suka bermasam muka apatah lagi mencari masalah. Lagi-lagi dengan pelajar seperti Wajdi.

Fikiran Faiz bertambah rungsing. Dia juga semakin buntu. Terngiang-ngiang penjelasan yang diluahkan oleh Wajdi semalam di telinganya.

"Dia kata saya anak haram," Wajdi bersuara. Matanya memandang ke arah lantai.

Faiz terkejut mendengarkan penjelasan Wajdi. Matanya membulat sempurna tepat memandang kepada wajah Wajdi yang masih lagi menahan geram itu. Dapat dilihat, Wajdi mengepalkan penumbuk di kedua sisi tubuhnya.

"Istighfar Wajdi," Faiz cuba menenangkan Wajdi. Dia tahu, sukar buat pelajar itu menenangkan diri apabila diperkatakan begitu rupa. Jika ianya berlaku kepada dirinya, mungkin dia sendiri tidak dapat menahan sabarnya dan akan melakukan hal yang sama dengan Wajdi.

"Saya ni memang anak yatim piatu ustaz, tapi perlukah saya dikatakan macam tu? Hina sangat ke saya tak ada mak ayah, ustaz?" Wajdi memandang ke arah Faiz tajam. Faiz hanya mampu melepaskan keluhan berat.

Ada satu benang kusut mula menjalar pada fikiran Faiz. Batinnya mengatakan bahawa Wajdi itu sangat misteri dan penuh dengan luka. Ibarat seseorang yang menahan luka di hujan yang lebat. Tanpa payung dan juga tempat untuk berteduh.

Dan, dialah yang harus menjadi payung buat Wajdi. Dan juga, tempat perlindungan buat sementara waktu.

Faiz menghembus nafas pelan, serta berdehem kecil sebelum memulakan bicaranya.

"Wajdi, kalau mahu dibandingkan dengan orang lain, kamu sebenarnya antara insan terpilih kerana menjadi seorang anak yatim pada usia yang muda. Setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya." Faiz cuba memberikan kata-kata positif kepada anak muridnya.

"Apa yang ustaz cakapkan ni? Apa yang seronok sangat jadi anak yatim? Ustaz senanglah cakap! Ustaz tak rasa apa yang saya rasa!" Faiz mula berasa kasihan terhadap pelajar di hadapannya itu. Dia tahu dalam diam Wajdi sedang menahan air matanya daripada mengalir turun ke pipinya.

"Wajdi, kamu tahu, ada seorang hamba Allah ini yang Allah uji dia dengan pelbagai ujian dan cabaran. Allah ambil kedua orang tuanya semasa dia kecil. Dia sendiri tidak sempat menatap wajah ayahnya. Kamu tahu siapa yang ustaz cakapkan Wajdi?" Wajdi menggeleng lemah. Masih berasa sedih apabila teringatkan kedua orang tuanya itu.

Sebenarnya, Wajdi sendiri tidak tahu di mana kedua orang tuanya. Dirinya sudah dikatakan bahawa dia adalah anak yatim piatu sejak kecil lagi. Tetapi, kenapa saat dia mahu menziarahi kubur kedua ibubapanya,  dia tidak tahu?

Jujur, Wajdi masih bingung. Haruskah dia mengelarkan dirinya anak yatim? Wajdi tidak mampu berfikir dengan jernih lagi. 17 tahun hidup tanpa kedua insan itu membuatkan Wajdi menganggap dirinya sebagai...

Anak yatim piatu...

"Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W." Mendengarkan jawapan Faiz, Wajdi terus mengangkat kepalanya memandang ustaz muda itu.

Dia masih ingat, itu adalah salah satu cerita yang pernah diceritakan oleh sang atuk ketika dia berumur 11 tahun. Dan, itu adalah cerita yang dia kembali dengar setelah enam tahun.

"Baginda diuji dengan begitu perit sekali. Baginda dipulau oleh keluarga baginda sendiri. Dibaling batu sehingga berdarah. Aktiviti dakwah Nabi dihalang. Kalau nak ustaz ceritakan memang sampai minggu deoan tak habis, Wajdi.

Point ustaz dekat sini, Allah uji kita sebab kita kuat. Sebab Allah tahu kita boleh tangani ujian ni. Dalam Al Quran surah Al-Baqarah sendiri Allah ada berfirman bahawa Allah tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan mereka.

Jadi, maknanya kamu kuat. Allah tahu, kamu kuat. Jadi, teruskan menjadi orang yang kuat Wajdi." Faiz tersenyum ke arah anak muridnya itu. Wajdi membalas senyuman itu dengan sebuah senyuman nipis. Entah kenapa, hatinya berasa sedikit tenang mendengarkan nasihat ustaz itu.

Cuma, ustaz nak tanya kamu. Kamu pasti ke dia kata macam tu kat kamu?" Faiz bertanya kepadanya dengan suara lembut.

"Saya sendiri nampak dia ada kat loker saya masa tu. Takkan saya nak menipu? Saya tahu saya ni pelajar bermasalah. Tapi, saya takkan kacau diorang kalau mereka tak kacau saya dulu. Ustaz pun, nak cakap ini semua salah saya ke?" Wajdi bersuara sedikit marah. Dia tahu, sukar untuk sesiapa saja mempercayainya. Dia juga tidak berharap bahawa ustaz muda itu akan percaya kepadanya.

"Wajdi, tak semua orang kata begitu. Tapi, cara kamu tu salah. Tak perlu sampai memukul. Itu adalah kesalahan yang memang nyata dan jelas."

Wajdi diam. Kata-kata Faiz itu menusuk jiwanya.

"Ustaz tak akan bagitahu pihak atasan pasal perkara ni. Esok, minta maaf dekat Johan..."

Azan Zohor berkumandang membuyarkan lamunan Faiz yang melamun.

Faiz mengeluh seketika lalu menekan punat siren untuk mengejutkan para pelajar bangun dari tidur masing-masing. Beberapa exco yang bertugas turut membantu mengejutkan pelajar yang memang 'tidur mati'.


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.