Home Novel Thriller/Aksi Koyak (Sudah Terbit)
Koyak (Sudah Terbit)
Meja Editor
14/11/2023 15:01:09
7,353
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Pemilik Bilik Gelap

Gelap. Bilik tidur itu cuma disirami cahaya yang terpancar daripada skrin-skrin komputer di atas meja belajar. Berns memasuki ruangan tersebut bersama muk berisi milo panas di tangan. Tiada inisiatif langsung daripadanya untuk menerangkan bilik berkenaan dengan mengetik punat lampu. Dia selesa dengan suasana misterius begini. Kegelapan menenangkannya.

Sambil menghirup milo pekat, dia menelaah isi papan gabus pada dinding yang bertentangan dengan meja belajar. Bayang-bayang tubuhnya bergentayangan menutupi sebahagian besar dinding itu. Dia mundar-mandir mengikut selirat benang merah yang dipacak paku-paku tekan pada papan tersebut, memikir. Paku-paku itu menjadi tempat gantung keratan-keratan surat khabar, artikel dan nota tentang beberapa 'kes dingin' yang sedang disiasatnya. Dua daripada keratan surat khabar dan artikel memapar tajuk berita berikut:

Kemalangan Gudang Perusahaan Hamdan: 3 Cedera, Seorang Maut

Kes Rompak: Mangsa Dibunuh Kejam

Menyeluruhi peta kes di depannya, Berns memerhati satu-persatu gambar-gambar mangsa yang terlibat dalam kes kemalangan gudang Perusahaan Hamdan dan juga kes rompak yang berlaku lebih 24 tahun yang lepas.

Daripada poket hoodie, dia mengeluarkan sekeping gambar pemuda dalam linkungan awal 20-an. Gambar itu dipakukannya ke papan gabus bersebelahan foto lama Hamdan bersama isterinya yang ketika itu sedang sarat mengandung. Bersama foto tersebut disertakan sekeping nota post-it yang tertulis, 'Adam Hamdan - Pewaris Syarikat'.

Penggera telefon yang berbunyi tiba-tiba merencatkan fokusnya ketika itu. Berns menyeluk kocek seluar, mengeluarkan telefon pintar yang menyala dan bergetar. Tantrum gajet berkenaan dia matikan - pukul 10.00 malam. Dunia maya sudah memanggilnya.

Berns bergerak ke meja belajar dan melabuhkan punggung ke kerusi boleh pusing. Muk milo panas mendarat di atas meja. Hoodie varsity yang dipakainya ditarik habis menutup kepala, dan headphones dengan mouth piece khas dikenakan ke telinga. Dia membuat cubaan suara beberapa kali sebelum mendaftar masuk ke laman rahsia pasukan Satwa Tenggara. Deep web dia selam.

Kruhhhh! Kruhhh! Kruhhh!

Terkejut! Bunyi berkeruh mendengung kuat, membingit gegendangnya.

"What the...." Tidak jadi dia mencarut. Sebaliknya Berns terlepas tawa sebaik melihat kartun harimau ganas bermata satu yang sedang berdengkur, siap dengan buih hingus yang kembang kempis, di dalam petak avatar di sudut kanan skrin komputer.

"Apahal malaun ni membuta dekat sini sorang-sorang?" Berns berkerut dahi, menggeleng pendek, tak puas hati.

Soalannya dijawab harimau ganas bermata satu dengan berdengkur lebih kuat lagi.

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

"Nak kena dia ni!" Jari-jemarinya dipatah-patahkan. Tengkuknya diregangkan, meletupkan juga temulang di situ. Tersenyum. Berns sedia untuk mengejutkan lena pemilik avatar harimau ganas bermata satu itu.

"Siap kau!" Dia merapatkan diri ke meja belajar. Dua tangan tangkas bekerja di papan kekunci. Sepasang mata meliar menatap informasi yang muncul di dua skrin komputer, kanan dan kiri.

Pada dinding papan gabus di belakang, kelihatan liuk bebayang tubuhnya yang seakan-akan bertanduk dua. Cetakan lampu jalan di luar pada penyangkut baju yang tersangkut di tingkap menghasilkan ilusi itu. Suasana bagai merestui rencana nakal Berns yang sedang berlangsung.

***

Memekak! Tidur Hisyam terganggu dengan suara garau yang menggelikan bulu telinga. Dia melibas headphones di kepala, menghalau pencemaran bunyi tersebut. Alat itu tertanggal lalu terjatuh ke lantai. Senyum. Mata kekal terpejam rapat. Seronok dia melayan mimpi bermain kejar-kejar dengan Selena Gomez di tepi pantai. Bising siaran TV yang terpasang, langsung tidak mengganggunya. Pipi melenyek-lenyek dada meja yang bertakung air liur basi. Senyum leretnya menjadi sengih merenyam. Hisyam terusan hanyut.

Dihujung talian headphones yang jatuh, kedengaran bebelan Berns daripada bilik gelap.

"H! Bila kau nak bangun? Bangunlah wei..." Berns menggeram. Waktu itu dia bertemu dengan fail yang dicari.

"Here you are..." Menyeringai dia, tunjuk gigi. Skrin kiri di depannya memaparkan back door launcher kepada kod yang pernah ditanamnya dalam komputer milik Hisyam suatu masa dulu.

"H, aku hack komputer kau ya. Aku minta izin ni!" Tanpa ragu punat enter di tekan Berns, mengaktifkan kod penggodaman khas ciptaannya itu.

Saat itu juga muncul notifikasi amaran yang tertulis 'Firewall Breach' pada ketiga-tiga monitor yang disusun melengkung di atas stesen kerja tempat Hisyam membongkok tidur. Lampu penggera berwarna merah di atas stesen kerja itu menyala, berkelip-kelip, menerbitkan nuansa cemas.

Ironinya Hisyam tertawa kecil. Angau. Di alam igau, dia sedang berdansa dengan Selena Gomez di bawah bebola kaca yang merefleks cahaya merah ke sekitar lantai ballroom yang hanya dihuni oleh mereka berdua. Lip lap lip lap, romantik sekali dengan iringan irama jazz klasik 'Fly Me to The Moon' dendangan Frank Sinatra.

Pada masa yang sama, jari-jemari Berns semakin pantas menari-nari di atas papan kekunci. Dia sedang bertarung dengan program anti-virus Hisyam yang bertindak balas terhadap kod back door yang dilancarkannya tadi.

Dan akhirnya, tak sampai dua minit...

"This is kacang tanah!" Berns meraikan kemenangannya.

Enter! Semerta itu amaran pada ketiga-tiga monitor komputer milik Hisyam terpadam dan lampu penggera berwarna merah juga berhenti menyala.

Puas hati dengan hasil kerjanya, milo panas yang cuma tinggal suku, Berns hirup habis. Kemudian kekura tangan kanannya kembali digerakkan, memandu tetikus meluncuri fail-fail yang wujud di dalam hard drive komputer milik Hisyam.

"H! Sebelum aku korek segala khazanah kau ni, baik kau bangun!" gertaknya, separa bergurau - 100% serius.

Senyap.

Dia memasang telinga, menguatkan kelantangan bunyi headphonesnya. Pelik, tiada lagi bunyi berkeruh. Matanya tancap pada avatar harimau ganas bermata satu di skrin kanan yang masih lagi berdengkur dengan kembang-kempis buih hingus.

"Mamat ni ada lagi ke tidak?" Berns menyoal sendiri. Dua tangannya kembali menari di papan kekunci.

"H, aku buka kamera dengan mic kau ek..." Lagi sekali dia meminta izin. Beradab betul!

Enter.

Di stesyen kerja Hisyam, lampu led pada sfera kamera yang bertenggek di atas salah satu monitor di depannya menyala. Lensa mula memfokus dan built-in mic diaktifkan.

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

Sayup-sayup kedengaran semula bunyi dengkuran harimau ganas bermata satu di telinga Berns. Menyusul, satu tetingkap muncul di skrin komputernya. Suapan siaran langsung daripada sfera kamera di bilik Hisyam itu terpancar pada tetingkap tersebut. Suasana kebiasaan bilik lelaki itu menjamu biji matanya.

Ruang empat persegi itu sederhana besar. Ada katil bujang di tepi dinding kiri - bersepah di atasnya dengan segala mak nenek barang. Pada dinding kanan, melekat skrin TV 42 inci yang sedia terpasang - menayang Warta Berita Pukul 10. Sementara di dinding berhadapan stesyen kerja Hisyam ada pintu bilik yang tertutup rapat. Dinding di sebelah wijil itu hampir penuh ditampal poster-poster anime dan pertandingan E-Game.

Sesuatu menarik perhatian Berns. Dia menguatkan kelantangan bunyi headphones ke tahap tertinggi. Lantas laporan berita daripada peti televisyen menembusi fon kepala berkenaan. Dia menzum lensa kamera. Layar 42 inci pada dinding bilik Hisyam itu sedang menayangkan laporan khas Majlis Perasmian dan Makan Malam Gala Yayasan Hamdan yang sedang berlangsung di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur. Berlatar belakangkan suasana majlis yang gilang gemilang, seorang wartawan sedang menemubual seorang lelaki pertengahan usia yang bertuksedo hitam.

Wartawan: Boleh Dato' ceritakan sedikit tentang penubuhan Yayasan Hamdan ini?

Sarif: Yayasan Hamdan ini ditubuhkan sebagai platform untuk saya dan syarikat saya meneruskan kerja-kerja amal yang kami mulakan dan laksanakan sebelum ini. Seperti mana yang diketuhui umum, sebahagian keuntungan jualan Perusahaan Sarif, memang saya ketepikan untuk kerja-kerja amal.

Kruhhh.... Kruhhh... Kruhhh...

Sarif: Kami menaja lebih daripada 10 rumah anak yatim, beberapa sekolah tahfiz dan rumah penjagaan warga emas. Kami juga ada buat program khas untuk menjaga kebajikan pekerja-pekerja syarikat yang ditimpa kesusahan dan kecelakaan. Selain daripada itu, baru-baru ini, hasil kutipan derma daripada para pelanggan, orang awam dan warga Perusahaan Sarif, kami telah berjaya mengumpulkan lebih RM1.5 juta untuk Tabung Prihatin Malaysia.

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

Sarif: Dana daripada tabung ini kami gunakan untuk membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19 dan juga mangsa-mangsa banjir yang melanda negara baru-baru ini. Jadi untuk memastikan urus tadbir dan pengurusan kewangan bagi usaha-usaha amal ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisien pada masa akan datang, saya dan pasukan saya berpendapat adalah lebih baik ditubuhkan sebuah yayasan khusus bagi mengendalikan segala urusan yang berkait dengan kerja-kerja tersebut.

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

Wartawan: Kenapa pilih nama Yayasan Hamdan, Dato'? Kenapa tidak Yayasan Sarif?

Sarif: Nama Yayasan Hamdan diambil sempena nama rakan karib saya, arwah Hamdan Musa yang merupakan pengasas bersama Perusahaan Sarif. Saya harap dengan tertubuhnya yayasan ini, usaha yang beliau mulakan... sikap beliau yang suka bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan... legasi beliau ini, dapat diteruskan.

"Huh!" Berns mendengus, melarik senyum sinis. Buku hatinya nyeri.

Siaran Warta Berita Pukul 10 itu masuk ke mod iklan. Tiada lagi susuk Sarif dan juga wartawan pada skrin TV tersebut. Dan itu mengubah perhatian Berns kepada...

Kruhhh... Kruhhh... Kruhhh...

"Eh lah mamat ni! Makin menjadi-jadi pula dia berdengkur!" Fokus Berns dizum keluar daripada sudut kanan tetingkap. Keningnya jadi bertaut. Baru dia perasan, ada sesuatu yang hilang . Kelibat Hisyam tiada. Yang kelihatan cuma kepala gaming chair yang kekal statik di depan stesen kerja milik kawannya itu. Mana pula malaun ni?

Berns mencapai kayu bedik yang ada di sebelah papan kekunci. Joy stick itu ditolak ke depan, memandu lensa kamera supaya berpusing ke bawah. Suapan siaran langsung pada tetingkap komputernya turut berubah. Terbeliak matanya.

"Seriuslah mangkuk ni tidur macam tu?" sebut Berns sambil tergelak.

Pada bahagian bawah tetingkap tersebut, kelihatan wajah picing Hisyam yang menepek sebelah pipinya di atas meja yang bertakung tasik liur. Kedua-dua tangannya terkulai ke bawah. Renjong tubuhnya dipasakkan pada punggung yang menduduki hujung kerusi boleh pusing bercetak Zouhud daripada jenama Todak itu. Perlahan-perlahan kerusi tersebut makin terundur ke belakang. Badan Hisyam semakin meregang dan jambatan tubuhnya yang menyatukan stesen kerja dengan Zouhud, hanya menunggu masa untuk runtuh, jatuh ke lantai.

"Tak sakit ke leher kau?" Berns geli hati melihat Hisyam yang gigih menahan berat badannya dengan mencekam dagunya ke meja. Sambil cekam sambil tersengih-sengih, macam kerang busuk. Berns naik menyampah dengan pemandangan buruk itu. Dan ...

Ting! Mentol idea di atas kepalanya menyala terangtiba-tiba. Berns menyeringai daripada hujung telinga ke hujung telinga. Penuhgiginya kelihatan, sudah macam joker. Matanya yang galak buntang,terselit sinar kejahatan. Lantas bergema dalam kepalanya, bunyi ketawa HarleyQuinn yang mengilai.


Previous: Blurb
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.