Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Hello, Abang Bodyguard!
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
207,497
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu dari luar menyedarkan Rayyan dari tidur lenanya. Kantuk menguasai diri ditambah lagi dengan terasa tidur lenanya diganggu, namun akal sihatnya terus menegah dari menyambung tidur. Dengan mata  terpisat-pisat, dia mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di tepi bantal.

'Sudah pukul 4.39 pagi,' detik hatinya lalu dia bingkas bangun.

Rayyan terlupa yang semalam dia balik ke rumah neneknya, bukan kondominium miliknya jadi memang patutlah awal pagi lagi biliknya berketuk. Pasti nenek yang mengejutkannya memandangkan nenek tiap-tiap hari bangun awal untuk bertahajjud dan berqiamullail. Jika dia bersendirian di kondominiumnya, memang agak lewat sikit dia bangun dalam pukul 5 pagi. Kalau berdua dengan nenek, memang awal sungguhlah kena kejut.

Nenek selalu berpesan yang tahajjud inilah masanya untuk seorang hamba mengadu kepada sang Pencipta. Ada permintaan? Mintalah pada-Nya. Sedih? Mengadulah pada-Nya. Susah hati? Berbicaralah dengan-Nya. Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya, tetapi hamba-Nya yang selalu melupakan-Nya.

"Rayyan Razien... bangun!" jerit suara tua dari luar biliknya.

"Ya nek, Ian bangun dah ni..." sahut Rayyan dengan suara serak lalu terus mencampakkan gebarnya ke tepi. Lantas, dia bangun lalu menuju ke bilik air untuk berwuduk.

Usai solat tahajjud, taubat, hajat dan witir, Rayyan mencapai mushaf al-Quran. Hari ini dia sudah di juzuk 20 dan lagi 10 juzuk untuk khatam al-Quran kali kedua untuk tahun ni. Bacaan al-Qurannya ditamatkan sejurus azan Subuh kedengaran. Setelah laungan azan Subuh tamat, Rayyan mengangkat takbir untuk solat sunat Subuh. Selesai solat sunat, dia terus mengimamkan solat Subuh secara berjemaah bersama neneknya.

"Nek, Ian minta maaf kalau selama ni Ian ada buat salah kat nek," kata Rayyan seraya mencium tangan dan pipi neneknya.

Nenek Hasnah tersenyum manis dan mengusap kepala cucunya dengan penuh kasih. Rayyan adalah anugerah dari Allah SWT yang tidak ternilai harganya dan itu sajalah pengubat rindu kepada arwah anak dan menantu yang disayanginya. Siapa sangka, sungguh cepat masa berlalu dan cucu yang dikasihinya ini sudah besar panjang. Handsome pula tu!

"Ian tak ada buat salah pun. Terima kasih datang jumpa nenek minggu ni. Masuk kerja nanti pukul berapa?" tanya Nenek Hasnah.

"Macam biasalah Nek, pukul 9 pagi. Kejap lagi Ian nak keluar jogging, nenek nak makan apa pagi ni? Ian belikan," balas Rayyan disusuli dengan tawaran.

"Ish... nak beli buat apanya? Tu nenek dah masak nasi lemak, tinggal makan je," jawab Nenek Hasnah sambil tersenyum lebar.

Terdengar sahaja perkataan nasi lemak, terus bersinar-sinar mata Rayyan. Kecur air liurnya! Nasi lemak buatan neneknya itu memang sangat sedap dan memang terkenal di seluruh kawasan perumahan itu.

"Boleh tak Ian nak makan sekarang?" tanya Rayyan dengan tidak sabar lalu tanpa dipelawa, dia terus berjalan laju ke dapur.

"Amboi, tak menyempat. Jadi ke tak joggingnya tu lepas ni?" sakat Nenek Hasnah dengan suaranya naik seoktaf. Rayyan ni bila sudah bertemu dengan nasi lemak buatannya, memang tidak berpaling ke kiri kanan dah. Lagi haru, kalau orang bom rumah ini pun dia boleh buat rileks lagi sambil makan tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling!

"Nasi lemak nenek paling terbaik di dunia!" Rayyan melaung dari dapur tanpa menghiraukan usikan Nenek Hasnah.

Nenek Hasnah ketawa senang hati mendengar ulah Rayyan. Hati kecilnya berdoa semoga Allah SWT mengekalkan keluarga kecilnya ini dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta golongkanlah mereka semua dalam golongan orang yang sentiasa mendapat perlindungan-Nya.

***********

Jam menunjukkan waktu 8.45 pagi. Dari rumah neneknya, Rayyan terus memandu ke ibu pejabat Campbell Corporation tanpa menyinggah terlebih dahulu di kondomiumnya. Setelah memarkir BMW i8nya di lobi bangunan Campbell Corporation, Rayyan terus keluar dari keretanya lalu menghulurkan kunci kereta kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada pagi itu. Tundukan hormat daripada pengawal keselamatan yang berusia dalam lingkungan 55 tahun itu dibalas dengan anggukan dan senyuman mesra.

"Thanks Pak Ajib," ucap Rayyan sambil tersenyum.

Pengawal keselamatan atau selesa dipanggil Pak Ajib itu tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Tuan Rayyan Raziennya yang seorang ini, memang pemuda yang berbudi bahasa. Tengoklah, walaupun dia memandu kereta mewah dan berjawatan tinggi dalam syarikat, Rayyan tetap seorang Rayyan yang memang sejenis yang tidak menyombong diri.

"Parkir dekat mana Tuan?" tanya Pak Ajib lagi.

"Parkir biasa je Pak Ajib. Hari ni saya ada tugasan di luar, jadi terpaksa susahkan Pak Ajib untuk parkirkan kereta saya," jawab Rayyan sambil menepuk mesra bahu Pak Ajib.

"Baik Tuan, menurut perintah!" balas Pak Ajib sambil membuat tabik hormat. Tabikannya itu mengundang tawa Rayyan dan beberapa orang staf pejabat yang kebetulan lalu-lalang di lobi pejabat.

Tidak mahu terus menerus masanya terheret dengan ulah kelakar Pak Ajib, Rayyan terus bergerak menuju ke lif untuk naik ke pejabatnya di tingkat 13 bangunan Campbell Corporation itu. Ruangan di depan lif itu penuh dan bersesak-sesak dengan staf-staf yang juga ingin naik ke pejabat jabatan mereka masing-masing. Dengan penuh sabar, Rayyan juga menunggu bersama-sama dengan staf yang berada di situ.

Campbell Corporation memulakan operasinya pada pukul 9 pagi untuk memberi keselesaan kepada staf agar tidak tersangkut dimakan jem. Tahulah di Kuala Lumpur ni, jam 7 pagi hingga 8.30 pagi tu waktu puncak. Mahu tidak mahu, pastilah kesesakan lalu lintas juga hebat.

Ting!

Pintu lif di depan Rayyan terbuka. Namun, tiada seorang pun staf yang berani masuk ke dalam lif itu sebelum Rayyan masuk. Rayyan memandang gelagat staf syarikat itu dengan penuh kesal dan hatinya mendongkol geram. Hatinya kuat mengatakan bahawa pasti ada 'orang besar' yang membuat syarat baru untuk tidak membenarkan staf menggunakan lif jika ada pengarah syarikat turut mahu menggunakan lif pada ketika itu.

"Boss, silakan masuk dulu," pelawa salah seorang staf.

"Tak, tak, korang dah lama tunggu lif ni. Naik dulu. Saya naik next lif," tolak Rayyan dengan baik sambil roman mukanya dimaniskan. Walhal, di dalam hati dan fikirannya sudah berterbangan idea untuk mengajar gerangan manakah pembuat syarat baru yang sangat tidak mesra pekerja itu.

"Baik Boss, terima kasih," jawab staf tersebut lalu diikuti oleh semua staf yang berada di situ. Terzahir riak kelegaan di wajah masing-masing apabila mereka dapat menaiki lif itu sebelum waktu menginjak ke angka 9 pagi.

Rayyan melihat jam tangan berjenama Casio yang terletak elok di tangan kirinya lantas dia ketawa kecil. Memang sudah menginjak ke angka 9 pagi. Patutlah semua staf yang berada di sebelahnya tadi semuanya berwajah cuak dan pucat bagai ayam terberak kapur. Pastilah kalau terlewat walaupun seminit, mereka akan didenda oleh bos masing-masing. Atas dasar kasihan jugalah, Rayyan memberikan laluan kepada mereka semua untuk naik ke atas terlebih dahulu.

Ting!

Lif kedua terbuka lalu Rayyan terus menapak masuk ke dalam lif. Setelah menekan butang 13, Rayyan terus bersandar di dinding lif sambil merenung imej dirinya sendiri yang terbentuk di dinding lif yang diperbuat dari cermin itu. Dalam diam, dia mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya atas semua kejayaan yang dikecapinya pada hari ini. Daripada hanyalah seorang anak yang berasal daripada keluarga sedang-sedang, kini dia mampu memegang jawatan Pengarah Sumber Manusia di Campbell Corporation, iaitu syarikat pembinaan yang paling gah di Malaysia.

Dalam diam, dia juga mensyukuri nikmat kehormatan yang diberikan oleh Allah kepadanya. Sama seperti Pak Ajib, semua staf di Campbell Corporation ni juga turut  menghormatinya sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Campbell Corporation walaupun dia adalah pengarah termuda dan boleh dikira masih mentah dalam dunia perniagaan. Ini semua kerana dia berkawan baik dengan Eve dan Dato' Campbell Abdullah telah memberikan kepercayaan penuh kepadanya untuk meneraju syarikat. Dalam masa yang sama, dia juga dilantik oleh Dato' Campbell untuk mengiringi Eve ke mana saja Eve pergi untuk urusan rasmi syarikat. Disebabkan itulah, jawatan ketua bodyguard pun dia yang pegang.

"Selamat pagi Boss!" Ren, Grace dan Syafiq serentak mengucapkan selamat pagi kepada Rayyan ketika dia memunculkan diri di muka pintu pejabatnya. Sapaan selamat pagi dari anak buahnya yang bertiga itu disambut dengan senyuman dan ucapan balas selamat pagi.

"Hari ni kita ada sidang media dan aku harap korang bertiga ketatkan kawalan pada Cik," kata Rayyan sambil menyusun fail yang bertimbun di atas mejanya.

"Ya Boss, kami dah bersedia," Grace menjawab tenang.

"May, pergi tengok Cik dah bersedia ke belum sebab kita ada lagi 20 minit ni sebelum sidang media bermula," kata Rayyan lalu menghalakan pandangannya kepada Grace.

"Okey Boss," jawab Grace lantas terus berlalu keluar dari pejabat dan menapak laju ke bilik sebelah, iaitu bilik CEO.

Setelah Grace hilang dari pandangan, Rayyan menghalakan pula pandangannya kepada Ren yang masih setia berada di depannya. Selain Syafiq, Ren dan Grace mestilah melaporkan diri kepadanya secara bersemuka pada setiap pagi sebelum memulakan apa-apa aktiviti. Ini kerana, mereka berdua adalah bodyguard lapangan manakala Syafiq pula bodyguard dalaman.

"Ace, hari ni aku nak kau yang check senarai nama wartawan yang datang," arah Rayyan lalu menghulurkan sebuah fail kepada Ren.

"Okey Boss tak ada masalah," jawab Ren dengan yakin lalu menyambut huluran fail itu lantas dibeleknya sekilas.

"Agak ramai juga yang bakal datang. Cik kita ni memang popular betul. Hahaha..." kata Ren sambil tergelak.

Rayyan menepuk bahu Ren dan memberikan isyarat 'good luck'.  Ren ketawa lucu dengan isyarat itu sebab sememangnya dia faham saja ulah bosnya yang seorang ni. Rayyan dan wartawan biasanya tidak sebulu bukan apa, wartawan tu kebanyakannya tersangatlah annoying dan tak faham bahasa. Acap kali juga Ren selalu terpaksa menjadi decoy jika Rayyan malas menguruskan hal wartawan ni. Tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya, Ren kemudiannya bergerak turun ke tingkat dua iaitu bilik sidang media syarikat.

"Hades, semuanya dah sedia? CCTV, line all clear?" tanya Rayyan kepada Syafiq melalui interkom yang terletak elok di atas mejanya.

"Jamin beres Boss," jawab Syafiq yang lengkap berhoodie hitam melaung dari sebalik timbunan komputer.

Jawapan dari Syafiq yang berupa laungan itu disambut oleh Rayyan dengan senyuman dan anggukan berpuas hati dengan persediaan daripada pihaknya.

*********

Klik. Klik klik. Klik!

Pancaran flash kamera menyerbu muka Eve dan para bodyguardnya sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik sidang media. Eve dengan muka penuh senyuman manis terus berdiri di hadapan mikrofon lalu dia memberikan salam pembukaan dan ucapkata bagi meraikan kehadiran wartawan dan pihak media yang datang.

Seusai memberikan ucapan serta penerangan berkaitan hal-hal pembidaan yang dimenanginya semalam, Eve kini membuka ruang kepada hadirin untuk bertanyakan soalan. Setiap soalan dijawab baik sehinggalah tiba kepada pertanyaan dari seorang gadis bertudung merah yang memakai tag nama 'Hana'. Gadis itu mengangkat tinggi tangannya lalu dengan suara penuh lantang, dia melontarkan satu soalan.

"Cik Eve, adakah benar pesaing Campbell Corporation cuba menggunakan cara kotor semalam untuk merebut bidaan ni?" tanya gadis itu.

Mendengar sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulut gadis wartawan itu, suasana yang pada mulanya aman di bilik sidang media itu terus bertukar menjadi kecoh dan hingar bingar dengan cakap-cakap serta bisikan yang mula kedengaran seolah-olah bilik itu dipenuhi lebah yang menghurung. Bagi mengelakkan keadaan dari terus tidak terkawal, Grace menyelamatkan keadaan dengan meminta semua hadirin agar bertenang.

"Iya... saya tidak tahu dari mana kamu semua mendengar berita itu tetapi percayalah, semuanya baik-baik saja. Majlis pembidaan semalam berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang permainan kotor," jawab Eve dengan tenang walaupun dalam fikirannya sekarang ni, terbayang-bayang kes kehilangan pendrive semalam dan pada waktu semalam itu juga sempat diliriknya muka Sir Jim yang tersenyum sinis memandangnya.

"Cik Eve. Adakah betul desas-desus yang mengatakan bahawa kes kemalangan 15 tahun dulu melibatkan Campbell Corporation?" tanya gadis itu lagi. Kali ini, suaranya bertanya dengan lebih lantang lagi.

"Woi, Hana! Soalan tu tak ada kaitanlah," kata Fahmi iaitu jurukamera akhbar Nadi Kota dengan matanya mencerlung tajam memandang kepada Hana.

Hana tidak mempedulikan amaran Fahmi dan terus mengasak soalan demi soalan kepada Eve. Semuanya berkaitan kes kemalangan kereta di Jalan Tapah, Pahang pada 15 tahun lalu dengan air mukanya serius menanti jawapan dari Eve walaupun dia menyedari suasana yang sedia hingar bingar menjadi semakin tidak terkawal dan sidang media yang sepatutnya berlaku dalam keadaan aman tiba-tiba berubah suasana.

Eve yang berada di podium termati kata. Dah kenapa perempuan bertudung merah ni buat hal kat sini pula? Eve kemudiannya terus memberi isyarat kepada Grace agar mengawal keadaan sambil matanya meliar mencari susuk tubuh Rayyan. Panjang pula lehernya meninjau keberadaan ketua bodyguard itu.

"Alah... hilang pula," keluhnya.

"Minta maaf, soalan tu tiada kaitan. Saya rasa sidang media kita kali ni tamat setakat ni saja ya dan terima kasih kerana sudi hadir," kata Eve lantas menamatkan majlis lalu dengan tergesa-gesa, dia keluar dari bilik itu dengan diiringi oleh Ren dan Grace. Suasana semakin tidak terkawal dan jika dia tidak menamatkan sidang media itu dengan segera, boleh jatuh reputasi syarikat!

"Ace, mana Boss?" Eve bertanya dengan nada tidak puas hati sambil kakinya laju melangkah untuk naik ke tingkat 13.

"Boss kena uruskan perkara penting, Cik," jawab Ren dengan perlahan.

"Huh!" Eve mendengus geram dengan Rayyan yang tiba-tiba menghilang. Sudah jatuh tertimpa tangga pula nasibnya hari ini!

*****************

Rayyan dan Syafiq kini masing-masing berada dalam keadaan tekanan mental. Satu berita online yang muncul 10 minit setelah sidang media tadi berlangsung cukup membuatkan mereka berdua naik gila. Mana tidak gilanya jika baru sahaja 5 minit berita itu dimuat naik ke portal, sudah bertebaran dalam dunia maya berita palsu mengenai Campbell Corporation yang dikatakan dalang kes kemalangan di Jalan Pahang, Tapah. Berita itu setakat ini mendapat 100,000 buah perkongsian jadi siapa saja tidak naik hantu?

'Campbell Corporation Disyaki Dalang di Sebalik Pembunuhan Anggota Polis 15 Tahun Lalu di Jalan Pahang, Tapah.'

Besar terpampang tajuk ini di paparan muka hadapan berita. Berita terkini yang disiarkan oleh Portal Gosip Panas itu ditenung tajam oleh Rayyan. Syafiq di sebelahnya pula masih tidak menang tangan dengan sibuk mendapatkan maklumat melalui carian di laman sesawang lain.

Setelah bertungkus lumus membuat carian, Syafiq mengesahkan bahawa berita itu hanyalah perbuatan khianat dari orang yang mendengkikan syarikat ini. Campbell Corporation memiliki pengaruh dan reputasi yang besar di Malaysia.  Ditambah pula dengan kemenangan membida projek dari kerajaan Vietnam, memang lagilah berkuasa syarikat itu.

Tit... tit...

Rayyan mengangkat telefonnya.

"Boss, teruk kita kena tadi ni," lapor Ren dengan suara tertekan dan cemas.

"Apa yang berlaku kat sana Ace? Aku sibuk kat sini. Entah siapa yang dengki sangat ni," jawab Rayyan dengan penuh stres. Dahinya dipicit lembut dan tali leher yang dipakainya dilonggarkan sedikit. Sungguh, dia terasa seperti nafasnya sesak sahaja dengan kejadian malang yang menimpa syarikat hari ini.

"Wartawan. Ada wartawan perempuan bangkitkan isu panas sekarang ni yang kita sendiri pun tidak tahu hujung pangkal lagi," beritahu Ren.

Ya Allah...

Rayyan tersandar di dinding. Bala apa lagi yang mendatang ni? Telefon yang masih berada di dalam genggamannya itu kemudiannya dilekapkan kembali ke telinga.

"Cik macam mana? Minta May kawal suasana dan pastikan benda yang berlaku tadi tidak bocor ke pengetahuan pihak luar. Pasal wartawan tu, aku sendiri akan jumpa perempuan tu. Siapa nama dia?" tanya Rayyan sambil tangannya buat kali kedua memicit dahi. Berdenyut-denyut rasanya!

'Wartawan memang suka buat masalah ya?' desis hatinya dalam memberontak panas.

"Cik masih tidak tahu berita ni. Pasal wartawan tu pula, kalau dilihat dari rekod ni, namanya Hana Mikayla dan dia wartawan dari akhbar Nadi Kota," jawab Ren dengan pantas selepas dia meneliti rekod kehadiran pihak media.

"Okey. Aku harap Cik bertenang apabila sudah tahu berita ni. Aku dan Hades akan sedaya upaya mengatasi masalah ni dan Ace, terima kasih untuk info tu," kata Rayyan lalu menamatkan perbualannya. Lantas, dia berjalan menuju ke arah Syafiq yang masih setia dengan komputernya.

"Hades. Cari maklumat pasal wartawan ni. Hana Mikayla dari akhbar Nadi Kota. Aku gerak dulu, nanti apa-apa beritahu," arah Rayyan seraya meletakkan sekeping nota bertulisan tangan yang tertera nama Hana Mikayla di atas meja Syafiq.

"Baik Boss," jawab Syafiq dengan akur lantas memulakan kerjanya menggodam maklumat berkaitan wartawan bernama Hana Mikayla, pencetus kekecohan di sidang media Campbell Corporation.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.