Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Hello, Abang Bodyguard!
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
207,486
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Sejurus saja pintu Dewan Utama Wisma Ajmain terbuka, Hana Mikayla bersama sekumpulan wartawan lain menyerbu masuk dan bersesak-sesak di hadapan pintu. Masing-masing tak nak kalah menyoal orang penting yang menghadiri acara itu bagi mendapatkan berita esklusif bidaan projek bernilai jutaan ringgit dari Kerajaan Vietnam.

'Cik Eve Campbell!'

Terdengar saja teriakan nama itu, Hana terus berlari mendapatkan wanita berketurunan Mat Saleh itu seterusnya berusaha menemuramah beliau. Eve yang elegan dengan sepersalinan set pakaian kot ungu beserta fesyen ikatan rambut blonde yang disanggul kemas kelihatan sangat cantik. Sejujurnya, Hana sangat terpesona melihat gaya beliau itu walaupun dia  sendiri seorang perempuan!

"Apa rahsia Cik Eve dalam memenangi bidaan ini? Bidaan ini bukannya senang mahu dapat," soal Hana sambil berhimpit-himpit dengan wartawan lain.

"Macam mana Cik Eve berjaya dapatkan projek ni?" wartawan lain pula menyoal, juga bersesak-sesak.

"Apa perasaaan Cik Eve?" tanya lagi wartawan yang lain.

"Tahniah Cik Eve!" jerit wartawan lain pula. Iyalah, nak ucap tahniah kat tempat awam tambah-tambah lagi tengah bersesak-sesak dan padat macam ikan dalam tin sardin ni, haru juga kalau suara yang keluar itu halus lagi lembut sipi-sipi kedengaran di hujung telinga!

Persoalan demi ucapan diterima dari wartawan bertali arus dan Eve hanya sempat menjawab apa yang patut saja sambil mengekalkan muka senyumnya. Tepatnya, dia mahu segera kembali ke pejabat sekarang  sebab pasti papanya sedang bergembira sekarang ini. Takkan tidak gembira pula apabila anak emasnya sekali lagi berjaya mengharumkan nama syarikat Campbell Corporation.

"Maafkan kami ya. Cik Eve akan membuat sidang media pagi esok di ibu pejabat Campbell Corporation jadi harap berikan kerjasama ya semua," Rayyan terpaksa mencelah sekaligus mengiring Eve masuk ke kereta yang sudah tersedia parkir di lobi wisma itu.

Ren yang bertindak sebagai pemandu serta Grace sebagai pembantunya sudah bersedia berdiri di muka pintu kereta. Bila-bila masa sahaja lagi bos mereka akan keluar dari bangunan itu jadi mereka berdua juga sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.

"Nanti dulu Cik Eve!" halang sekumpulan wartawan.

"Cik Eve!" jerit wartawan lain pula lalu cuba menyaingi langkah Eve yang dikawal ketat oleh Rayyan.

Rayyan mendengus dalam hati. Memang wartawan ni jenis tak reti bahasa ya? Rayyan terus menerus melindungi Eve dari serbuan rapat wartawan lalu mengiringnya masuk ke dalam kereta. Setelah memastikan Eve selamat masuk, dia memberi isyarat kepada Ren agar terus beredar dari situ. Namun, sebelum sempat Ren mengangguk, tiba-tiba Eve menurunkan cermin kereta.

"Tak naik sekali?" tanya Eve dengan senyuman nipis dihadiahkan buat jejaka kacak itu. Sungguh, jika tidak kerana Rayyan Razien yang menjadi hero menyelamatkan bidaan projeknya hari ini, mahu dia meraung tergolek-golek di lantai wisma masa tu juga!

Sungguh, memang dia tidak tersalah pilih orang untuk dibuat kawan, business partner dan bodyguard. Rayyan Razien memang sejenis sahabat yang boleh diharap dan sentiasa melindungi orang yang diamanahkan kepadanya. Dalam hati, Eve bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan abang angkat yang sangat memahami dan sabar melayan karenah keanak-anakannya itu.

Melihatkan ulah Eve yang nampak ceria dan berpuas hati, Rayyan lantas melemparkan senyuman lebar dan tangan kanannya menayangkan anak kunci kereta ke muka Eve.

"Nak campak ke mana baby BMW i8 aku ni?" sengihnya.

Eve, Ren dan Grace serentak ketawa geli hati. Rayyan dan BMW i8 hitam metaliknya berpisah haram!

Rayyan kemudiannya mengiringi pemergian Nissan GT-R 2020 yang dipandu oleh Ren sehingga kereta itu hilang dari pandangannya. Setelah berpuas hati, dia bergerak ke parkir yang menempatkan kereta kesayangannya. Sekarang, dia sudah tidak risau lagi dengan ancaman sebab Eve pasti selamat dengan dua orang bodyguard yang mengiringinya.

Prang!

Rayyan menoleh ke belakang apabila terdengar seperti benda berat jatuh. Bunyi yang seakan-akan benda plastik tetapi berisi kaca yang pecah berkecai itu sangat menarik perhatiannya.

Seorang perempuan bertudung merah dengan jeans hitam berblaus putih labuh ke lutut dan berkasut sukan hitam putih sedang menunduk mengambil sesuatu. Rayyan melirikkan mata ke arah objek yang dicapai oleh gadis itu.

"Kamera? Confirm wartawan," desis hatinya lalu mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan hal itu. Wartawan kan, baginya the most annoying creature in the world walau arwah ibu dan ayahnya sendiri pun bekerja sebagai wartawan dulunya sebelum mereka berdua meninggal akibat kemalangan jalan raya.

Dia malas mahu mengambil tahu hal wartawan lalu kakinya diteruskan melangkah kembali ke tempat parkir. Namun, hayunan langkahnya itu terhenti apabila terdengar suara nyaring  seorang wanita berleter. Kuat oktaf suaranya berleter membebeli gadis wartawan itu.

"Hana Mikayla. Kenapa la awak ni cuai sangat? Mahal kamera aku ni nak oiiii!" bebel suara tersebut.

Rayyan berpaling lagi sekali. Tertarik pula dia dengan bebelan itu sebab gaya itu sangat mirip dengan cara neneknya selalu membebel. Hatinya ketawa kecil namun tawanya termati apabila terpandangkan wajah gadis yang dipanggil Hana Mikayla itu.

'Kenapa aku rasa macam kenal dia?' Rayyan mengerutkan dahi sambil otaknya ligat mengerah memori.

'Betul, wajah itu sangat familiar,' desis hatinya lagi sambil otaknya semakin ligat memikirkan di mana dia pernah melihat wajah itu. Dia rasa dia pernah melihat wajah itu tetapi... di mana dan... bila? Entah, dia gagal menghadirkan ingatannya pada perempuan muda tersebut.

Dup! Dap!

Rayyan tiba-tiba memegang dadanya dengan kejap. Sakit! Secara tiba-tiba juga, Rayyan merasakan detak jantungnya semakin berentak tidak sekata dan rasa nyeri mula menyerang dengan lebih hebat. Rayyan semakin menekan dadanya dengan tubuhnya juga mula terasa semakin panas. Sakit sangat dadanya sampaikan terasa mahu pecah!

Dup! Dap! Dup! Dap!

Rayyan mula tercungap-cungap mencari nafas dan peluh semakin merenik membasahi dahi. Jantungnya juga semakin berentak tidak sekata dan berdegup terlalu kuat. Urat hijau yang mula timbul di dahi, leher, lengan serta tangannya itu sudah cukup menunjukkan betapa kuat dia menahan kesakitan pada dadanya.

Dalam menahan sakit, sempat matanya mengerling kepada jam tangan pintar berjenama Vivoactive HR yang dipakai di tangan kirinya.Patut saja jam itu menjerit nyaring mengeluarkan bunyi 'bip bip' tidak berhenti sejak dari kesakitan mula menyerangnya tadi. Denyut jantungnya per minit sudah mencecah 150 bpm!

Gadis itu...

Aku pernah lihat dia...

Tapi... di mana?

Bila?

Argh!

Kesakitan yang datang secara tiba-tiba serta menggila itu sangat membuatkan langkahnya goyah lalu tanpa sempat berpaut, dia jatuh terlutut dengan dadanya juga ditekan semakin kuat. Dalam mencari nafas yang tidak teratur serta semakin sesak itu, terngiang-ngiang di telinganya bunyi sayup suara orang ramai bercakap-cakap.

"Encik. Encik okey?" tanya satu suara.

Rayyan memejam mata dalam menahan rasa sakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda mahu reda. Dia terasa mahu pengsan sekarang ni juga namun akalnya dikerah agar terus berjaga dan tidak hanyut. Masalah akan menjadi besar jika dia hilang kesedaran diri di tempat awam macam ini.

"Encik tak apa-apa? Nak saya panggilkan ambulan?" tanya suara lain pula dengan nada lebih prihatin.

Dalam kesayupan celahan irama pertanyaan dari orang ramai yang mula mengelilinginya, Rayyan membuka mata lalu mencari kekuatan dengan berpaut pada pemegang besi di sebelahnya. Dengan wajah cuba ditenangkan dalam kesakitan, dia menolak baik pertanyaan dan bantuan orang ramai. Lalu, dengan langkah terhuyung hayang dia bergegas menapak pergi ke keretanya yang tersadai elok di tempat parkir.

Pintu kereta dibuka kasar lantas dia   mencari botol ubat penahan sakit yang sememangnya tersedia di dalam dashboard kereta. Dua biji ubat penahan sakit itu ditelan sekali gus dan selepas beberapa seketika, kesakitan melampau yang menyerangnya tadi mulai beransur hilang. Rayyan menarik nafas kelegaan dan setelah keadaan beransur tenang, dia mendail nombor seseorang.

"Dr. Aiman, aku nak jumpa kau," kata Rayyan apabila panggilannya berangkat.

"Hmm... okey," katanya lagi lalu memutuskan talian.

Rayyan kembali menarik nafas dan memegang kejap stering kereta. Sebetulnya, fikirannya berkecamuk dan sesak dengan imej gadis bertudung merah yang dia ternampak sekejap tadi. Siapa gadis itu? Kenapa jantungnya terasa sakit apabila terpandangkan wajah gadis itu? Adakah gadis itu juga ada perkaitan dengan kes 15 tahun lepas? Sungguh, dia buntu.

Tidak mahu terus menerus berfikir mengenai gadis itu, Rayyan kemudiannya terus menghidupkan enjin kereta  lalu segera memandu keluar dari parkir itu untuk kembali ke ibu pejabat Campbell Corporation. Biarlah dulu hal berkenaan dengan gadis itu, apa yang penting sekarang ialah dia mahu berehat dan mengambil semula tenaganya yang hilang tadi selepas berjuang melawan kesakitan. Syukur alhamdulillah, dia tidak pengsan seperti sebelumnya apabila terpandang wajah atau objek yang berkaitan dengan arwah Inspektor Khalid!

***************

Hana Mikayla tenggelam dalam menungannya di tepi jendela pejabat akhbar Nadi Kota itu. Ralit benar dia  menyaksikan rintik hujan yang semakin melebat menjirus Bumi dan perasaan bersyukurnya kepada Allah SWT sangat menggunung saat ini di atas nikmat hujan yang membasahi  ibu kota itu setelah sekian lama ia bermandi cahaya terik mentari yang merekahkan tanah. Sudah 2 minggu Kuala Lumpur tidak disirami hujan dan panasnya bukan main lagi.

"Hana," panggil satu suara.

Panggilan dari suara itu membawa Hana kembali ke alam realiti. Dia tersedar dari lamunannya lantas lalu lantas berpaling kepada si empunya suara yang memanggil.

"Ya, bos," jawab Hana dengan senyuman pendek dihadiahkan buat bosnya.

Encik Faruk, editor akhbar Nadi Kota itu kini tercegat bagai pak pacak di belakangnya. Di tangannya, terdapat beberapa helaian kertas yang sangat dikenali oleh Hana iaitu laporan kemenangan Campbell Corporation hari ni. Hana menggigit bibir. Apa pula la yang bosnya tidak berpuas hati lagi ni?

"Hana, aku nak kau betulkan semula perenggan ni sebab macam tak kena je ayat kau tulis macam ni. Lagi satu, bahagian ni sepatutnya tulis begini begini begini..." kata Encik Faruk dengan panjang lebar sambil tangannya galak terawang ke sana sini untuk menjelaskan kepada gadis itu di mana silapnya hasil tulisan laporan yang bakal diterbitkan untuk siaran muka hadapan pagi esok.

Hana Mikayla hanya terangguk-angguk bagai burung belatuk mendengarkan nasihat berupa bebelan dari ketuanya. Encik Faruk ni bila sudah bercakap, siap dengan bermacam-macam gaya dibuatnya semata-mata mahu anak buahnya memahami apa yang dia mahukan. Mahu tidak mahu, Hana terpaksa mengiayakan sahaja ulah ketuanya itu.

"Faham?" tanya Encik Faruk setelah penerangannya tamat.

"Ya bos. Lepas saya edit nanti saya hantar terus kat bos," janji Hana lalu segaris senyuman diberi lagi buat bosnya yang seorang itu.

Encik Faruk mengangguk berpuas hati dengan jawapan Hana lalu dia terus berlalu dari situ. Hana melepaskan nafas kelegaan kerana paling tidak, Encik Faruk tidak membebel panjang seperti sebelumnya. Jika tidak, mahu juga kejang kakinya berdiri lama di situ. Alhamdulillah. Lafaz kesyukuran itu diucapkan berkali-kali di dalam hatinya.

Setelah beberapa ketika membaiki hasil tulisannya dengan menggunakan pen dalam keadaan berdiri, Hana kembali menyambung menungannya. Sejujurnya, dia merasa kesal sungguh akan kecuaiannya menjatuhkan kamera DSLR Cik Kiah. Sudahlah mak cik itu kepoh, nanti habis satu pejabat dicanangnya berita itu. Tapi benda dah nak jadi, nak buat macam mana selain menggantikan sahaja kamera itu dengan kamera baru atau bagi sahaja duit kepada Cik Kiah untuk dia membeli kamera yang baru. Pastilah mak cik renek lagi gemuk lagi berisi itu tidak membebel panjang lagi.

'Aduh, la mati aku nak ganti kamera Cik Kiah,' desis hatinya dengan membungkam hebat. Sebal.

Dalam termenung, sempat pula tangannya mencari jenis kamera yang semodel dengan kamera DSLR Cik Kiah beserta dengan harga kamera itu melalui telefon pintarnya. Makaih... mahal siot! Hmm... pokailah dia empat bulan ini kalau kamera yang paling murah pun berharga dalam RM 9000 tidak termasuk lensa zoom. Kalau sekali dengan lensa, matilah dia... dekat dengan RM 10,000 juga kamera DSLR berjenama Sony yang dijatuhkannya tadi itu.

Murung setahun dirasakannya kini. Tidak mahu menyambung kesal dan merasa senak otak, Hana kembali duduk di mejanya lalu fail laporan bidaan projek Kerajaan Vietnam yang ditulisnya tadi dibelek semula. Melalui laporan itu, dia cuba mencari ayat terbaik bagi mengolah semula bahasa yang disampaikan agar lebih dekat dengan pembaca. 

Dalam berfikir itu, ingatannya tiba-tiba terarah kembali kepada lelaki yang setia berada di sisi Cik Eve tadi. Lelaki tadi berpakaian formal dengan sut lengkap berwarna biru tua dan berkemeja putih dan ia sangat menjadikannya sangat tampan dan kacak. Aura lelaki itu pula tadi masyaAllah... mengancam sungguh! Memang stok lelaki kaya, bergaya, dan ada rupa.

Bukan biasa-biasa lelaki itu pada pandangan seorang Hana Mikayla. Namun, dia merasakan ada sesuatu yang misteri pada lelaki itu. Iyalah, di parkir kereta tadi dia ternampak yang lelaki tu dikerumumi oleh orang ramai. Dia ingatkan lelaki itu menjadi famous macam artis yang dikelilingi oleh peminatnya di fan meeting kerana kekacakannya, tetapi rupanya dikelilingi oleh orang ramai sebab dia tiba-tiba jatuh terlutut dan selepas itu berjalan terhuyung-hayang macam orang sakit. 

Entahlah. Kejadian yang disaksikan pada pagi tadi itu menimbulkan persoalan di benaknya namun dia memilih untuk tidak mengambil kisah. Lagipula, dia sudah terlewat pun tadi untuk balik ke pejabat. Buatnya lambat-lambat, mahu kena tinggal dek pemandu van akhbar Nadi Kota itu. Tapi sungguh... tak bolehlah. Lelaki tadi sangat kacak! Hana tersenyum kembali apabila teringatkan lelaki tu sampai dia tidak sedar pun ada orang yang memerhatikan kelakuannya itu sejak dari tadi

"Hoi!" sergah satu suara dari belakang.

"Opocot kucing kau hitam!" Hana berdiri tegak.

Cik Kiah ketawa berdekah-dekah sampai berair matanya melihatkan latahan Hana. Suka betul dia dapat menyergah gadis itu yang nampak tersenyum sejak dari tadi. Amboi, terjumpa buah hati ke apa si Hana ni? Fikiran itu yang bermain-main di benaknya apabila Hana langsung tidak menyedari kehadirannya sedangkan sudah 5 minit dia terpacak di belakang Hana.

"Cik Kiah!" Hana memprotes.

"Hahaha... nasib baik kucing aku memang hitam," kata Cik Kiah lalu mengambil fail dari meja Hana dan membeleknya dengan sekilas pandang serta sesekali kepalanya terangguk-angguk. 

Hana hanya memerhatikan kelakuan Cik Kiah dengan penuh kesabaran. Cuak juga jika Cik Kiah pun berfikiran sama dengan Encik Faruk untuk draf artikel yang ditulisnya itu.

"Hm... okey dah ni Hana. Cumanya, kalau kau dapat interview khas Cik Eve tu, lagi gempak. Kau baca kan berita pasal dia. Tabik spring gila dengan cara dia bida sesuatu projek. Hebat cenggini haa!" kata Cik Kiah sambil mengangkat ibu jari dan kata-kata itu disambut oleh Hana dengan anggukan bersetuju dengan pendapat itu.

"Hana, sebenarnya esok aku kena ke Campbell Corporation tu untuk sidang media. Apa kata kau ambil alih tugas aku? Lagipun inilah peluang kau nak interview Cik Eve," kata Cik Kiah sekaligus memberikan cadangan kepada Hana.

Mendengar tawaran Cik Kiah, mata Hana terus bersinar galak dan laju je dia mengangguk setuju. Ni sayang lebih Cik Kiah ni. Itulah... Cik Kiah ni walaupun mulutnya laser, tapi hatinya baik sangat sebab dia selalu memberikan tunjuk ajar kepadanya sehingga dia boleh naik ke peringkat sekarang ini iaitu Pembantu Ketua Editor bahagian Isu Niaga dan Kewangan.

"Thanks Cik Kiah!" kata Hana memeluk tubuh gempal Cik Kiah dan pelukan itu dibalas oleh Cik Kiah dengan ketawa puas hati. Comel betul cara Hana membalas jasa.

"Okeylah Hana aku nak chow dulu. Kucing aku lapar dah ni tunggu mak dia tak balik-balik lagi ni haaa. Kau pun Hana, silalah balik ye sebab jam pun pukul 5 dah ni nak oii..." kata Cik Kiah sekali gus berpesan kepada Hana.

Pesanan ikhlas itu disambut oleh Hana dengan senyuman manis. Sempat dilambainya Cik Kiah Kepochi itu sebelum dia sendiri bersiap-siap untuk pulang. Kalau lambat pulang ni, alamatnya makan jem la di jalan raya dan jem itu tidak sedap seperti roti putih yang diletakkan jem strawberry!


©️ HAK CIPTA TERPELIHARA ANGEL_K20

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.