Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Hello, Abang Bodyguard!
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
207,358
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Eve Campbell, chief executive officer (CEO) syarikat Campbell Corporation memandang ketiga-tiga orang bodyguardnya silih berganti. Pandangannya tajam meneliti raut wajah mereka yang kesemuanya berdiri tegak menanti arahan. Hari ini ialah hari yang sangat penting bagi Campbell Corporation dan tidak dapat tidak, khidmat semua bodyguardnya mesti digunakan semaksima mungkin.

"Ingat, nilai projek ni RM 500 juta dan mungkin lebih lagi dari tu, jadi I pasti akan ada komplot untuk mengagalkan urusan kerjasama ni," kata Eve dengan penuh bersemangat.

"Baik, Cik." Rayyan Razien, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Campbell Corporation menjawab dengan tenang. Dia perlu mengiringi Eve hari ini ke tempat pembidaan memandangkan dia juga adalah bodyguard rasmi gadis itu. Gelaran yang digunakan oleh Rayyan ialah 'Boss' kerana dia juga adalah ketua bagi semua bodyguard di syarikat terkemuka itu.

Eve mengangguk berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Rayyan. Seketika, dia bangun dari kerusi empuknya lalu mengambil beg fail serta tas tangan lalu tanpa membuang masa, dia menapak ke pintu. Sebelum tangannya menyentuh tombol pintu, dia menoleh ke belakang lalu dengan senyuman lebar, dia menganggukkan kepalanya.

"Jom!" ajak Eve lalu mereka berempat serentak berjalan dengan penuh gaya menuju ke parkir bawah tanah.

Disebabkan projek yang mereka akan bida pada hari ini bernilai jutaan ringgit, mahu tidak mahu mereka semua terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih ketat lagi memandangkan musuh boleh berada di mana-mana sahaja hatta dalam bangunan syarikat mereka sendiri. Dengan strategi padu yang dirangka oleh Rayyan, mereka berempat akan membuat satu perubahan rancangan yang akan memberikan impak besar dalam perjalanan pembidaan hari ini.

Sesampainya mereka semua di parkir bawah tanah, Rayyan membukakan pintu kereta lalu Eve mengambil tempat di sebelah pemandu. Cermin kereta yang dilapisi dengan tinta gelap tidak memungkinkan orang luar untuk melihat orang di dalam kereta itu. Setelah memberikan arahan kepada dua orang lagi bodyguard yang turut sama turun ke parkir bawah tanah bersamanya tadi, Rayyan terus masuk ke dalam kereta dan tanpa membuang masa, dia menghidupkan enjin kereta lalu memecut laju keluar dari kawasan parkir.

Eve yang berada di sebelahnya terus fokus menumpukan perhatian kepada fail yang berada di dalam briefcase. Fail projek itu sangat penting bagi melicinkan perjalanan proses pembidaan namun wajah Rayyan yang tersangat menyerlah ketampanannya itu sempat dicuri pandang oleh Eve. Sejujurnya, dia ralit memerhatikan raut wajah tenang jejaka berusia 30 tahun itu ketika sedang memandu. Sangat handsome, berkarisma dan cool!

"Sangat kacak..." tanpa sedar, mulutnya mengungkap perkataan sambil bibir merah menyalanya itu tidak berhenti-henti tersenyum.

Rayyan yang terasa diperhatikan menoleh sekilas kepada Eve. Nampak sangat yang Eve Campbell, CEO syarikatnya ni dah macam orang tak betul tersenyum-senyum sendiri.

"Apa dia?" tanya Rayyan sepatah dengan matanya tetap fokus pada pemanduan.

"Tak ada apa," jawab Eve sambil buat-buat tak tahu lalu berpaling ke arah lain. Dia termalu sendiri apabila tindakannya memerhatikan anak teruna orang itu terkantoi. Mahu sendiri ingat dirinya sudah ada tunang dan tunangnya si Steven Daud Abdullah itu pun tidak kurang kacaknya.

Rayyan mengukir senyuman nipis melihatkan telatah kanak-kanak Ribena gadis kacukan Mat Saleh di tepinya. Harapkan diri saja sudah besar tapi perangai tak matangnya ni alahai, macam-macam hal bosnya yang seorang ni.

Sesampainya mereka berdua di simpang lampu isyarat, Rayyan tiba-tiba membelokkan keretanya ke sebelah kiri dengan raut wajah jejaka itu berubah menjadi agak tegang tapi masih dikawal agar tidak nampak gelabah. Dia seorang bodyguard terlatih, apa nak hairan kalau setakat diekori oleh dua buah kereta berwarna hitam jenis Ford Mondeo kan? Eve di sebelahnya memandang Rayyan dengan pandangan cuak lalu pandangannya itu dibalas dengan anggukan perlahan.

"Jom play!" kata Rayyan sambil tersengih lalu dia memecut laju melintasi beberapa buah kereta di hadapan.

Vroom!

Pin! Pin!

Bunyi bingit ngauman kereta di jalan raya bercampur dengan bunyi hon di sana serta decitan tayar yang terhasil benar-benar mengundang situasi yang mencemaskan. Dua buah kereta Ford Mondeo hitam masih lagi tak nak kalah mengekori dan mengejar dari belakang serta masing-masing menderum laju mengejar hala kereta Nissan GT-R 2020 berwarna hitam metalik berplat WMA1001 yang dipandu oleh Rayyan.

Biar berputih tulang, jangan berputih mata. Rayyan memecut lagi keretanya sambil membelok lincah memasuki simpang dan jalan berliku. Sengaja keretanya dipandu macam orang gila memandu supaya kedua-dua buah kereta yang mengekori mereka itu terbabas atau tersalah pandu ke arah lain.

Dia kan, Rayyan Razien?

Melalui kerlingan pada cermin pandang belakang, Rayyan dapat melihat helahnya menjadi dan tanpa sedar, senyuman sinis tersungging di bibirnya. Adrenalin mereka mencanak naik dan situasi itu sangatlah membuatkan mereka merasa sangat teruja. Eve di sebelahnya juga ketawa puas hati.

Ya, bukan sekali dua benda macam ni berlaku. Setiap kali Campbell Corporation menerima tawaran bidaan projek berjuta-juta, akan ada cubaan untuk menggagalkan usaha sama ini berlaku. Dengki dalam bisnes itu biasa dan percubaan untuk merampas tender itu luar biasa agresifnya!

Disebabkan itulah, Dato' Campbell Kevin melantik Rayyan Razien, Ren Hau, Grace Bai, dan Syafiq Azim sebagai pengiring peribadi atau lebih dikenali sebagai bodyguard untuk menjaga keselamatan anaknya iaitu Eve Campbell. Eve yang memegang jawatan sebagai CEO syarikat bertanggunggjawab sepenuhnya dalam merealiasikan kejayaan usaha sama mendapatkan tender projek itu.

"Boss, belok ke lorong kanan Bangunan Ban Chu Motor." Melalui earbud yang terletak elok di telinga kiri Rayyan, Syafiq si hacker yang sedang menyaksikan perlumbaan tidak rasmi Rayyan dengan dua buah kereta Ford Mondeo berwarna hitam melalui monitor komputernya terus memberikan arahan agar Rayyan menghalakan keretanya ke arah yang bertentangan dengan hala kereta yang masih mengekori.

"Okey," jawab Rayyan lalu tangannya memutar stering menghala ke arah yang ditunjukkan oleh Syafiq.

"Dalam 50 meter, pusing ke kiri dan ambil laluan yang menghala ke bangunan Rauf City," kata Syafiq lagi sambil tangan dan jari jemarinya laju menekan papan kekunci komputer serta mengetik tetikus.

Akur dengan arahan Syafiq, Rayyan terus menghalakan kereta ke Rauf City. Walau bagaimanapun, melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang, dia dapat melihat dua kereta Ford Mondeo itu telah berjaya mengesan keretanya.

"Hades, not pass," beritahu Rayyan.

"Don't worry Boss. Dari Rauf City, terus menghala ke traffic light dan belok kanan. Kemudian, berhenti di Bangunan CardiPhoto. Exit path kat sana," jawab Syafiq dengan tenang.

Akur dengan rancangan Syafiq, Rayyan kemudiannya terus memecut Nissan GT-R 2020nya dengan laju. Pecutan kereta itu menghasilkan efek deruman yang kuat seperti bunyi kereta sedang berlumba di dalam litar. Realitinya, keadaannya sekarang ni pun seperti dalam litar jalan raya dah gamaknya dengan hon di sana sini dia terima akibat memotong tidak tentu hala. Dalam hatinya, hanya satu saja dia minta iaitu janganlah berlaku apa-apa kemalangan jalan raya. Kalau tidak, jenuh dia nak cari semua driver yang terlibat untuk membayar pampasan!

Syafiq terus menerus memberikan arahan dan solusi terbaik kepada Rayyan agar ketuanya dan CEO syarikat selamat tiba di tempat bidaan akan dijalankan. Dia adalah seorang bodyguard yang ditugaskan melindungi Eve Campbell dengan kemahiran hacking. Dalam melicinkan perjalanan projek bidaan bosnya kali ini, dia sepenuhnya bertanggungjawab dalam apa saja masalah yang bakal dihadapi dan tugasnyalah untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kemahiran IT yang dimilikinya.

"Okey sekarang Boss!" jerit Syafiq lantas jarinya menekan papan kekunci bertanda 'Enter'.

Vrooomm!

Nissan GT-R 2020 yang dipandu oleh Rayyan berjaya melintasi lampu isyarat yang tiba-tiba bertukar menjadi merah. Para pengguna jalan raya yang lain masing-masing kaget dan mereka terpaksa membrek dengan mengejut disebabkan tidak sampai seminit lampu isyarat bertukar menjadi hijau, tiba-tiba ia bertukar menjadi merah!

"You're awesome Boss. Wuhuu!" Eve menjerit puas hati.

"Jangan suka sangat Cik. Exit path kita kat sana," Rayyan memberikan peringatan dengan senyuman sinis tersungging di bibirnya. Sempat dia bersiul kepada Syafiq sebagai tanda thumbs up.

Eve menutup mulutnya namun senyuman lebar masih tersungging di bibir merah menyalanya. Setelah lima minit memandu, Rayyan kemudiannya memberhentikan keretanya di belakang bangunan CardiPhoto, iaitu kedai foto yang sudah agak tua dimakan usia itu tetap kelihatan gagah berdiri. Pintu kereta dibuka oleh Rayyan lalu dengan selamba dia melemparkan kunci kereta kepada seorang lelaki tegap yang berdiri di sisi sebuah kereta BMW i8 berwarna hitam metalik.

"Safe drive Ace. You too May!" pesan Rayyan kepada lelaki itu dan juga seorang wanita yang kelihatan elegan berada di sampingnya.

Ren atau dikenali sebagai Ace nampak formal dengan sut hitam dan Grace atau kod nama May pula nampak elegan dengan baju dress ungu labuh sama seperti baju yang dipakai oleh Eve. Mereka berdua masing-masing mengangguk patuh dan tersenyum sinis. Apa yang mereka pasti, 'Tipah tertipulah' Ford Mondeo lepas ni.

Setelah berpuas hati dengan strateginya, Rayyan berpaling kepada Eve lalu tersenyum senget. "Jomlah kita...?"

Eve tersenyum girang lalu tanpa disuruh, dia segera masuk ke dalam kereta yang diparkir bersebelahan dengan Nissan GT-R 2020. Seminit kemudian, BMW i8 hitam metalik itu dipandu keluar oleh Rayyan dari parkir CardiPhoto lantas terus menghala laju ke Wisma Ajmain, tempat bidaan projek akan dijalankan.

'Ace dan May, tugas kamu bermula sekarang,' desis hati Rayyan.

******************

Selang 10 minit, Rayyan dan Eve sampai di Wisma Ajmain tanpa ada sebarang gangguan. Sesampainya mereka di sana, para pembida sudah ramai menunggu proses bidaan yang sekejap lagi akan bermula.

Dalam kesesakan orang ramai, mata Eve menangkap kelibat Sir Jim iaitu seterunya papanya dalam perniagaan. Dia perasan yang Sir Jim melangkah menghala kepadanya lalu tanpa berlengah, dia membetulkan rambut dan bajunya agar kelihatan lebih kemas. Rayyan yang berada di sebelahnya memberi isyarat kepadanya agar berlagak biasa dan isyarat itu disambut oleh Eve dengan anggukan dan tarikan nafas panjang untuk bertenang.

"Hi sweety. Uncle ingat papa kamu yang akan datang hari ni," Sir Jim menghulurkan tangan untuk bersalaman lalu disambut hambar oleh Eve dengan kekok.

"Alah Uncle ni, sekarang ni Campbell Corporation kan diuruskan oleh Eve. Takkan uncle lupa kot?" balas Eve sambil mengukir senyuman semanis gula bagi menutup kegalauan hatinya sendiri. Sir Jim ni ialah pesaingnya yang terbesar dalam dunia perniagaan dan tidak dapat tidak, lelaki sebaya papanya ini tidak boleh diberi muka sangat.

Sir Jim ketawa besar menutup rasa hatinya. Hatinya mendongkol geram dek macam manalah anak buahnya buat kerja sampai si Eve ni terlepas juga ke sini. Dia dah menghantar dua buah pasukan konco-konconya untuk menghalang perjalanan Eve kerana dia mengetahui yang Eve sangat handal dalam pembidaan. Semenjak Eve mengambil alih syarikat enam bulan lalu, saham Campbell Corporation mencanak naik dan syarikat itu juga dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Projek yang mesti didapatkan pada hari ini ialah projek cari gali emas di Vietnam. Usaha sama dengan kerajaan Vietnam ini sangatlah jarang-jarang berlaku. Jika termeterai perjanjian perniagaan ini, maka syarikat yang berjaya memperoleh tender untuk projek ini akan menjana keuntungan berjuta-juta atau mungkin berbilion ringgit.

"Jom Uncle, majlis dah mula," Eve mengajak Sir Jim sekadar berbasa-basi.

Mendengarkan ajakan dari Eve yang diiringi Rayyan di sebelahnya, Sir Jim mengacip gigi dengan kemas. Perasaan geramnya menggunung kerana ambang kekalahan bagai menari-nari di hadapan mata. Dia pasti dan yakin bahawa rancangannya punah disebabkan jejaka berpakaian kemas di sebelah Eve, bukannya Eve kerana apalah sangat kudrat gadis itu untuk melawan orang-orang suruhannya.

Setelah majlis pembukaan acara tamat, kini tibalah masa untuk slot pembidaan dibuka. Pembidaan kali ini agak menarik kerana pemenang ditentukan oleh pembentangan rancangan perniagaan dan sekejap lagi akan tiba giliran Eve untuk membentangkan rancangan perniagaan syarikatnya. Tanpa membuang masa, dia membuka tas tangannya dan mencari-cari sesuatu. Seketika, mukanya berkerut.

Rayyan menyedari kegelisahan Eve dan dengan isyarat mata, dia bertanya 'apa yang berlaku?'. Eve kemudiannya terus menulis nota di atas sekeping kertas lalu menghulurkannya kepada Rayyan.

'Pendrive hilang.'

Rayyan senyap dan bertafakur lalu mindanya difokuskan kepada saat mereka berdua mula-mula sampai di wisma ini. Seketika, dia membuka mata lalu bangun dari kerusi dengan alasan mahu ke tandas. Lagak Rayyan yang nampak tenang tetapi terkandung riak cemas di wajahnya dipandang sinis oleh Sir Jim yang berada di meja bersetentangan dengan Eve. Nampakya, backupplannya tidak mengecewakan!

Setelah keluar dari dewan, Rayyan segera menghubungi Syafiq dan menjelaskan situasi. Setelah mendengar dengan teliti apa yang berlaku dan kepelbagaian kemungkinan serta andaian yang terjadi, lantas Syafiq segera menjalankan kerjanya. Dalam 30 saat, Syafiq memaklumkan keputusan penggodamannya kepada Rayyan lalu laporan itu disambut dengan keluhan kasar.

"Ya Boss, dari CCTV ni memang aku nampak ada seorang pelayan air yang menyeluk poket baju kot Cik dari arah belakang. Nampak macam penyeluk saku profesional. Jika diikutkan kedudukannya sekarang ni... dia menghala ke parkir lot aras tingkat tiga. Di situ parkir untuk van dan kereta tetamu wisma ni," lapor Syafiq dengan panjang lebar.

Mendengarkan lagi laporan Syafiq, Rayyan segera berlari turun ke lot parkir. Dalam larian, matanya sempat mengerling kepada jam tangannya dan sekali lagi jantungnya berdegup kencang. Masa yang berbaki sekarang ni tersangatlah suntuk dengan hanya 10 minit sahaja lagi sebelum tiba giliran Eve membentangkan rancangan perniagaannya!

"Hades, situasi," Rayyan meminta laporan perjalanan suspek sambil sambil lariannya dihentikan dan langkah kakinya diperlahankan. Dia kini berada di parkir lot bawah bangunan Wisma Ajmain.

"Selang dari 3 biji kereta sebelah kanan dan berhati-hati, dia ada senjata," jawab Syafiq.

Rayyan semakin memperlahankan langkahnya lalu bergerak dengan berhati-hati dan lebih berwaspada. Matanya juga ditajamkan bagi mengesan kehadiran musuh yang pada hematnya, musuh itu sudah pun menyedari dirinya diekori. Dari pandangan imbasan cermin kereta yang berada di sebelah kanannya, Rayyan dapat melihat pergerakan mencurigakan dalam siaga seorang lelaki berhoodie di belakangnya. Rayyan menarik senyuman sinis.

Zup!

Libasan pisau secara mengejut dari penyerang arah belakang dapat dielak oleh Rayyan dengan mudah. Buku limanya yang memang sedia digenggam kemas itu lebih dikemaskan lagi dan langkahnya juga lebih bersiaga serta matanya juga terus tajam memerhatikan langkah penyerang yang seterusnya. Dari apa yang dianalisis pada diri penyerang itu, Rayyan sudah dapat mengagak langkah serangan yang seterusnya dari penyerang. Seperti yang dijangka, penyerang bertindak melibaskan pisau lipat itu dengan membuta tuli dan sekadar membelah angin. Rayyan tersenyum sinis lagi buat kesekian kalinya.

'Amatur sangat...' ejek hati Rayyan kepada musuhnya apabila melihat gerakan sumbang lagi tidak kemas cara serangannya.

Melihatkan kepada tindakan Rayyan yang pantas mengelak, menepis dan tidak membalas serangannya sedikit pun, si penyerang mulai naik minyak lantas melakukan serangan bertalu-talu sehabis daya. Namun, sangat malang nasibnya apabila satu serangan pun tidak mengena jejaka itu. Rayyan hanya sekadar mengelak serta sekali sekala menepis serangan dengan relaks dan bersahaja.

Seperti yang dirancang oleh Rayyan, si penyerang mula keletihan akibat serangan yang dilontarkan selalu tidak mengena. Kesempatan itu kemudiannya diambil oleh Rayyan dengan bertindak pantas melepaskan sebiji tumbukan ke muka penyerang lantas mengilas tangannya ke belakang. Dia sudah malas bermain dan masa pun sudah suntuk.

"Aku hanya diupah... be... benarkan aku pergi dari sini," rayu si penyerang dengan suara menggeletar.

Rayyan tersenyum sinis lagi mendengarkan rayuan si penyerang. Budak ini memang tersilap besarlah jika berani mencari pasal dengan Campbell Corporation, tambah-tambah pula jika ketika dia yang bertugas. Dia memiliki tali pinggang hitam dalam Judo dan Taekwondo, mana mungkin dia dikalahkan oleh penyerang hingusan?

"Kau ni muda lagi belasan tahun. Sepatutnya kau kerja elok-elok jadi pelayan tu, bukannya jadi pencuri," kata Rayyan dengan marah sambil memulas lagi tangan si penyerang sampai termengaduh budak itu dibuatnya.

"Aku minta maaf tuan... aku orang susah," rayu penyerang itu lagi dengan kepalanya ditundukkan ke bawah.

"Bagi balik barang yang kau curi," tekan Rayyan sambil melepaskan keluhan kasar.

"Tapi..." balas penyerang dengan serba salah.

Rayyan memulas lagi tangan penyerang dengan lebih kuat sampai terkencing penyerang itu menahan sakit. Rayyan dapat melihat cecair jernih mulai membasahi seluar jeans yang dipakai oleh penyerang lalu dia menjarakkan sedikit badannya dari budak itu. Kalau terkena air kencing kan haru pula jadinya?

"Bb... baik. Baik. Aku bagi. Tolong lepaskan aku." Penyerang itu akhirnya mengalah lalu Rayyan melonggarkan pulasannya. Melalui isyarat tangan yang ditunjukkan oleh penyerang itu, Rayyan berjaya mendapatkan semula pendrive itu yang disimpan di dalam poket hoodie si penyerang.

"Ace, kau kat mana sekarang?" tanya Rayyan kepada Ren melalui earbud yang terletak di telinganya. Tiada jawapan dari Ren melainkan jawapan yang dituntut olehnya itu terjawab apabila kedengaran bunyi derapan langkah larian menuju ke arah mereka berdua.

"Ace, May, serahkan budak ni pada polis. Thanks!" arah Rayyan lalu menolak si penyerang kepada Ren.

"Oh hati-hati sikit, budak tu terkencing," kata Rayyan sambil mengulum senyum. Hatinya tergeletek melihatkan reaksi geli yang terzahir di wajah Ren apabila si penyerang itu selamat berada di dalam genggaman lelaki berbangsa Cina itu.

Ren dan Grace pantas mengangguk lalu mereka berdua mengheret penyerang itu pergi dan Rayyan pula terus berlari menuju ke dewan utama pembentangan berlangsung. Sesampainya di dewan, dia terus menapak laju ke skrin komputer dan menayangkan pelan perniagaan Campbell Corporation dan dari kejauhan pentas, dia dapat melihat isyarat 'bagus' dari Eve.

Rayyan melepaskan nafas kelegaaan dan dia terduduk melepaskan lelah. Serius, hari ini ialah hari yang sangat memenatkan!


©️ HAK CIPTA TERPELIHARA ANGEL_K20

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.