Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,812
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3

Penghujung Tahun 2014,
Kampung Pagung, Kepulauan Karimata.

AZAN ISYAK berkumandang memecah keheningan malam, memberi isyarat bahawa penduduk di kampung tersebut perlu menghentikan semua pekerjaan mereka lalu berbondong-bondong ke masjid. Hanya golongan ibu sahaja yang biasanya masih tinggal di rumah. Peristiwa dua dekad yang lalu telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penduduk di kampung ini. Maka, tidak hairanlah mengapa apabila berkumandang sahaja panggilan untuk meninggalkan urusan dunia seketika, penduduk kampung ini tidak akan berfikir panjang untuk tidak menunda langkah kaki mereka ke masjid besar berkubah kuning yang terletak di tengah-tengah kampung mereka. Masing-masing menuruni jambatan rumah menuju ke perkarangan masjid. Ketakutan yang melahirkan pengajaran sehingga pengabdian kepada Allah cuba dimaksimumkan. Sungguh masih ada anak muda yang masih kurang proaktif ke masjid, namun peranan orang tua kampung ini yang membuatkan mereka tidak ada pilihan lain selain daripada menurut gerakan ruji kampung itu.

Seperti kelazimannya, Imam Syahriyan mengetuai jemaah Isyak. Dia memilih untuk membaca surah Al-Araf dan Al-Muddassir dalam ibadah kali ini. Surah kegemarannya kerana surah-surah inilah yang menjadi saksi permulaan syiar Islam di muka bumi ini. Firman-firman Allah yang paling awal diutuskan kepada Rasulullah melalui Malaikat Jibril.

'Setiap kamu dipertanggungjawabkan dengan apa yang kamu lakukan!' Antara inti Surah Al-Muddassir yang menjadi pegangan hidup Imam Syahriyan. Sudah terlalu banyak dia melihat manusia yang berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu sehingga akhirnya mereka lalai. Sehingga akhirnya mereka melupakan arah iktikad jihad mereka yang sepatutnya. Menghayati inti surah tersebut, hati Imam Syahriyan menjadi sayu lalu suaranya kedengaran sendu sehingga meninggalkan kesan di dalam hati barisan makmumnya. Mujurlah dia masih dapat mengawal diri sehingga dapat menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai ketua jemaah pada malam itu.

"Ada apa yang kamu fikirkan tadi, Imam?" Pak Ediris memulakan perbicaraan. Sebaik sahaja solat Isyak selesai, seperti kelazimannya mereka yang sudah lama hidup di kampung ini akan mengadakan usrah kecil sesama mereka, sedangkan golongan yang lebih muda lebih senang untuk kembali melakukan urusan yang ditangguhkan ketika azan berkumandang tadi.

"Tidak ada apa-apa yang penting, Deris," jawab Imam Syahriyan. Dia memegang bahu kiri ketua kampung mereka itu. Dia tahu, Pak Ediris pasti risau akan dirinya.

"Imam pasti rindu akan ilmu persilatan kampung ini, bukan?" duga Pak Ethihar pula. Dia juga merupakan rakan seperjuangan Imam Syahriyan. Semua mata memandang Imam Syahriyan. Imam kampung mereka itu tidak menjawab. Dia hanya mengukir senyuman untuk membalas pandangan mereka.

"Maafkan kami, Imam kerana membelakangkan cadangan Imam yang satu ini," ujar Pak Ediris pula. Sebagai ketua kampung, dialah yang berasa sangat rasa bersalah. Imam Syahriyan hanya meneruskan senyumannya.

"Aku sebenarnya tidak faham dengan kehendak orang kampung ini. Padahal ilmu persilatan itu bukan sesuatu yang syirik!" Imam Syahriyan meluahkan rasa hatinya. Bukan kali pertama mereka membincangkan hal ini. Bahkan sudah hampir dua dekad dia cuba untuk memarakkan kembali dunia persilatan di kampung mereka itu.

"Kami faham apa yang Imam maksudkan. Tetapi orang kampung kita sudah lama nekad untuk menghentikan ilmu-ilmu seperti itu," kali ini Pak Muzaimal bersuara. Antara mereka semua, dialah yang paling muda, namun dia jugalah yang paling lantang bersuara.

"Ada benarnya apa yang Imam pernah katakan dulu. Aku juga tidak bersetuju jika kita tidak meneruskan ilmu persilatan itu. Lebih-lebih lagi sekarang hanya Imam seorang sahaja yang masih mewarisi ilmu persilatan tersebut," Pak Ethihar memberikan sokongan kepada Imam Syahriyan.

"Kita tidak perlu risau, Imam. Bukankah Estodania ada untuk melindungi kita? Lagipun, orang kampung kita bimbang kalau-kalau ilmu persilatan itulah yang mendorong kejahatan sering tertumpu ke kampung kita ini," sekali lagi Pak Muzaimal bersuara.

"Mengarut itu semua Jemal! Apakah orang kampung kita sudah tidak percaya dengan ketentuan Allah? Menjadikan ilmu sebagai alasan atas kejahatan. Persilatan itu baik. Bahkan boleh menjadi pertahanan diri menghadapi kejahatan kelak!" tingkah Pak Ethihar.

"Dan persilatan itu jugalah yang mengumpan kejahatan itu ke sini. Buktinya, selepas kita berhenti mengajarkan ilmu persilatan itu, tidak ada langsung kejahatan yang datang! Sudah dua dekad lamanya kampung ini aman tanpa sebarang gangguan benda-benda pelik!" bidas Pak Muzaimal pula. Kedua-dua mereka masing-masing tidak mahu mengalah.

"Sudahlah kamu berdua. Tidak perlu bertikam lidah hanya untuk membuktikan siapa yang benar!" Pak Ediris menenangkan kedua-duanya.

"Tidak mengapalah kamu berdua. Aku faham mengapa orang kampung menolak pengajian ilmu persilatan ini diteruskan. Kematian Hafizul dan isterinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Wajarlah kalau orang kita masih ketakutan dengan peristiwa lama itu," Imam Syahriyan turut mendamaikan kedua-dua rakannya itu.

"Aku sudah cukup berterima kasih penduduk kampung setuju untuk membataskan teknologi Estodania di kampung kita ini. Soal ilmu persilatan itu, biar aku ajarkan kepada cucu aku dan anak Kandek. Tidak ada masalah," sambung Imam Syahriyan lagi.

"Mengapa Imam masih bertegas untuk mengajar ilmu persilatan ini? Apakah Imam mengetahui sesuatu yang kamu tidak tahu?" duga Pak Ediris.

"Kejahatan itu tidak akan pernah tinggal diam selagi kebaikan masih ada di muka bumi ini, Deris. Kita seharusnya sentiasa bersedia dengan semua kemungkinan," Imam Syahriyan menjawab soalan Pak Ediris secara berhemah. Sungguh bijak ketua kampung mereka itu membuat andaian. Sememangnya ada sesuatu yang dia belum maklumkan kepada mereka. Pengetahuan yang dikongsikan oleh Tok Kandek yang kini sedang berkhidmat untuk Estodania.

"Bukankah Almarhum Hafizul sudah berjaya membunuh Niyang Ropek itu, Imam? Apakah dia masih hidup?" tanya Pak Ediris lagi. Imam Syahriyan hanya menghembuskan nafas mendengar soalan Pak Ediris itu. Sebenarnya dia sendiri juga tidak mengetahui jawapan yang tepat kepada soalan rakannya itu.

"Kita berdoa kepada Allah supaya hayat makhluk terkutuk itu sudah berakhir," jawab Imam Syahriyan akhirnya. Ketiga-tiga sahabatnya mengaminkan ujarannya itu.

"Tok Kandek dan Umar bagaimana, Imam? Sudah lama Umar tidak mengirimkan khabar keadaan mereka di sana," tanya Pak Muzaimal pula. Mendengar soalan itu, raut wajah Imam Syahriyan berubah. Perubahan itu disedari oleh Pak Ediris dan Pak Ethihar.

"Kamu masih tidak tahu, Jemal?" tanya Pak Ethihar.

"Tahu apa?" kali ini Pak Muzaimal pula yang bertanya. Dia mula merasakan ada perkhabaran duka yang telah berlaku ketika dia pergi mengerjakan haji dan umrah beberapa bulan yang lepas.

"Umar telah kembali ke rahmahtullah," jawab Imam Syahriyan. Jawapan itu menyebabkan Pak Muzaimal melopong. Khabar itu merupakan khabar yang tidak pernah dijangka akan didengari selepas dia baru sahaja selesai mengerjakan rukun Islam yang terakhir.

"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Lalu bagaimana keadaan anaknya?" sekali lagi Pak Muzaimal menyuarakan soalan yang mengundang kesedihan di hati Imam Syahriyan.

"Maaf, Imam. Aku baru mengetahui hal ini," ujar Pak Muzaimal lagi. Ulahnya itu hanya diperhatikan oleh Pak Ediris dan Pak Ethihar dengan gelengan kepala. Kedua-duanya berasa lucu dengan tingkah sahabat mereka itu. Terlalu cepat emosi sahabat itu berubah-ubah mengikut inti perbualan mereka.

"Kalau kamu di tempat Ayyan, apa yang kamu akan rasa?" Pak Ethihar melemparkan soalan kepada Pak Muzaimal.

"Sedih. Menangis sepuas hati, bahkan mungkin ingin mati!" jawapan Pak Muzaimal itu disambut dengan tawa oleh mereka bertiga. Pak Muzaimal hanya terpinga-pinga melihat perangai rakan-rakannya itu. Dia hanya memberi jawapan berdasarkan kata hatinya. Ayyan yang terpisah dengan ayahnya sejak kecil, pasti akan berasa sedih jika ayahnya meninggal dunia. Entahkan tidak anak muda itu sempat melihat ayahnya.

"Budak itu lebih kuat berbanding kamu, Jemal," Pak Ediris berseloroh kepada rakannya itu.

"Dia memang bersedih. Anak mana yang tidak sedih kehilangan ayah. Cuma dia tidaklah terdetik untuk ingin mati seperti yang kamu ujarkan tadi, Jemal," Imam Syahriyan menuturkannya lalu diikuti dengan senyuman.

"Berkaitan Tok Kandek pula, Alhamdulillah usianya Allah masih panjangkan. Cuma tanggungjawabnya semakin besar tanpa Umar. Menjaga sempadan ghaib Estodania itu bukan mudah," sambung Imam Syahriyan.

"Apakah Sultan Iltizam tidak mengutuskan pengganti Umar untuk membantu Tok Kandek? Kasihan dia. Tok Kandek itu lebih tua berbanding Imam sendiri!" getus Pak Muzaimal. Wajahnya menunjukkan kekesalan.

"Sudah. Kamu jangan risau, Jemal. Sultan Iltizam sudah mengirimkan salah seorang Lasykar Estodania untuk membantu Tok Kandek di sana. Sebagai ganti, Farihah pula yang harus ke Estodania. Lagipun Tok Kandek tidak keseorangan menjaga sempadan Estodania itu," beritahu Imam Syahriyan. Pak Muzaimal mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami ujaran Imam Syahriyan.

"Kasihan Faris, Imam. Cintanya tidak kesampaian," sayu Pak Ethihar menuturkannya. Imam Syahriyan hanya menyambut ujaran itu dengan senyuman.

Orang-orang tua seperti mereka ini nampaknya sangat cakna dengan keadaan anak muda mereka. Hinggakan urusan perasaan seperti itu masuk dalam lingkungan pengetahuan mereka. Atau mungkin juga hanya kerana Faris dan Farihah itu di bawah jagaannya, jadi rakan-rakannya itu tertarik untuk mengetahui perkembangan cucu-cucu jagaannya itu. Sebenarnya, dia juga memiliki perancangan sendiri untuk menikahkan Faris dengan Farihah. Namun, Farihah tidak berani mengakui perasaan yang dia miliki kepada Faris. Lagipun, Faris itu lebih muda berbanding Farihah.

"Di mana cucu-cucu Imam? Bukankan kebiasaanya mereka akan menanti Imam untuk pulang bersama?" tiba-tiba Pak Ediris bersuara sambil kepalanya melilau mencari cucu-cucu lelaki Imam Syahriyan.

"Sedang berlatih silat di luar," jawab Pak Ethihar. Antara mereka bertiga, dialah yang lebih akrab dengan cucu-cucu Imam Syahriyan itu.

"Imam masih mengajarkan mereka ilmu silat itu?" sekali lagi Pak Muzaimal mengutarakan soalan. Jawapan kepada soalannya itu sebenarnya sudah dijawab lebih awal oleh Imam Syahriyan. Mungkin Pak Muzaimal yang tidak menyedari maksud ujaran awal Imam Syahriyan.

"Jangan sebab orang kampung tidak bersetuju mempelajari ilmu silat ini, kedua-dua cucu aku tidak mewarisinya!" jawab Imam Syahriyan.

"Wah, bagus itu Imam! Supaya nanti mereka juga akan terbunuh seperti Syafizul dan Hafizul!" Pak Muzaimal mengeluarkan sindiran pedas. Namun sindiran itu disambut dengan gelak tawa mereka bertiga.

"Tidak mengapalah, Jemal. Aku faham kerisauan kamu. Kalau tidak belajar silat sekalipun, Ayyan dan Faris memang pasti akan mati. Jadi, lebih baik aku ajarkan untuk mereka. Kamu juga akan sama, Jemal. Pasti akan mati sungguhpun kamu tidak mempelajari persilatan tersebut," Imam Syahriyan membalas sindiran Pak Muzaimal dengan senyuman. Menyedari kelancangan bibirnya, Pak Muzaimal segera memohon maaf.

Apabila sudah puas berbual-bual di masjid, menyambut kedatangan Pak Muzaimal dari tanah suci, keempat-empat mereka mula mengatur langkah ke rumah masing-masing. Imam Syahriyan tidak meneruskan langkahnya ke rumah. Sebaliknya, lelaki tua itu memilih untuk ke pinggir pantai. Dia tahu, cucu-cucunya pasti berada di pantai tersebut untuk menikmati angin malam. Bagi menggalakkan kedua-dua mereka gigih berlatih silat, Imam Syahriyan terpaksa akur sekiranya mereka memilih untuk berlatih di luar. Sungguhpun dia tidak berkenan untuk orang kampung mengetahui bahawa dia masih meneruskan pengajaran ilmu persilatan itu, namun dia tidak ada pilihan lain bagi memujuk cucu-cucunya untuk mendengar kata.

Apabila tiba di pinggir laut, Imam Syahriyan tidak melihat kelibat cucu-cucunya. Namun, telinganya dapat mendengar bunyi-bunyi pertarungan jauh dari hujung pantai. Bunyi sepakan dan belahan angin. Imam Syahriyan mengukir senyuman lega. Sekurang-kurangnya, mereka memilih untuk berlatih dalam gelap, jauh daripada pandangan orang kampung. Imam Syahriyan segera mengatur langkah menjejaki cucu-cucunya.

Pertarungan silat antara Ayyan dan Faris nampak berat sebelah. Dilihatnya, Faris lebih menguasai pertarungan tersebut. Kemahiran yang dimiliki oleh Faris juga jauh lebih cekap berbanding Ayyan yang masih cemerkap. Imam Syahriyan agak kecewa dengan keadaan itu. Padahal, antara mereka berdua, Ayyan lebih jelas mewarisi darah kepahlawanan kampung mereka, sedangkan Faris hanya merupakan anak bekas ketua kampung yang kini sedang memikul tanggungjawab berat di Estodania.

Faris melompat ke atas batu laut yang besar di pinggir pantai. Kemudian, dia melayangkan tubuhnya ke udara, bersedia untuk menyerang Ayyan yang sedang terpinga-pinga mencari kelibat Faris dalam gelap itu. Faris segera menghenyakkan dirinya ke belakang Ayyan, sehingga menyebabkan Ayyan tersungkur ke pasir. Habis kotor baju Ayyan terkena pasir.

Dengan pantas Faris menindih Ayyan menggunakan lutut kanannya. Kedua-dua tangan Ayyan dibawa ke belakang lalu dikejapkan pada pinggang Ayyan. Gerakan itu membuatkan dia berjaya membataskan bunga silat Ayyan. Ayyan cuba untuk meronta dan mengaduh kesakitan.

"Menyerah, Ayyan! Menyerah kalah sekarang! Kalau tidak tangan kamu ini aku patahkan!" ujar Faris, agak lantang. Dia perlu mengawal suaranya agar tidak kedengaran oleh orang kampung.

"Jangan mimpi!" ujar Ayyan. Dia masih mencuba untuk membebaskan diri. Kakinya cuba digunakan untuk menyepak Faris dari belakang. Gagal.

"Atok?" ujar Ayyan, tatkala dia melihat Imam Syahriyan sedang memandang mereka di pangkal pasir. Faris tidak mempedulikannya. Dia menganggap Ayyan sedang cuba melakukan helah.

"Atok sudah sampai, Faris. Pertarungan bubar. Lepaskan aku," ujar Ayyan. Faris tergelak mendengar ujaran sahabatnya itu.

"Kamu fikir kamu boleh menipu aku?" Faris menguatkan cengkamannya pada tangan Ayyan. Ayyan menjerit kesakitan, sambil turut tergelak.

"Wallahi, aku tidak tipu. Cuba pandang depan kamu. Atok sedang memerhatikan kita," ujar Ayyan lagi, cuba untuk meyakinkan Faris. Faris masih tidak percaya dengan kata-kata Ayyan itu. Ayyan yang dikenalinya bijak menipu helah saat kekalahan menghampirinya. Saat itu, Imam Syahriyan sedang menapak menghampiri mereka.

"Mengaku kalah, dahulu. Baru aku percaya kata-kata kamu!" Faris masih menuntut kemenangan dari pertarungan tersebut. Sungguhpun pertarungan itu sekadar latihan, namun dia masih cuba untuk menang.

"Baiklah, kamu menang! Sekarang, lepaskan aku," akhirnya Ayyan mengaku kalah.

"Bukankah lebih elok kalau kamu mengaku kalah lebih awal. Tidak perlulah aku memulas tangan kamu," ujar Faris. Dia masih tidak melepaskan Ayyan. Hanya kepalanya memandang ke hadapan. Dia memberikan senyuman bangga kepada Imam Syahriyan.

"Assalamualaikum, Atok! Ayyan kalah lagi," ujar Faris dengan bangga. Ayyan masih meronta-ronta di bawahnya.

"Wa alaikumussalam. Adakah kamu menunggu tangan Ayyan itu terputus, baru kamu melepaskannya?" ujar Imam Syahriyan. Faris tergelak mendengar ujaran Imam Syahriyan itu. Segera dia melepaskan Ayyan. Kedua-dua mereka berdiri tegak di hadapan Imam Syahriyan. Masing-masing comot dengan pasir-pasir pantai.

"Bagaimana keputusan pertarungan malam ini?" tanya Imam Syahriyan.

"Lima berbalas satu, Atok," jawab Faris.

"Tipu! Mana ada, Atok! Kami baru bertarung dua kali sahaja," Ayyan membela diri. Faris mentertawakan sahabatnya itu. Imam Syahriyan hanya menggelengkan kepalanya.

"Dua pertarungan itu siapa yang menang?" tanya Imam Syahriyan lagi. Ayyan tidak segera menjawabnya. Dia hanya mampu tersengih seperti kerang busuk. Imam Syahriyan yang mengerti makna sengihan itu turut tersenyum.

"Ayyan, dua juzuk sebelum subuh. Lusa!" ujar Imam Syahriyan. Dendaan yang diwarisi secara turun-temurun, iaitu sejak kali pertama ilmu persilatan itu diajarkan di kampung mereka. Ilmu persilatan yang di bawah masuk oleh imam pertama kampung mereka.

Ayyan akur akan dendaan itu dengan kecewa. Faris masih galak mentertawakannya. Ayyan segera menyiku Faris sehingga menyebabkan Faris terbongkok, menahan sakit.

"Faris, satu surah dalam juzuk satu sebelum isyak, esok!" ujar Imam Syahriyan. Ujaran itu mengejutkan Faris, tetapi tidak bagi Ayyan. Ayyan bersorak keriangan mendengar ujaran Imam Syahriyan itu.

"Mana boleh, Atok! Faris menang dalam pertarungan tadi!" Faris cuba untuk membangkang arahan Imam Syahriyan.

"Baiklah. Kalau begitu, dua surah," ujar Imam Syahriyan. Dia tidak mempedulikan protes Faris.

"Atok?!" ujar Faris, tidak berpuas hati.

"Tiga surah!!" ujar Imam Syahriyan lagi. Bibirnya mula mengukir senyuman. Ulah cucu-cucunya itu sangat mencuit hati tuanya.

"Baiklah," akhirnya Faris akur. Dia tahu, jika dia terus-terusan membangkang, bilangan surah yang perlu dihafaz kelak bertambah. Faris melemparkan pandangan tidak puas hati kepada Ayyan yang sedang mengekek di sebelahnya.

"Tetapi, Atok. Mengapa Faris didenda? Bukankah dalam persepakatan, hanya yang tewas sahaja akan diberikan hukuman?" Faris masih mempertikaikan keputusan Imam Syahriyan. Dia memerlukan penjelasan atas tindakan Imam Syahriyan yang berbeza dengan minggu-minggu sebelumnya. Tidak pernah dia diberikan hukuman setiap kali dia berjaya menewaskan Ayyan.

"Cuba tanya hati kamu yang mula bongkak itu. Kamu pasti bertemu jawapannya," ujaran Imam Syahriyan itu ibarat satu tamparan yang hebat bagi Faris. Faris terpempan mendengar ujaran itu. Jauh di sudut hatinya, dia mengakui kebenaran kata-kata Imam Syahriyan itu. Dia mula merasakan dirinya lebih hebat berbanding Ayyan.

"Maksud, Atok?" Ayyan mencelah. Dia kurang memahami ujaran Imam Syahriyan, sebentar tadi.

"Tanya sama Faris, apa maksud Atok. Nanti Faris akan jawab untuk kamu," jawab Imam Syahriyan lalu melangkah meninggalkan Ayyan yang sedang terpinga-pinga itu. Faris segera mendudukkan dirinya di atas pasir, menghadap laut apabila melihat Imam Syahriyan sudah berlalu meninggalkan mereka.

"Jelaskan," ujar Ayyan. Dia telah mengambil posisi di sebelah Faris yang sedang melemparkan pandangan ke laut malam.

"Pertama, maaf kalau tadi tangan kamu sakit," Faris memulakan penjelasan.

"Tidak sakitpun. Sedikit sahaja," jawab Ayyan, sambil membelek-belek pergelangan tangannya.

"Kedua?" ujar Ayyan lagi.

"Kedua, kamu jangan selalu kalah, Ayyan! Bosanlah kalau aku seorang sahaja yang selalu menang!" sambung Faris.

"Habis? Aku perlu buat macam mana lagi? Persilatan kamu lebih hebat berbanding aku," ujar Ayyan.

"Itu masalahnya! Aku lebih hebat berbanding kamu," ujar Faris, sambil tersenyum memandang Ayyan. Ayyan membalas pandangan itu dengan cebikan.

"Aku faham mengapa Atok hukum kamu sekali!" ujar Ayyan. Dia menepuk dahi Faris.

"Kamu berlagak! Hidung tinggi!" sambung Ayyan lagi.

"Dan kamu malas. Berat tulang! Degil macam batu," balas Faris. Kemudian kedua-duanya tergelak.

"Kamu rasa Atok lebih menyayangi aku berbanding kamu, Faris?" ujar Ayyan. Ujaran itu menyebabkan gelak tawa Faris terhenti. Dia kembali melemparkan pandangan ke laut lepas.

"Bukanlah. Aku rasa Atok tidak suka aku membiarkan kamu lemah dalam ilmu persilatan ini. Atok mahu aku membawa kamu ke atas bersama," jawab Faris.

"Ya. Analogi mendaki piramid lagi," ujar Ayyan.

"Kita hidup di dunia ini ibarat sedang mendaki piramid. Kalau sudah sampai di atas, jangan biarkan kawan kamu di bawah. Tarik dia ke atas bersama kamu," sambung Ayyan sambil mengajuk suara Imam Syahriyan. Jarinya turut melakonkan semula jari-jari Imam Syahriyan ketika menuturkan anologi tersebut. Kedua-dua tangan disatukan membentuk segi tiga.

"Aku rasa, hidup kita tidak akan selamanya di kampung ini, Ayyan," ujar Faris. Dia tidak mengikuti ajukan yang Ayyan lakukan.

"Benar! Kita akan mati. Lalu di alam barzakh. Kemudian masuk Syurga atau Neraka!" Ayyan menyokong ujaran Faris itu. Dia mula sedikit bosan melihat Faris yang terlalu serius malam itu.

"Sepertinya Imam sedang mempersiapkan kita untuk sesuatu," sambung Faris lagi. Dia masih mengabaikan seloroh yang dilakukan oleh Ayyan.

"Maksud kamu makhluk yang menghancurkan hari kelahiran kita itu akan kembali?" soal Ayyan. Akhirnya, dia memilih untuk mengikuti rentak perasaan Faris. Dia mula berbicara dengan nada yang serius.

"Mungkin. Sebab orang kampung mengatakan persilatan ini yang menjadi punca makhluk tersebut menyerang kampung kita dahulu," ujar Faris.

"Mustahillah, Faris! Kalau benar makhluk itu akan kembali, Estodania ada. Mereka yang akan melawannya," Ayyan tidak bersetuju dengan penyataan Faris itu.

"Kamu lupa, kampung kita ini menolak kecanggihan Estodania itu! Atok tidak mahu kita terlalu tenggelam dengannya. Tangkap ikan pun masih menggunakan cara yang lama!" rungut Faris.

"Supaya kita lebih kuat, Faris! Atok kata Estodania itu terlalu berlebihan dengan kecanggihan yang mereka miliki. Tetapi, aku sendiri juga tidak faham mengapa Atok menolak kebaikan Estodania. Padahal sultan-sultan di sana sudah banyak kali menghulurkan hadiah untuk Atok," kali ini Ayyan bersetuju dengan penyataan Faris.

"Kita kerja ke Estodania, mahu? Macam kakak kamu," saran Faris. Saranan itu disambut oleh Ayyan dengan senyuman. Ini kali kedua Faris mengajaknya ke Estodania.

"Kerja atau mengejar cinta ke sana?" Ayyan mula mengusik Faris. Dia malas mengulang kembali jawapan keengganannya ke kota itu.

"Bukanlah! Aku sudah lama memasang hajat ke sana. Lagupun, Atok kata, ayah aku ditugaskan menjadi penjaga sempadan Estodania. Aku juga ingin tinggal bersama dengannya, Ayyan," luah Faris. Luahan yang mengundang kesedihan di hati Ayyan.

"Kamu pergilah, Faris sementara ayah kamu masih ada. Jangan jadi macam aku," ujar Ayyan, sedih. Faris yang menyedari kesedihan Ayyan itu segera merangkul bahu Ayyan. Dia mengusap-usap bahu sahabatnya itu. Sebagai sokongan moral agar Ayyan tidak terlalu sedih.

"Lagipun aku ingin menjaga Atok di sini. Dia sudah tua, Faris," sambung Ayyan.

"Ya. Orang tua yang lebih bertenaga berbanding kamu, Ayyan," Faris mengusik Ayyan, cuba untuk menceriakan sahabatnya itu.

"Kamu juga!" Ayyan membaling pasir ke muka Faris yang dianggapnya tidak pernah penat menghinanya. Faris membalas tindakan tersebut dengan melakukan hal yang sama. Tingkah saling membaling pasir itu berterusan sehingga akhirnya pertarungan silat antara mereka bermula sekali lagi.

 Tingkah saling membaling pasir itu berterusan sehingga akhirnya pertarungan silat antara mereka bermula sekali lagi

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan