Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,334
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

Suara Aniq Zafran kuat kedengaran menghiasi ruangan pejabat yang sunyi daripada sebarang perbualan kosong para staff.

“Eh, siaran langsung berita tentang pecah masuk Galeri Seni Antonio tadi.” 

Terjeling-jeling staff lain dikejutkan dengan suara kuat Aniq Zafran. Menganggu sahaja masa mereka untuk fokus menyiapkan kerja yang tidak kunjung selesai.

“Kejadian kecurian beberapa karya lukisan di sebuah Galeri Seni Antonio telah disahkan oleh pihak berkuasa sebentar tadi.”

Berita itu ditonton mereka berdua melalui siaran langsung berita dari aplikasi Youtube pada komputer Hayati.

“Macam-macamlah sekarang ni, kan. Risau juga kadangkala,” komen Aniq Zafran kepada Hayati.

Masing-masing fokus mendengar berita itu sambil mengunyah kuih karipap.

“Secara keseluruhannya, lukisan-lukisan yang hilang dianggarkan bernilai setengah juta itu disedari hilang semasa pihak galeri mahu memulakan operasi pagi tadi,” lanjut pembaca berita itu.

“Wah, banyak tu! Kaya… kaya,” komen Aniq Zafran menyebabkan Hayati terangguk-angguk bersetuju. “Apalah istimewa sangat lukisan tu sampai kena curi?” Sambung Aniq Zafran disertai dengan tawa kecil. 

Aniq Zafran tahu sahaja alasan di balik kecurian itu Cuma, saja untuk mengumpan seseorang. Dalam pada masa yang sama, boleh pula terbayang limpahan wang tunai di sekeliling jika dia mempunyai lukisan itu. Jika begitu, seronoknya tidak perlu bersusah payah bekerja selama beberapa tahun.

“Mungkin…” Hayati tidak jadi menjawab kerana dirasakan ada seseorang sedang berdiri di hadapan mereka.

Mereka berdua serentak mendongak pandangan, terus berubah air muka masing-masing kerana seseorang yang tidak ingin dijumpai berada di depan mata mereka sekarang.

“Kuatkan,” satu patah perkataan tetapi ketegasan suaranya membuatkan mereka tergamam dan gementar ditambah lagi reaksi muka pemilik suara itu masam mencuka ditambah dengan jelingan tajam. 

Mereka saling berpandangan untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Apa yang…” Aniq Zafran mencebik dan cuba bertanya tetapi pantas dipotong oleh Michael Angle.

“Kuatkan…” ulangnya lagi tetapi kali ini suaranya sangat tegas berbanding tadi membuatkan Aniq Zafran tergamam.

Cepat-cepat Aniq Zafran mencapai tetikus dari genggaman Hayati yang kaku. Volume komputer dikuatkan sehingga ke tahap semaksimun mungkin sampai boleh didengari satu pejabat. Kedengaran rakan sepejabat merungut namun apa yang penting, jangan kejutkan harimau yang sedang tidur dalam diri Michael Angle. Tidak pasal-pasal, mereka pula ditengkingnya.

Tiada ucapan terima kasih malahan jelingan tajam dihadiahkan menyebabkan Aniq Zafran dan Hayati berasa kekok dan tidak selesa untuk mendengar siaran berita itu bersama-sama dengan Michael Angle. Masing-masing seperti cacing kepanasan dan berharap agar lelaki itu segera meninggalkan mereka. Barulah aman hidup masing-masing.

“Itu…” Tajam matanya memerhatikan sebuah lukisan yang antara turut dilarikan.

Lukisan itu menggunakan subjek matter mirip dengan idea rekaan gelang tangannya pada bahagian selendangnya. Pada mata kasar, audiens mungkin tidak akan perasan. Mereka perlu merapati dan memerhati dari dekat untuk melihat corak dilukis halus pada selendangnya. Hairan kerana Michael Angle tidak menyangka dia mampu melihatnya hanya dari skrin komputer. 

“Tapi, kenapa?” Soal Michael Angle sendiri, masih tidak percaya dengan berita yang sedang didengarinya itu. “Si gadis pembunuh… siapa dia?” Katanya dengan hairan, membaca kapsyen tertera sebagai judul lukisan yang menarik perhatiannya.

Terbakar sekali hatinya dek ideanya mirip dengan sesuatu yang sudah wujud malahan dikenali ramai orang. Itu hanya membuatkan usahanya memerah idea untuk rekaan akan datang adalah sia-sia belaka! 

Penumbuk dikepal kuat, rasa ingin sekali menumbuk skrin komputer sehingga pecah. Dia sudah berkira-kira untuk mengetahui pengkarya terbabit kerana mahu melakukan penghitungan walaupun jika diikut dari garis masa penghasilan karya lukisan yang hilang dan ideanya, tentu-tentu sekali sebenarnya Michael Angle yang meniru idea tersebut.

Dalam keadaan marah itu, akal warasnya tidak mampu berfikir dengan betul. 

Aniq Zafran dan Hayati berpandangan. Mereka juga melihat antara lukisan yang dicuri itu mempunyai kemiripan dengan rekaan gelang tangan Michael Angle. Namun, mereka berdiam diri dan tidak ingin memberikan pendapat masing-masing, takut disalah tafsir pula nanti dan mungkin sahaja boleh menyebabkan perbalahan hebat berlaku apatah lagi sikap Michael Angle yang tidak terjangka.

‘Kenapa kau terkejut dengan berita itu?’ Michael Angle tersentak mendengar suara halus milik seseorang perempuan.

Bagai singa buas kelaparan yang mencari mangsa, tajam sekali renungannya ke arah Aniq Zafran dan Hayati sehingga menyebabkan mereka takut.

“Apa kau cakap?” Soal Michael Angle kepada Aniq Zafran dan Hayati dengan suara yang cukup tinggi dan keras, menyangka salah seorang daripada mereka yang mencuba untuk memprovoknya dalam keadaannya yang sedang marah ketika ini.

Penumbuknya bila-bila masa sahaja akan dilepaskan.

Pantas mereka berdua menggeleng, takut dan juga tidak memahami pertanyaan Michael Angle. Tidak berani meningkah dengan kata-kata, takut perbalahan akan tercetus pula nanti. Aniq Zafran dan Hayati berkomunikasi dengan pandangan masing-masing, meminta pengertian daripada pertanyaan tadi.

‘Kenapa dia tu?’ Aniq Zafran menzahirkan melalui isyarat matanya, mulutnya terkunci, riak wajah memang tergambar tidak suka akan perlakuan lelaki itu.

Dalam diam, dia berdoa agar lelaki itu segera pergi dari situ. Pergi dari hidup mereka buat selama-lamanya pun tidak mengapa.

‘Entah!’ Hayati turut membalas dengan lirikan mata, bahunya ternaik sedikit sebagai isyarat tidak tahu, tidak mahu kelihatan ketara pada pandangan Michael Angle. Takut-takut dia memerhati riak wajah Michael Angle yang bengis itu.

Nampaknya, Michael Angle tidak gembira dengan reaksi rakan-rakannya kerana tidak mendapat jawapan kepada pertanyaannya. Sambil fokus kembali dengan siaran berita, matanya tidak lepas memerhatikan kedua-dua rakannya. Cuak pula mereka berdua diperhatikan sedemikian rupa.

‘Kau terlalu pelupa!’ Suara itu muncul lagi ibarat mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak.

Michael Angle menumbuk meja dengan kuat, memeranjatkan mereka berdua sehingga hampir-hampir melatah namun sempat ditahan.

Kali ini, Michael Angle tidak bertanya kerana matanya sendiri tidak melihat mulut Aniq Zafran dan Hayati terkumat-kamit bersuara. Baru mata dan telinganya percaya, suara itu bukan milik mereka berdua. Mungkin hanya suara dalam mindanya sendiri muncul akibat tertekan dengan perkhabaran yang sedang diterima.

Sungguhpun begitu, egonya menebal untuk meminta maaf apatah lagi mengakui silap setelah memarahi mereka berdua. Segumpal keluhan kedengaran akibat terlalu mengikut rasa marahnya sehingga menuduh orang tidak berkaitan.

Siaran berita tamat begitu sahaja. Berita disiarkan begitu singkat membuatkan dia tidak berasa puas dengan maklumat yang diberi. Dengusannya dapat didengari oleh dua rakannya itu. Tanpa menunggu lama, Michael Angle meninggalkan mereka berdua yang sudah terkulat-kulat.

Tapi, sebelum itu, dia menjeling tajam membuatkan hampir luruh jantung rakan-rakannya. Tidak menyempat-nyempat mereka menarik nafas lega melihat seseorang yang buas seperti singa kelaparan pergi meninggalkan mereka.


Previous: Bab 7.1
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.