Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,340
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

Dari imaginasinya…

Ketika itu, matahari sudah mahu melabuhkan tirainya. Remang-remang senja kelihatan, burung-burung pulang petang berbunyi riang memecah kesunyian antara mereka berdua. Tiada sebarang kata-kata melainkan tangisan lebat Rita. Hari ini, tembok egonya runtuh, terburai air mata di depan pesaingnya sendiri. Pesaing yang dimusuhi tetapi dalam pada masa yang sama, mempunyai perasaan kasih dan cinta kepada lelaki dingin itu.

Rita secara tiba-tiba menelefon sebaik sahaja tamat waktu pejabat. Lantas, menyuruhnya datang ke kawasan tanah lapang bersebelahan bukit berhampiran Magic Jewellery tanpa menyatakan tujuannya. Michael Angle pada mulanya enggan memenuhi permintaan itu tetapi hatinya menjadi lembut sebaik sahaja kedengaran suara sayu Rita, suatu sikap yang tidak pernah diperlihatkan wanita elegan itu.

Sebaik sahaja tiba di situ, dilihatnya Rita sedang merenung mentari petang. Wajahnya bersisa kesan air mata selepas menangis, tentu ada masalah memberati emosinya ketika ini. 

“Rita…” Tegurnya dengan berhati-hati kerana dapat mengesan emosi Rita yang tidak stabil saat itu. 

Terus berguguran air mata Rita, wajahnya sedih sekali. Tangisannya kedengaran kuat seperti meraung-raung akibat kehilangan sesuatu. 

Michael Angle ingin menyentuh bahu Rita terhencut-hencut menangis. Namun, hanya separuh jalan sebelum menjatuhkan kembali tangannya. Tangisan wanita itu, secara tidak langsung membuatkan hatinya dirundung pilu. Dia turut bersedih sama walaupun masih tidak tahu akan masalahnya.

“Saya… saya,” tersekat-sekat, tidak mampu menghabiskan ayat.

Tanpa segan silu, Rita terus memeluknya, Michael Angle terkejut, langsung tidak mampu menepisnya. Akhirnya, dia teragak-agak membalas pelukan itu. Janggal untuk menunjukkan simpati, dia ialah lelaki tanpa perasaan.

Lama wanita itu berkeadaan sedemikian, Michael Angle bersabar menunggu sehingga reda tangisan wanita itu.

“Saya… saya susah hati,” kata Rita, melepaskan pelukan, menyeka air mata yang masih bersisa dengan sapu tangannya.  

Michael Angle tidak bersuara, menunggu kata-kata selanjutnya. 

“Sudah berhari-hari saya tak ada idea untuk design akan datang sehingga berasa murung. Fikiran… tangan… semuanya, segalanya ibarat magisnya sudah hilang!” Sambung Rita seperti merintih, melihat kedua-dua telapak tangan mengigil hebat. 

Fahamlah kini bahawa masalahnya berkaitan dengan pelancaran aksesori keluaran syarikat miliknya. Rita mempunyai sebuah syarikat yang mengeluarkan aksesori barangan kemas di bawah jenama Rita Jewellery. Selain itu, dia bertindak sebagai ketua pereka malah, kebanyakan rekaan memang ideanya tersendiri. Menurutnya, dia ingin setiap rekaan mendapat sentuhan tangannya. 

Terpancar pada wajahnya seolah meminta simpati. Michael Angle tidak segera menjawab, dia menjeling tajam lalu mengalihkan pandangan. Tidak mahu sama sekali termakan dengan pujuk rayu setelah seketika tertewas dengan tangisannya. Dalam sanubari, sempat dia mengejek secara tidak langsung. Ternyata keangkuhan Rita lebih menguasai fikiran sehingga susah untuk mewujudkan empati.

“Apa kaitannya dengan aku?” Suara Michael Angle kedengaran keras, menjeling tajam sehingga Rita berasa takut untuk berkata lebih lanjut, tersedu dalam tangisnya.

“Aku gembira dengan kejadian itu. Kita berdua musuh dan kenyataan ini tak akan berubah sama sekali. Kau tersalah langkah dengan mengadu kepada aku. Aku boleh ambil kesempatan atas kelemahan kau ni dan buatkan syarikat kau berada dalam ambang kemuflisan,” luah Michael Angle, ayatnya kejam untuk memprovok dan melihat reaksi wanita di depannya. 

Ternyata benar, kata-kata itu memanaskan hati Rita. Riak wajah sedih berganti menjadi riak yang garang sekali. Tercabar rasa hati, muncul penyesalan dalam hati memberitahu hal terbabit. 

Michael Angle mencebik, senang melihat perubahan begitu. Sedikit masa sahaja lagi, sikap sebenar Rita akan terserlah. Lihat dan tunggu saja.

“Rita yang aku kenal… seorang yang tidak pernah berputus asa. Seorang yang sangat berusaha dalam kerjayanya walaupun… well, walaupun dengan mencuri hasil orang lain. Usaha juga tu kan,” tergelak kecil menyebut kenyataan itu, pujian bercampur ejekan.

“You… perlekehkan I?” Soalnya dalam emosi tidak stabil, langsung tidak ingin mengakui hakikat tersebut. Dalam keadaan normal, selalunya dia berasa berbangga dengan kenyataan itu.

“Tak… hanya mengembalikan sifat diri kau yang sebenar. Angkuh, elegan dan tidak pernah menyerah kalah,” balasnya dan telahannya benar.

Wanita itu baru tersedar, ternyata lelaki itu tidak akan memujuknya seperti yang dilakukan lelaki kebanyakan. Anganan untuk dipujuk berkecai begitu sahaja. Pantas dia berpaling, malu kerana berimaginasi begitu serta berharap untuk mendapatkan cinta lelaki itu. Seharusnya, dia memadam sahaja mimpi indah yang tidak mungkin menjadi kenyataan dalam dunia nyata.

“Tapi, sesekali mengeluarkan air mata, perlu juga kadangkala walaupun menurut kajian wanita biasanya menangis antara 30 dan 64 kali setahun. Menangis boleh buatkan kita rasa lega dan you know… boleh menenangkan emosi kau yang kacau-bilau.”

Michael Angle berkias, tahu wanita itu merajuk. Cuma, untuk memujuk, bukanlah dirinya. Apatah lagi status mereka sebagai musuh. Tiada gunanya untuk dia berbuat baik dengan musuh sendiri. Itu hanya menempah maut.

“Baiklah, kesatlah air mata itu. Cuba renung langit di sana,” pujuk Michael Angle seraya memandang langit.

Rita berasa terpujuk, turut meniru perbuatan Michael Angle memandang langit malam. Melihat itu, sudah lama sekali mereka berada di situ sehingga matahari terbenam sepenuhnya.

Bintang-bintang bersebaran di dada langit malam, berkelip-kelip indah. Rita mencuri pandang wajah kacak lelaki itu. Michael Angle sudah menutup mata, mungkin membayangkan sesuatu ketika itu.

“Awak berdoa?” Tegur Rita menyebabkan Michael Angle membuka kelopak mata.

“Aku suka melihat langit malam. Tidak kira sama ada masalah memberati pundak mahupun tidak… aku akan tetap merenungnya. Seseolah, aku sedang menunggu seseorang?” Kedengaran seperti puisi. Namun, diakhiri dengan pertanyaan buat diri sendiri.

“Siapa seseorang itu?” Balas Rita berbaur cemburu, muncungnya memanjang menandakan dia merajuk.

Seperti biasa, Michael Angle tidak akan membalas apa jua soalan yang dirasakan tidak perlu diberitahu jawapannya. Sikapnya kadangkala membuatkan Rita makan hati Cuma tidak mahu menunjukannya. Kedengaran wanita itu mengeluh dek tidak dilayan. 

“Sudah tenang hati kau?” Tanya Michael Angle tanpa menjawab soalan tadi.

Rita terpinga-pinga dengan soalan itu, ternganga besar mulutnya.

“Rita… apa yang awak ingin dengar daripada saya?” Terus lelaki itu menukar gaya panggilan. 

Bagaikan digam mulutnya, Rita tergamam. Tentu sekali pertanyaan itu tidak difahami.

“Tentu hari ini… awak dah lalui dengan susah payah. Apa kata kalau saya katakan, Rita…  you did well!” Tidak menyangka Michael Angle akan menepuk bahunya dan berkata begitu, suatu sikap berlainan dengan kebiasannya.

Rita berasakan itu suatu bentuk penghargaan atas usaha keras selama ini. Terharu sungguh dengan kata-kata itu lagi-lagi diucapkan seseorang istimewa untuknya.

“Yes, Rita! You did well!” Ulang Michael Angle dengan penuh semangat. Satu sisi lain yang tidak pernah Rita lihat selama ini.

Secara tiba-tiba, Michael Angle mengucapkan itu berulang kali sambil berjalan mengelilinginya. Laju merembes air mata Rita tanpa diminta, segala beban tertanggung seperti menguruskan syarikat sebagai pemilik dan pereka aksesori lenyap begitu sahaja.

Selama ini, dia tiada sesiapa untuk mengadu permasalahan. Sudahnya, segalanya dipendam seorang diri begitu sahaja. Semenjak itu, dia menjadi pemburu untuk mencari seseorang yang boleh mendengar isi hati dan akhirnya, terpaut pada jejaka yang tidak banyak bicara dan bersikap dingin dengan sesiapa itu.

Michael Angle puas hati melihat wanita angkuh itu melakar senyuman sedari tadi bermuram durja. Tanpa sengaja, dia juga tersenyum bahagia.

“Kan bagus begitu! Rita yang aku kenali… tidak pernah berputus asa,” komennya tanpa sedar menimbulkan keriangan dalam hati Rita apatah lagi dia merupakan lelaki kesayangannya.

Michael Angle tersenyum sama melihat perubahan wanita itu.

‘Aku… tersenyum? Aku lupa bagaimana aku pernah tersenyum seperti ini,’ tercetus persoalan dalam monolog Michael Angle.

Terus kekok senyumannya, antara mahu menguntum senyuman ataupun kembali bersikap dingin dan senyum. Akhirnya, dia memutuskan untuk terus tersenyum hari itu, sekurang-kurangnya demi mengembalikan semangat Rita semula.

‘Aku gembira jikalau kau bahagia,’ terus bersambung kata hatinya, bentuk perluahan yang bercanggah dengan prinsip untuk tidak jatuh cinta dengan wanita itu.


Previous: Bab 5.2
Next: Bab 6.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.