Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,336
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

“Argh, setelah hampir setahun tak beraksi dengan garang… inilah masanya!” Kata Aniq Zafran dengan penuh semangat di depan cermin panjang besar di ruangan pejabat peribadi sambil menyikat rapi rambutnya.

“Macam itukan kemas, hensem lagi!” Puji Noraini melihat Aniq Zafran dalam pakaian formal ke pejabat.

“Jadi, selama ni tak kemas… tak hensem?” Usiknya sambil menjongket kening berulang kali.

“Awak ni…” balasnya, mencuit tangan lelaki itu sebelum berlalu membancuh minuman untuk pagi itu.

Keluhan beratnya terluah semasa membetul-betulkan tali leher di depan cermin. 

“Kenapa mengeluh?” Soal Noraini menatang dulang bersama dengan segelas susu, dihulurkan kepada Aniq Zafran.

Aniq Zafran meneguk susu suam dengan berhati-hati.

“Menurut firasat saya hari ini, saya rasa seseorang yang sudah beberapa seketika tertidur akan terjaga. Mungkin, akan mengamuk dan mungkin akan mengorbankan nyawa orang lain,” katanya, pening pula dengan kata-kata sendiri.

Susu sudah diteguk sampai habis.

“Peninglah dengan kata-kata awak ni! Cuba lukis… bagi saya faham,” ujar Noraini, bergurau sambil ketawa-ketawa.

Gelas kosong di tangan Aniq Zafran diambil untuk dicuci nanti sebelum menuju ke tempat kerja.

“Entahlah ya… saya pun susah nak terangkan kejadian aneh dan misteri macam ni. Yang saya rasa, rompakan Galeri Seni Antonio memberi kesan kepada seseorang. Dia mungkin akan berminat nak tahu dengan lebih lanjut hal ini. Lepas tu mulalah information overload! Adoi, saya pun dah overload fikir pasal ni!” Terangnya sambil merungut dan memegang kepala yang mulai pening kerana asyik terlalu memikir.

“Melebihlah awak ni!” Noraini pukul-pukul manja tangan Aniq Zafran. “Maksud awak, seseorang yang sedang mencari identitinya sendiri tu, kan?”

“Saya rasa lawak pula gelar dia sebagai seseorang sedangkan kita pun tahu dia bukan manusia. Tapi, tulah… tak ada istilah spesifik untuk menggelarkannya. Selama tempoh setahun ni, seseorang itu masih tertidur dan hidup tak ubah seperti robot. Penat pula saya kena perhatikan dia… huh! Nasiblah mengenangkan amanah cikgu Zainuddin. Kalau tak…”

“Jangan merungut. Lagipun, siapa yang rajin sangat terima kes macam ni? Siap cakap lagi, kes-kes sebelum ni tak thrill lah apalah! Awak siap kata lagi, kalaulah dapat kes yang ada melibatkan pembunuhan ke kemalangan ke… baru syok!” Sindirnya menyebabkan lelaki itu tersengih sambil menggaru kepala.

“Oh… oh sayangku! Jangan membebel waktu pagi ini,” balasnya sambil mencubit lembut pipi Noraini. “Saya perlu pergi kerja sekarang ni. Sambil-sambil tu, kena buat kecoh dekat office dengan harapan seseorang yang biul tu kembali kepada habitat asalnya dan jangan lupa bawa balik sekali kekasih gilanya yang tak habis-habis dengan dendam. Haish, sampai ke lubang cacing memburu musuhnya!” Bebelnya panjang lebar sambil mengambil beg bimbit pada meja di ruangan tengah.

“Awak nak buat kecoh macam mana?” Noraini tidak begitu jelas dengan perancangan Aniq Zafran.

“Hmmm… ni,” kata Aniq Zafran sambil menunjukkan surat khabar memaparkan pecah masuk Galeri Seni Antonio sebagai tajuk utama.

“Jadi, apa bezanya dengan seseorang tu mencari tahu sendiri dengan awak yang buat kecoh pasal tu? Bukan ke kedua-duanya boleh membawa kepada perkara yang lagi bahaya?” Berkerut dahi Noraini dengan perancangan kekasih hatinya itu.

“Sayangku… dia bukan bodoh pun! Kalau saya halang dia pun, lambat-laun dia akan tahu juga. Dunia ni makin canggih. Mana-mana pergi dalam Malaysia ni, cepat jelah berita tersebar! Tak dekat paper… radio tak pun TV, Internet… maklumat di hujung jari! Sayangku, jangan lupa… seseorang tu dah serasi hidup sebagai manusia sampai dia terlupa akan hakihat hidupnya. Hanya beberapa saat sahaja dia boleh ingat siapa dirinya kemudian, lupa terus.”

“Hmmm… kalau begitu saya pun speechless dengar bebelan awak. Cuba awak tengok jam dah pukul berapa? Saya rasa awak dah lambat ni sebab banyak sangat bebel.”

Spontan Aniq Zafran melihat jam tangannya sambil terbeliak besar matanya sebelum menepuk dahi berulang kali.

“Aduhai, saya memang dah lambat! Pergi dulu… Assalamualaikum!”

Aniq Zafran terus memulas tombol pintu tanpa menoleh lagi. 

Bum! Kuat pintu ditutup dalam keadaan tergesa-gesa begitu. Tinggallah Noraini sendirian di pejabat milik Aniq Zafran. Noraini ketawa, lucu pula dengan tingkah laku lelaki itu. Hiburan di pagi hari sebelum berangkat ke tempat kerja, sekurang-kurangnyanya perasaan yang ceria dapat membantu kelancaran pekerjaannya nanti.


***********


Pagi-pagi lagi kenderaan sudah memenuhi jalan raya besar di bandar itu. Bunyi bingit pelbagai kenderaan sudah membuatkan dia lali sepanjang bekerja di ibu kota itu. Jarum jam tangan menunjukkan ke angka 8:30 pagi, ada lagi beberapa minit sebelum waktu pejabat tiba. Michael Angle lebih selesa datang ke tempat kerja dengan menggunakan LRT agar tidak terperangkap dengan kesesakan jalan raya di samping tidak perlu runsing memikirkan untuk mencari parking. 

Setelah keluar dari stesen LRT, menuntut untuk berjalan kaki melalui jejantas yang mengambil masa kira-kira 5 minit sebelum tiba ke pejabatnya. Semasa menggunakan jejantas, sengaja berhenti sejenak untuk melihat-lihat kenderaan bertali arus di bawah, melihat betapa sibuknya manusia pada awal pagi. 

Michael Angle menghidupkan aplikasi perakam suara dalam telefon pintar miliknya. Menjadi tabiatnya, apabila ingin bercakap mengenai sesuatu yang dirasakan bermakna dan memberikan kesan dalam kehidupan, dia akan merakamnya. Sempat dia melihat beberapa rakaman sebelum ini, sudah banyak rakaman suara direkodkan. Tunggu masa yang sesuai untuk dimainkan kembali dan ditulis beberapa kata kunci penting dalam buku catatan bertindak sebagai diari pengingat.

“Hairan… hidup kelihatan bebas tetapi menjadi hamba kepada wang,” terucap ayat yang bermain di minda saat ini.

Itu analoginya mengenai manusia yang kadangkala banyak menghabiskan waktu dengan bekerja berbanding melakukan perkara lain. Keluar subuh-subuh, pulangnya sudah tidak kelihatan matahari. Begitulah dirinya juga, sama seperti manusia yang lain. Terasa ingin mentertawa diri sendiri apabila menyedari hakikat itu.

Sunyi dan kesepian dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Tiada suri yang menghiasi rumahnya, suram rasanya apabila berada di rumah. Bayang-bayang seseorang perempuan sering muncul sesekali, perempuan itu berlagak layaknya sebagai seorang isteri melayani suami. Cuma, seringkali dia menidakkan kerana dirinya bujangan selama ini. Oleh itu, dianggap itu hanyalah imaginasi akibat sudah lama membujang. 

Diam di situ, membiarkan tubuh yang dibaluti baju kemeja dijamah angin pagi. Beralun-alun rambut ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, wajahnya kekuningan disimbah mentari pagi. 

Dari atas juga, dia dapat melihat pelukis-pelukis plein-air di kaki lima bangunan kedai. Barangkali mereka baru tiba di situ kerana Michael Angle melihat mereka sedang berbual-bual santai sambil mengeluarkan peralatan yang diperlukan seperti bangku lipat, papan lukis dan macam-macam lagi. 

Terdetik di dalam hatinya, bagaimana pelukis-pelukis itu akan melakukan pekerjaan mereka jika kawasan mereka dibahangi dengan matahari atau pun dihujani secara tiba-tiba nanti? Selain itu, apa yang bakal mereka lukis di situ? Barangkali, permandangan pagi di bandar besar yang sesak dengan kenderaan atau pun kerenah-kerenah penghuninya?

Entahlah, Michael Angle hanya mampu berteka-teki sahaja. Lagipun, itu pertama kali dia melihat mereka di situ sepanjang perjalanan ke tempat kerja. Boleh jadi sahaja, dia yang tidak menyedari kewujudan pengkarya-pengkarya itu pada hari-hari sebelumnya akibat terlalu fokus dengan hal hidupnya. Tidak tahulah, apa yang sedang berlegar dalam fikirannya ketika itu.

Mungkin tahu sedang diperhatikan, Zaqwan yang berada dalam kalangan pelukis menoleh memandang Michael Angle sambil meleretkan senyuman mesra. Michael Angle terkesima tetapi, tidak pula memalingkan pandangan apatah lagi membalas kembali senyuman Zaqwan yang berbaju kemeja kotak-kotak berwarna coklat dan memakai French beret berwarna hitam. Michael Angle berasakan cita rasa Zaqwan itu mungkin akan diminatinya suatu hari nanti. 

Michael Angle melihat Zaqwan sedang melanjutkan pekerjaan, duduk di atas bangku lipat, kanvas putih sudah siap tersedia dan membuka beg kecil diperbuat daripada kain kanvas yang mengandungi beberapa batang pensel dan berus pelbagai saiz.

Berdebar-debar hatinya menunggu tindakan selanjutnya Zaqwan. Jantungnya berdenyut kencang seperti baru habis daripada berlari satu pusingan. Sebenarnya, dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus berdebar seperti itu bermula daripada terpandangkan kanvas putih bersih. Peluh menitik di dahi, tekaknya terasa kering ketika itu sebelum dia menjerit kuat.

“Argh!” Terjerit-jerit sambil terundur-undur ke belakang dan menekup kuat muka seperti tidak ingin melihat sesuatu sebaik sahaja Zaqwan melakarkan sesuatu di atas kanvas menggunakan pensel batang 2B.

“Jangan kau lakukan itu!” Michael Angle pun tidak tahu mengapa dia berkata sedemikian.

Tangan kanan seakan menegah perbuatan Zaqwan namun apakan daya, tiada apa yang mampu dibuatnya ketika ini.

Tentu perlakuannya menarik perhatian warga kota yang sedang menggunakan jejantas itu. Walau suara jeritannya tenggelam timbul dalam kebisingan bunyi kenderaan, Zaqwan turut melihat ke arahnya.

Sekeras manapun Michael Angle berusaha untuk menutup mata, bayangan bersifat negatif tetap terpampang seperti wayang kerana ia wujud bukan secara fizikal depan mata tetapi wujud di dalam mindanya.

Sesuatu yang sangat gelap, dia meronta-ronta melepaskan diri di sebalik timbunan kain berwarna hitam pekat. Semakin meronta, semakin lemas sehingga tidak mampu bernafas. Auranya terasa sangat negatif di mana dia berasa ingin marah, marah semarahnya dan sedih, sesedihnya. Emosinya bercampur baur menerbitkan dendam yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang dia sendiri belum ketahui saat ini. 

‘Kau akan berasai apa yang aku rasai,’ suara itu bergema dia dia berusaha melepaskan diri.

Tiba-tiba dunianya terasa begitu sepi sekali, dia terkejut melihat manusia di sekeliling berhenti bergerak. Mereka pegun seperti patung sebelum berkecai seperti kaca lalu menukarkan situasi semasa seperti berada dalam ruangan hitam pekat tidak bercahaya. Di situ, Michael Angle seperti insan terperangkap jiwanya.

Tidak semena-mena, Michael Angle mendengar jeritan kesakitan seseorang tidak diketahui dari mana arah puncanya. Tiba-tiba sahaja dia menjatuhkan tubuh melutut ke tanah, dia berasa sangat bersalah dengan seseorang yang sedang menjerit kerana tidak mampu untuk menghulurkan sebarang bantuan. Pipinya basah dengan air mata berserta esak tangis.

“Kenapa aku menangis? Kenapa?” Jeritnya sendirian.

Michael Angle menampar pipinya berulang kali tanpa mempedulikan kesakitannya.

‘Kau rasa bersalah dan begitu lemah sekali! Cinta kau ternyata palsu dan kotor!’

“Katakan… katakan kepada aku kenapa aku bersalah? Aku bersalah kepada apa?” Pinta Michael Angle dengan bersungguh-sungguh terhadap sesuatu yang tidak pasti.

Suara ketawa menghilai begitu menyeramkan sekali. Serentak itu, tubuhnya berasa dipeluk hangat seseorang tidak terlihat. Senandungnya kedengaran begitu sayu, lagi membuatkan air matanya deras mengalir.

‘Pergi… pergi bunuh dia!’ Bisik seseorang membuatkan dia merinding tidak semena-mena.

“Bunuh? Bunuh siapa?” Soalnya, cepat-cepat menoleh badannya ke belakang.

“Encik… encik cari siapa di sini? Encik okey ke?” Tegur Zaqwan sambil menghulurkan tangan untuk membantu Michael Angle bangun.

Michael Angle dihambat kejutan, situasi begitu cepat bertukar. Mereka - manusia bergerak normal seperti biasa dan lelaki di hadapannya, adakah dia melihat apa yang sedang berlaku kepadanya tadi? Fenomena aneh yang tidak terduga berlaku kepadanya secara tiba-tiba.

“Tak perlu berlagak pandai orang asing!” Kasar sekali kata-kata Michael Angle, dia menepis tangan Zaqwan.

Zaqwan tersengih dan memasukkan tangan ke dalam poket seluar sambil melihat Michael Angle berjalan meninggalkannya. Dia tidak tersinggung langsung dengan kata-kata itu.

“Kita macam orang yang pernah bekerjasama dan sudah lama tidak bertemu. Kalau bertemu, kita akan bersikap dingin. Tapi, kenapa aku cakap macam tu, ya? Pelik, tiba-tiba aku teringat pada sesuatu yang aku tak pasti apa itu,” terteleng-teleng kepala Zaqwan memikirkan bebelan seorang dirinya.

Zaqwan membebel-bebel sambil kembali ke tempatnya melukis. Gula-gula Kopiko kebetulan ada dalam poket, diambil dan dibuka lalu dikemam dalam mulutnya. Rasa kopinya membuatkan dia bersemangat untuk terus melukis hari ini.

‘Fighting, Zaqwan! Fighting!’ Tekadnya dalam hati sambil mengepal penumbuk kanan.


***********


Magical Jewelry - Bangunan dua tingkat di mana ruang bawahnya merupakan toko kedai aksesori pelbagai jenis keluaran syarikat mereka direka dengan konsep moden dan mewah, menggunakan cat dinding putih di samping chandelier dengan juntaian rama-rama tersergam indah di tengah siling memancarkan cahaya keemasan. Meja-meja pameran menyilaukan pandangan mata dengan cahaya aksesori berkerlipan indah, pasti menarik perhatian sesiapa sahaja untuk menyingahinya.

Tingkat atas merupakan pejabat pentadbiran yang dibahagikan kepada beberapa unit termasuk unit perekaan. Secara umum, unit-unit itu direka dengan berkonsepkan moden masa kini. Hampir keseluruhan dinding diperbuat daripada gelas kaca jernih menampakkan permandangan luar dan membenarkan pencahayaan semula jadi menerangi ruang dalam. Reka bentuk dalaman lebih santai, tiada lagi kubikel yang menghalang antara satu sama lain tambahan lagi perabotnya bersifat ergonomic. 

Beberapa tumbuhan hiasan seperti Lidah Ibu Mentua, Lili Damai dan Calathea disusun cantik-cantik di koridor dan ada juga terdapat di atas meja-meja tertentu bagi mewujudkan suasana hijau segar dan mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Pagi ini, sama seperti pagi-pagi sebelumnya di mana masih belum ramai yang memasuki pejabat memandangkan waktu operasi bermula dari jam 9:00 pagi sehingga 6:00 petang. Jarum jam dinding baru menunjukkan 8:45 pagi. 

“Hayati… aku ada berita terhangat! Kejadian rompakan kedai emas semakin menjadi-jadi. Merisaukanlah!” Kedengaran suara Aniq Zafran bising-bising sebaik sahaja pintu studio dibuka.

Dari luar tadi, mereka dapat melihat lelaki itu berlari-lari memasuki studio. Nampak sangat tidak sabar-sabar untuk berkongsi berita yang diperoleh pagi ini.

Tajam jelingan Hayati yang sedang mengemas mejanya pada pagi itu apabila terdengar suara rakannya. Suasana sunyi sepi sebelum ini dek ramai yang tidak tiba lagi ke studio menjadi riuh dengan suaranya yang sememangnya nyaring. Orangnya sejenis yang banyak cakap dan kadangkala apabila terlebih cakap, mulalah merepek. 

Laju sekali langkahnya sambil membimbit beg kerja dan tangannya membuka luas surat khabar bagaikan tiada hari esok untuk membaca. Memang sifatnya begitu untuk membaca surat khabar fizikal yang diletakkan di luar pintu pejabat oleh penghantar surat khabar. Katanya sebelum ini, minda mesti sentiasa dikemaskini dengan berita semasa supaya tidak tepu dan lesu.

“Bukankah itu perkara biasa? Kau je yang selalu membesarkan sesuatu isu tu,” Hayati selaku rakan sekerja acuh tak acuh membalas, malas sebenarnya mahu melayan kerenah lelaki itu pada awal-awal pagi begini. 

Nampak berselera pula Aniq Zafran apabila melihat Hayati yang menghirup air suam itu walaupun tadi sudah meneguk susu suam untuk mengalas perut. Lagu-lagu 90-an berkumandang kerana Hayati membukanya melalui Youtube untuk menceriakan suasana pagi. Memang begitu perangai rakan sekerjanya yang seorang itu pada setiap hari. Habis waktu kerja baru ditutup lagu itu.

“Eh, tolong sikit ya! Media yang melaporkan. Aku bukan wartawan, aku hanya pereka barangan kemas… okey!” 

Kerjaya sebagai pereka barang kemas yang didapatkan dengan pemalsuan dokumen semasa pemohonan jawatan di situ. Orang sumber pula, sememangnya Noraini yang bijak menyamar. Ternyata pihak Human Resource syarikat itu terpedaya dengan mudah segala-galanya. Gigih sungguh mereka selama beberapa bulan mengkaji latar belakang syarikat dan juga memasuki kelas-kelas penggunaan software dan aplikasi tertentu seperti Adobe Photoshop serta latihan simulasi suasana kerja di dalam bidang itu. Dia mempunyai sebab tertentu memilih syarikat berkenaan untuk melaksanakan misinya.

‘Easy… easy meh!’ Katanya dengan bongkaknya dalam hati, ingin sekali melompat bintang kerana gembira penyamarannya berhasil dan tidak terbongkar setakat hari ini.

Cermin mata berbentuk bulat tersangkut pada batang hidung dibetul-betulkan ala-ala seorang penyiasat. Tidak selesa rasanya kerana cermin mata itu asyik melorot ke bawah. Aniq Zafran tidak menghadapi masalah rabun sama ada rabun jauh mahupun dekat. Cermin mata dipakai hanyalah sebagai salah satu cara penyamaran agar tidak ketahuan tujuannya melakukan penyiasatan. Misai palsu pula dipakai agar tidak ketara identiti sebenarnya.

Dalam diam-diam, Aniq Zafran berasakan dia seperti Detektif Conan. Tergelak-gelak mengingatkan usul penyamarannya, geli hati rasanya.

“Yalah,” Hayati mencebik, tidak berkuasa untuk melayan kerenah Aniq Zafran. Air suam diteguk sampai habis.

“Good morning,” tegur Michael Angle sebaik sahaja memasuki ruangan pejabat dengan suara mendatar tanpa dapat dibaca emosi paginya, mencuba untuk berlagak tenang selepas apa yang dilaluinya sepanjang perjalanan ke tempat kerja. 

Hayati bersiul perlahan untuk menarik perhatian Aniq Zafran. Lelaki itu hanya mengangkat bahu menandakan dia tidak tahu emosi Michael Angle pada pagi itu. Itu kebiasan mereka berdua tiap kali Michael Angle tiba di pejabat pada waktu pagi. Michael Angle seorang yang sukar diramal perangainya dan pendiam serta hanya akan bercakap apabila perlu sahaja.

“Masih lagi dengan design tu?” Tegur Aniq Zafran sekadar berbasa-basi sambil mendekati ruangan kerja rakannya itu apabila melihat Michael Angle sudah mengeluarkan Ipad dari dalam beg kerja. 

Tanpa perlu menjawab pertanyaan kawan sekerjanya itu, Michael Angle menjeling dengan ekor mata sambil menyelak fail yang mengandungi beberapa rekaan untuk gelang tangan yang tidak kunjung siap sehinggakan ketua mereka tidak mampu untuk memarahinya.

Apabila tiada sebarang respon diterima, Aniq Zafran menggaru kepala untuk memikirkan idea lain dalam berbicara. Laju dia mengambil sehelai kertas yang dikeluarkan dari fail oleh Michael Angle.  Lakaran rekaan gelang tangan menggunakan motif yang tidak dapat dijelaskan subjeknya. Subjek itu lebih kepada abstrak dan sekali imbas menyerupai ranting pohon berwarna hitam yang meliliti lengan si pemakai.

“Misteri tapi menarik. Nice and good try,” komen Aniq Zafran sudah seperti ketua unit sambil mengurut dagu, memikirkan motif rekaan yang sememangnya pernah dilihat sebelum ini.

‘Boleh jadi saja hal sebenarnya, design ni mempunyai kemiripan dengan karyanya sebelum ini.’ Dalam diam, Aniq Zafran mempunyai kesimpulan sambil memerhati air muka tegang lelaki itu.

Michael Angle tidak senang dengan sikap rakan sekerjanya yang suka menyibuk dengan kerja dilakukannya. Dengan kasar keras, dia menarik kertas itu daripada tangan Aniq Zafran tanpa sebarang senyuman dan wajahnya akan sentiasa masam mencuka sepanjang masa.

“Wo...  wo...  wo, relaks!” Aniq Zafran buat-buat terkejut tapi dia sudah sedia maklum dengan sikap rakan sekerjanya itu. 

Kedengaran Hayati ketawa kecil sambil mengunyah roti dan menyebabkan Aniq Zafran mencebik geram.

‘Dia bukan tak tahu Michael Angle itu orangnya seperti apa. Dikacau lagi… ambik kau!’ Monolog Hayati sambil memerhati tingkah dua orang rakan sekerjanya.

Kemudian, matanya menatap kembali skrin komputer kerana membaca berita atas talian sambil mengunyah kuih karipap yang dibawa dari rumah.

“So, kali ni kau mengambil inspirasi apa?” Aniq Zafran sekadar mahu mendengar sendiri daripada mulut Michael Angle.

“Kalau kau tak ada urusan dengan aku… boleh pergi dari sini?” Suaranya tegang tanpa memandang rakannya itu, tangannya sibuk menaip sesuatu pada papan kekunci komputer pejabat.

‘Penyibuk dan mereka akan sentiasa kekal begitu!’ Michael Angle menyumpah dalam hati.

Lagi sekali dia menjeling menandakan ketidaksenangan dengan kehadiran lelaki itu. Terus kecut perut Aniq Zafran dibuatnya.

“Haaa… oh ya! Banyaknya kerja aku belum siap. Boleh pula aku lupa!” Kata Aniq Zafran dengan alasan yang sengaja dicipta.

Gelak Aniq Zafran pun kedengaran serba salah.

‘Tak guna! Kenapa aku begitu pengecut?’ Giliran Aniq Zafran merungut di dalam hati, menepuk dahi sendiri.

Aniq Zafran faham sekali dengan jelingan itu. Laju-laju dia pergi dari situ. Kata-kata rakannya sekerjanya juga menikam tepat sukmanya. Tangannya sempat lagi membuat aksi mahu mencekik Hayati yang sedang menahan tawa dari tempat duduknya.


**************


Aniq Zafran menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya. Ekor matanya tidak lepas memandang Michael Angle yang sedang sibuk menaip sesuatu sebelum mengalih pandangan kepada Hayati yang tempat kerjanya di sebelahnya. Niatnya mahu bergosip dengan Hayati sama seperti yang dilakukan hari-hari sebelum ini.

“Susah betullah nak bergurau dengan dia tu!” Gosip Aniq Zafran kepada Hayati.

Pun begitu, sempat mengambil seketul karipap dari bekas makanan Hayati. Rakan sekerjanya tidak marah kerana memang selalu begitu mereka akan berkongsi makanan.

“Biasalah… tak semua orang perangai gelojoh macam kau!” Perli Hayati sebelum dihadiahkan dengan balingan kertas A4 secara rawak daripada Aniq Zafran.

“Tak adalah, kan… kita dah dekat nak setahun kerja sama-sama, takkanlah masih tak boleh nak bergurau senda,” bebelnya sambil mulutnya penuh dengan makanan. 

“Diakan memang misteri. Jadi, wajar je kalau kita masih tak boleh nak memahami dia,” balas Hayati, mengemukakan teorinya. 

Baru saat ini dia menyelak surat khabar yang dibawa oleh Aniq Zafran tadi jika tadi dia membaca berita atas talian.

“Hmmm, masuk akal juga yang kau kata tu,” kata Aniq Zafran sambil ekor mata memandang Michael Angle dengan tajam.

Tangannya mengurut dagu sendiri, perlahan-lahan teringatkan perangai Michael Angle sepanjang mereka menjadi rakan sepejabat. 

Terkejut Aniq Zafran sehingga hampir melatah ketika Hayati menyepak kakinya secara tiba-tiba sebagai isyarat untuk memandang Michael Angle yang sudah bangun dari tempat duduknya menuju ke pantri.

“Kalau perasanlah, dia selalu macam meracau secara tiba-tiba. Lepas tu, bila kita tanya, dia kata tak ada apa-apa,” kata Aniq Zafran sambil mendekatkan kerusinya dengan Hayati semacam sedang mengumpat, tidak mahu empunya badan terdengar kata-kata mereka.

Sempat lagi dia meniru gaya dingin Michael Angle apabila bercakap.

Hayati sememangnya seorang yang mudah terhibur itu ketawa sehingga tanpa sengaja memukul bahu Aniq Zafran sebelum berkata, “Ada-ada jelah kau!” 

“Lepas tu…” Kata Aniq Zafran namun terhenti di situ sahaja kerana berasakan ada sepasang mata sedang memerhatikan perbualan mereka. 

Kedengaran deheman Michael Angle dari kejauhan. Pandangan mata mereka bertiga saling bertembung. Aniq Zafran menelan air liur, risau pula dengan tindakan Michael Angle yang tidak terjangka seterusnya itu.

“Hari yang baik. Semoga hari kita dipenuhi dengan perbuatan yang baik,” suara Michael Angle dapat didengar dengan jelas oleh mereka berdua.

Ketika itu Michael Angle sudah kembali di tempat duduknya. Tangannya laju mengacau kopi O yang dibancuh. Kemudian, menghirup kopi O sambil mata fokus memandang skrin komputer.

Aniq Zafran berpura-pura berasa terpukul dan malu dengan perbuatannya sendiri sampai menutup mukanya sendiri dengan kedua telapak tangannya. Dramatik sungguh lakonannya.

“Dia dengar ke?” Katanya separuh berbisik sambil mencuit Hayati yang ketawa sahaja kerjanya seolah tidak terkesan langsung dengan perkara itu.

“Umpama sebatang jarum yang jatuh di lantai. Walaupun ia objek yang kecil, mengapa aku masih dapat mendengar ia jatuh?” Michael Angle tidak berterus terang tetapi cukup membuatkan Aniq Zafran faham akan maknanya. 

Ketika itu, Michael Angle sedang khusyuk melakar sesuatu di Ipad dengan menggunakan Apple Pen. Kemudian, ekor matanya menjeling tajam Aniq Zafran. Tersentak jugalah dibuatnya bagai melihat hantu dan dipanah petir, tergamam sebentar dia.

“Alahai!” Aniq Zafran menelan air liur sambil perlahan-lahan kembali ke tempatnya, berasakan dia sudah bercakap terlalu banyak hari itu. 

Hayati yang tergelak-gelak membuatkan sekali lagi dia membaling gumpalan kertas ke arahnya.


Previous: Sinopsi
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.