Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,307
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4

"PERLU ke saya ajar Sejarah, pengetua?" soal Ryzen dengan muka seposen. Tolonglah, dia kurang suka ajar subjek yang biasanya selalu akan membuatkan para pelajar tidur di dalam kelas. Subjek paling mengantuk, kata pelajar.

"Wajib." Sepatah, Pak Imam Saleh memberikan arahan mandatori.

Itu dia, figura Pak Imam Saleh yang tersenyum bahagia memandangnya dipandang kecil besar saja. Memang, memang terang lagi bersuluh dia telah dikenakan oleh pak-pak berdua. Sabar, Ryzen!

"Okey," akur Ryzen dalam terpaksa.

"Bagus, ini yang saya mahukan. Anak muda kena tahu, minat dan menghayati sejarah." Pak Imam Saleh melebarkan lagi sengihan.

"Oh ya sebelum saya lupa, cikgu juga akan mengajar subjek Pendidikan Islam. Itulah, sekarang ni Ustazah Zaniah cuti bersalin. Tak ada cikgu lain yang sanggup ganti kelas dia." Dalam bertutur, sempat lagi Pak Imam Saleh berlapik kata.

Ternganga Ryzen mendengar arahan mandatori kuasa dua yang keluar dari mulut Pak Imam Saleh. Aduh, mula-mula kena mengajar Sejarah, sekarang mengajar Pendidikan Islam pula? Habis, dia perlu dipanggil apa selepas ini? Cikgu? Ustaz?

"Pengetua." Ryzen cuba berdiplomasi.

Aduh, serba tak kenalah dia hari ini. Memang terbukti warga sekolah ini semuanya pelik-pelik. Ya betullah, kalau diikutkan dalam kajian, tiga orang sampel sudah memadai untuk meletakkan hujah dan bukti akan kelancaran sesuatu kajian.

Sekejap, Ryzen. Sedarlah, sekarang ini bukannya dia yang sedang membuat kajian, tetapi dia yang sedang dilakukan ujian oleh si pak imam. Ah, boleh gila dia diperlakukan oleh orang-orang di sini!

"Sejarah, okey saya boleh terima. Tapi Pendidikan Islam..." Ryzen membuat muka kasihan.

Pak Imam Saleh melorotkan cermin matanya ke batang hidung. Aduh, Cikgu Harraz sudah buat muka kasihan! Tapi... ah, tak ada tapi-tapi! Kata adik kembarnya Pak Lebai Leman, Cikgu Harraz ini boleh tahan bagus dalam memberi ceramah agama. Itu kuliah selepas subuh, elok saja dia bertazkirah.

"Maaflah cikgu, tapi sekarang ni hanya cikgu yang layak. Cikgu kena ingat, tak semestinya kena ada pangkat atau gelaran ustaz barulah boleh mengajar agama. No, it's a big no ya cikgu." Pak Imam Saleh menggoyangkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

"Dalam hidup ni, siapakah guru pertama kita bermula dari detik kita lahir ke dunia? Ibu bapa kita. Mereka tu ada pangkat ustaz ke untuk mengajar kita mengenal alif ba ta? Tak juga. Hanya anak-anak yang bertuah saja lahir-lahirnya ibu bapa memang ustaz ustazah." Pak Imam Saleh berjeda.

"Kalau nak pukul rata mengaji agama ni wajib daripada orang yang ada gelaran ustaz ustazah, habislah Cikgu Harraz oii. Habis tu orang yang tak ada gelaran ustaz ustazah ni memang tak layak ke menegur kesalahan orang? Tak layak ke menyampaikan ilmu agama walau sedikit?" Pak Imam Saleh berjeda lagi.

"Apa pun cikgu, ustaz atau ustazah tu maksudnya guru dalam bahasa Arab. Sama saja maknanya cikgu dalam bahasa Melayu. Jadi, apa yang susahnya?" soal Pak Imam Saleh pula.

"Rekod kamu cantik Cikgu Harraz. Apa guna ada Sarjana Pengajian Islam tetapi ilmu agama yang ada tu, cikgu tak nak guna?" soal Pak Imam Saleh lagi.

Bicara pak imam memang padu. Ryzen hanya mampu melayangkan sengihan yang tidak berapa menjadi sengihannya. Tak pasal-pasal pagi ini dia kena dengar tazkirah percuma. Hai Tuan Azam, apakah ini sampaikan sijil sarjananya pun diberitahu kepada Pak Imam Saleh?

"Dah, saya tak nak terima apa-apa alasan lagi. Inilah masanya untuk cikgu bantu penduduk kampung. Mereka itu tenat rohani dan jasmani. Kehadiran cikgu di sini, sedikit sebanyak saya harap dapat mengubahnya," kata Pak Imam Saleh sambil memandang penuh pengharapan kepada Ryzen.

Mendengar kata-kata Pak Imam Saleh, Ryzen ketawa dalam terpaksa. Perlu ke? Aduhai, ini sudah double mission namanya. Tapi tak apalah, bukan ke fardu kifayah mengajar agama kepada orang kampung?

"Baiklah, pengetua. Jika itu yang pengetua amanahkan kepada saya," akur Ryzen akhirnya.

Ya Allah, anugerahkanlah kepadanya kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Dia tidaklah sempurna orangnya tetapi dia juga mahu menjadi yang sempurna. Semoga semua amanah yang diamanahkan kepadanya terlaksana dengan jayanya. Amin.



'ADUH, sakitnya pinggang aku.' Shaurin mengaduh dalam hati.

Barulah dia tahu yang membasuh ayam mentah sebanyak dua besen itu sangat memenatkan. Yalah, sebelum ini dia hanya tahu makan ayam yang sudah siap dimasak sahaja.

"Shaurin, ambilkan mak cik cili giling!" jerit Mak Cik Bedah dari dapur.

Suara menjerit Mak Cik Bedah memang sudah macam soprano gayanya. Tapi, nasib baik bukan suara soprano yang tercekik tulang ayam. Shaurin menjulingkan mata ke atas. Tuan Azam, dia mahu surrender!

"Ini dia, mak cik." Shaurin menghulurkan sebekas cili giling kepada Mak Cik Bedah.

"Terima kasih," ucap Mak Cik Bedah lalu mengambilnya dengan senang hati.

Mak Cik Bedah mencicip sedikit rasa bahan masakan ayam masak merah yang sudah masak dan hanya tinggal perlu dimasukkan ayam yang sudah digoreng sahaja lagi dalam tumisan. Erm, sedap!

"Rin, mak cik kagumlah dengan kau. Sekali mak cik ajar, terus lekat kat otak. Kecil-kecil dulu, mak kau bagi makan apa hah?" soal Mak Cik Bedah sambil mengipas-ngipas mukanya. Panas.

"Err..." Shaurin mati kata. Entahlah, dia tiada jawapan untuk itu. Ibu bapanya bijak, dia pun bijak. Genetik genius, mungkin?

"Ah, biarlah yang tu. Aku nak kau jaga kaunter nanti. Tengok jam tu, dah nak sampai waktu rehat budak-budak tingkatan satu sampai tiga," kata Mak Cik Bedah tanpa mempersoalkan lagi kebijaksanaan Shaurin. Biarlah, tak penting pun.

"Baik, mak cik," akur Shaurin lalu membuang apron dari badannya.

Tidak lama kemudian, loceng sekolah menjerit nyaring senyaring suara Mak Cik Leha kampung seberang menjerit di atas pentas. Apa khabar agaknya diva kampung tersebut? Teringin pula dia mahu menengok lenggok wanita pertengahan umur itu membuat persembahan. Kali ini, apalah agaknya yang akan terjadi?

"Berangan kau ni Rin. Cepat, budak-budak dah beratur tu!" Mak Cik Bedah mengetuk perlahan kepala Shaurin dengan sudip.

'Mak cik, aku bukan berangan tapi aku teringatkan adik kau yang kalau buat persembahan tu, memang beratur panjanglah pak cik-pak cik nak tengok dia. Yang dah tua bertongkat, gigi luruh pun tetap gagah merangkak demi dengar suara tu.' Shaurin menjulingkan mata ke atas dengan hatinya menyebal. Cis, kakak dan adik sama saja!

"Yalah," jawab Shaurin lantas bergegas ke kaunter.

Seperti biasa, jika dia yang menjaga kaunter, maka para pelajar akan bersopan santun. Serius tak tipu. Buktinya, dengan senang hati Shaurin bekerja sebagai mak cik kantin tanpa ada yang menjerit-jerit ataupun bertolak-tolak.

Namun, senang hatinya tidak lama apabila sebaik sahaja dia menyudahkan penerimaan pembayaran daripada seorang pelajar, tiba-tiba pandangan pelajar tersebut beralih arah. Peliklah juga dia kenapa kerana bukan pelajar itu sahaja yang tiba-tiba berubah seperti kerasukan hantu, malah pelajar perempuan lain pun sama!

"Wuu, cikgu hensemlah!" jerit mereka secara berjemaah. Tergedik-gedik, terkinja-kinja bagaikan lagak ternampak artis.

'Ceh!' cebik Shaurin dalam hati.

"Cikgu pandang sini!"

"Cikgu!"

"Cikgu hensem!"

'Mana dia cikgu hensem tu? Nak tengok sikit rupanya. Yang pasti, bukan partner akulah. Tuan Azam kata partner aku kali ini hodoh dan tua walaupun otak cair,' cebik hati Shaurin lagi dengan matanya dijuling ke atas. Menyampah!

"Mak cik, berikan saya Milo ais satu," ucap satu suara lelaki.

"Okey." Shaurin memandang kepada si pemilik suara. Namun, matanya serta-merta membulat. Seriuslah ini cikgu yang disebut-sebut handsome

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20