Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,340
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 9

SELURUH dunianya terasa berpusing-pusing dan segala jeritan serta pekikan yang menerjah di ruangan pendengarannya kedengaran seolah-olah angin lalu. Ketika ini, dia sendiri bingung. Apa sebenarnya yang terjadi kepada dia?

"Cikgu? Cikgu!" Ryzen berasa pipinya ditepuk-tepuk.

"Apa kita nak buat, pak lebai?" Kedengaran pula suara panik seorang perempuan bertanya.

"Dia masih sedar ni. Mahad, tolong pak angkat cikgu ke kereta. Kita bawa dia ke klinik," arah pula suara lelaki yang dipanggil "Pak Lebai".

Ryzen berasa dirinya diangkat beramai-ramai sebelum semuanya kelam dan sunyi. Kemudian, dia tidak sedar lagi apa yang berlaku kepada dirinya sendiri.

FIGURA seorang doktor tua dan seorang jururawat di klinik tersebut yang sedang merawat mengundang tanda tanya bagi dirinya yang sentiasa dipenuhi tanda tanya. Dalam benaknya, dia tidak yakin akan kebolehan doktor itu merawat Ryzen.

Macam seram saja dia melihat tindak-tanduk si doktor ketika membersihkan luka di tepi dahi Ryzen sebab nampak macam tidak profesional saja kerjanya. Namun, dia bersyukur jugalah apabila diberitahu bahawa kecederaan yang dialami oleh Ryzen tidaklah parah.

Efek rempuhan kuda mengamuk hanya menyebabkan bahu Ryzen lebam membiru. Tetapi, luka yang terhasil di kepala akibat terhantuk keras pada batang kayu buruk yang terdampar di atas pasir nampak mengerikan.

Ketika ini, perasaan marah kepada pihak berwajib tiba-tiba muncul. Mereka tidak menitikberatkan kebersihan dan keselamatan pantai ke? Sepatutnya, kawasan pantai perlu bersih daripada sebarang sampah sarap dan benda berbahaya. Tengoklah, tak pasal-pasal Ryzen menjadi mangsa.

Eh, emosi pula Shaurin ketika ini!

"Puan, nanti ubat untuk suami puan ambil di kaunter ya," pesan si doktor tua.

Pantas Shaurin tersedar daripada lamunannya. Lantas, dia menghalakan jari telunjuknya ke batang hidungnya sendiri. Puan? Suami? Apa hal doktor ini? Sejak bila pula dia menjadi isteri Ryzen?

"Doktor, saya." Shaurin ingin menafikan namun kata-katanya terlebih dahulu dicantas oleh doktor tersebut.

"Kamu ni memang isteri yang baik, nak. Jarang orang di sini kalau suami sakit, dia bawa ke klinik. Sama juga halnya kalau isteri yang sakit. Masyarakat di sini, parah!" Bersungguh-sungguh si doktor bercakap.

"Kamu pula, siap teman lagi suami kamu sedar. Bagus, kamu sangat bagus!" Si doktor mengangkat ibu jari kepada Shaurin.

Itu dia, ternganga Shaurin mendengar pujian tetapi tersalah tuju tersebut. Hei orang tua, muka dia ini nampak macam bini orang ke? Dia terbengang sendiri, namun ketidakpuasan hatinya ditelan saja dek Ryzen sudah mulai sedar.

"Rin." Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Ryzen apabila sedar.

Mata Shaurin membulat apabila mendengar namanya terpacul keluar dari mulut Ryzen. Perlahan-lahan, dia berpaling kepada si doktor yang memandangnya sejak tadi. Si doktor itu tersenyum manis kepadanya bagaikan mendapat kemenangan saja gayanya.

Mesti doktor itu ingat Ryzen ini betul-betul suaminya. Aduhai, doktor! Senyuman plastik kemudiannya diberikan kepada doktor tersebut sebelum kakinya melangkah lebih dekat ke katil yang menempatkan Ryzen.

"Ryzen," panggil Shaurin seraya melemparkan senyuman buat jejaka itu.

Ryzen ialah penyelamatnya. Jadi, seharusnyalah dia bermanis muka sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Kalau dia yang dilanggar dek kuda tadi, mungkin dia yang akan terlantar di katil.

"Aku kat mana ni?" tanya Ryzen seraya memegang kepala. Dapat dirasakan pada tangannya kesat kain kasa yang membaluti luka di tepi dahinya.

Shaurin ingin menjawab namun sekali lagi, si doktor tua terlebih dahulu mencantas percakapannya. Sudahnya, dia hanya membiarkan saja doktor itu memeriksa lagi sekali kondisi Ryzen.

"Syukur kamu tak apa-apa. Nanti kalau sakit kepala tak hilang juga sehari dua ni, datang semula ke sini ya," pesan si doktor lalu menepuk perlahan bahu Ryzen.

Setelah berpuas hati dan dirasakan tiada apa-apa lagi yang perlu dibuat, si doktor terus berjalan keluar dari bilik tersebut diikuti dengan si jururawat yang membantunya tadi.

Kini, tinggallah Shaurin dan Ryzen berdua sahaja di situ. Ryzen berkira-kira mahu bangun, namun tindakannya ditegah keras oleh Shaurin. Rehat dulu, itu pesan Shaurin kepada Ryzen. Akhirnya, Ryzen terpaksa akur dengan arahan tersebut lalu kembali merebahkan badannya ke pembaringan.

"Kenapa kau selamatkan aku?" Tiba-tiba, Shaurin bertanyakan soalan kepada Ryzen.

Baru sekejap Ryzen senyap dan dia pun senyap, namun kebosanannya melanda berganda-ganda tanpa lawan bercakap. Takkan dia nak bercakap dengan dinding? Nanti tak pasal-pasal pula dia diberikan ubat sakit mental oleh si doktor.

"Kau kan partner aku, mestilah aku selamatkan kau," jawab Ryzen bersahaja.

"Oo..." balas Shaurin. Alasan yang boleh diterima.

Kemudian, suasana menjadi senyap semula. Janggal sangat rasanya. Pak Lebai Leman di mana? Pak Mahad si pemilik kuda dan anaknya budak Asrul itu pun di mana? Tidak mahu bertanggunggjawabkah? Ada ke patut dia ditinggalkan saja di sini bersama Ryzen?

"Apa yang jadi sebenarnya, Rin?" tanya Ryzen sekali lagi.

Bingunglah dia, lagipun kepalanya masih lagi terasa sakit berdenyut-denyut. Ya, dilanggar oleh kuda itu dia tahu, tapi bahagian badan yang dilanggar ialah bahu, bukannya kepala.

"Kepala kau terhantuk pada batang kayu." Bagai memahami kerutan bingung Ryzen, Shaurin menjelaskan asbab kenapa kepala jejaka itu berbalut.

'Oh...' Penjelasan Shaurin disambut dengan anggukan perlahan.

Allahu akbar allahu akbar.
Asyahadu al la ilaha illallah...

Bunyi azan yang berkumandang melalui aplikasi azan di telefon pintar milik Ryzen membantutkan percakapan mereka. Jam di dinding menunjukkan waktu 7.30 malam dan ia menunjukkan bahawa waktu maghrib sudah pun masuk.

Tanpa berlengah, Shaurin terus keluar dari bilik rawatan lalu menuju ke surau. Klinik ini boleh dikira okeylah, sedikit moden dan ada surau untuk dibuat tempat solat. Telekung? Nasib baik dia bawa siap-siap kain telekung di dalam beg sandangnya sebelum mengikut Ryzen tadi.

Usai menunaikan solat, dia bertembung dengan Ryzen di muka pintu surau. Agak kagetlah dia melihat Ryzen menggagahkan diri untuk menapak ke sini tanpa bantuan sesiapa. Power betul si Ryzen ini.

"Aku nak solat," beritahu Ryzen seraya tersenyum nipis.

"Boleh ke kau buat tanpa bantuan?" tanya Shaurin dengan wajah berkerut.

Bimbang pula dia melihat semangat luar biasa seorang Ryzen. Kalau pening-pening dan terjatuh ketika mengambil wuduk, kan haru? Kepalanya terhantuk kuat dan terluka. Kalau jadi apa-apa, macam mana?

"Jangan risaulah, aku kuat." Bagai memahami riak risau wajah Shaurin, Ryzen sekali lagi memberikan senyuman buat gadis itu.

Tanpa berlengah lagi, Ryzen terus masuk ke dalam surau. Alah, kalau kecederaan ringan macam ini, apalah sangat. Dia pernah mengalami kecederaan lagi teruk semasa menyertai misi di pergunungan Tibet tahun lepas.

Ditembak pernah, ditikam pernah, dilanggar kereta pula bagaikan mainan saja baginya. Diseksa oleh penjahat pun, dia sudah biasa. Dia Ryzen, ejen lapangan terlatih yang sentiasa melakukan misi berbahaya melibatkan kelasakan fizikal.

Bismillahirrahmanirrahim.

Ryzen berwuduk sekadarnya mengikut tatacara berwuduk bagi orang sakit yang berbalut separuh kepala. Sebelum ke surau tadi, doktor sudah berpesan kepadanya agar jangan sampai terkena air pada luka.

Solat maghrib ditunaikan, kewajipan yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-Nya diselesaikan sedaya upaya yang termampu. Setelah selesai menunaikan solat maghrib, terus saja dia segera keluar dari surau. Namun, hatinya tercuit apabila melihat Shaurin masih lagi setia menunggunya di luar surau.

"Kenapa kau tunggu aku?" tanya Ryzen. Sengaja dia mengerutkan muka menanti respons si gadis.

"Kau kan partner aku, mestilah aku tunggu kau," balas Shaurin seraya tersenyum nipis kepada Ryzen.

Senyuman Shaurin ketika ini betul-betul nampak indah di mata Ryzen. Shaurin juga bagaikan terpesona melihat riak wajah tenang Ryzen di hadapannya. Kedua-duanya saling terdiam dalam berpandangan sesama sendiri sebelum satu suara garau berdehem di belakang mereka.

"Dah-dahlah tu. Aku pun nak solat juga," tegur si doktor sambil menggeleng kepala.

Terus kedua-duanya termalu sendiri. Siot, boleh pula mereka berdua berdrama pandang-pandang di muka pintu surau. Bertaubatlah, tidak menjaga ikhtilat betul mereka berdua. 

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20