Home Novel Thriller/Aksi Dia... Aariz Iktizar
Dia... Aariz Iktizar
Angel_k20
21/10/2020 11:57:19
21,092
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Malam itu, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Suasana yang sedia sejuk semakin bertambah dingin, sedingin air di kali yang dikarai perlahan bagi membasahkan anggota wuduk. Ya Allah, sejuk sungguh sehingga menggigil, berlaga gigi dan menggeletar tubuh setiap kali air menyentuh kulit.

"Aariz, cepat naik. Kamu tu bukannya sihat sangat duduk bermain air tu," panggil Ibu Hamidah, iaitu pengasuhnya sejak dari kecil sehinggalah dia besar panjang sekarang ini.

"Sekejap, ibu," jawab Aariz sambil menggeleng kepala.

Tersenyum sahaja dia mendengar panggilan bimbang wanita yang dikasihinya semenjak dia tinggal di rumah anak-anak yatim Darul Hikmah sejak berumur tujuh tahun. Haih Ibu, tidak sah kalau setiap kali dia menziarahi rumah anak-anak yatim itu, dia tidak akan dibebel olehnya. Masa kecil-kecil dahulu, acap kali jugalah wanita itu naik angin akan kedegilannya.

"Ish, malaslah cakap dengan kamu ni. Ada-ada sajalah ulahnya," balas Ibu Hamidah sambil memuncungkan bibir.

"Iyalah ibu, Ayiz naiklah ni." Aariz akhirnya mengalah dengan rajuk seorang Ibu Hamidah.

Sebelum dia naik ke pelantaian, sempat dadanya yang sedikit terdedah di sebalik baju kemeja putihnya dikerling. Parut lama kesan pembedahan, memanjang dari atas dada turun ke bawah. Hujung bibirnya ditarik hambar, sehambar fikirannya mengingatkan kejadian 15 tahun lalu di mana dia menerima rawatan pemindahan organ paru-paru daripada pesakit di hospital yang kematian otak.

Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui siapakah gerangan insan mulia yang sudi meminjamkannya nafas untuk menyedut oksigen ciptaan Ilahi. Manusia mulia yang sudi memberikannya sedikit waktu untuk beribadah kepada Allah SWT.

'Ya Allah... tempatkanlah roh insan mulia penderma paru-paru kepadaku dalam kalangan orang yang beriman. Amin...' Doa Aariz di dalam hati. Lantas, dirinya berlalu naik ke dalam rumah untuk menyahut seruan Ilahi agar menyembah-Nya, Tuhan yang Maha Esa.

Usai menunaikan solat Isyak, Aariz menapak perlahan ke arah Ibu Hamidah yang sedang tersenyum simpul melayan ulah seorang kanak-kanak riang di ruang tamu. Rumah jagaan anak-anak yatim itu sederhana besar sahaja, letaknya pula di kawasan perkampungan berdekatan dengan hutan.

''Adik, seronok duduk dekat sini?" tegur Aariz kepada Dani, iaitu kanak-kanak paling muda di situ. Dani berusia dalam lingkungan tujuh tahun, sama seperti usianya ketika dia masuk ke Darul Hikmah.

"Seronok Abang Ayiz... ibu baik, semua kat sini baik. Abang pun baik," jawab kanak-kanak itu jujur. Gembira benar dia dilayan seperti putera raja di rumah itu memandangkan dia digelar adik bongsu.

"Wah, kalau begitu sukalah hati Abang. Mari sini kejap, Abang ada hadiah untuk adik," Aariz meraih kanak-kanak itu lalu diletakkan di ribanya.

Rambut Dani dielus lembut, teringat dia akan adiknya yang sudah kembali ke rahmatullah bersama dengan ibu bapanya pada 23 tahun lalu. Hatinya perih mengingatkan kembali peristiwa itu, tetapi apakan daya semuanya sudah dalam takdir Allah SWT.

"Ayiz..." tegur Ibu Hamidah lembut. Dia memahami rentak perasaan anak jagaannya itu.

Walaupun sudah lama perkara itu berlalu, perasaan bersalah anak muda berusia 30 tahun itu bukan mudah untuk diubati. Tambah-tambah lagi, punca mereka bertiga menghadap Allah SWT lebih awal semuanya berpunca daripada dirinya.

"Ayiz teringatkan Ahmad..." lirih Aariz perlahan.

"Kalau begitu, Ayiz sepatutnya hadirkan Ahmad dalam hidup Ayiz," balas Ibu Hamidah sambal tersenyum simpul.

"Apa maksud ibu?" soal Aariz tidak faham.

"Kahwinlah nak oi... itu pun perlu diajar ke? Usia kamu tu sudah 30 tahun, tahu?" jawab Ibu Hamidah lalu menepuk perlahan peha Aariz.

"Tak naklah," jawab Aariz lalu terus mengelus perlahan rambut Dani.

"Ayiz bahagia dengan hidup Ayiz sekarang," sambungnya lagi.

"Setidak-tidaknya, jika kamu sakit akan ada yang menjaga kamu Muhammad Aariz Iktizar..." keluh Ibu Hamidah.

Dia sebenarnya sudah pusing bagaimana lagi mahu dibuat agar Aariznya ini berkahwin. Hati tuanya risau jugalah melihatkan gaya hidup Aariz yang tidak menentu di kota raya. Sudahlah berbahaya, kurang rehat pula. Aariz ini jika tidak kerana kesihatannya yang perlu dijaga, tidaklah dia risau sangat.

"Abang nak bagi Dani apa tadi?" tanya Dani lalu berpaling kepada Aariz.

Elusan tangan Aariz terhenti lalu dengan senyuman manis dihadiahkan kepada kanak-kanak itu, dia mengeluarkan beberapa batang lolipop daripada poket baju lalu memberikannya kepada Dani.

"Kongsi dengan kawan-kawan," suruh Aariz.

"Yeay... Dani sayang Abang!" jerit Dani kesukaan lalu mengucup mesra pipi Aariz lantas berlari mendapatkan kawan-kawannya yang berada di dalam bilik.

"Ayiz, tengoklah tu. Seronok kan kalau ada anak sendiri?" cuba Ibu Hamidah lagi.

"Ayiz lapar la bu..." jawab Aariz seraya bangun lalu menghala ke dapur. Sengaja dia mengelak daripada hal itu dibangkitkan kembali.

"Ibu mengalah nak..." keluh Ibu Hamidah lalu turut bangun lantas membuntuti Aariz ke dapur.

------------


"La ilahaillallah, Muhammadurrasulullah." Sehabis baik, seorang gadis bertudung litup berusaha untuk berzikir dan berselawat sesungguh hatinya.

Dia, tidak dapat tidak dia perlu menumpukan perhatian kepada aktiviti zikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bagi membendung rasa marah yang semakin menguasai diri dek perangai kawan serumahnya yang berperangai semacam hantu. Sebal dan geram bersatu di dalam hati membentuk rasa marah yang membakar diri. Kurang ajar ini budak!

Ada ke patut apabila dia balik dari kampung setelah cutinya sebagai pegawai pemasaran di syarikat pengiklanannya tamat, dia dikejutkan dengan keadaan rumahnya yang bagai tongkang pecah. Baju diletakkan merata-rata, berlonggok tidak berlipat, pinggan mangkuk pula tidak bercuci. Bilik air sudah seperti longkang tersumbat dan sampah sarap bersepah di dalam rumahnya. Rumahnya sudah seperti tempat pelupusan sampah!

"Kau orang buat apa ni?" Dalam marah, Khayra bertanya tetapi nadanya tetap dikawal sehabis baik.

"Eh, Kak Khayra sudah balik. Maaflah Akak, kami berdua sibuk kebelakangan ini. Ini pun kami perlu keluar untuk discussion," jawab Tina sambil tersengih-sengih.

"Iya Akak... kami tidak bohong. Kami tidak sempat nak kemas semua ini sebab minggu ini memang kami sibuk," sahut Bella pula sambal menonyoh gincu di bibir. Sempat matanya mengerling kepada raut wajah Khayra yang gelap cerah bagai hujan tak jadi. Agak seram!

"Akak tak kira. Kalau esok jam 7 pagi Akak turun ke bawah dan semua ini..." kata Khayra lalu menunjuk ke arah semua barang yang berselerak di ruang tamu, dapur, dan bilik.

"Kau orang tak kemaskan seperti sediakala, sila angkat kaki dari rumah Akak. Akak tidak perlukan rakan serumah yang pengotor macam kau orang berdua," sambung Khayra lalu bergegas naik ke biliknya di tingkat atas.

Bum!

Barang-barangnya yang dibawa pulang dari kampung dihempas kasar ke atas sofa di ruangan atas. Dirinya juga dihenyak kasar di atas katil sekadar melepaskan geram yang terbuku di hati. Mujur saja tingkat atas rumah itu hanya eksklusif buatnya seorang memandangkan dialah tuan rumah. Tina dan Bella hanyalah penumpang yang diberikan tempat berteduh dek ibu bapanya risau akan keselamatan anak daranya yang tinggal seorang diri di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Tit. Tit.

Mesej dari aplikasi Whatsapp dipandang sepi dek ketenangan yang perlu diraih terlebih dahulu menyuruh diri. Namun, ketenangannya terganggu dek kali ini, panggilan suara daripada aplikasi itu pula menjerit nyaring meminta diangkat.

'Psiko ke apa? Tidak faham ke mana ada orang bincang hal kerja malam-malam?' hatinya membentak hebat.

"Hello, kau nak apa?" soalnya dingin.

"Maaf mengganggu Cik Khayra malam-malam ni. Maaf sangat-sangat. Sebenarnya, kita ada klien baru esok, tapi disebabkan saya bercuti maka saya takut tidak sempat nak bagitahu Cik esok," balas si pemanggil di talian.

"Kenapa kau cuti?" soal Khayra dengan nada tetap dingin.

"Ibu saya baru saja meninggal, Cik." Sejurus meluahkan ayat, kedengaran esak tangis si pemanggil. Mula-mula perlahan tetapi kemudian melebat sehingga kedengaran hingus ditarik.

"Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Takziah, Yani. Baiklah, saya noted pasal klien esok," kata Khayra dengan suara mengendur lalu memutuskan talian.

Jam yang tergantung di dinding dikerling perlahan. 10 malam. Haih, besar pula bebannya esok. Jika Yani tidak ada di pejabat, maka ini bermakna dia akan keseorangan dalam melayan klien. Cis, ada juga nanti klien yang makan penumbuknya! 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.