Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
1,010
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Prolog

PETIR berdentum, cahaya kilat menyambar, hujan mencurah-curah. Sekujur tubuh berlari meredah belukar dalam kegelapan. Nafasnya termengah-mengah. 

Dia menekup perutnya yang berlumuran darah. Tidak lama kemudian, kelihatan cahaya lampu menyuluh. Tiga susuk tubuh bersenjata mengejarnya. 

"Lekas kejar! Jangan biarkan dia terlepas. Dia sudah cedera terkena tembakan," ujar salah seorang lelaki itu. 

'Celaka! Liat betul nyawa dia! Chuck, kau jangan bermimpi untuk melarikan diri. Kau mesti mati malam ini,' gumam lelaki itu. Mata mereka meliar mencari orang yang diburu. Dalam kegelapan, salah seorang daripada mereka terlihat susuk lelaki tadi. 

"Dia di sana!" jerit salah seorang lelaki itu. 

"Lekas kejar!" arah ketua kumpulan itu.Ketiga-tiga lelaki itu mengejarnya. Chuck meringis menahan sakit. Dia sedar nyawanya dalam bahaya. 

'Aku tak boleh mati! Aku mesti terus hidup!' gumam Chuck. 

 Dengan sisa-sisa kudratnya, dia meredah hujan lebat. Setelah beberapa lama berlari, dia terlihat kerlipan cahaya lampu dari rumah-rumah kampung di situ. Dengan pantas, dia berlari ke arah salah sebuah rumah itu, lalu pintu diketuk bertalu-talu. 

"Tolong! Tolong! Buka pintu!" Musuh semakin menghampiri, dia sedar hanya itu pilihan yang dia ada. Dengan tidak semena-mena pintu yang diketuknya terbuka. Berdiri di depan pintu itu seorang lelaki tua yang merenung Chuck dengan tajam dan keliru. 

"Tolong benarkan aku masuk ... tolong selamatkan aku," rayu Chuck sambil meringis. 

Orang tua itu melihat jalur cahaya di hujung jalan, dia merenung pemuda di depannya. Dengan segera dia mengangguk dan menarik Chuck masuk ke dalam rumahnya.Pada masa yang sama, kumpulan lelaki bersenjata tadi sampai di tempat itu. Mereka tercari-cari orang buruan mereka. 

 "Tak guna! Dia dah hilang!" 

"Macam mana ni? Apa kita nak beritahu pada bos. Kalau kita kata lelaki itu tak mati pasti kita yang mati," ujar salah seorang lelaki itu. 

"Kau berdua dengar sini! Kita tak boleh beritahu bos yang kita gagal! Kita kata dia dah mampus. Ingat! Kita mesti katakan Chuck dah mati!" ujar ketua kumpulan itu. 

Kedua-dua lelaki itu mengangguk, dengan segera mereka berlari meninggalkan tempat itu. Chuck terbaring di atas lantai dalam kesakitan. Lelaki tua itu memandangnya dengan penuh pertanyaan.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.