Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
1,451
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Imbas kembali, 2291 - Kerajaan Melayujiwa

KEMARAU telah berlanjutan berpurnama lamanya. Banyak sungai yang telah kering. Haiwan ternakan sedikit demi sedikit mati kelaparan. Tanaman layu dan pokok-pokok bertukar menjadi kayu yang rapuh. 

Rakyat hidup dalam kesengsaraan. Derita dalam kebuluran, membawa lebih banyak masalah kesihatan sehingga ke tahap meragut nyawa golongan kanak-kanak dan orang yang lemah. 

Atas hal itu, muncul golongan pengikut syirik dan khurafat yang memuja semangat langit untuk menurunkan hujan. Malah, mereka memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan korban bagi menjamu semangat langit agar berkenan menerima hajat mereka yang berkehendakkan kepada air hujan. 

Perkhabaran ini mendatangkan kemurkaan kepada Putera Akzaruddin untuk menentang golongan sesat sehingga sanggup meredah kepanasan mentari yang menyengat di luar istana bersama angkatannya. 

Dalam perjalanan menuju ke Banjaran Besar, tempat di mana tapak pemujaan itu berlaku, salah seorang pengikut Putera Akzaruddin jatuh tersungkur kerana tidak tahan dengan kepanasan yang melampau itu. Malahan, kebanyakan daripada mereka juga hampir kehilangan tenaga dan berada dalam keletihan yang luar biasa. 

"Kita berhenti rehat di sini dahulu," titah Putera Akzaruddin yang turut bersimpati melihat nasib orangorang bawahannya. 

"Tuanku lihatlah di hadapan kita ini. Asalnya tempat itu merupakan tapak sungai yang begitu jernih. Tetapi kemarau menukarkannya menjadi tanah yang keringkontang dan penuh dengan rekahan. Banyak tulang haiwan yang mati berselerakan di sini, tidak kurangnya juga rangka manusia." 

Panglima Pelenyap menunjuk ke suatu arah. Putera Akzaruddin membisu sayu dengan pemandangan yang menyayat hati ini. 

"Ampun tuanku. Patik pernah mendengar kawan patik bercerita, bahawa jika kita mengorek tanah dengan dalam, kita mungkin boleh berjumpa dengan punca air. Alang-alang kita sudah berada di depan sungai ini, apa kata jika kita cuba korek tanah sungai itu? Mana tahu kalau benar boleh dapat punca air," cadang seorang pengikut kepada Putera Akzaruddin. 

"Dengan cuaca begini dan tanah yang merekah begitu, hamba tak rasa ada air yang masih bersisa di bawah tanah," balas Panglima Pelenyap. 

"Benar seperti dikata Panglima Pelenyap. Perjalanan kita masih jauh. Jika membuang tenaga dengan harapan yang tidak pasti, pasti mengundang kekecewaan dan masalah kepada kalian," kata Putera Akzaruddin. 

"Kami tidak kisah, tuanku. Walaupun sekadar harapan, sekurang-kurangnya biar kami mencuba. Itu lebih baik berbanding kami menyesal kerana tidak mencuba." 

Putera Akzaruddin terdiam dan merenung satu per satu wajah pengikutnya yang sedang menanggung keletihan, tetapi berazam tinggi. 

"Baiklah. Tetapi beta tidak memaksa. Sekiranya penat, sila berhenti dengan serta-merta." 

Niat Putera Akzaruddin hanya tidak mahu menambah beban pengikutnya sahaja.Namun, pengikut Putera Akzaruddin begitu bersemangat. Secara bekerjasama mereka mengorek tanah di atas tapak sungai untuk mencari punca air. 

Apabila keletihan, mereka akan berehat sejenak sebelum kembali menyambung semula kerja. Lama mereka bekerja, masih tiada hasil yang dikehendaki. Putera Akzaruddin berasa pilu melihat kesungguhan mereka yang seperti tidak mahu berputus asa itu. 

"Sahabat-sahabatku, cukuplah setakat itu. Hamba tidak fikir ada air yang akan terpancar keluar dari tempat itu. Simpan tenaga kalian untuk perjalanan kita yang masih panjang ini," tegur Panglima Pelenyap. 

"Berikan kami sedikit masa sahaja lagi!" kata lelaki itu, sebelum .... 

Ktanggg!

Cangkul mereka seperti menghentak besi yang keras. Mereka saling berpandangan lalu mengorek dengan lebih berhati-hati lagi. Putera Akzaruddin juga bangkit dan mendekati kawasan itu dengan dahi yang berkerut dibasahi peluh. 

"Apa benda itu?" soal Putera Akzaruddin. 

"Kami akan cuba keluarkan." 

Tidak berlengah, mereka mengorek dengan lebih dalam lagi. Sehingga kelihatan sesuatu yang luar biasa di hadapan mata mereka.Sebuah kapsul kaca dengan bahagian atas dan bawahnya terdiri daripada besi yang begitu besar, terkandung cecair yang penuh di dalamnya. Lebih daripada itu, terdapat seorang manusia yang berada di dalamnya. Mereka semua memerhati dengan penuh curiga dan berjaga-jaga. 

"Adakah dia masih hidup?" soal Juris. 

"Mustahil. Tubuhnya tenggelam di dalam air. Mana mungkin dia dapat hidup lagi. Berdasarkan kepada kesan tanah ini, kelihatannya seperti dia juga sudah begitu lama tertanam di sini," balas Kahar. 

"Anehnya. Jika sudah begitu lama, mengapa tubuhnya langsung tidak mereput?" tanya Ismail pula. 

"Paling penting, adakah kita boleh memecahkan kaca ini dan minum air di dalamnya?" Soalan daripada Bashir mengundang pandangan terkejut daripada rakan-rakannya yang lain. 

"Hamba juga dahaga seperti tuan hamba, tetapi tidaklah tergamak untuk minum air daripada bekas mayat," kata Kahar disertai anggukan setuju daripada rakan-rakannya yang lain. 

Putera Akzaruddin terus merenung lelaki yang tersimpan dalam bekas kaca itu dengan dahi yang berkerut seribu. Wajah lelaki itu kelihatan amat tenang seperti bayi yang sedang tidur. 

Dengan air yang memenuhi ruang itu, semestinya tiada peluang lagi untuk lelaki itu bernyawa apatah lagi tempoh lelaki itu terkurung di bawah sungai ini mungkin memakan masa yang amat panjang. Tetapi, hatinya merasakan sesuatu tentang lelaki misteri itu. 

"Barangkali air ini merupakan pengawet yang mengekalkan bentuk badannya sehingga tidak mereput. Namun begitu, beta tidak rasa wajar untuk membiarkan dia terus tenggelam dalam bekas air ini. Pecahkan kacanya dan bawa mayat ini keluar. Kemudian, semadikannya semula di dalam lubang yang telah kalian korek itu sebagai penghormatan ke atas jasadnya," titah Putera Akzaruddin kepada pengikutnya. 

Tanpa membantah, mereka melakukan seperti yang dititahkan. Kaca itu begitu tebal sehingga begitu sukar untuk dipecahkan. Panglima Pelenyap bertindak menggunakan jurusnya dengan berhati-hati agar tidak turut menghancurkan jasad di dalam kapsul itu. 

Airnya tumpah bercucuran membasahi tanah selepas bekas itu berjaya dipecahkan oleh Panglima Pelenyap. Mereka hanya merenung air itu dengan seribu perasaan yang bercampur baur. Kekeringan di tekak hanya mampu ditahan dengan penuh keseksaan saat melihat air itu meresap ke tanah begitu saja. 

Jasad lelaki yang bertelanjang itu dibaringkan ke atas tanah. Selembar kain digunakan untuk menutup aib lelaki itu. Semasa Bashir membesarkan lubang yang telah mereka korek tadi, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Bulat mata Bashir cuba untuk mendapatkan kepastian. 

"A ... air ... air! Tuanku! Ada air di sini!" laung Bashir teruja. 

"Benarkah? Mungkin itu air yang tumpah dari bekas kaca tadi?" soal Putera Akzaruddin yang ingin mendapatkan kepastian walaupun wajahnya bersalut keterujaan. 

"Patik yakin ini air mata air! Lihatlah, tuanku. Air ini sedang mencurah keluar dari dasar tanah dengan begitu banyak!" beritahu Bashir dengan semangat. 

Rakan-rakannya terus mengerumuni tempat itu untuk mengesahkannya. 

"Alhamdulillah atas kurniaan-NYA!" 

Seraya itu, petir terus berdentum. Rintik-rintik hujan turun mencium bumi. Mereka semua terkedu dan berpandangan lagi. Tapak tangan dibuka, merasai titisan-titisan yang turun membasahi kulit mereka. Kegembiraan itu tidak dapat dibendung. Terus mereka semua berpelukan bersama air mata yang mengalir menyertai titisan hujan. 

 "Subhanallah. Rezeki demi rezeki. Sungguh, ALLAH itu Maha Pemurah," ucap Putera Akzaruddin penuh kesyukuran.

"Tuanku! Tuanku perlu lihat ini!" laung Ismail penuh kejutan. 

Lelaki yang sedang terbaring itu, yang sepatutnya sudah mati lemas di dalam balang kaca berisi air, sedang membuka matanya. Menimbulkan sangsi yang lebih mendalam kepada mereka. 

Panglima Pelenyap bersiaga di hadapan Putera Akzaruddin. Andai lelaki misteri itu bakal membawa musibah kepada mereka, nescaya tangannya akan bertugas untuk memusnahkannya tanpa sebarang ragu!  


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.