Home Novel Seram/Misteri PROJEK SERAM GUA (JIN)
PROJEK SERAM GUA (JIN)
Eqbal Mohaydeen
23/8/2019 23:39:40
14,076
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

Tahun 1942, Kampung Hujung Hutan, Selatan Perak...

 

SEKSANYA hidup di zaman Jepun hanya Tuhan yang tahu. Bermula detik Jepun menduduki Tanah Melayu, kehidupan seluruh penduduk seolah-olah tercampak ke dalam neraka. Bekalan makanan terputus dan hidup dalam kelaparan. Wanita-wanita ditangkap dan dirogol. Lelaki pula dikerah menjadi buruh paksa bagi menyiapkan landasan keretapi maut. Yang melawan selalunya diseksa dengan penuh kejam.


Seksaan paling lazim tentera Jepun adalah dengan memaksa meminum air hingga kenyang dan kemudian dipijak bertubi-tubi perutnya sehingga mati. Setiap hari ledakan bom dan letusan tembakan kedengaran. Nyawa terlalu murah pada waktu itu. Udara sentiasa dibungkus bauan belerang dan hangit. Hidup seluruh penduduk dipenuhi dengan tanda tanya sama ada mereka akan bertemu hari esok ataupun tidak.


Karim bermenung di jendela. Seminggu lalu, beberapa orang tentera Jepun menyampaikan arahan untuk mengosongkan sekolah lokasi dia mengajar. Sekolah itu bakal dijadikan markas tentera Jepun. Setiap guru terpaksa menurut biarpun hati membentak keras. Nasib anak bangsa bakal tergadai. Tetapi mereka tidak berupaya untuk menentang. Melawan berertimati. Mereka hanya mampu berdoa agar kesengsaraan itu segera berlalu. Hariterakhir sebelum sekolah ditutup, guru dan murid berendam air mata sebelum mengucapkan kata perpisahan. Masing- masing sedar kemungkinan itu pertemuan mereka untuk terakhir kalinya. 


“Abang.”


Karim menoleh.Salmah memeluk pinggang suaminya. Berlama-lama sebelum Salmah mendongak. Pandangan mereka bertemu. Mata Salmah berkaca.


“Salmah takut kita akan berpisah. Salmah takut,” luah Salmah. Air matanya mengalir lebat.


“ALLAH sedang menguji kita dan seluruh penduduk Tanah Melayu. Insya-ALLAH kita akan berjaya atasinya.” Karim bersikap tenang. Walhal hatinya turut diamuk gundah. Hidup mereka bagaikan telur di hujung tanduk.


Kedua-dua belah bahu Salmah digenggam Karim. “Kalau tentera Jepun datang ke rumah kita,aku mahu kau dan ibu selamatkandiri.”


“Tapi bagaimana dengan abang?” soal Salmah. Suara menggeletar menahan sebak.


“Jangan kaurisaukan aku, Salmah. Aku laki-laki. Aku tahu jaga diri. Ingat pesan aku,Salmah. Kau larikan diri ke tempat yang aku tunjuk dua hari lepas. Kau masih ingat bukan?”


Salmah mengangguk. Dua hari lepas, mereka berdua menyusup ke penghujung hutan dibelakang. Terdapat sebuah lokasi persembunyian yang terlindung daripada tenteraJepun. Lengkap makanan dan minuman yang telah disediakan oleh Karim.


“Tapi saya takmahu berpisah dengan abang. Abang berjanji yang kita akan bertemu semula andai apa-apa berlaku?” Salmah mendesak.


Karim merenung lama wajah Salmah. Bergelumang rasa sebak dan sedih di jiwa Karim. Kemudian, dia mengangguk.


“Aku janji akan pulang semula, Salmah,” ucap Karim, kemudian mengucup lembut dahi isterinya.


Mereka berpelukan seketika sebelum Karim meleraikan pelukan.


“Aku mahu keluar sebentar. Makanan di rumah kita sudah semakin sikit. Aku takut esok-esok tentera Jepun menggila di kampung ini, langsung bekalan makanan kita terputus,”ujar Karim.


Tanpa menunggu balasan daripada Salmah, Karim sudah mencapai parang tersisip di belakang pintu. Sebelum melangkah keluar dari rumah, dia merenung Salmah sekilas. WajahSalmah sugul.


“Hati-hati, bang.”


“Kunci rumah,” pesan  Karim lalu mula mengorak langkah. Dia tertinjau-tinjau memerhati sosok tenteraJepun sebelum berlari-lari memasuki hutan berdekatan.


Salmah menghantar pemergian Karim dengan debaran di dada. Hanya ALLAH yang tahu betapa gundah hatinya kala itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Eqbal Mohaydeen