Home Novel Seram/Misteri MAJLIS BULAN MENGAMBANG
MAJLIS BULAN MENGAMBANG
Amiene Rev
3/12/2017 04:06:59
8,376
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 02

BAB 02 – SI KAKI PANCING

PADA suatu ketika dahulu, ada seorang pemuda yang terkenal dengan hobinya memancing ikan di tepi sebuah sungai. Setiap pagi selepas subuh, dia akan berangkat pergi ke sungai tersebut. Dia akan memancing hinggalah ke waktu petang. Tidak kira dia dapat ikan atau pun tidak, dia akan tetap memancing dari pagi hingga ke waktu senja, sehingga matahari terbenam.

Suatu hari, seorang imam masjid tergerak hati untuk menemui pemuda tersebut.

“Maaf ya, nak. Tok tengok anak ni selalu duduk mengail dekat sini. Banyak dapat ikannya, nak?” Tok Imam tersebut menyapa pemuda itu.

“Tengok keadaanlah, Tok. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak.”

“Nak, sekejap lagi waktu Zohor. Jom ikut Tok ke masjid sekejap. Lepas ni, boleh memancing lagi. Moga-moga Allah murahkan rezeki.” Lembut nada Tok Imam mengajak pemuda tersebut pergi memancing.

“Maaf tok, saya dah janji tak boleh tinggalkan tempat ni sebelum matahari terbenam.” Pemuda itu kelihatan kurang senang dengan ajakan Tok Imam.

“Janji? Janji dengan manusia jangan sampai melanggar janji kita dengan Allah. Kenapa tak boleh tinggalkan tempat ni, nak?” Tok Imam kehairanan.

“Saya tak boleh nak jelaskan kepada Tok. Takut nanti, Tok marah.” Pemuda itu mula kelihatan gelisah.

“Kenapa nak? Kalau tidak mengaibkan, ceritakanlah. Kalau mengaibkan, berdoalah dengan Allah supaya diberi keampunan. Tok rasa, anak ni tak pernah buat salah apa-apa dengan Tok.” Tok Imam cuba menenangkan si pemuda kaki pancing yang kelihatan gelisah tersebut.

“Kalau saya tinggalkan tempat ni, nanti saya mati, Tok. Takut nanti Tok dituduh membunuh saya pula.” Berderau darah Tok Imam mendengar jawapan pemuda tersebut.

“Hidup mati itu di tangan Allah, nak. Tok tak faham macam mana anak ni boleh mati semata-mata tinggalkan tempat ni sekejap? Kalau semata-mata nak pancing ikan, ikan tu semua takkan lari, boleh datang balik pancing lepas solat Zohor nanti.”

“Maaf Tok, sebenarnya saya bukan pancing ikan, Tok.” Pemuda itu tertunduk malu.

“Kalau bukan ikan, apa yang anak ni pancing sebenarnya?” Berkerut dahi Tok Imam memikirkan apa yang sebenarnya dibuat oleh pemuda ini di sungai ini. Dia melihat ke langit, waktu Zohor sudah semakin dekat.

“Saya pancing jantung saya, Tok…” Jawapan pemuda itu membuatkan Tok Imam hampir-hampir rebah.

“Jantung?”

“Ya, Tok. Saya tak ada jantung tok. Kalau Tok tak percaya…” Pemuda itu membuka butang bajunya. Benar, terdapat lubang di bahagian dadanya, seolah-olah seperti dibelah dengan pisau yang tajam. Cuma ada paru-paru dan tidak ada jantung.

Melihat keanehan yang berlaku di depan matanya, Tok Imam pun rebah dan pengsan. Pemuda itu pun menarik kedua-dua belah tangan Tok Imam ke tepi semak. Dia mengeluarkan parang yang tersisip di pinggangnya, dibelahnya dada Tok Imam tersebut dan dikeluarkan jantungnya. Jantung Tok Imam yang masih berdenyut-denyut itu dimasukkan ke dalam dadanya sendiri.

Mayat Tok Imam itu kemudiannya diikat dengan tali dan batu besar yang memang sudah sedia ada di situ dan ditenggelamkan ke dasar sungai.

“Ikan-ikan pasti suka dapat rasa daging Tok Imam.” Pemuda kaki pancing itu ketawa berdekah-dekah. Darah masih berlumuran di kedua-dua tapak tangannya dibasuh begitu sahaja di tepi tebing sungai itu.

Pemuda itu terus memancing di situ seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Apabila matahari mula terbenam, pemuda itu pun berlalu pergi sambil bersiul-siul. Apabila bertembung dengan orang-orang kampung, dia cuma membalas salam atau mengangkat tangan sambil tersenyum tanpa sebarang perasaan risau.


KEHILANGAN Tok Imam mula disedari oleh orang-orang di masjid. Pada mulanya mereka ingat Tok Imam sakit, tetapi selepas menziarahi rumah Tok Imam, isterinya memaklumkan bahawa Tok Imam sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.

Orang kampung mula menghubungi pihak berkuasa dan siasatan pun mula dijalankan. Orang-orang kampung bertindak menubuhkan pasukan mencari. Memandangkan Tok Imam dikatakan kali terakhir dilihat keluar dari rumah untuk bersolat Zohor di masjid berdekatan beberapa hari lepas, maka laluan dari rumah hingga ke masjid itulah yang menjadi tumpuan siasatan pihak berkuasa dan orang kampung.

Ketika pemuda kaki pancing yang misteri itu sedang asyik memancing, datang dua orang ahli pasukan pencari Tok Imam kepadanya. Kedua-duanya masih muda, berusia sekitar 20-an.

“Bang, hari-hari kami nampak abang memancing di sini. Abang ada pernah nampak Tok Imam lalu di sini tak?”

“Tok Imam? Macam pernah…” Si kaki pancing menjawab dengan acuh tak acuh.

“Bila kali terakhir Abang jumpa dengan Tok Imam?” Sebaik-baik sahaja salah seorang pemuda itu bersuara, si kaki pancing menyorot pandangan matanya ke arah mereka berdua. Kedua-dua pemuda itu terdiam.

“Shh…. senyap. Senyap! Nanti ikan lari,” bisik pemuda kaki pancing tersebut.

“Bang… bila kali terakhir Abang jumpa Tok Imam?” Kali ini pemuda pasukan pencari itu bertanya dengan nada yang lebih perlahan.

“Ada dalam tiga empat hari lepas…” Si Kaki Pancing menjawab dengan nada selamba.

“Abang tahu tak ke mana Tok Imam pergi?” Bertubi-tubi soalan ditanya oleh kedua-dua pemuda tersebut.

“Tahu… tahu…” Si Kaki Pancing menjawab lagi. “Kau orang berdua nak jumpa dia tak? Aku tahu ke mana dia pergi.”

“Hmm… boleh juga, Bang. Semua orang dah risau ni. Kasihan isteri Tok Imam, dah berhari-hari tak lalu makan. Kalau Abang boleh tolong…” Belum sempat pemuda tersebut menghabiskan ayatnya, Si Kaki Pancing telah merodok parangnya ke perutnya, lalu ditarik keluar sehingga terkeluar usus pemuda tersebut.

Si Kaki Pancing memandang pemuda yang seorang lagi sambil tersengih. Pemuda itu kelihatan takut setengah mati. Dia cuba melarikan diri, tetapi tiba-tiba dia terasa ada satu benda tajam mencangkuk lubang hidungnya. Apabila pemuda itu cuba menarik benda yang tersangkut di lubang hidungnya, dia melihat tali tangsi. Rupa-rupanya mata kail yang dibaling oleh Si Kaki Pancing telah mencangkuk hidungnya.

“Ha! Ha! Ha! Aku dah dapat ikan! Ikan besar!” Si Kaki Pancing melompat-lompat kegirangan.

“Tolong, Bang! Kenapa Abang buat kami macam ini? Kami tak buat salah apa-apa, Bang!” Lelaki itu merayu-rayu kepada Si Kaki Pancing. Darah mengalir keluar dari hidungnya. Mata pemuda itu bergenang air mata. Pedih.

“Tak buat salah? Kau orang berdua bising-bising, habis lari ikan aku. Penat-penat aku pasang umpan guna usus Tok Imam. Kali ini biar kau orang berdua ganti rugi umpan aku. Usus tua Tok Imam memang liat, usus muda macam kalian berdua ni, ikan lagi suka.”

Selepas menikam dada pemuda itu dari belakang, seperti biasa, Si Kaki Pancing membelah dada kedua-dua pemuda tersebut dan mengambil jantung-jantung mangsa. Mayat kedua-dua pemuda itu ditenggelamkan dengan tali dan batu berat yang banyak terdapat di tepi sungai. Ternyata kudrat Si Kaki Pancing bukan kudrat manusia biasa. Dengan mudah sahaja dia mengalihkan batu-batu besar di tepi sungai itu.

Kemudian Si Kaki Pancing membaca mantera tertentu, yang tidak dapat difahami makna setiap perkataannya. Hujan pun turun mencurah-curah, membersihkan darah di atas tanah, mengalirkan bau hanyir darah ke sungai. Mayat Tok Imam yang sudah kembung masih terbenam di dasar sungai, kini ditemani dua mayat baru.

Sehingga kini, sesiapa yang berani menegur Si Kaki Pancing akan mati. Namun tidak ada sesiapa yang tahu ke mana perginya mangsa kerana setiap yang menyapa Si Kaki Pancing akan hilang begitu sahaja. Kata orang, Si Kaki Pancing masih ada di tebing sungai tersebut dan tidak suka diganggu oleh sesiapa pun kerana takut ikan-ikan yang hendak dipancingnya lari.

“Uish… seram cerita kau, Arip.” Budiman bersuara, memecahkan keheningan malam.

“Macam betul je cerita kau ni, Arip?” Giliran Kecik bersuara. “Mana kau dapat cerita ni?”

“Pakcik aku yang cerita dekat aku. Katanya cerita ni berlaku dekat kampung dia, lama dulu.” Arip menjawab dengan rasa bangga.

“Hm. Kita akan tahu cerita ni cerita betul atau tidak tak lama lagi.” Kata-kata Syukri itu membuatkan semua yang ada di situ mendiamkan diri.

Arip memandang wajah setiap seorang ahli-ahli Majlis Bulan Mengambang.

“Apa kau orang nak buat?”

“Apa-apa yang berlaku, macam biasa, kalian jangan berganjak dari bulatan ini.” Syukri bersuara lagi. “Kecik…”

“Si Kaki Pancing… betullah cerita Arip tadi?” Kecik membacakan mentera aneh. Ahli-ahli Majlis Bulan Mengambang turut sama membacakan mentera tersebut.

Arip mula berasa bimbang dan curiga. ‘Ini macam ajaran sesat!’

Tiba-tiba angin bertiup kencang. Nyalaan lilin bergoyang-goyang dan hampir padam. Bunyi angin kedengaran semakin kuat. Lilin pun terpadam, suasana menjadi gelap.

Dalam kegelapan itu, mereka berlima mendengar semacam bunyi tapak kaki orang melangkah menghampiri bulatan mereka.

“Si Kaki Pancing, kaukah itu?” Kecik memberanikan diri, bersuara. Lagaknya seperti dia sudah biasa berdepan dengan situasi-situasi paranormal sebegini.

Mereka berlima mendengar bunyi hembusan nafas. Terdapat satu lembaga hitam, kurus dan tinggi di belakang mereka.

“Ya...” Suara itu menarik nadanya sepanjang yang boleh sebelum diakhiri dengan gelak ketawa yang bernada garau dan menyeramkan. Kuatnya seperti bunyi meriam buluh meletup. Kecut jantung Arip mendengarnya.

“Adakah kau dari kampung pakcik si Arip?” Kecik bertanya lagi, dalam suasana gelap tersebut. Ahli-ahli yang lain, termasuk Arip masih berdiam diri.

“Ya…” Si Kaki Pancing menjawab setiap pertanyaan Kecik.

“Boleh tak kau jangan apa-apakan orang kampung lagi?” Kecik memberanikan diri membuat perundingan dengan Si Kaki Pancing.

“Hm. Kalau mereka tak kacau aku, aku tak kacau mereka.” Kali ini, Si Kaki Pancing menjawab dengan agak panjang.

“Tapi orang kampung tak menyusahkan kau pun?” Kecik menyatakan hujahnya.

“Mereka kacau aku, aku tak mahu orang datang jumpa aku!” Si Kaki Pancing bertegas.

“Habis, kenapa kau pancing ikan dekat situ? Orang boleh nampak kau,”

“Bukan salah aku! Dulu tempat itu hutan. Orang bina jalan, bina masjid, lalu situ. Nampak aku, ganggu aku.” Si Kaki Pancing semakin berkeras.

“Kenapa kau tak pindah?”

“Kenapa aku nak pindah, itu tempat aku!” Si Kaki Pancing menengking. Bilik itu terasa bergegar dalam kegelapan.

“Tiga hari lagi, kami akan cari kau, Si Kaki Pancing. Baik kau pindah sebelum kau bertemu sekali lagi dengan kami.”

“Aku tunggu... Aku tunggu kau orang semua, anak manusia!” Si Kaki Pancing ketawa berdekah-dekah. Bayang-bayang lembaga hitam itu berlalu pergi.

Tiba-tiba angin bertiup kencang. Syukri menyalakan lilin. Arip kelihatan pucat lesi.

“Siapa... siapa kalian semua ni? Apa kalian dah buat?” Arip menggigil ketakutan.

“Kitalah Ahli-ahli Majlis Bulan Mengambang Lima Bersaudara. Tugas kita memindahkan makhluk-makhluk yang memudaratkan manusia supaya tidak mengacau manusia lagi.”

“Apa? Aku ingatkan kumpulan ini kumpulan main-main?” Arip termengah-mengah menarik nafas. Dia betul-betul ketakutan.

“Apa sebab kau ingat kita semua ni main-main?” Pingun menjeling ke arah Arip.

“Kita semua ni kan budak-budak? Selalunya apa yang budak-budak buat, bukan perkara serius macam ini!” Arip beransur-ansur mahu meninggalkan mereka semua, tetapi cepat-cepat Pingun menarik tangan Arip.

“Jangan keluar dari bulatan ni Arip. Tu, lihat siapa di belakang tu? Dia masih tunggu kau, Arip! Tunggu kita semua!”

Arip memandang ke belakang. Kelihatan satu lembaga lelaki, siap memegang joran memandang mereka berlima sambil tersengih.

Rupa-rupanya Si Kaki Pancing belum mahu pergi. Dia berpura-pura sudah pergi, kerana mahu menunggu budak-budak berlima itu keluar dari bulatan yang dibuat.

“Jaga-jaga Arip, syaitan memang banyak muslihat. Kau jangan lurus bendul sangat.” Pingun bertegas.

Arip pengsan, hampir jatuh keluar dari bulatan garam dan lada hitam. Pingun cepat-cepat menarik badan dan kepala Arip dan diribanya.

Kelima-lima budak yang masih dianggap mentah itu terus berada di dalam bulatan tersebut. Bagaimana Kumpulan Majlis Bulan Mengambang tertubuh masih menjadi misteri. Kata orang, kumpulan ini berasal dari utara Semenanjung Malaysia. Kumpulan ini betul-betul wujud atau tidak, masih tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Cerita ini ditulis, untuk menyedarkan pihak-pihak tertentu bahawa ada sekumpulan budak yang telah terjebak dalam dunia paranormal, berunding dengan jin, ifrit dan syaitan sehingga mereka tidak dapat lari daripada dunia tersebut. Terperangkap dan memerlukan bantuan.

Mereka sehingga kini masih bersatu, sebagai lima bersaudara Majlis Bulan Mengambang.


Previous: BAB 01
Next: Bab 03

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.