Home Novel Seram/Misteri Pengabdian (Sudah Terbit)
Pengabdian (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 14:00:19
143
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Prolog1

Tahun 2011

SEGALA keperluan sudah disediakan di 'pentas' persembahan. Meja kecil yang sudah dialas dengan kain kuning itu dijadikan sebagai 'pentas' bagi acara ritual turun-temurun sebentar lagi. Akan ada yang dipersembahkan kepada semangat yang bakal dipuja. Tidak jauh di belakang meja itu pula kelihatan sekujur tubuh manusia berbungkus kain putih lusuh dan kotor.

Malam ini, bakal berlakunya gerhana bulan separa selama sejam 55 minit bermula jam 1.22 pagi dan dijangka akan berakhir pada 3.18 pagi waktu Malaysia. Dan gerhana itu dapat dilihat oleh penduduk Malaysia dan negara di sekitarnya.

Saat berlakunya gerhana bulan separa, akan menjadi malam yang keramat bagi mereka. Malam yang jarang-jarang berlaku. Malam yang paling dinanti-nantikan untuk melakukan apa-apa ritual mistik. Sama ada menyeru, memuja dan mengikat perjanjian dengan semangat yang dipuja bagi dipermudahkan segala urusan dan kesenangan hidup keluarga mereka sejak sekian lama.

Tiga batang lilin dinyalakan di atas meja. Dua batang di sudut tepi kanan dan kiri meja serta satu lagi dinyalakan betul-betul di atas tengkorak manusia yang dipuja sejak turun-temurun. Di hadapan tengkorak itu pula terdapat sebiji mangkuk berisi kemenyan yang sudah dibakar sejak tadi. Asapnya sudah lama memenuhi ruang tengah rumah.

Terdapat juga sebiji mangkuk berisi tujuh jenis bunga segar di atas meja itu. Bunga kenanga dan bunga melur adalah di antara bunga wajib yang perlu ada. Dan tidak ketinggalan sebiji mangkuk bersaiz sederhana yang diisi dengan beras kuning. Di tengah-tengahnya dicucuk dengan beberapa batang setanggi yang sudah dinyalakan. 

Gerhana bulan separa sudah sampai ke kemuncaknya. Tiga puluh peratus kawasan bulan sudah terhalang dengan bayangan bumi. Langit yang cerah membuatkan gerhana bulan separa malam ini dapat dilihat dengan jelas.

"Kamu dah bersedia?" tanya lelaki tua yang sejak tadi duduk bersila di tepi meja kecil beralaskan kain kuning itu.

Insan yang duduk di hadapan lelaki tua itu kelihatan serba salah. Seolah-olah tidak yakin dengan apa yang bakal berlaku sebentar lagi. Kegelisahan sejak tadi. 

"Kita tak boleh berlengah lagi. Ini aje cara untuk kau dapatkan apa yang kau inginkan. Selepas malam ini, aku yakin hidup kau akan lebih senang dan akan berubah sepenuhnya. Kau akan miliki sepenuhnya apa yang kau inginkan. Aku jamin. Dan bila tiba masanya nanti, kau pula akan melakukan hal yang sama pada yang sepatutnya," ujar lelaki tua berbaju serba hitam itu lagi apabila insan di hadapannya terus mendiamkan diri.

Gerhana bulan separa tidak selalu dapat dilihat di negara ini. Andai mereka terlepas mengikat perjanjian itu, entah bila lagi mereka akan bertemu dengan malam yang penuh keramat ini.

Insan itu terus diam. Hatinya berbolak-balik. Perlukah dia meneruskan semua ini?

Next: Prolog2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.