TINGKAT ENAM
I balik dululah. Tunang I dah tunggu
tu.”
Rizal tersentak apabila terdengar suara Maya yang muncul tiba-tiba.
Matanya tidak berkelip memandang ke arah gadis itu. Tubuhnya langsing dan
tinggi. Rambutnya yang panjang disanggulkan ke belakang menampakkan lehernya
yang jinjang dan putih bersih. Kebaya yang tersarung ditubuh gadis itu
menampakkan lagi potongan bentuk badannya. Ketika gadis itu melintasi meja
Rizal, aroma minyak wangi lavender menyengat hidungnya. Gadis itu
melenggok-lenggokkan tubuhnya ketika berjalan. Mampu mengoda sesiapa sahaja
yang melihatnya.
Dipintu kaca pejabat kelihatan seorang lelaki bertubuh sederhana
sedang menunggu Maya. Segaris senyuman menghiasi bibir lelaki itu tatkala Maya
berdiri didepannya. Langsung kedua-dua mereka beriringan meninggalkan pejabat.
Rizal sekadar memerhatikan saja tanpa bersuara.
Sedar-sedar dia terdengar bunyi orang berdehem. Lantas dia
memalingkan mukanya memerhati ke arah rakan sekerjanya, Anuar yang sedang
tersenyum perli padanya.
“Jangan tengok lama-lama brader. Tunang orang tu. Haru jadinya
nanti,” usik Anuar.
Rizal tersenyum kelat. Dimeja sebelah Anuar, Megat dan Arfina yang
sedang membincangkan sesuatu tadi turut sama tersenyum sumbing ke arahnya.
Kulit pipi Rizal merona merah kerana menahan malu.
Bukan niat dia untuk melihat Maya sampai terjojol biji matanya. Cuma
dia tidak mampu untuk mengelakkan dirinya dari terus memandang gadis itu setiap
kali mereka bertemu. Seperti ada satu aura yang memaksa dia berkelakuan begitu.
Memang dia akui yang Maya punya daya penarik. Bohonglah dia kalau dia tidak
tertarik pada gadis itu. Gadis itu memang cantik. Kulitnya putih dan bersih.
Renungan matanya galak. Bila tersenyum hati lelakinya mudah cair.
“Untunglah tunang Maya tu,” sakat Megat tiba-tiba.
Perbincangan dia dengan Arfina tadi mati dengan tiba-tiba. Alih-alih
topik Maya pula yang timbul.
“Orang punya,” Anuar bersuara dengan wajah selamba.
“Puja macam mana pun dah jadi milik orang. Nak buat macam mana,”
sambungnya lagi.
Rizal tersengih apabila mendengar ucapan itu.
“Tulah sebabnya kenapa aku cakap tunang dia tu untung. Kalau aku memang
aku dah tak lepaskan lagi,” ujar Megat sambil tersengih-sengih dimejanya.
Arfina memandang Megat lelaki itu dengan riak cemburu.
“Heh... kau orang ni dah tak ada kerja lain ke? Ni kerja yang
melambak-lambak ni siapkan dulu. Esok tak pasal-pasal kena bambu dengan bos,”
kata Arfina sambil mengetuk meja dengan tangannya.
Rizal, Anuar dan Megat saling berpandangan sebelum mereka
menghamburkan ketawa masing-masing.
Rizal memberikan tumpuan pada kerjanya semula. Dia baru saja tiga
minggu bekerja di syarikat pengiklanan itu. Masih banyak yang perlu dia tahu
dan belajar. Biarpun dia adalah graduan lulusan dalam bidang itu, namun dia
masih mentah lagi dengan suasana alam pekerjaan.
Masih ada lagi kakitangan di syarikat itu yang dia belum kenal dan
mesra. Memang dia akui dia merasa kekok dengan keadaan di dalam pejabat itu.
Mujurlah Megat dan Anuar sering memberi tunjuk ajar padanya. Malah kedua-dua
lelaki itu amat ramah dengannya. Mereka juga tidak lokek jika dia meminta
pertolongan. Apa yang tidak diketahui olehnya, mereka akan beritahu dengan
jujur. Tidak keterlaluan jika dia menganggap kedua-duasenior itu
bagaikan abang padanya.
Ruang di pejabat itu kembali sepi. Sesekali cuma kedengaran bunyi
papan kekunci komputer ditekan. Megat dan Arfina menyambung semula perbincangan
mereka. Siang tadi mereka diberitahu bahawa pelanggan mereka tidak berpuas hati
dengan pembentangan cadangan pengiklanan mereka. Mahu atau tidak terpaksa pula
mereka memerah otak mencari idea yang lebih bernas. Lantaran kerana itulah mereka
terpaksa bekerja hingga ke malam. Hal ini termasuklah Rizal sendiri.
Rizal melirik ke arah jam tangannya. Sudah jam 9.00 malam, desis
hatinya. Sekilas dia memandang ke arah rakan-rakan sekerjanya yang lain. Anuar
masih leka mengadap komputer. Megat dan Arfina masih rancak berbincang. Kamal
yang duduk dihujung pejabat masih seperti tadi. Seolah-olah tidak terganggu.
Latifah saja yang sesekali bergerak dari mejanya ke meja Kamal.
Rizal mula diasak dengan rasa bosan. Bila nak balik ni? Gumamnya
didalam hati.
Kepalanya dilentokkan ke kiri dan ke kanan. Dia meregangkan
urat-urat badan yang terasa lenguh. Serta-merta dia merasakan tubuhnya dijajah
dengan rasa lesu. Sekali lagi Rizal meliarkan pandangannya.
Rizal bangkit dari kerusi sambil menonong menuju ke arah pintu
pejabat. Anuar mengangkat kepala dan menyapa lelaki muda itu.
“Nak ke mana tu?”
Rizal menoleh.
“Toilet jap,” jawab Rizal.
Anuar tersengih dan tunduk kembali memandang ke arah skrin
komputernya.
Rizal berjalan menuju ke arah hujung bangunan di mana terletaknya
bilik air. Sepanjang laluan itu sunyi. Kebanyakan syarikat yang menyewa di aras
itu sudah menutup operasi mereka. Pekerja-pekerja di aras itu sudah lama
pulang. Hanya tinggal dia dan teman-temannya saja yang masih lagi terperuk di
dalam pejabat untuk menyudahkan kerja yang masih lagi belum beres.
Pangkal lehernya ditepuk-tepuk lagi. Terasa tegang dan sakit.
Bibirnya terherot menahan pedih.
Rizal terdengar bunyi tapak kaki berlari naik melalui tangga.
Sejurus kemudian dia ternampak kelibat seseorang berpakaian seragam sedang
mendaki tangga menuju ke tingkat atas dalam keadaan yang tergesa-gesa. Malas
dia hendak ambil pusing. Lelaki tadi pun langsung tidak menoleh ke arahnya.
Entah apa yang dikejarnya, Rizal tidak tahu. Dan sememangnya dia tidak mahu
ambil tahu.
Selesai dia membuang hajatnya dia kembali semula ke pejabat.
Dilihatnya Anuar masih seperti tadi. Tekun mengadap komputer di meja. Begitu
juga dengan Megat. Arfina sudah kembali ke mejanya. Kamal tidak kelihatan.
Manakala Latifah masih lagi berdiri di sisi meja Kamal sedang meneliti sesuatu.
“Kamal mana?” Rizal bertanya pada Anuar.
Sekilas Anuar menoleh ke arah meja lelaki itu.
“Dia turun pergi beli makan. Alah... lupa aku nak suruh dia beli
untuk engkau.”
Dahinya ditepuk dengan kuat membuatkan Rizal tersengih.
“Tak apalah bang. Lagipun kerja saya bukannya banyak lagi. Tinggal
sikit aje lagi tu. Kejap lagi habislah. Nanti sayapassing
pada abang,” ujar Rizal sambil melabuhkan punggungnya dikerusi.
Anuar mengangguk.
Tanpa membuang masa lagi, Rizal segera menghabiskan kerjanya.
Sesekali suara Megat dan Latifah mencelah. Adakalanya suara Arfina turut sama
menganggu. Pun begitu tumpuannya tidak terjejas. Tekun dia menyudahkan
kerjanya.
Seboleh-bolehnya dia ingin lekas-lekas pulang ke rumah. Apatah lagi
tubuhnya semakin berlengas. Biarpun duduk terperap di dalam pejabat berhawa
dingin namun badannya tetap dirasakan seperti melekit dan rimas. Semuanya
gara-gara tidak mandi petang.
Rizal menutup komputernya. Kemudian dia memandang pada Anuar.
“Bang, ni hah.”
Dia menghulurkan sekepingdisc pada lelaki itu.
“Kau simpanlah. Esok aje abang sambung. Abang punya ni belum siap
lagi. Takut hilang pulak,” ujar Anuar sambil melirikkan matanya ke arah mejanya
yang bersepah dan tidak tersusun.
Rizal menyimpandisc tadi ke dalam laci mejanya.
“Saya balik dululah bang,” ucapnya sambil menyangkutkan beg
sandangnya dibahu. Segera bangun.
“Emm... iyalah,”
Anuar langsung tidak mengangkat mukanya.
“Dah nak balik Zal?” tegur Megat.
Panjang lehernya memandang Rizal. Rizal menoleh dan tersenyum.
Tangannya diangkat tanda perpisahan mereka malam itu.
“Baik-baik jalan tu. Hujan ni.” Arfina memandang sambil tersenyum.
Rizal sekadar tersengih. Kemudian dia bergerak menuju ke pintu
pejabat.
Rizal bergerak ke arah lif di sudut bangunan. Butang ditekan dan dia
menunggu pintu lif terbuka.
“Eh... dah nak balik ke?”
Kamal terpacul sebaik sahaja pintu lif ternganga. Ditangannya
terpegang kemas beg plastik yang berisi polisterin makanan.
“Ya bang. Kerja saya pun dah habis. Balik dululah,” ujar Rizal
sambil tersengih.
“Lah... abang ada belikan kau nasi ni. Ni siapa pulak yang nak makan
ni,” gerutu Kamal dengan dahi berkerut.
Rizal ketawa kecil.
“Kenapa abang belikan untuk saya tadi. Saya tak pesan pun?”
“Memanglah kau tak pesan. Tapi masa abang beli tadi abang
teringatkan kau. Tu yang abang belikan. Tak tahu pulak kau nak balik,” ujar
Kamal separuh kesal.
“Dah tu nak buat macam mana ni?” soal Rizal. Dia meraba tengkuknya
dengan tangan. Beg sandang yang terlondeh dibetulkan agar tidak jatuh.
“Tak apa. Kau ambil satu bawak balik. Boleh makan kat rumah nanti,”
usul Kamal.
“Hisy... tak mahulah bang.”
“Eh... apa pulak yang tak mahunya ni. Ambillah. Tak ada siapa yang
nak makan ni. Membazir aje nanti. Nah ambil satu,” arah Kamal segera mengambil
bungkusan polisterin di dalam beg plastik.
Rizal terpaksa menahan pintu lif yang hampir tertutup. Cepat-cepat
dia menyambar bungkusan dari tangan Kamal. Kemudian dia melangkah masuk kedalam
lif sambil mengucapkan terima kasih.
Rizal diam sambil memerhatikan butang lif bergerak menuju ketingkat
bawah. Terasa sunyi pula bersendirian di dalam lif. Entah kenapa belakang
tengkuknya terasa kembang semacam. Perasaannya mula merasa tidak enak.
Fikirannya diamuk dengan pelbagai usikan yang tidak menyenangkan. Sedaya-upaya
dia cuba menghalau perasaan aneh itu pergi. Perasan aku aje, gumamnya di dalam
hati. Kalau berseorangan selalunya memang macam inilah, bisik hatinya sendiri.
Pintu lif terbuka, Rizal melangkah keluar. Bunyi tapak kasutnya yang
berlaga dengan mamar lantai kedengaran jelas. Beg sandangnya yang rebeh di bahu
dibetulkan lagi. Ruang lobi itu juga diselimuti dengan sepi. Bahagian penyambut
tetamu dibawah kosong. Malam-malam begini memang tidak ada sesiapa berada di
situ. Di ruang berdekatan dengan pintu besar berdiri seorang pengawal
keselamatan lelaki. Tubuhnya sasa dan berkumis tebal. Langsung tidak
mengendahkan akan kehadirannya. Sesekali kayu cota yang tersisip kemas
dipinggangnya diraba dengan tangan. Di satu sudut kelihatan dua lelaki sedang
berdiri sambil berbincang. Nampak asyik sekali bercerita.
Rizal terus melangkah.
Tiba-tiba langkah kakinya terhenti. Jeritan suara seorang wanita
menarik perhatiannya. Dia lantas memandang ke arah luar bangunan melalui
dinding kaca. Seorang wanita terduduk sambil meraung sekuat hatinya. Seperti
histeria.
Rizal cemas. Apa yang berlaku? Dadanya berdebar sendiri. Dalam
keadaan terkejut dia tercangak-cangak sendiri.
Dilihatnya pengawal keselamatan tadi bergegas berlari keluar sambil
diekori oleh dua orang lelaki tadi. Apa yang berlaku diluar sana? Hatinya masih
lagi dipalu dengan soalan yang sama. Rizal terpaku sendiri. Sepasang kakinya
bagaikan melekat kuat di lantai. Sendi-sendinya terasa lemah.
Salah seorang dari lelaki tadi dilihatnya sedang mententeramkan
wanita yang terduduk ditepi bangunan. Manakala dua orang lelaki tadi sedang
bertinggung sedang memerhatikan sesuatu tidak jauh dari situ. Ada apa? Terdetik
pertanyaan itu di dalam kolam hatinya. Rasa ingin tahu meluap-luap di dalam
hatinya. Rizal mengorak langkah ingin melihat dengan mata kepalanya sendiri apa
yang telah berlaku.
“Seorang lagi,” ujar seseorang.
Tiba-tiba langkah kakinya terhenti. Dia menoleh dan mendapati
seorang lelaki berperut gendut dan berpakaian pengawal keselamatan berdiri
dibelakangnya. Mata lelaki itu tidak memandang ke arahnya sebaliknya dihalakan
pada dua lelaki yang masih lagi bertinggung di luar bangunan. Rizal terpana
dengan kata-kata dari lelaki tadi. Apa maksudnya? Hatinya bertanya sendiri.
“Macam tulah. Masuk yang ini dah lima orang alami benda yang sama,”
ujar pengawal keselamatan itu.
Seperti tahu dengan apa
yang ada di dalam fikiran Rizal, lelaki itu bersuara dengan lembut. Sejurus
kemudian dia menghembuskan nafasnya dengan perlahan. Wajahnya keruh dan murung.
Rizal terpasung sendiri. Lelaki berperut buncit itu direnungnya dari atas
hingga kebawah.
“Tempat ni memang keras. Tak elok,” ucap lelaki itu dengan suara
yang ditekan ke dalam.
Sejenak wajahnya yang agak bulat itu menjadi separuh pucat.
“Keras?” ujar Rizal perlahan.
Lelaki itu mengangguk. Sekilas dia memandang ke arah Rizal sebelum
melepaskan kembali pandangannya ke arah luar.
“Tempat ini berpuaka. Dari dulu lagi memang macam tu,” sambung
lelaki itu.
Rizal melirikkan matanya pada tanda nama lelaki itu. Tertulis
namanya Kadir.
Orangnya bertubuh agak rendah. Perutnya buncit dan bulat. Rambutnya
kerinting halus dan berkulit cerah. Janggut halus sejemput dihujung dagunya.
Keningnya agak tebal.
“Abang dah lama ke kerja sini?” soal Rizal.
Sekilas Kadir melirik ke arahnya. Kemudian dia membuahkan senyum
nipis. Senyum yang mengandungi rahsia pada perkiraan Rizal. Satu senyuman yang
sukar untuk ditafsirkan.
“Lama tu taklah lama tapi abang tahu serba sikit pasal tempat ni,”
ujarnya lagi.
Entah kenapa Rizal merasa tertarik.
“Setahu abang tak ramai yang suka kerja di sini. Lebih-lebih lagi
waktu malam. Kalau siang hari pun ada yang kena ganggu, inikan pulak malam,”
ujar lelaki itu lagi.
Sekali lagi dia mengerling ke arah Rizal.
“Kamu baru kerja sini ke?” soalnya pada Rizal.
Teragak-agak pemuda itu mengangguk.
“Baru tiga minggu bang,” jawab Rizal jujur.
“Memang banyak benda yang kamu tak tahu,” ucapnya lagi dengan wajah
yang yakin.
“Maksud abang?”
“Macam-macam ada. Semuanya pelik-pelik dan menakutkan.”
Rizal menelan air liurnya sendiri. Pelbagai andaian buruk merasuk
mindanya kala itu. Imej-imej buruk dan menakutkan menghantui fikirannya.
Belakang tengkuknya terasa kembang semacam. Bulu roma dilengannya juga berdiri
tegak dengan tidak semena-mena.
“Bangunan ni berhantu ke bang?”
Rizal meliarkan bola matanya. Segenap ruang lobi diperhatikan dengan
rasa was-was.
“Dengar cerita macam tulah. Tapak bangunan ni dulu pun tak elok.”
“Maksud abang?”
Rizal diterkam dengan rasa cemas.
“Dengar cerita dulu masa bangunan ni didirikan memang dah ada orang
mati kat sini.”
Rizal menelan lagi rengkungnya jauh ke dalam.
“Bila bangunan ni siap macam-macam benda jadi. Contohnya macam yang
di luar tu. Mati jatuh bangunan,” sambung Kadir lagi.
Di luar bangunan orang ramai sudah mula berkumpul di situ. Ada yang
berpatah semula kerana tidak sanggup melihat keadaan mayat yang terbaring
diatas jalan. Ada yang menekan perut, ada yang menutup mata setelah menyaksikan
rupa mangsa di situ. Hati Rizal diburu dengan rasa tidak enak.
Mulanya memang dia berniat untuk melihat apa yang berlaku diluar
tadi. Namun setelah mendengar kata-kata Kadir tadi, dia mematikan saja niatnya
itu. Bimbang juga buatnya dia tak dapat lelapkan mata kerana badi si mati.
Siapa yang nak tanggung, bisik hatinya sendiri. Tak ada penyakit cari penyakit,
hatinya mengomel lagi.
“Ni tak lain tak bukan kerja perempuan tu lah.”
Rizal tersentak apabila suara Kadir mencecah cuping telinganya
tiba-tiba.
“Perempuan?”
Kadir mengangguk.
“Ya... perempuan. Kerja siapa lagi kalau bukan dia.”
“Abang kenal ke dengan perempuan tu?”
Sejenak Kadir berkalih memandang Rizal. Kemudian dia tersengih
seolah-olah mengejek pemuda itu.
“Abang tak pernah kenal dan jumpa perempuan tu. Tapi abang pernah
dengar cerita pasal dia. Memang semua ini kerja dia. Bukan orang lain lagi.
Malanglah kalau sesiapa yang jumpa dengan perempuan tu,” ujar Kadir kemudian
nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum melepaskannya dengan perlahan.
Rizal kaku. Tercegat bagaikan patung. Pun begitu ada sesuatu menarik
perhatiannya dengan kisah itu. Dalam ketakutan terselit rasa seronok pula. Lalu
dia terus memasang telinganya dengan berhati-hati. Beg sandangnya yang
terlondeh dibetulkan lagi.
“Budak-budak sekuriti selalu jumpa dengan perempuan tu. Orang lain
payah. Sebab dia selalunya muncul waktu malam.”
Kadir memandang tepat ke anak mata Rizal. Renungan itu tajam seperti
mengancam keselamatan dirinya. Pemuda itu mengawal emosinya yang mula
terganggu.
“Kawan abang pun pernah jumpa dia.”
“Habis tu?” suara Rizal kedengaran bergetar.
“Nasib dia sama dengan nasib orang yang baru jatuh di luar tu.”
Kata-kata Kadir itu menyentap semangat Rizal.
Hampir saja dia rebah ke lantai. Lututnya terasa longgar. Tangannya
sedikit mengigil.
“Mati,” sambungnya sambil tersengih.
Rizal meraup wajahnya yang mula berpeluh. Senyuman di bibir Kadir
langsung tidak mampu mendamaikan hatinya yang makin di landa gundah gulana.
“Macam ni ceritanya...”
Kadir memandang ke arah Rizal dengan wajah yang agak tegang.