Mustafa mengerling kearah jam dipergelangan tangannya. Waktu
menunjukkan hampir pukul 12 malam. Lobi yang luas itu diterpa dengan kesepian.
Matanya diliarkan memerhati kawasan sekitar. Udara sejuk yang ada diruang itu
berterusan menerpa ketubuhnya. Sesekali lelaki itu mengigil kecil. Sejenak dia
memerhatikan pula kearah ruang pejalan kaki disudut kanan. Bayang Samsir tidak
juga kelihatan. Apa yang dia buatnya lama-lama dalam tandas? Seranahnya didalam
hati.
Apabila terasa bosan Mustafa berdiri dan mundar-mandir didepan meja.
Bunyi tapak kasutnya yang berlaga dengan marmar lantai jelas kedengaran
mencucuk cuping telinganya. Waktu-watu begini dia memang sering diasak dengan
rasa bosan. Adakalanya seperti tidak tertanggung. Memikirkan yang orang lain
sedang enak dilambung mimpi disebalik selimut tebal dirumah, hatinya menjadi
cemburu. Dia akui dia sendiri memang sedang laparkan bantal dan selimut.
Mustafa mengeluh lalu kepalanya digeleng-gelengkan.
Derap tapak kaki menghampirinya menarik perhatian. Mustafa menoleh.
“Apa kau buat lama-lama dalam toilet tu?” dia bertanya dengan wajah separuh
tegang.
“Alah... bukannya lama sangat pun. Kau kenapa?” soal Samsir
tersengih.
“Tak ada apa-apalah,” sengaja Mustafa menyembunyikan rasa
gementarnya. Berdiri lama-lama diruang lobi itu memang menakutkannya.
Lebih-lebih lagi bila berseorangan.
Pelbagai cerita kurang enak yang pernah dia dengar selama ini
membuatkan dia merasa tidak senang apabila ditinggalkan sendirian. Walau pun
dia akui yang dia masih belum lagi tersertempak dengan sesuatu yang buruk,
namun itu tidak menjanjikan yang dia sentiasa selamat. Mengenangkan itu bulu
roma dilengan dan belakang tengkuknya berdiri tegak dengan tidak semena-mena.
“Ni time kau pulak ronda,” ujar Samsir. Lelaki itu sudah pun
melabuhkan punggung dikerusi. Sesaat telaga mata masing-masing bertaut.
Sepasang bibir milik Mustafa tertutup rapat. Tekaknya menjadi kering.
Kerongkongnya juga terasa sakit. Kesat. Payah dia hendak menelan air liurnya
sendiri.
“Kau je lah gantikan tempat aku. Badan aku ni macam rasa tak sedap,”
sahut Mustafa teragak-agak.
“Tak sedap badan?” ada renungan sinis bermain dikolam mata Samsir.
“Macam nak demam?” sambung pria itu lagi sambil tersengih.
Mustafa tidak menyahut. Diam seribu bahasa.
Samsir tahu itu cuma alasan Mustafa saja. Tidak lebih dari itu. Apa
yang hendak ditakutkan oleh lelaki itu? Fikir Samsir. “Kenapa pulak dengan kau
ni?” soal Samsir apabila melihat rakannya itu teragak-agak untuk bergerak.
“Entahlah,” sedaya upaya Mustafa menyembunyikan keresahannya. Pun
begitu perasaannya bagaikan dipalu-palu dengan rasa cemas. Makin dia cuba untuk
mengawalnya, makin galak pula rasa takut itu datang mengacah.
“Dah... jangan nak jadi budak-budak. Tak ada apa-apa pun. Pergi,”
suruh Samsir yang sememangnya tidak mahu melayan karenah Mustafa. Kalau dibagi
muka, nanti makin menjadi-jadi pula lemak sahabatnya itu, rumusnya didalam
hati.
“Iyelah...,” lalu dengan rasa berat hati Mustafa meninggalkan lobi.
Dengan rasa terdera dia melangkah mendekati lif. Butang ditekan dan sejurus
kemudian pintu lif ternganga. Samsir yang duduk dikerusi dibahagian sudut tepi
pintu bangunan memerhatikan kearah Mustafa dengan pandangan kosong. Sewaktu
pintu lif tertutup rapat, Mustafa menarik nafas panjang. Keresahan yang melanda
hatinya cuba dihalau pergi.
Satu demi satu tingkat bangunan diperiksanya dengan berat hati. Rasa
seram makin menjadi-jadi. Entah kenapa dia terasa lain benar malam ini.
Malam-malam sebelum ini tidak pula dia merasa secemas ini. Ada apa-apa yang
tidak baik bakal menimpanya? Pertanyaan itu mengasak lubuk hatinya. Ya...
Allah, janganlah ada benda-benda tak elok berlaku pada aku, dia memanjatkan
doanya. Rasa tidak tenteram tetap tidak dapat disisih pergi.
Ditingkat empat Mustafa menjengahkan kepalanya dari pintu lif kearah
ruang pejalan kaki. Sememangnya dia melakukan rondaan seperti itu. Tidak kuasa
untuk dia memeriksa semuanya dengan teliti. Memadai melihat keadaan tidak
mencurigakan sudah cukup baginya. Lagi pun bukan satu dua tingkat yang mahu
diawasinya. Satu bangunan! Takkan dia larat, hatinya bergumam sendiri. Segera
butang ditekan dan menanti pintu lif ditutup semula.
Ketika pintu lif hampir tertutup, telinganya menangkap bunyi yang
muncul dengan tiba-tiba. Bunyi derap kaki berjalan memancing perhatiannya.
Pantas pintu lif dibuka semula. Kembali dia menjengahkan kepalanya. Ruang
pejalan kaki itu kosong. Dada Mustafa berdebar-debar. Rengkungnya ditelan jauh
kedalam. Kulit mukanya pucat. Tubuhnya dirasakan dingin semacam. Bola matanya
terus diliarkan lagi.
“Hello,” dia menyeru perlahan. Lama dia menunggu tidak juga dia
melihat ada sesiapa disitu. Gila!
Bisik hatinya sendiri. Malam-malam buta begini, mana ada orang! Lantas butang
ditekan lagi. Ketika pintu lif hampir tertutup rapat Mustafa terdengar bunyi
pintu ditangga kecemasan dihempas dengan kasar lalu disertai dengan bunyi tapak
kaki berlari ketingkat atas. Gasak engkaulah! Aku tak kuasa nak layan.
Ketakutan menguasai diri dan fikirannya.
Butang lobi ditekan dan dia ingin segera keluar dari situ.
Samsir tersentak apabila Mustafa muncul dengan tiba-tiba. “Eh...
kejapnya kau ronda?” soal lelaki itu dengan dahi berkerut.
Mustafa tidak menjawap. Sebaliknya dia menghenyakkan punggungnya dan
bersandar. Wajahnya pucat. Tubuhnya mengigil kecil. Peluh menitik didahi.
Matanya merenung kosong kedepan.
“Mus? Kau kenapa?” Samsir mula merasa tidak sedap hati.
Mustafa terus membatukan diri. Seolah-olah dia mamai dan tidak tahu
apa yang berlaku. Hanya tangan dan kakinya saja kelihatan mengigil
sekejap-sekejap. Samsir menyentuh bahu Mustafa dan serentak itu rakannya itu
terkejut. Mulutnya terlopong. Sepasang matanya terbelalak besar.
“Mus...kau kenapa ni Mus?” Samsir dapat mengesani ada sesuatu yang
tidak kena menimpa sahabatnya itu.
Mustafa hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Namun sepatah haram
pun dia tidak bersuara. Hanya bibirnya saja nampak bergerak-gerak. Suaranya
bagaikan tersekat dikerongkong. Samsir makin diasak rasa tidak enak. Dia pasti
benar ada sesuatu berlaku tadi.
Samsir mencapai botol air mineral lalu dibacakan selawat. Segera dia
meminta agar Mustafa meneguknya sedikit. Samsir menunggu perubahan pada teman
sekerjanya itu.
Mustafa menarik nafas panjang. Baru dia dapat mengawal emosi dan
perasaannya sendiri. Pun begitu ketakutan masih bersisa lagi menguasai fikiran
dan tubuhnya. Samsir pula mampu menarik nafas lega melihat wajah Mustafa segar
semula. Kalau Mustafa masih berkeadaan seperti tadi, apa yang boleh dia buat?
Dia bukannya tahu apa-apa pun. Selama ini pun dia tidak pernah menghadapi
situasi seperti ini. Tidak ada pengalaman langsung.
“Kau kenapa Mus. Tiba-tiba aje macam ni. Muka pulak tu nampak pucat
tadi,” sela Samsir perlahan.
Mustafa menelan rengkungnya lagi. Fikirannya berputar-putar
mengerahkan agar dia mengingati apa yang berlaku tadi. Dia seolah-olah bagaikan
terjaga dri lena. Fikirannya kosong. Sesaat dua dia seakan-akan tidak mampu
untuk mengingati apa yang terjadi.
“Aku dengar bunnyi tadi,” ucapnya perlahan-lahan. Mendongak
memandang Samsir.
“Bunyi apa?”
“Tapak kaki.”
“Tapak kaki? Siapa?” lama Samsir menentang anak mata Mustafa.
Mustafa menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak ada sesiapa.”
Hantu! Itu yang terjemah dalam tempurung kepala Samsir ketika itu.
Kalau terdengar bunyi tapak kaki tapi tiada sesiapa apa lagi kalau bukan hantu?
“Lepas tu aku dengar bunyi pintu terhempas,” sambung Mustafa dengan
suara yang bergetar.
“Dekat mana?”
“Tingkat empat. Masa tu aku dalam lif.”
“Tu yang kau terus turun tu?” soal Samsir.
Mustafa angguk. Kepalanya ditundukkan kebawah. Jelas badannya masih
mengigil lagi. Air mineral diteguk lagi. Cuba mengapai semangatnya yang hilang.
Samsir yang berdiri melipat tangannya kedada. Benaknya asyik benar
memikirkan akan cerita Mustafa itu. Menimbang dengan neraca kewarasannya.
Antara hendak percaya dengan tidak saling tindih menindih dalam kotak
fikirannya.
Atau itu hanya mainan perasaan Mustafa? Maklumlah bila berseorangan
macam-macam perkara boleh dibayangkan. Benda yang tidak wujud pun boleh
dikatakan ada. Kemungkinan itu bersarang pula dalam mindanya. Samsir
terperangkap dalam mencari jawapan. Mustafa yang masih duduk dikerusi
dikerlingnya lagi.
“Kau tunggu sini,” dengan tidak semena-mena Samsir bergerak.
“Kau nak kemana Sam?” terkejut Mustafa dengan tindakan rakannya itu.
“Kau tunggu sini. Aku nak pergi check kejap.”
“Tak payahlah,” rayu Mustafa. Dadanya berombak kencang. Yang
sebenarnya dia tidak mahu ditinggalkan sendiri disitu. Hatinya masih lagi
dipaut dengan rasa takut. Mana mungkin dia mahu ditinggalkan sendiri lagi.
Serta-merta andaian buruk berlegar dalam fikirannya.
“Kau tak payah pergilah. Nak cari penyakit ke?” sengaja Mustafa
memberi alasan seperti itu. Samsir kelihatan serba salah.
“Kau yakin ke dengan apa yang kau dengar tadi?” Samsir akhirnya
berpatah semula.
Mustafa dongak dan membalas renungan Samsir. “Kau ingat aku tipu ke?
Telinga aku masih belum pekak lagilah,” tersinggung juga dia dengan pertanyaan
Samsir itu. Dalam situasi seperti ini dia tidak punya mood untuk bergurau.
Aapatahlagi hal-hal seperti ini.
“Sori... bukan aku tak percaya.”
“Habis tu?”
Samsir tiada jawapan. Bibirnya terkunci rapat.
“Kau duduk ajelah kat sini. Kalau jadi apa-apa macam mana?” bentak
Mustafa dengan suara yang agak keras. Wajahnya juga bertukar tegang. Bunyi
derap tapak kaki ditingkat empat masih terngiang-ngiang dicuping telinganya.
Begitu juga dengan bunyi hentaman pada pintu ditangga kecemasan tadi. Ingatan
itu makin lama makin kuat melekat dilayar fikirannya. Dia bagaikan tidak
berdaya untuk menyisih semua itu. Makin dia cuba untuk melupakannya, makin kuat
ianya merasuk fikiran.
“Kau duduk ajelah kat sini,” ulang Mustafa lagi dengan rasa tidak
sedap hati.