Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
57,053
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

Apabila membuat sebarang perjanjian dengan seseorang, pastikan anda menyemak secara teliti sebelum berjanji. Pastikan janji-janji itu tidak mudah diubah atau anda yang akan rugi. Itu penting! Ayni belajar banyak perkara berhubung tentang hal ini!

Juli memang tidak lagi menjadi pembantu rumah. Bersesuaian dengan janji Luqman pada Ayni, Juli hanya tinggal bersama Ayni untuk menemani Ayni. Dia masih memanggil Ayni sebagai Cik Ayni.

“Maaflah,saya dah biasa. Orang yang berusia macam saya susah sikit nak ubah bila dah biasa.”

Tapi Ayni sangat pasti Juli masih dalam lingkungan usia 20-an!

Dia juga mencuci dan mengemas rumah seperti biasa. Pakaian Ayni pun dia minta untuk cuci dan gosokkan.

“Maaflah, saya dah biasa. Orang yang biasa buat kerja macam saya susah untuk duduk-duduk saja.”

Belajarlah duduk-duduk saja! Ayni pun rasa segan untuk tidak buat apa-apa bila dia cakap begitu.

Dia juga masih masak makanan untuk Ayni. Sarapan, tengah hari, minum petang dan makan malam.

“Maaflah saya dah biasa. Saya masak untuk saya makan. Alang-alang dah masak, saya masak untuk Cik Ayni juga.”

Semuanya dia dah biasa! Apa yang tidak biasa? Habis apa yang berbezanya antara dulu dan sekarang?

Akhirnya Ayni terpaksa terima yang dia tidak akan menang dalam hal ini. Memang perjanjian boleh dibuat tapi sentiasa ada titik kelemahan yang boleh dicari.

Tapi Mat memang tidak lagi menjadi pemandu Ayni. Ayni sangat-sangat bersyukur. Kalau tidak pelajar lain akan mula bercakap-cakap lagi. Awalnya mereka memang bergosip selepas mereka nampak Ayni naik kereta mewah untuk pulang. Tapi memandangkan hal itu cuma berlaku sekali, berita itu mati begitu saja.

Luqman pula datang setiap hari untuk makan bersama. Kadang kala untuk sarapan pagi. Kadang kala untuk makan malam.

“Saya cuma nak temankan awak makan. Makan seorang diri, sunyi juga, kan?” kata Luqman.

Ayni hanya sekadar mengangguk. Luqman juga mungkin makan seorang diri di rumahnya, jadi tak apa kalau mereka makan bersama.

“Saya nak alamat pejabat awak,” kata Ayni.

“Untuk apa?”

“Kerjalah! Awak dah lupa?”

“Oh, itu. Nanti akan ada orang jemput awak. Jadi awak tak perlulah risau,” jawab Luqman.

“Tapi awak dah janji-”

“Yang saya tak akan jemput atau hantar awak ke sekolah. Tapi saya tak janji pun untuk tempat lain. Saya tak mungkir janji, kan?” Luqman menjungkit kening.

Seperti yang Ayni cakap, sebarang perjanjian ada titik kelemahan. Sekali lagi Ayni kalah! Tapi sekurang-kurangnya masih ada yang pertama. Hujung bulan nanti Ayni akan keluarkan duit untuk bayar sewa! Sikit atau banyak tak penting! Yang penting dia bayar! Dia tidak akan mengaku kalah!

Ayni tidak sabar menunggu hari minggu tiba. Akhirnya dia akan dapat bekerja. Dia perlukan wang, tapi dia tidak mahu meminta kepada sesiapa. Jadi dia akan bekerja untuk dapatkannya. Dan kalau Luqman hulurkan wang saku kepadanya, hari ini juga dia akan bungkus semua pakaian dan tinggalkan rumah itu! Nasib baik Luqman tidak pernah buat begitu. Dia dapat rasakan, Luqman sebenarnya memahami Ayni lebih dari yang dia tunjukkan.

Satuperubahan besar, Razmi dan Ayni tidak lagi bergaduh. Tapi hubungan mereka menjadi kekok. Sebelum ini mereka pantang bersua, tapi sekarang mereka tidak lagi bercakap pun. Selepas Razmi tiba-tiba menegurnya beberapa hari yang lepas, mereka langsung tidak berbual lagi. Aku tidak pedulikan kau, kau pun jangan pedulikan aku. Situasi yang begitu. Tapi kelakuan mereka berdua membuat rakan sekelas bertambah risau jika ini hanya sementara.

Apa sekalipun Ayni rasa lega. Dia mahu habiskan sisa persekolahan yang tinggal beberapa bulan ini dengan aman. Ayni sudah ada terlalu banyak yang dia perlufikirkan, jadi dia tidak berminat untuk menambah lagi masalah. Jika dia tidak mahu pedulikan Ayni, Ayni dengan gembiranya akan lakukan hal yang sama. Razmi sama seperti makanan dan minuman misteri yang masih timbul di laci mejanya hingga ke hari ini. Ayni tidak akan pedulikan mereka!

Tapi masalah selalunya akan cari Ayni biarpun Ayni berusaha untuk mengelak.

Beberapa jam sebelum tamatnya hari terakhir persekolahan pada minggu itu, sekali lagi Ayni dipanggil ke bilik disiplin. Kalau dulu memang salah Ayni tapi kali ini Ayni memang tidak bersalah! Malah Ayni bagaikan seorang pelajar contoh sejak balik ke sekolah selepas seminggu digantung persekolahan tempoh hari. Jadi Ayni memang terpinga-pinga apabila ketua pengawas sekali lagi datang menjemputnya.

“Masuklah,”kata ketua pengawas. “Saya cuma diminta untuk menghantar awak ke sini. Saya kena pulang ke kelas.”

“Terima kasih,” kata Ayni.

Ayni membetulkan beg yang disandangnya, kemudian mengetuk pintu.

“Masuklah.”

Ayni masuk tapi terus kaku apabila memandang seorang wanita yang turut berada di dalam bilik itu.

 

‘Mulai hari ini, kau dan aku bukan keluarga lagi! Hubungan kita sampai setakat ini!’

 

Ayni masih teringat kata-kata itu. Kalau bukan kerana ayat itu, pasti Ayni sudah memanggil wanita itu dengan panggilan istimewa yang sudah lama tidak disebutnya.Tapi seperti katanya, Ayni sudah tidak layak lagi. Dia hanya mampu menyebut di dalam hati.

Wanita itu sendiri merenung wajah gadis yang sudah sekian lama tidak ditatapnya. Dia tahu gadis itu siapa sebelum dia datang lagi. Tapi sejak dia ambil keputusan untuk pergi beberapa tahun yang lepas, dia telah anggap yang mereka bukan keluarga lagi. Dia sudah ada keluarga yang baru.

“Kenapa kamu tak duduk?” tanya Cikgu Ayub.

Perlahan-lahan Ayni mengambil tempat, agak jauh dari mereka. Dia ingin terus menatap wajah wanita itu tapi dia tahu wanita itu tidak suka.

“Ini Puan Karina. Dia datang untuk buat aduan tentang kamu. Katanya kamu ada pukul anak dia beberapa hari yang lepas, betulkah?” tanya Cikgu Ayub.

“Siapa anak... Puan ni?” tanya Ayni.

“Nama dia Zamarul. Kamu mungkin kenal dia sebagai Zam. Dia cedera teruk selepas kamu pukul dia!” kata Karina dengan tegas.

Jadi Zam anak Karina? Eh, mereka…keluarga?

“Tapi saya tak akan buat begitu kalau dia tak ganggu saya! Saya cuma nak pertahankan diri!” kata Ayni, cuba membela diri.

“Apa yang dia dah buat sampai kamu pukul dia macam tu sekali? Kamu tahu tak, sebelah matanya hampir rosak! Dia boleh buta! Badannya penuh dengan lebam. Nasib baik tak ada tulang yang patah. Padankah dengan apa yang dia cuba buat berbanding apa yang kamu dah buat pada dia? Cakap! Dia nak buat apa?” tengking Karina.

“Dia tarik tangan saya di tempat yang sunyi! Mestilah bukan sebab yang baik!” jawab Ayni.

Karina tergelak, sinis. “Setakat tarik tangan kamu, kamu dah fikir yang bukan-bukan. Kamu terlalu pandang tinggi pada diri kamu sendiri. Entah-entah dia bukannya nak buat apa-apa pun. Mungkin dia cuma nak takut-takutkan kamu. Kamu yang fikir terlalu banyak!”

“Dia yang cakap macam itukah? Kenapa m-Puan tak percayakan saya?” tanya Ayni.

“Saya percayakan Zam. Dia bukannya jahat sangat sampai nak buat yang bukan-bukan pada kamu,” jawab Karina, langsung tidak teragak-agak.

Mata Ayni berkaca-kaca. Dia memang ingin menangis tapi bukan kerana takut. Tapi dia rasa sangat sedih sekarang. Ayni masih dapat terima jika dihina oleh orang lain. Dia masih akan bangun dan mempertahankan tindakkannya. Tapi bila seorang wanita yang sepatutnya melindunginya melindungi orang lain dan tidak percaya padanya, itu lebih menyakitkan.

“Saya rasa baik semua orang bertenang dulu. Puan datang untuk berbincang, kan? Tak perlulah marah-marah begini,” kata Cikgu Ayub.

“Berbincang? Saya datang nak jumpa budak perempuan yang berani pukul anak saya.  Saya nak pihak sekolah jatuhkan hukuman pada dia! Saya tak boleh terima yang anak saya cedera tapi siapa pun tak ambil tindakan! Budak perempuan ni dah melampau!”

“Saya cuma pertahankan diri saya! Maruah saya! Salahkah apa saya buat?” tanya Ayni.

“Saya rasa kamu ni suka membesar-besarkan cerita! Tak ada apa pun yang berlaku hari tu. Tapi disebabkan kamu, Zam tak keluar dari rumah sekarang. Entah samseng mana kamu dah upah untuk ugut dia sampai laporan polis pun dia dah tarik balik!”

“Samseng apa? Saya tak faham,” kata Ayni.

“Apa yang kamu dah buat, kamu lebih tahu,” kata Karina, yang kemudian berpaling kepada Cikgu Ayub. “Sama ada sekolah ini ambil tindakan atas budak perempuan ni atau saya akan saman sekolah ni sebab mempertahankan seorang penyangak macam ni!”

Sekali lagi Ayni tersentap dengan kata-kata itu. Sampai sebegitu sekalikah dia mahu memutuskan hubungan mereka? Karina langsung tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus bangun dan keluar. Ayni hanya memerhati dengan pandangan mata yang sayu.

Ayni tidak tahu bagaimana dia menghabiskan hari itu. Dia termenung, memikirkan banyak perkara dengan hati yang lara. Apabila sesi persekolahan tamat, dia terus berjalan keluar. Tiba di pintu pagar sekolah, seorang lelaki menunggunya di pagar.

“Puan Karina sedang menunggu di dalam kereta,” katanya tanpa sebarang emosi.

Ayni termangu. Dia memerhatikan lelaki yang berjalan ke kereta, menunggu Ayni mengikutnya. Akhirnya Ayni berjalan ke kereta juga. Lelaki itu membukakan pintu untuk Ayni. Benar seperti kata-katanya, Karina duduk, langsung tidak memandang ke arahnya.

“Tunggu apa lagi? Cepat masuk! Ada benda yang aku nak cakap!” desis Karina.

Ayni menggigit bibir. Biarpun dia tidak mahu masuk ke dalam kereta, dia masih ingin bersama wanita itu selama mungkin. Dia terlalu rindukan wanita ini. Hari inilah kali pertama mereka bertemu selepas hampir lima tahun. Entah bila lagi baru mereka dapat bersua begini. Jadi Ayni masuk juga, duduk sehampir mungkin dengan pintu. Dia tahu Karina tidak suka Ayni berada dekat dengannya.

“Mana kau upah samseng-samseng tu?” soal Karina. “Sejak bila kau berperangai macamni? Mereka datang ke rumah ugut Zam supaya tarik report polis. Berani betul kau!”

“Saya tak upah mana-mana samseng pun!” jawab Ayni.

Ayni mana ada duit. Mana mungkin dia mampu buat begitu!

“Kalau bukan kau, habis mereka tawarkan diri untuk buat macam tu? Jangan nak mengarut!”

Ayni tidak puas hati dituduh begitu, cepat-cepat dia membangkang. “Tapi saya memang tak tahu! Kenapa mama tak percayakan saya?”

“Aku bukan lagi mama kau!” tengking Karina, membuatkan Ayni tersentak. “Aku dah pernah cakap jangan panggil aku dengan nama tu lagi!”

“Tapi-”

“Lepas kau ambil keputusan untuk ikut lelaki tak berguna tu, kau dan aku memang bukan keluarga! Kau yang buat keputusan ni. Macam mana dia didik kau pun aku tak tahu,” rungut Karina dengan raut wajah mencuka.

Ayni menahan sebak, memerhatikan Karina dengan mata yang berkaca-kaca. Dia dan Karina memang anak-beranak. Karina yang lahirkan dia. Dia yakin tentang hal itu. Jadi kenapa begitu mudah untuk abaikan ikatan yang sangat kukuh ini?

Karina mendengus. “Memang bagus hasil didikan dia!”

“Mama-”Jelingan tajam Karina membuatkan Ayni terdiam seketika. “Puan jangan salahkan papa. Dia tak ada kena mengena dengan hal ni.”

“Habis aku nak salahkan kau?” soal Karina. “Aku tak mahu tahu! Yang penting, lepas ni aku tak mahu kau muncul depan keluarga aku lagi! Kau dengan papa kau tu sama saja!”

“Kita…memang boleh jadi orang asing macam tu saja?” tanya Ayni.

“Kenapa pula tak boleh?” soal Karina.

Ayni turun dari kereta itu selepas itu. Dia hanya memerhatikan kereta itu memecutpergi dengan hati yang sayu.

Semudahitukah mama dapat berubah? Semudah itukah mama dapat lupakan Ayni? Semudah itukah mereka bukan ibu dan anak lagi?

Tapi Ayni…masih ingatkan mama.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.