Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Aya Sanjana
9/11/2020 10:07:08
30,460
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Bab 4.

 

Seminggu pun berlalu. Motor aku masih belum sampai jadinya aku macam biasa tumpang Tina lagi.

Pagi ni mendung semacam. Aku yang duduk di tempat belakang motor Tina mula menggelisah. Angin mula berhembus kuat dan adakalanya terasa berwap dingin. Itu tak lain, macam nak hujan aje ni sekejap lagi.  Sampai saja di kilang, aku menggesa Tina untuk berhenti dan pakai baju hujan siap-siap.

“Kau berhenti motor depan pondok guard tu weh. Pakai situ la baju hujan.”

“Nasib baik kau perasan nak hujan. Aku ni dalam otak fikir kerja je.”

Masa aku tengah tolong Tina untuk mempercepatkan pakai baju hujan, terasa ada yang menjenguk dari kaunter depan pondok jaga.

Aik. Jaga baru ke? Atau syif lain sebelum ni? Maklumlah, aku kan baru lagi dekat sini.

“Macam nak hujan kan?” sapa abang jaga tu dengan senyuman manis. Mak aih. Ni abang jaga ke model antarabangsa? Kacak terlebih ni.

“Haah, tumpang pakai baju hujan ye bang.” BalasTina kalut-kalut sambil sarung tangan baju.

“Tak ada masalah. Eloklah pakai siap-siap. Nanti taklah lencun atas jalan nanti,” ujar dia prihatin.

Setelah siap memakai baju hujan, Tina pantas bergerak ke arah motosikalnya dan melambai aku.

“Hati-hati beb. Kalau lebat sangat nanti kau berhenti la dekat mana-mana jambatan.”

“Jumpa petang ni,” lambai Tina lalu motosikalnya terus meluncur laju membelah jalan raya yang lengang.

“Staf baru ke?” sapa abang jaga.

“Haah, baru lagi.” Balas aku sambil senyum awkward. Tak tahu nak jawab apa lagi.

“Hurm, saya pun ikutkan jarang syif pagi. Selalu syif malam.”

“Oh ya?” Kejap. Aku kena layan dia berbual ke apa ni sekarang? Macam mana nak mintak diri pulak ni?

“Syif malam best. Tak jumpa ramai orang. Tak pening kepala. Tapi…”

“Tapi?” Okey, aku kena layan dia bercakap nampaknya ni.

“Boleh jumpa banyak makhluk halus.” Dengan selamba dia menyambung. Aku besarkan mata, terkejut. Kiranya kilang ni pun keras?Mungkin dia nak ingatkan aku supaya hati-hati. Kemudian dia tergelak kecil.

“Tu… Banyak semut halus. Gatal-gatal kulit tau.” Tunjuk dia ke arah rekahan simen di bawah kaki aku. Ada semut halus buat laluan masuk dari simen retak yang menghubung ke bawah tanah. Aku terus angkat kaki cepat-cepat dan mencari bahagian lantai yang bebas rekahan.

“Lah, ingatkan nak bagi tau cerita seram tadi.Hisy!” rungut aku. Masalahnya sekarang yang aku duk tercegat lagi dekat sini dah kenapa?

“Tak dan bukak cerita seram pun awak dah terjegil macam nak terkeluar mata. Tak jadilah.”

Aku betulkan beg tangan sambil menjawab, “Eleh,ingat saya penakut ke? Saya biasa jadi ghost hunter tau masa dekat kampung.”

Yang aku pergi ungkit cerita masa zaman naik tangki air sebab nak cari puntianak kononnya tu dah kenapa?

“Kalau macam tu ha bagus la. Boleh awak tolong tangkap seekor dua dekat kilang ni.”

Ketawa abang jaga sampaikan tiba-tiba terkeluar lesung pipit dia yang dalam kedua-dua belah. Tak aci! Cantiknya senyum dia.

“Hurm, orang tua kata jangan cakap besar. Jadinya saya tak berhajat masuk campur dalam apa-apa masalah makhluk bukan manusia. Kalau hal manusia dekat kilang ni, ya saya kena ambil berat. Sebab saya jaga hal ehwal pekerja.” Jawab aku megahnya. Bukan nak sombong pun, saja je melayan abang jaga peramah ni. Bukan melayan macam perempuan gatal. Tapi lebih kepada saling menghormati dan membina rapport yang baik sesama staf di sini. Apa salahnya?

“Oh, orang HR rupanya. Kalau saya nak naik gaji,boleh guna kabel awaklah.” Abang jaga masih melayan aku bersembang. Free betul dia. Macam ni gaya nak mintak naik gaji naik alamatnya yang naik nanti darah ajelah.

“Eh, dahlah. Saya ni dah lewat nak thumb print. Nanti rekod buruk pulak.” Baru aku nak melangkah, terus titisan hujan yang kasar menujah bumi. Segera aku masuk kembali ke bawah bumbung pondok jaga.

Allah. Macam mana nak rentas laluan tak berbumbung untuk ke dalam opis? Bukan hujan biasa-biasa ni. Macam tumpah terus dari langit, tak ada nak rintik-rintik halus. Pandai aku nasihat Tina suruh cepat-cepat. Yang aku ni, nak rentas ke opis pun tak ada payung.

“Alamak. Dah hujan pulak. Maaflah saya duk ralit berborak dengan awak, awak sampai tak dan nak elak hujan.” Abang jaga keluar dari pondoknya lalu mendekati aku dan berdiri di sebelah aku. Tapak tangannya menadah air yang turun. Cepat saja sudah basah.

“Itulah. Awak pun satu, cakap banyak pulak. Macamlah awak tu tengah bersantai depan pantai ke nak bual-bual,” rungut aku.Sedikit geram padahal aku jugak yang duk lawan sembang dengan abang jaga yang boleh dikatakan ada rupa ni. Cis, semua salah aku.

“Tak apalah. Ni ada payung. Awak pakailah dulu.”Abang jaga masuk ke dalam pondok dan keluar bersama sekaki payung bercorak Hello Kitty. Hurm, boleh tahan comel taste dia. 

“Entah siapa tertinggal payung dekat pondok ni. Saya pun tak pernah guna. Awak jangan ingat saya punya.” Awal-awal lagi dia bagi amaran bila tengok aku macam tahan gelak.

“Saya tak cakap apa-apa pun. Jangan nak perasan. Kot-kot la anak awak punya ke, mana saya tahu.”

“Ada nampak macam dah beranak bini ke muka saya ni? Nah,” hulur dia pada aku.

Aku ambil dari tangan dia sambil ucap terima kasih. Bukak saja payungnya, alahai kecil betul. Ngam-ngam muat saiz budak tadika.Tapi bolehlah setakat nak tutup kepala aku daripada basah lencun. Yang bahagian lain basah pun tak apalah.

“Errr kejap.”

Aku menoleh dan mengangkat kening. Malas nakkeluarkan suara.

“Payung tu saya nak balik boleh? Lupa pulak saya nak tutup suis lampu dekat lobi sana. Lepas tu kena pantau bahagian tandas dekat hujung bangunan kilang belah Zon A.”

“Macam mana saya nak bagi balik payung ni? Tak apalah, saya redah je. Salah saya tak standby payung. ” Adoi, nampaknya aku kena redah aje hujan-hujan ni.

“Tak apa, saya hantar awak sampai dekat depan lobi tu. Nanti saya ambiklah terus payungnya.”

Aku berfikir sejenak. Nak kongsi payung dengan dia ke? Huish. Dengan Faizal pun aku tak pernah buat.

“Tak payah kongsi pun. Tak apa, saya pakai tuala atas kepala.” Laju dia membalas.

Aku tengok aje muka dia, Sanggup pulak dia berbasah?

“Tuala ada ke?”

“Ada aje. Saya memang bawak spare hari-hari.”

Aku senyum ikhlas dari hati. “Terima kasih.”

“Alah, tak ada hal.” Balasnya ringkas.

“Okey jom.” Suaranya selepas dia ambil tualanya dan disangkut di atas kepala seperti tudung. Kelakar pun ada  bila tengok.

“Saya sebut satu, dua tiga, kita lari okey? Satu…Dua.. Tiga. Ha Lari!”

Kami melalui hujan yang makin tajam curahannya ke atas jalan tar itu sambil berlari-lari anak. Adakala aku terjerit kecil kerana terpijak lopak yang memercikkan air ke baju kurungku. Abang jaga berlari-lari kecil tapi tidak melebihi larian aku, macam sengaja tunggu aku di belakang.

Dalam jangkaan 20 saat, kami pun sampai ke bahagian lobi yang sudah basah sedikit lantainya gara-gara tempias hujan.

Pekerja lain pun sama juga di lobi itu. Ada yang basah seperti aku. Jadinya tak perlulah aku malu kalau sorang-sorang lencun.Aku menutup payung dan mengibas-ngibaskan air hujan yang masih bersisa pada permukaannya. Payung aku serahkan kembali kepada abang jaga.

“Terima kasih ya?” ucap abang jaga pada aku. Eh,dia pulak terima kasih dekat aku. Yang dia tu habis basah kuyup dek hujan. Rambut pun dah kusut masai sikit.

“Kesian pulak awak basah lencun. Awak okey ke?Jangan demam sudahlah.” Serba salah aku dibuatnya. Patutnya aku lari ajelah dalam hujan-hujan pun. Orang lain pun basah je tak ada payung. Aku pulak mengada-ada. Siap berpayung Hello Kitty lagi.

“Idiots don’t get colds.” Sekali lagi dia tayang lesung pipit. Amboi. Berperibahasa pulak.

“Kalau demam, jangan lupa claim dengan HR ya?” sengih aku lalu melambai dia. 

Abang jaga hanya mengangguk dan kemudian membalas lambaian aku sambil berjalan ke arah suis utama untuk memadamkan lampu utama. Selepas padamkan lampu, dia berpaling dan tersenyum sebelum aku membalasnya dan menapak ke opis aku. Bunga-bunga rasa hati. Aku paling sekali lagi ke bawah dan curi lihat abang jaga yang masih boleh aku nampak dari atas tangga ni. Entah macam mana, aku nampak abang jaga tu dalam gerak perlahan dan siap ada latar muzik Hindustan yang romantis. Sekali, dia pusing badan dan tepat-tepat dia pandang ke arah aku. Cepat-cepat aku kalih ke depan dan pecut. Harap dia tak perasan!

“Nasib baik aku dah nak kahwin,” keluh aku , tanpa aku sempat tapis. Eh-eh, bukan main aku ni.

Cuma terasa terhutang budi dengan abang jaga.Semoga urusan dia dipermudahkan, doa aku dalam hati.

 

**

Masa aku ke bahagian jualan dengan Ecah untuk ambil maklumat peribadi pekerja baru di sana, aku ternampak Faizal sedang duduk di bahagian partition pekerja yang lain sambil berbual. Biliknya sendiri tentulah sama kedudukan macam bilik Kak Mona juga.

Sengaja sebenarnya aku tawar diri nak teman Ecah padahal borang itu pun bukan berat mana. Aku bagi tahu dekat Kak Mona nak agihkan barang-barang pantri untuk bahagian jualan sekali. Itu yang dia lepas aje aku ke sini. Kalau tidak, mana mahunya dia nak biar aku pergi berdua dengan Ecah, ingat macam zaman sekolah ke nak ke tandas pun berteman?

Barang-barang berisi biskut krim, kopi segera,minuman koko, gula serta susu pekat aku usung di sebelah kanan. Manakala gula-gula, keropok dan coklat aku jinjing dengan tangan kiri. Boleh tahan berat.

Ecah memberi salam dan aku terus masuk ke dalam tanpa segan silu. Melotot mata Faizal memandang aku. Ingat aku nak pecah rahsia ke? Perasan.

“Ini bekalan pantri untuk bulan ini. Jangan lupa, bulan depan tolong update barang yang dah tak ada dan beri senarainya pada kami sebelum 12 hari bulan,” pesan aku sambil letakkan bungkusan plastik di atas meja entah pekerja mana yang tidak diduduki. Tak datang mungkin. Aku menolak sedikit bekas pennya ke tepi untuk memuatkan barang-barang makanan ini.

“Eh jaga-jaga letak situ. Kalau berubah kedudukan apa-apa, tuan dia perasan nanti. Bising pulak dia.”  Seorang pekerja wanita yang masih muda menegur. Takut-takut aje nada suaranya.

Aku membetulkan kembali kedudukan bekas pen itu dan tersenyum. “Yelah, saya letakkan balik.”

“Encik Faizal, mana borang maklumat pekerja baru tu?” tanya Ecah kepada tunang aku. Faizal terus bangun dan masuk ke dalam biliknya sebelum keluar bersama beberapa keping kertas.

Matanya sekali sekala menjeling ke arah aku.Risaulah tu!

“Itu pekerjanya ya? Perkenalkan, Yana.”

Faizal memaksudkan pada gadis yang menegur aku tadi.

“Oh, hai. Selamat datang ke MANIS, Yana. Bahagian HR pun ada staf baru. Sarah.” Ecah mencuit aku dan aku pun tersengih saja sambil melambai pada Yana. Beberapa orang staf yang lain juga turut senyum padaaku. Melainkan Faizal saja yang seboleh-boleh mengelak dari berpandangan mata dengan tunang dia yang jelita ini. Gelisah aje. Geram jugak aku tengok.

“Okeylah. Kami mintak diri dulu, Kalau ada apa-apa  masalah jangan lupa rujuk kami, ya?” Ecah dengan santunnya mengundur diri.

Balik saja ke bahagian kami, Faizal mesej aku.

 

Sayang tunggu abang dekat luar pagar pukul satu nanti. Kita keluar makan sama-sama.

 

Baru saja aku nak pelan keluar makan sama-sama dengan Ecah dan Milah tengah hari nanti. Nak cuba kedai ikan bakar yang baru bukak di hujung simpang. Tapi aku boleh batalkan.

 

Okey,baik. Makan kat mana? Tak nak jauh sangat. Nanti lambat masuk pulak.

Jauh sikit tapi jangan risau sayang. Sempat aje.

 

Okey.

 

Begitu saja aku membalas. Nak balas K karang, tak jadi pulak nanti keluar makan sama-sama. Geram yang hari tu pun belum terlunas. Biasalah dah kalau perempuan. Buat salah 20 tahun lampau pun dia masih boleh ingat. Tapi kalau tanya mana dia letak getah rambut yang baru dia pegang 2 minit lepas, nescaya dia lupa.

 

**

Naik saja ke dalam kereta Faizal, kalut-kalut dia bawak laju sampaikan inersia aku dibuatnya.

Tahulah jauh sikit, tapi agak-agaklah nak terus pecut. Terkejut aku.

“Ha, macam inilah. Duduk sebelah abang. Barulah namanya bakal isteri.” Dia bukak cermin mata hitam dan kenyit mata pada aku.

Aku hanya diam dan tak berkata apa. Bukan nak protes. Tapi sendiri rasa kekok dan tak selesa. Hati masih mendongkol geram kes dia mungkir janji hari tu. Aku tunggu dia, dia pulak sedap tidur.

Mata pandang luar yang panas terik seolah-olah pagi tadi tak pernah hujan lebat.

“Abang nak makan dekat mana ni?” Aku memulakan perbualan selepas Faizal mengeluh gara-gara kenyitan matanya tidak berbalas. Padan muka.

“Apa kata kita makan dekat foodcourt Jusco? Situ ada sizzling yang sedap tau.”

“Mana-mana pun boleh. Asalkan dengan abang je.” Lemah aje aku bersuara. Tak ikhlas.

Hari ni dah hari Jumaat, baru aku sempat nak jumpa dia. Pertama kali jumpa masa hari pertama aku kerja, Isnin minggu lepas. Eh, kejap. Apa Faizal ni tak solat Jumaat ke?

“Abang nak solat dekat masjid mana ni dah kalau kita ke Jusco?”

Saja tanya soalan perangkap. Itulah orang kata, masa bertunang inilah nak kenal hati budi pasangan.

“Abang solat zohor je nanti. Sayang jangan larisau. Minggu lepas abang dah pergi. Kalau tiga kali berturut-turut baru dikira berdosa besar.”

Aku mengerut dahi. Tak setuju langsung. Dahlah keluar makan aje. Bukan dia kena harungi sungai dan bunuh buaya pun nak sampai ke masjid. Kecik besar, kecik besar aje aku tengok Faizal yang seronok betul humming lagu di radio. Jari-jemari duk ketuk-ketuk atas stereng.

Kami sampai ke Jusco dan Faizal ajak aku shopping baju sebelum makan. Dia pilihkan aku blaus satin kapok-kepok warna champagne. Dia siap bagi tau lagi nak saiz S. Aku padahal suka saiz M. Biarlah nampak longgar sikit walaupun aku muat aje pakai saiz S. Saiz XS pun aku pernah pakai tapi dekat rumah la. Tak kuasa aku nak tayang lekuk tubuh percuma. Mujur saiz S dah habis dan ada saiz M dan XXL aje. Dapatlah aku saiz yang aku selesa pakai.

Sementara promoter tengah isi resit untuk dihantar ke kaunter, sempat lagi Faizal jalan ke bahagian kasut. Kejap aje dia pilih sepasang stiletto merah menyala. Aku tengok macam nak sama ton aje dengan warna lipstick Kak Mona.

Aku sejenis yang pakai kasut flat aje. Jadinya,kasut stiletto ni bakal menjadi tukun tiruan di dasar rak kasut saja agaknya.Tapi aku layankan aje si Faizal ni. Biar habis duit dia belanja aku.

“Abang kalau bab belanja orang tersayang ni abang tak pernah berkira tau. Asalkan sayang suka, abang pun gembira,” jelas Faizal sambil hulurkan kad debitnya pada pekerja di kaunter.

“Yelah, terima kasih abang.” Aku senyum manis dengan kepura-puraan sebab nak menjaga air muka Faizal di depan pekerja itu.

Sebenarnya aku nak sangat tanya satu benda. Tunggu kejap lagilah. Kami pun menuju ke medan selera untuk mengisi perut yang lapar. Faizal terus pesan untuk aku sekali sizzling yee mee tanpa tanya aku dulu, aku nak makan apa.

“Abang nak air apa?” tanya aku sebelum aku ke kaunter jual minuman jus.

“Hurmm, abang nak air Milo tapi aisnya suku gelas aje. Pesan macam tu dekat staf dia tau.”

Aku mengangguk saja. Kami kemudian sama-sama menjamah makanan dan aku tanyakan dia, “Abang suka ke kalau saya pakai baju macam fesyen abang beli tu?” Aku tak pasti bila aku akan pakai baju macam Faizal beli tu. Memanglah kainnya tak jarang, Cuma aku rasa menarik perhatian sangat. Kepok-kepok tu kalau pakai tudung menutupi dada, memang tak nampak pun. Jadinya, kena pulak ataskan tudung semata-mata nak bagi nampak kepok-kepok di mata orang.

“Yup. Nampak lebih bergaya. Tunang abang ni bukan tak cantik. Cuma kena polish sikit lagi biar sesuai dengan kecantikan sayang. Abang bukan tak suka sayang pakai blaus hitam macam ni. Okey aje. Tapi janganlah selalu. Baju kurung pun carilah yang jenis cutting moden. Tak payahlah bawak imej lurus-lurus kampung kat bandar ni.”

Dia puji aku tapi mengata aku dalam masa yang sama. Aku masih pakai ikut etika pemakaian ke pejabat. Bukan aku taram pakai T Shirt sukan pun. Aku diamkan saja.

“Kenapa sayang diam aje ni? Abang dah belanja macam-macam pun sayang macam tak happy je? Marah lagi ke kes hari tu?”

Hah, sebut pun! Dia dari hari tu sepatah maaf pun tak ada keluar dari mulut dia. Dia ingat dengan beli macam-macam tu dikira dah mintak maaf la? Tak semudah itu.

“Taklah.” Aku lemparkan pandangan ke arah kiosk menjual ais kacang.

“Kalau macam tu, senyumlah sikit. Baru abang semangat nak kerja kejap lagi. Kalau sayang masam-masam macam ni, tak boleh buat kerja abang.”

“Iyalah tu semangat kerja. Seminggu lebih tak jumpa, hidup elok je. Bukan nak tanya khabar kita ke apa. Dahlah baru lagi kat tempat orang. Tunang sendiri tak nak mengaku kita ni siapa.” Dah berkita-kita pulak aku. Tu maknanya sakit hatilah tu. Makan hati sekali.

“Okey, abang minta maaf. Nanti abang janji akan spend time banyak sikit dengan sayang.”

“Boleh percaya ke ni? Sebab abang tu busy aje memanjang. Balas mesej pun susah sangat!” Aku keluarkan sedikit daripada isi hati aku.

“Jangan la macam tu. Abang betul-betul busy. Tak sempat tengok telefon. Sayang tak percaya abang ke?” Lembut sikit nada suaranya. Tak sempat tengok telefon tapi selalu jugak bluetickkan aku. Tangan aku yang sejak tadi hanya diam di badan gelas berisi jus oren, dicapainya. Cepat-cepat aku angkat tangan sekali dengan gelas lalu menyisip air laju-laju.

Kurang senang dengan sikap ‘ringan tangan’ dia tu.Kalau ringan tangan macam maksud sebenar simpulan bahasa tu lainlah. Ini ringan tangan kot lain. Faizal yang tak tercapai hajatnya tu, mengeluh. Konon nak pujuklah tu.

Baiklah aku mengalah aje. Kalau jenis pujuk naik tangan ni susah. Geli aku. Hisy!

“Yalah, saya percaya. Jomlah balik. Dah nak lewatni.” Faizal senyum menang dan kemudian kami berjalan beriringan menuju ke tempat parkir. Dalam kereta, kami berborak seperti biasa dan aku lupakan rajukku seketika. Baru beberapa minit selesa berborak dengan dia dan bergelak ketawa, Faizal buat hal lagi. Dia letak pulak tangan atas bahu aku. Aku jatuhkan bahu dan pusing ke tepi lalu anjakkan sedikit tubuh ke tingkap.

“Amboi, dengan abang pun nak sombong,” Kali ini dia mendengus. Suasana jadi sedikit dingin. Asalnya elok saja tadi kami bergurau.

“Tangan abang tu jaga sikit. Haram,” luah aku tanpa mahu menjaga hati dia. Biarlah. AKu dapat berdua-duaan dengan dia naik kereta ini pun sepatutnya dah dikira salah, inikan pula nak pegang-pegang. Daripada aku rasa serba salah, baik aku tegur dia saja. Alah, sebenarnya dah selalu sangat dia cuba nak sentuh-sentuh aku. Buat-buat terlanggar tanganlah, ada semut tepi pipilah. Akal aje tu. Aku pun cerdik jugak.

“Apa pun kita akan kahwin jugak. Tak lama dah pun,”dengan muka bengangnya, Faizal membalas kata-kata aku. Panas agaknya dengar perkataan haram.

“Tok imam dah nikahkan kita nanti, haa barulah boleh. Selain tu jangan harap.”

“Perasan macam dia cantik sangat,” sungut Faizal. Air mukanya dah tak jernih.

Aku senyum buat mengubat bengang dalam hati dia. Gaya macam tak jalan. Sampailah kereta berhenti di tepi pagar kilang, dia masih tak mahu bercakap apa-apa. Tengok muka aku pun tak. Pandang aje dekat depan tu.

“Saya turun dulu ya abang. Jangan lama sangat masam muka tu. Nanti orang keliru mana satu mangga, mana satu abang.” Aku hanya gelak kecil dan turun tanpa mendengar dia membalas percakapan aku. Tak apalah. Sekurang-kurangnya nanti dia tak buat lagi. Oh, barang-barang yang dia belikan tadi tu pun aku angkut sekali walaupun dia tak pelawa. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aya Sanjana