SELEPAS menunaikan solat maghrib, Rus dan teman serumahnya
mahu makan malam di restoran berhampiran pejabat. Seperti biasa, Rus pasti akan
memesan sup tulang kegemarannya. Tiada tambahan menu lain, tetapi perlu ada
sambal belacan dan timun. Air pula, dia lebih suka minum air suam sahaja ketika
makan nasi.
Nurul pula mahu mengubah selera. Kali ini dia teringin sangat
makan nasi goreng Pattaya. Amy masih setia dengan mi goreng mamak, kononnya
makanan kegemaran jejaka pujaan hatinya.
“Kau boleh kenyang ke dengan makan mi aje?” Sengaja Nurul
mahu memerli Amy.
“Kenyang tak kenyang, belakang kira. Janji aku menyukai apa
yang bakal jodoh aku suka. Dah kahwin nanti bolehlah masak untuk dia.”
“Pandai sangatlah kau masak stail mamak!” kutuk Nurul.
Setahunya gadis itu bukannya reti memasak. Setakat goreng
ikan dan telur dadar sahajalah. Kalau suruh dia masak rendang atau ayam masak
kurma, memang gagal.
“Dah hampir setiap hari aku merasa mi goreng ni, mestilah aku
dah boleh agak ramuannya.”
“Mesti rasanya tak sama!” sakat Nurul.
“Kau jangan nak pandang rendah kat aku. Memanglah aku jarang
memasak, tapi boleh aje belajar demi orang yang tersayang,” balas Amy yang
tidak mahu kalah.
“Tahu, tapi mi yang kau makan saban hari tu adalah air tangan
mamak. Kalau kau yang masak, itu air tangan aci!” Galak sekali Nurul mengusik.
“Kau ni Nurul, agak-agaklah nak bergurau tu,” tegur Rus pula.
Tadi dia hanya mendengar sahaja celoteh dua sahabatnya.
“Entah, si Nurul ni! Patutnya bagilah semangat kat aku.”
“Kali ini, apa pulak cerita jejaka idaman kau tu?” tanya Rus
pula.
“Nanti-nantilah aku cerita. Perut kena kasi kenyang dulu,”
jawab Amy.
Selepas beberapa kali Amy bercerita fasal jejaka misteri yang
dia minati, hati Rus terusik juga. Dia pun tidak pasti sejak bila perasaan
ingin tahu terdetik dalam hati. Keinginan mendengar cerita lelaki itu bagai
dinanti-nanti. Entah bagaimana dia boleh tersuka dengannya, padahal sekalipun
tidak pernah bersua.
Rus amat berharap yang Amy tidak pernah tahu rahsia yang
tersimpan jauh di sudut hatinya. Kalau gadis itu tahu, masak dia! Di hadapan
Amy, bukan main berlagak biasa, tapi dalam hati sudah pasang angan-angan mahu
berjumpa dengan jejaka pujaan Amy itu.
Sebaik pesanan sampai, tanpa membuang masa mereka makan
dengan berseleranya. Sesekali berbual fasal kerja dan masalah yang selalu
dihadapi di pejabat. Ada ketikanya bercerita tentang hati dan perasaan pula.
Ada isu yang serius, namun ada juga cerita yang mencuit hati masing-masing.
“Kali ni aku nak belanja korang.” Rus menawarkan diri. Hari
ini dia bermurah hati pula. Selalunya mereka bayar ikut giliran.
“Hari tu, kan giliran kau bayar? Hari ni biarlah aku pulak.”
Amy menolak.
“Tak apalah, lain kali kau belanja pulak.”’
“Alhamdulillah… semoga murah rezeki kau, Rus,” ucap Nurul.
“Aamiin…” balas Rus lalu bangun menuju ke kaunter.
“Mamak, saya nak bayar,” beritahu Rus.
“Semuanya RM10 aje.”
“Eh, kenapa murah pulak?” Terkejut Rus mendengarnya.
“Sup tulang you sudah ada orang tolong bayar,” jelas mamak
pula.
“Siapa?” tanya Rus sambil matanya melilau memandang pelanggan
yang ada di restoran.
“Orang tu dah balik, awak tak payah carilah.”
“Siapa sebenarnya yang belanja saya?” tanya Rus lagi. Dia
memang tidak puas hati selagi tidak tahu.
“Ada la…” Mamak asyik tersenyum-senyum pula.
“Mamak ni, janganlah buat saya risau!” Naik cuak Rus
dibuatnya selagi tidak tahu gerangannya.
“Orang dah belanja, buat apa nak risau?”
“Mestilah risau sebab tak tahu dan tak kenal siapa dia,”
terang Rus.
“Kumbang tu sangat handsome.
Sama padan dengan awak, bunga yang cantik…” puji mamak.
“Yalah, tapi siapa?” Kali ini sedikit meninggi suara Rus.
Geram pula rasa hatinya dengan usikan mamak. Namun terasa pelik juga apabila
mamak pandai berkias pasal kumbang dan bunga. Biar betul?
“Saya tak tahu nama dia, tapi muka dia macam anak raja jugak
la…” jelas mamak dengan senyum simpul.
“Tak nak beritahu, sudah!” ujar Rus, geram. Dia terus berlalu
selepas menyerahkan wang RM10 kepada mamak. Panas juga hatinya walau ada yang
sudi belanja dirinya.
“Apasal lambat sangat? Mamak tu tak ada duit tukar ke?” tanya
Amy.
“Tak ada apalah. Jom kita balik,” ajak Rus yang mahu segera
pulang ke rumah.
“Nah kunci. Korang tunggu dalam kereta. Aku nak ke bilik air
sekejap.” Nurul terus menyerahkan kunci kereta kepada Amy.
Tanpa berlengah, Rus segera menuju ke kereta Nurul. Menyedari
Amy telah menekan kunci dari jauh, dia pantas membuka pintu kereta. Sebaik
duduk, dia terus pakai tali pinggang keledar.
Seketika dia memejamkan mata. Tatkala tercium bau minyak
wangi, dia segera membuka mata. ‘Eh, apasal dashboard
kereta ni macam lain aje?’detiknya.
Tiba-tiba kedengaran seseorang berdeham.
Rus segera menoleh ke sebelah. Mahu gugur jantung dia saat
menyedari gerangan yang berdeham tadi. Entah bagaimana dia rasa bagai
kehilangan suara hendak berkata-kata.
“Awak nak ikut saya balik rumah ke?” tegur pemilik kereta
sambil mengenyitkan mata.
Tanpa menghiraukan pertanyaan lelaki itu, Rus pantas mahu
membuka tali pinggang keledar. Namun, ketika ini pula ia bagai tidak berfungsi.
“Maaf, saya tersilap masuk kereta. Macam mana nak buka ni?”
Rus sudah tidak tentu arah. Kegopohannya mahu segera masuk ke dalam kereta
mengundang insiden yang tidak diingini.
“Lain kali buat pelan-pelan. Senang aje, tekan dan tarik,”
suruh lelaki itu.
Apabila Rus lakukan dengan perlahan, boleh pula. “Maaf sekali
lagi,” ucap Rus lalu membuka pintu kereta.
“Lain kali hati-hati. Balik nanti jangan sampai tersilap
rumah pulak!” usik lelaki itu lagi.
Rus buat tidak dengar sahaja. Malu gila dia kali ini.
‘Kenapalah nasib malang asyik bertimpa-timpa? Kenapalah dia ini ada aje ketika
aku kelam-kabut?’ Dia mengomel dalam hati.
Sebaik pintu kereta ditutup, Rus mencari Amy dan Nurul.
Ternyata mereka berdiri di tepi kereta sebelah dan sedang ketawakan dirinya.
“Apasal kau tak panggil dan halang aku masuk kereta tu?”
tanya Rus dengan perasaan geram.
“Dah kau menonong aje, tak sempat aku nak panggil,” jawab
Amy.
“Handsome tak
pemilik kereta tu? Nak intai tadi, tapi tak jelas pulak sebab dah malam. Yalah,
cermin pun tinted,” tanya Nurul pula.
“Korang teruk betul! Malu aku tau!” Rus sambung membebel
dalam kereta.
“Eh, kau yang tersilap, salahkan kita orang pulak!” balas
Amy.
“Kau kenal tak orang tu?” tanya Nurul lagi.
Rus segera menggeleng.
“Nasiblah kena dengan orang yang kau tak kenal. Kalau tak, malu
satu taman,” usik Nurul.
“Dah, cepatlah jalan. Aku nak cepat sampai rumah,” suruh Rus
yang tiba-tiba sahaja jadi tidak keruan. Pada waktu malam, dia nampak bentuk kereta macam sama sahaja. Hanya kerana kereta Nurul dan lelaki itu sama warna,
dia boleh tersilap pula.
RUS
semakin resah sejak balik dari restoran. Walaupun kedua sahabatnya mengajaknya
melepak sambil menonton televisyen, dia terpaksa menolak.
Dia asyik memikirkan lelaki yang telah belanja dirinya. Dia
tertanya-tanya kenapa hanya dia seorang sahaja yang dibelanja. Padahal, mereka
bertiga selalu makan di situ. Apa pula tujuan orang itu?
Semakin dia fikir, semakin risau hatinya. Pada mulanya dia
mahu cerita sahaja perkara itu kepada Amy dan Nurul. Namun, apabila difikirkan
balik, lebih baik dia diamkan sahaja.
Insiden tersalah masuk kereta orang lain, lagi satu hal. Rus
menyalahkan dirinya yang asyik kelam-kabut dan hendak cepat sahaja. Setakat
hari ini, entah berapa kali dia malu dan kantoi dengan jejaka yang sama.
Peliknya, bagaimana lelaki itu ada di kawasan ini? Masakan dia duduk
dekat-dekat kawasan ini juga?