PAGI Jumaat, selepas mengemas mejanya,
Rus menuju ke pantri kerana tekaknya terasa kering. Lagipun ketika ini adalah
waktu rehat jam sepuluh pagi. Kakitangan yang lain pun ada yang bersantai buat
seketika setelah tekun menyelesaikan tugasan sejak pagi.
Sewaktu tiba di pantri, rupanya sahabat baik
dia terlebih dahulu menghilangkan dahaga dan berselera sekali menjamah makanan.
“Makan, Rus,” pelawa Amy yang perasan
kehadiran gadis itu.
“Makanlah, aku nak buat air Nescafe.”
Rus segera menolak. Pagi tadi dia sudah bersarapan sebelum memulakan tugas.
“Meh la rasa. Sedap mi goreng mamak ni.”
Amy siap tunjuk ibu jari.
Rus segera memandang mi goreng yang
sedang Amy jamah. Tiba-tiba dia berasa pelik. “Eh, sejak bila kau suka mi
goreng mamak?”
“Hmm… sejak terjumpa jejaka misteri kat
restoran,” beritahu Amy dengan ceria.
“Jejaka misteri?” ulang Rus.
“Haah!” Amy mengangguk, kemudian sambung
makan lagi.
“Jejaka mana pulak ni? Tak pernah pun
kau cerita kat aku.” Rus cuba mengingat kembali cerita-cerita yang selalu Amy
kongsikan dengannya. Rasanya tiada satu pun fasal lelaki.
“Alah, baru hari ni aje pun aku terjumpa
dia. Selama ni boleh tak perasan pulak.” Amy tersengih kemudian mengelap
bibirnya dengan tisu.
“So,
apa kena mengena dengan mi goreng mamak? Setahu aku, tak pernah pun kau
sentuh!” Rus semakin tertanya-tanya dengan perubahan selera sahabatnya.
Selalunya selera Amy lebih kepada makanan barat.
“Kalau dah nak memikat si jejaka,
kenalah tahu apa makanan kegemarannya,” beritahu Amy sambil angkat kening
berulang kali.
“Bukan pikat bakal mak mentua dulu ke?”
gurau Rus yang mahu mengusik.
“Kau ni, satu-satulah!”
“Ooo… nanti kalau berdating, kononnya
kau pun mempunyai makanan kegemaran yang sama dengan dia, ya?” sindir Rus pula.
“Bijak pun! Tapi mi goreng ni memang
sedap. Best in the world!” puji Amy lagi.
“Kau makanlah, aku cuma nak minum aje. By the way, siapa gerangan jejaka tu?”
“Buat apa nak tahu? Kau pulak, sampai ke
hari ni tak pernah nak cerita pasal mat salih yang satu koc dengan kau tu.” Amy
mengungkit kisah dua minggu lepas pula.
“Kau masih ingat cerita basi tu?”
Sengaja Rus bertanya, terkejutlah kononnya!
Padahal, dia sendiri masih
terbayang-bayang wajah mat salih. Sweater lelaki itu pun jadi santapan matanya
setiap kali buka almari pakaian. Tempoh hari, dia dapat pandang sipi-sipi
sahaja. Tapi, masakan dia boleh lupa senyumannya yang menawan?
Sekarang pula, sudah bertambah satu lagi
khazanah milik putera kayangan. Kalau sweater biru muda itu dia hadiahkan
kepadanya, bagaimana dengan sapu tangan? Hai, ada sahaja barangan yang jadi
kenangan setiap kali bertemu!
“Itu bukan cerita basi tau,” balas Amy
dengan nada geram. Andai dia bertanyakan fasal mat salih, pandai sahaja Rus
mengelak.
“Aku sendiri dah tak berapa ingat wajah
mat salih tu.” Sengaja Rus beritahu begitu, supaya Amy tidak asyik bertanya
tentangnya.
“Apa la kau ni… patutnya semat dalam
minda. Siapa tahu lain kali kau akan terjumpa dia lagi?”
Rus terus terbatuk sebaik mendengar
celoteh sahabatnya.
“Kuala Lumpur ni besar. Berlambak mat
salih yang rupa mereka hampir sama.” Ada sahaja alasan Rus. Kalaulah Amy tahu cerita
sebenarnya, habislah dia!
Mindanya mengimbau kembali detik
pertemuan di Micasa Hotel. Memang dia tidak menyangka boleh berjumpa kembali
dalam jarak waktu yang singkat. Namun, ketika berbicara dengan Amy, mestilah
berlapik sikit. Dirinya adalah tunangan orang, perlulah menjaga air muka
sendiri. Nanti dituduh tidak setia pula.
“Rupa memang hampir sama, tapi bukan
karakter dia,” tekan Amy.
“Sempat tak berkenalan dengan jejaka
tu?” Tiba-tiba Rus mahu tahu pula. Dari mengingatkan mat salih, baik dia
berkenalan dengan jejaka pujaan Amy.
“Dah jejaka misteri, mestilah tak
sempat. Kau ni pun satu!” Amy merengus, geram.
“Ingatkan dah siap tahu nama dan alamat
rumah sekali,” perli Rus dan terus ketawa. Sesekali dapat bergurau dengan
sahabatnya, rasa seronok juga. Tidaklah asyik dia sahaja yang jadi mangsa
usikannya.
“Kau tak tahu betapa segaknya jejaka ni.
Kalau kau jumpa dia, memang kau akan pandang dia berkali-kali.” Bersungguh Amy
bercerita fasal lelaki idaman hatinya.
“Wow! Teruja pulak aku mendengarnya.”
Rus turut teringin berkongsi rasa dengan
Amy. Dia juga hendak merasai dunia percintaan. Tetapi apakan daya, dia perlu
menunggu selepas bernikah dengan Huzaif baru dapat mengecapinya. Itu pun kalau
ada jodoh dan umur masih panjang.
“Macam mana susah sekalipun, aku akan
selidik siapa lelaki tu,” ujar Amy. Nampak begitu berkobar-kobar semangatnya.
“Peliknya, kenapa sebelum ni kau tak
pernah berjumpa dengan dia, ya? Bukan ke selalu jugak kau minum kat restoran
mamak tu?” tanya Rus.
“Itu jugak yang buat aku musykil. Entah
kenapa, pada hari Jumaat yang berbahagia ni pulak baru aku berpeluang jumpa
dia.”
“Maknanya tak lama lagi la tu. Kalau
berjodoh, boleh kita sama-sama naik pelamin…” ujar Rus. Dia juga sudah
terbayang betapa meriahnya majlis perkahwinan mereka nanti.
“Kalau berjodoh dengan dia, memang
bertuah badan. Akulah yang paling gembira dan bahagia.” Girang sekali hati Amy
ketika menuturkannya.
“Seronok, seronok jugak tapi jangan
berangan lebih-lebih.” Rus mengingatkan.
“Kenalah berangan dulu, baru boleh jadi
kenyataan,” balas Amy pula.
“Okeylah,
aku nak sambung buat kerja,” beritahu Rus sambil membawa air Nescafenya.
Sampai di tempatnya, perlahan-lahan dia
menyisip air minuman kegemarannya. Tiba-tiba dia teringatkan mat salih lagi.
Dia dapat rasakan yang lelaki itu sudah lama menetap di Malaysia. Sebab itu
juga dia boleh berhahasa Melayu dengan fasih sekali.
Buat masa ini, dia hanya boleh berharap
dapat terserempak lagi dengannya di mana-mana. Dia memang tidak senang hati
juga menyimpan barangan yang bukan miliknya. Bertambah risau andai dirinya
menyimpan perasaan tanpa sengaja!