CUTI raya haji, Rus balik beraya di kampung. Sejak awal pagi lagi
emak dan abahnya pergi kenduri sahabat baik mereka. Dia tidak mahu ikut sebab
mahu melepak di rumah. Setelah bersarapan, dia berehat dan berbaring di ruang
tamu sambil menonton televisyen.
Ketika Rus leka membaca majalah, kedengaran suara budak-budak di pintu pagar. Musim raya ini,
mesti ada sahaja tetamu kecil yang tidak dikenali bertandang. Apatah lagi jatuh
pada cuti sekolah pula.
“Assalamualaikum…
abang, kami datang nak beraya! Boleh tak?” Salah seorang daripada tetamu kecil
bertanya pada lelaki yang sedang mencuci kereta.
“Tak boleh,” jawab lelaki itu dengan wajah
serius, sampai salam pun tidak berjawab.
Rus
pasang telinga di balik pintu. Setahunya, lelaki itu suka dengan budak-budak.
Tempoh hari, mudah sahaja dia beramah mesra dengan anak buahnya. Tidak kekok
pun diajak bergurau senda, berlainan sungguh dengan hari ini.
“Alah… kami nak
duit raya aje, bukannya nak makan. Boleh la kami masuk!” rayu budak yang
berbadan besar sedikit.
“Korang
tak faham ke? Tak nampak orang tengah sibuk?” balasnya sambil bercekak
pinggang.
“Boleh
la…” Serentak budak-budak itu merayu.
“Mem besar tengah mengamuk, dia dah pesan jangan kasi sesiapa masuk. Abang ni drebar
aje!”
Rus
terpaksa menahan ketawa. Jawapan paling win
lelaki itu kasi!
“Takkanlah
abang yang handsome ni kerja drebar
aje? Tak cayalah!” Tetamu kecil masih tidak putus harapan. Tangan masih di
pintu pagar, siap goncang lagi.
“Dah,
pergi balik! Roboh pulak pintu pagar tu nanti.” Lelaki itu masih tunjuk garang.
Matanya membulat memandang tiga orang budak kecik yang entah datang dari mana.
“Tak
baik abang marah-marah. Kami datang nak beraya. Tapi kan, abang ni mat salih ke
Melayu?” tanya budak yang berbaju Melayu warna kuning pula.
“Orang
putih!”
“Patut
la handsome…” Pandai sungguh bebudak
itu mengambil hati.
Rus
yang kasihan melihat tetamu kecil, akhirnya menunjukkan diri.
“Dear abang drebar, tolong bukak pintu
pagar tu! Mem besar dah tak marah,” pinta Rus sambil melemparkan senyuman
paling manis.
Lelaki
itu tercengang.
“Bukak
la, mem besar dah bagi,” suruh budak-budak itu.
Lelaki
itu beralih memandang tetamu kecil. “Korang kata tak nak makan, kan?” soalnya.
“Haah!
Kami nak duit raya aje.” Laju sahaja tetamu kecil menjawab.
Abang drebar segera mengambil sampul duit
raya yang ada dalam laci dashboard.
“Nah duit raya, lepas ni main jauh-jauh,” suruhnya.
“Terima
kasih abang,” ucap mereka bertiga dengan gembira.
“Abang,
betul ke kita orang dapat RM30 sorang?” tanya salah seorang daripada mereka.
Budak-budak,
dapat sahaja terus buka sampulnya. Dapat pula RM30, mahunya tidak teruja dan
terkejut? Ketika hari raya puasa pun tidak ada yang beri lebih dari RM10.
“Hmm…
betullah tu.”
“Kayanya
abang drebar. Kalau jumpa mem besar mesti dapat lagi banyak,” sampuk yang lagi
seorang pula.
“Dah,
jangan tamak! Pergi main jauh-jauh, nanti angin mem besar datang balik, susah
abang.”
“Terima
kasih abang,” ucap mereka dan berlalu dengan hati riang.
“Kenapa
tak kasi budak-budak tu masuk? Tetamu datang bawak rezeki tau!” tegur Rus yang
kini berdiri di muka pintu.
“Ya
ke? Alah, ruginya...” Abang drebar pura-pura buat muka terkilan.
“Sian
dia orang berpeluh-peluh,” sambung Rus lagi.
“Rasanya kalau saya yang datang pada Rus,
bawak rezeki jugak, kan?” Abang drebar pamer senyuman meleret.
“Kalau
dia yang datang, memang bawak bala!” balas Rus dan cepat-cepat masuk ke dalam
rumah.
Abang
drebar pantas mengejar Rus. Sekali sauk, mudah sahaja tubuh Rus dia angkat dan
terus berada di bahunya.
“Dia…
lepaslah! Nanti saya jatuh,” suruh Rus yang terkejut dengan tindakan lelaki
itu.
Abang
drebar buat tidak dengar sahaja rayuan Rus.
“Dia!”
jerit Rus sambil memejam matanya. Bertambah kalut apabila dengan selamba sahaja
dirinya dibawa naik ke tingkat atas.
Masuk
sahaja dalam bilik, abang drebar guna kaki untuk tutup pintu bilik. Tubuh Rus
dia baringkan atas katil.
“Dia
ni, saja tau!” marah Rus sambil mengurut dada. Tadi dia rasa macam melayang
nyawa bila badannya berayun. Di tangga tadi, dia terpaksa paut leher lelaki itu
kuat-kuat agar tidak terjatuh.
Abang
drebar hanya tertawa, kemudian turut berbaring di sebelah Rus.
Rus
pula terus membalikkan tubuh membelakanginya.
“Tak
baik awak buat macam tu kat saya. Mana tau, ada rezeki kita…”
“Dia
cakap pasal apa ni?” tanya Rus. Saat ini dia telah berkalih dan memandang
wajahnya.
“Takkan
Rus yang bijak pandai ni tak faham pulak? Rezeki tu bukan duit aje, kan?”
Rus
pura-pura tidak peduli, kemudian dia bingkas bangun dari pembaringan. Baru dia
bercadang membawa diri, sekali lagi dirinya dipeluk. Perlahan-lahan abang
drebar membalikkan badan Rus agar
menghadapnya.
Rus
tunduk sambil menahan debaran di dada.
“I miss you. Rus tak rindukan abang
drebar ke?” soalnya sambil merenggangkan pelukan. Matanya masih menatap wajah
Rus yang serba salah.
“Rindulah
jugak,” balas Rus yang turut berasa segan ketika menuturkannya.
Sebaik
mendengar pengakuan Rus, tanpa membuang masa, tubuh kecil molek itu terus
dicepung.
“Abang!”
Sekali lagi Rus terjerit, mujur dia masih muda dan tiada penyakit jantung.
“Kalau
hari-hari Rus panggil macam tu, kan bagus?”
Tiba-tiba
Rus tersedar yang dia terpanggil dengan panggilan abang.
“Beberapa
hari ni, Rus asyik buat tak kisah aje kat saya,” keluh abang drebar.
“Okey,
saya salah. Tapi, tolonglah jangan buat saya terperanjat dan
terkejut-terkejut!”
“Sedih
tau bila isteri sendiri tak nak bercakap dengan saya.”
“Kan
dah minta maaf?”
“Minta
maaf aje tak cukup! Saya nak macam-macam.”
“Ya
la, apa dia?” Rus bertanya perlahan.
“Sini,”
panggil abang drebar agar Rus rapat dengannya.
“Beritahu
aje la. Cakap perlahan pun saya masih boleh dengar,” ujar Rus sambil memejam
matanya.
Abang drebar tetap membisikkan sesuatu di
telinga Rus. “Dengar tak apa yang saya cakap?”
“Ya,
saya dengar…” jawab Rus.
“So?”
“Dia
yang saya kenal, kan seorang yang penyabar? Kejap lagi saya nak masak. Karang
dia jugak yang lapar.” Rus tersenyum melihat wajah monyok lelaki itu.
“Lepas
zuhur nanti boleh aje makan kat luar.”
Rus
bangun dari katil, tetapi abang drebar lagi pantas menghalang.
“Lepaslah!”
rayu Rus.
“No!”
“Saya
kata lepas, lepaslah!”
“No!” tegas abang drebar lagi.
“Lepaslah!”
jerit Rus sambil meronta-ronta sekuat tenaga.
“Rus,
kenapa ni?” tanya Hajah Kalsum yang baru pulang ke rumah. Cemas dia melihat
keadaan Rus. Tangannya terpaksa memegang kuat tangan anaknya yang asyik menepis
ke kiri dan kanan.
“Rus!”
Kali ini suara Hajah Kalsum bertambah kuat.
Rus
tersentak dan terus kaku. Wajah emaknya dia tatap tanpa berkelip.
“Rus
mimpi apa siang-siang hari ni?”
Rus
menggeleng lemah.
“Ni
dah solat zuhur ke belum?’ tanya Hajah Kalsum lagi.
Rus
terus pandang jam di dinding. “Belum…”
“Dah
nak kahwin pun menggigau siang-siang hari!” tegur Hajah Kalsum, kemudian
berlalu ke dapur.
Rus
berasa amat malu dengan emaknya. ‘Aduhai… macam manalah aku boleh menggigau
pasal dia?’ keluhnya.
Paling
merisaukan Rus, ini kali kedua dia termimpikan lelaki itu. Malah, boleh siap
terkahwin lagi. Memang tak boleh jadi. Entah-entah pada sweater dan sapu tangan
itu ada benda yang dicalitnya!