Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
128,896
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

KALAU tidak kerana perintah Haji Salleh, jangan harap dia hendak mengadap orang tua yang memang kaki kecoh itu. Hal semalam, bukan salah dia pun. Usin Jingga yang cari pasal dahulu. Sibuk sangat nak baca sajak cinta di kolam ikannya apa hal. Nak baca sajak pergi Central Marketlah!

Tetapi Liyana sedar, niat Haji Salleh mahu dia meminta maaf supaya dia sedar, seteruk mana pun hal yang terjadi, orang tua wajib dihormati. Itu didikan Haji Salleh sejak dia kecil lagi.

Liyana memberhentikan motosikalnya di luar perkarangan rumah Makcik Siah Speaker. Kedua-dua belah tangannya diangkat bagaikan orang sedang berdoa. Terkumat-kamit mulutnya. Entah doa apa yang dibaca si Liyana ini. Jangan doa buka puasa sudah!

Selesai membaca doa yang entah apa-apa itu, Liyana menyembur ke kiri, kanan dan seterusnya ke hadapan. Tiba-tiba...

“Matahari dah terik, embun apa lagi dok menitik kat muka aku ni.”

Terjengul tubuh Makcik Siah Speaker dari sebalik pokok bunga kertas yang merimbun di jalan masuk perkarangan rumahnya. Rimbunnya pokok bunga kertas itu sehingga menjadi seolah-olah pintu gerbang untuk memasuki halaman rumahnya.

Liyana tepuk kepala. ‘Aduh! Salah timinglah pulak,’ desisnya.

Rupa-rupanya semburan jampi Liyana tadi sudah mengenai muka Makcik Siah Speaker. Alamat, tumbuh jerawatlah muka Makcik Siah Speaker lepas ini. Hahaha...

Hang?” jerit Makcik Siah Speaker sebaik melihat muka Liyana yang tersengih bagaikan kerang busuk di hadapannya.

“Ya Cik Siah. Saya ni,” sahut Liyana.

Wajah Makcik Siah Speaker terus menyinga. “Hang buat apa kat rumah aku ni hah? Ooo...hang nak main mandrem dengan aku ya? Sampai muka aku hang sembur,” tuduh Makcik Siah Speaker melulu.

“Eh! Bukan. Nana bukan nak mandremCik Siah.” Liyana pantas menafi.

Makcik Siah Speaker menghampiri Liyana. Sebelah tangannya mencekak pinggang manakala sebelah lagi memegang penyapu.

‘Ish! Cik Siah ni pun. Tangan tu sedia-sedia dengan penyapu saja. Kerja menyapu aje ke?’ Liyana masih sempat bermonolog dalam hati.

Makcik Siah Speaker langkah setapak ke hadapan, Liyana langkah setapak ke belakang. Makcik Siah Speaker langkah lagi, Liyana undur lagi.

Hang buat apa datang sini?” soal Makcik Siah Speaker penuh curiga.

“Errr...” Liyana sedikit gentar dengan wajah garang mak mentua tak jadinya.

Hang buat apa datang sini?” jerkah Makcik Siah Speaker membuat Liyana terkejut bagaikan mahu luruh jantung.

“Nak mandrem Cik Siah!” Hambik kau! Sekali terlatah daa...

Hidung Makcik Siah Speaker terus kembang kempis. “Hah! Kan aku dah cakap tadi. Hang mai memang ada niat tak elok. Siap hang,” tengking Makcik Siah Speaker sambil mengangkat penyapu di tangannya. Bersiap sedia mahu melibas Liyana.

“Eh! Bukan...bukan. Ala, Cik Siah. Janganlah tempik macam tu. Terkejut Nana tau.” Liyana segera mengangkat tangan meminta Makcik Siah Speaker menghentikan niatnya untuk melibas.

“Aku tak percaya dengan hang. Hang mai terhendap-hendap depan rumah aku, mesti ada apa-apa. Hang nak mengendap Usin ya?” tuduh Makcik Siah Speaker lagi.

Liyana terkejut ala-ala beruk. ‘Aku nak mengendap Usin Jingga? Apa kes pula aku nak mengendap hamba ALLAH tu. Tak ada logika langsung!’

“Ish! Tak ada maknanya Nana nak ngendap anak Cik Siah tu aih,” sangkal Liyana dengan wajah jengkel.

“Eh! Nana. Laa...buah hati Usin mai rupanya. Usin ingat siapa tadi. Awat tak masuk dalam rumah?” Usin Jingga tiba-tiba muncul di antara Liyana dengan Makcik Siah Speaker. Tersengih-sengih dia apabila melihat si pujaan hati ada di depan rumahnya.

Liyana sengih paksa. “Takpa. Nana mai bukan nak masuk rumah.”

“Janganlah macam tu. Usin suka Nana mai rumah Usin. Jomlah masuk rumah,” pelawa Usin Jingga bersungguh-sungguh.

Dia sudah merapati Liyana lantas mahu memegang tangan Liyana. Namun Liyana lebih pantas mengelak. Dan hasrat Usin Jingga terus terbantut apabila telinga terasa perit.

“Amboi...amboi...amboi. Hang ingat aku kat sini jadi tugu burung helang kat Dataran Lang tu ke? Tengok saja slot Akasia hangpa,” tempik Makcik Siah Speaker. Tangannya begitu rancak memulas telinga Usin Jingga.

“Adoi sakit mak, sakit. Adoi!” jerit Usin Jingga menahan keperitan di telinganya.

“Tau pun sakit. Yang hang gatal dok ajak budak tak guna ni masuk ke rumah pasal apa?” jerkahnya lagi.

“Mak! Ni bukan budak tak guna. Nana ni marka Usin lah.” Usin Jingga menjawab.

Liyana tiba-tiba terasa geli-geleman mendengar perkataan ‘marka’ dari mulut Usin Jingga. Hisy, minta simpang.

“Ooo...marka hang.” Makin keras pulasan di telinga Usin Jingga. Sampai terginjat-ginjat Usin Jingga cuba membebaskan telinganya dari terus mangsa siksaan maknya. Mulutnya tidak henti-henti mengaduh sakit.

Liyana yang melihat terasa ngeri. ‘Ganas betul Makcik Siah Speaker ni. Dengan anak sendiri bukan main lagi dia bantai. Kalau aku, lunyai gamaknya. Syukur tak jadi menantu dia.’

“Takpalah Cik Siah. Sudah-sudahlah tu. Karang takde telinga pula anak Cik Siah ni.” Liyana cuba menyelamatkan keadaan. Kasihan pula dia melihat Usin Jingga.

Hang diam! Nanti dengan hang sekali aku pulas telinga. Nak?” tengking Makcik Siah Speaker.

Terdiam Liyana dibuatnya. Sayang telinga weh!

“Mak janganlah buat Nana. Kesian dia.” Usin Jingga memang tak tahu serik. Tengah sakit pun masih mahu tunjuk hero.

Hang pi masuk! Sebelum penyapu aku ni libas belakang hang, pi masuk!” arah Makcik Siah Speaker. Telinga Usin Jingga akhirnya dilepaskan juga.

“Ala, mak. Usin nak sembang dengan Nana.” Usin Jingga cuba membantah.

“Masuk!” Tiada kompromi dengan Makcik Siah Speaker.

Usin Jingga tarik muncung panjang. Hampa hatinya mahu bermesra-mesra dengan Liyana pujaan hati. Dia memusing ke belakang sambil berjalan menghentak-hentak kaki.

‘Alolo...comel pulak Usin Jingga jalan hentak-hentak kaki macam tu.’ Liyana sempat ketawa dalam hati.

Hang sengih-sengih pasal apa?” Makcik Siah Speaker kembali menempik Liyana.

Mati senyuman Liyana. Makcik Siah Speaker ni pun. Tak boleh ke cakap elok-elok? Asyik nak menempik saja. Nasib baik tak jadi menantu. Kalau tidak, baru sebulan duduk dengan dia, mesti boleh kena heart attack. Confirm!

Hang jangan cuba-cuba nak kacau anak aku. Hang tu tak layak. Hang perempuan bawa sial!” Makcik Siah Speaker terus menghamburkan kemarahannya kepada Liyana.

Liyana terdiam. Balik-balik soal sial yang diungkit orang. Tiba-tiba hatinya terasa pilu.

“Nana datang bukan nak kacau Usin atau Cik Siah. Nana datang ni sebab tokwan suruh Nana minta maaf dengan Cik Siah pasal semalam. Walaupun hal semalam bukan salah Nana, tapi Nana tetap hormat Cik Siah sebagai orang yang lebih tua. Jadi Nana datang ni, nak minta maaf,” terang Liyana panjang lebar. Tiada lagi senyuman di wajahnya.

Makcik Siah Speaker mencebik meluat mendengar kata-kata Liyana. Satu pun tidak masuk di hatinya. Apa sahaja tentang Liyana, dia memang tidak berkenan habis.

“Dah, pergi balik! Aku tak terima maaf perempuan sial macam hang tu. Pi balik pi. Nanti tertinggal pulak sial hang kat rumah aku ni.”

Liyana terus-terusan dihina. Semakin pilu hatinya. Namun kepiluan itu tidak langsung ditunjukkan pada riak wajahnya. Liyana tetap menayang muka selamba tidak bersalahnya. Di dalam hati, hanya ALLAH yang tahu.

“Cik Siah. Tak baik cakap macam tu.”

Terdengar suatu suara menyampuk dari arah belakang Liyana. Makcik Siah Speaker terus mengalih pandangannya. Begitu juga dengan Liyana. Mahu melihat siapakan gerangan yang begitu berani menegur Makcik Siah Speaker.

Ijam! Liyana sudah terbeliak mata memandang Ijam yang sedang menongkat motosikalnya. Langsung dia tidak menyangka Ijam akan datang di saat-saat macam ini. ‘Hang memanglah sahabat aku Ijam,’ desis hati Liyana. Hatinya mula disapa perasaan lega.

Makcik Siah Speaker pula kembali menyinga wajahnya. Pantang sungguh kalau ada yang menyanggah kata-katanya. Anak muda mentah pula tu.

Hang jangan nak masuk campur!” Dia beralih memarahi Ijam pula.

“Saya bukan nak masuk campur Cik Siah. Tapi kawan saya ni datang elok-elok nak minta maaf. Bukan nak cari gaduh. Yang Cik Siah nak hina dia tak tentu pasal kenapa?” Ijam begitu berani menjawab. Langsung tiada tanda dia takut dengan Makcik Siah Speaker yang cukup terkenal dengan garangnya.

Sebetulnya, Ijam memang pantang kalau mendengar ada orang yang menghina Liyana dengan perkataan sial. Dia tidak faham kenapa masih ada beberapa kerat orang kampung ini yang masih percaya dengan cerita-cerita mengarut sebegitu. Zaman dah berubah, dunia dah maju tapi masih ada lagi yang hidup di bawah tempurung.

Makcik Siah Speaker menjuih bibirnya. Meluat mendengar pembelaan Ijam. Cakaplah apapun, dia tetap percaya, Liyana pembawa sial.

Hang tak payah nak jadi peguambela pulak kat sini. Hang, dengan hang, pi balik sebelum penyapu aku ni naik ke badan hangpa,” halau Makcik Siah Speaker bersama amaran keras. Jari telunjuknya menghala ke muka Liyana dan Ijam bersilih ganti.

“Eleh, penyapu dia saja yang dia kira. Kami pun ada penyapulah.” Ijam masih belum letih menjawab.

Liyana terkebil-kebil memandang Ijam. ‘Bapak giler berani mamat ni hari ni. Tadi masa ajak ke sini, kemain takut lagi. Termakan makjun ‘kuat salasa’ ke?’ gumam hatinya.

“Budak-budak tak guna. Pi balik!” jerkah Makcik Siah Speaker sambil mengangkat kembali penyapu di tangannya.

“Wei, blah wei! Cik Siah dah naik minyak tu,” bisik Liyana pada Ijam. Dia sudah bersedia mahu menghidupkan enjin motornya.

Ijam juga melakukan perkara yang sama. Namun mulut tetap mahu berkata-kata. “Memang kami nak balik pun.”

Serentak itu, Liyana dan Ijam sama-sama menghidupkan enjin motor mereka lalu memecut meninggalkan Makcik Siah Speaker sendirian. Liyana masih sempat berpaling ke belakang dan berkata, “Cik Siah, orang minta maaf tau!” Perintah Haji Salleh tetap dilaksana.

“Budak-budak kurang ajar!” hamun Makcik Siah Speaker sambil meludah ke tanah.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.