Home Novel Komedi/Romantik Komedi Trio ZAF
Trio ZAF
Izatul Husna
31/7/2024 11:53:56
1,828
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 1

"ALHAMDULILLAH. Siap juga akhirnya."

Dua bekal berisi sandwic telur mayones dan beberapa kepingan ayam katsu ditutup rapat. Sebotol air putih turut disediakan. Kedua-dua bekal dimasukkan ke dalam sebuah beg kertas. Botol air pula disumbat di tepi poket beg sekolah.

"Jimat duit belanja aku," katanya sambil tersengih.

Jam dinding dilirik seketika. Jarum panjang berada di nombor sepuluh.

"Dah boleh bersiap ni." Dia melangkah menuju ke bilik tidur melepasi ruang tamu.

Tudung sekolah yang tergantung di belakang pintu diambil lalu disarungkan. Ketika dia melipat tepi tudungnya, pintu bilik yang tidak ditutup rapat, diketuk dua kali.

Daun pintu ditolak perlahan. Dia tidak menoleh. Cermin sebesar pintu almari baju bertentangan dengan pintu bilik. Boleh lihat siapa yang datang tanpa memusingkan badan. Kelihatan sesusuk wanita berusia pertengahan 40-an di muka pintu.

"Firus buat bekal lebih untuk siapa?" soal ibu.

Gadis bernama Firus Iris memusingkan tubuh menghadap ibu.

"Untuk perut dan jiwa Firus," jawab Firus senang hati. Dia memberikan sekuntum senyuman buat ibu tercinta.

Ibu menggeleng kecil.

Lawak hambar Firus selalunya hambar. Sekiranya ada pertandingan lawak paling hambar, Firus berpeluang untuk menjadi naib juara.

"Ibu balik lambat sikit tau hari ni."

"Okey."

Mereka berdua serentak menuju ke ruang tamu. Firus mengambil beg kertas bekalnya sebelum menyarung kasut hitam sekolah. Ibu Firus memerhati di tepi. Selesai mengikat tali kasut, Firus berdiri menghadap ibunya dan menghulurkan tangan. Ibu Firus menyambut.

Firus mengucup tangan ibu dan bersuara, "Ibu, Firus pergi sekolah dulu. Doakan Firus ya."

Kepala Firus diusap lembut. Ibu Firus mengangguk.

Beg kertas dicapai. Firus menghadap pintu rumah. Bersedia untuk menempuh hari persekolahan dengan penuh iltizam.

"Firus."

Firus menoleh ke belakang saat ibu memanggilnya. "Ya?"

"Beg kamera tak bawa ke?"

Firus menatap wajah ibunya tidak berkelip-kelip. Suasana sepi seketika.

"Hari ni, hari apa ibu?"

"Hari Is ...."

Dahi Firus ditepuk.

"Beg kamera! Ke sini kau!"

Belum sempat ibu menghabiskan perkataan, Firus sudah bersejengket masuk ke dalam biliknya untuk mengambil beg kamera. Ibu Firus menggeleng melihat anak daranya tidak menanggalkan kasut sekolah terlebih dahulu.

Firus segera berlari semula ke pintu utama rumah dan menyalami tangan ibu setelah mendapatkan beg kameranya. Tubuh ibu dipeluk erat dengan pantas.

"Firus pergi dulu, ibu."

"Hati-hati."

Pintu rumah ditutup rapat. Beg kertas dijinjing kemas. Beg kameranya pula disangkutkan di bahu kiri.

Langkah kakinya sengaja dilajukan. Sejuk pagi menggigit kulit. Syukur Firus memakai sarung lengan yang sedikit tebal. Firus mengerling jam tangannya.

"Sempat ni," katanya perlahan.

"Apa yang sempat?"

"Sempat nak minta ...."

Barulah Firus menoleh ke kanan melihat empunya suara. Seorang pelajar lelaki serba biru dan di belakangnya ada beberapa pelajar perempuan gedik mengekorinya.

Zamrud Hadi.

Firus mencebik.

"Boleh tak jangan buat hal pagi-pagi ni?"

"Hal apa?" tanya Zamrud ketika menyamai rentak langkahnya dengan Firus.

Firus memberi isyarat melalui ekor matanya.

Zamrud mengerti. Dia mengintai ke belakang seketika.

Firus meneruskan langkah seraya menggeleng. Dia rimas dengan kehadiran pelajar-pelajar perempuan yang mengekori Zamrud. Terkepit-kepit, tutup muka dengan hujung tudung dan berlaga-laga bahu sesama mereka. Gedik sungguh!

Zamrud menghentikan langkahnya secara tiba-tiba. Mereka di belakang turut berhenti sama.

Zamrud menoleh sedikit ke belakang.

"Siapa ikut belakang aku dalam jarak satu meter, aku sumpah dia jadi katak," gertak Zamrud.

Zup! Berdesup pelajar-pelajar perempuan tadi hilang dari pandangan Zamrud. Zamrud tersenyum bangga apabila ugutannya menjadi. Dia segera mendapatkan Firus yang mula mendahului perjalanan.

"Aku sumpah jadi katak," ajuk Firus.

Senget bibir Zamrud mendengar ajukan Firus.

"Kau nak jadi katak sekali ke?" soalnya.

Firus mengeluh pendek. "Kalau aku jadi katak, siapa nak tangkap gambar kau masa berucap nanti?"

Zamrud mengangguk setuju.

Beg kertas Firus menarik perhatian Zamrud. Jarang sekali Firus membawa beg kertas. Selalunya beg kamera.

"Rus, kau bawa apa tu?"

"Bekal untuk akhirat."

Sepi.

"Kau dan hambar, berpisah tiada," kata Zamrud selamba.

Firus tersengih. Dia menghulurkan beg kertasnya kepada Zamrud. "Nah."

Zamrud kaku.

Dia memandang Firus dan beg kertas itu silih berganti. Lambat-lambat Zamrud menyambut sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. "Untuk aku ke? Weh, nanti apa orang lain kata? Aku tak buka lagi kelab peminat."

Kelab peminat?

Firus menjegil sebelah mata.

"Kau dengan perah santan, berpisah tiada."

Zamrud tersengih. Belum sempat dia membalas kata-kata Firus, Firus menolak beg kamera ke tubuhnya. Sipi sahaja lagi beg kamera terkena mukanya yang secubit kacak.

"Oi, oi, oi."

Zamrud terpaksa menyambut beg kamera Firus tanpa sempat menolak. Bibirnya terherot-herot menahan geram.

Firus menepuk tangan sekali. "Tolong bawakan beg kamera aku sekali. Terima kasih."

Firus tersenyum. Dia berjalan dengan senang hati. Haruslah senang. Tiada beban yang perlu dipikul. Ada tukang bawa.

Zamrud melihat Firus ceria membulinya. Dia menggeleng. Beg kertas dibimbit dengan tangan kanan. Beg kamera pula disilangkan ke dada.

"Tak pernah murid biasa buli ketua pengawas," omelnya.

"Siapa suruh jadi ketua pengawas?" balas Firus. Dia memegang erat tali beg sekolahnya.

Zamrud merentap perlahan beg sekolah Firus dari belakang. Firus terhenti melangkah.

"Eh, cik kak. Aku dipilih. Nampak tak aku ni sangat disukai guru-guru. Pelajar perempuan pun suka aku. Mak cik-mak cik kantin pun suka aku."

"Pelajar lelaki suka kau tak?"

"Aku luruslah, budak." Sepet mata Zamrud menjawab soalan Firus. Beg sekolah Firus dilepaskan.

Firus membulatkan bibir. Dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil dan sebatang pen hitam dari poket baju kurungnya. Hujung pen ditekan. Dia menulis sesuatu sambil berjalan.

"Kau tulis apa? Mesti pasal aku kan?" tanya Zamrud tidak tenang. Rambutnya dirapikan.

"Masya-Allah. Perasannya ...."

Firus mendaki susur gajah bertangga menuju ke pintu pagar utama sekolah. Zamrud mengejarnya di belakang. Beg kertas Firus hampir terlepas dari pegangannya. Cepat-cepat Zamrud mengemaskan buku limanya.

Serupa sang suami terpaksa membawa beg plastik dan beg kertas sang isteri yang baru sahaja selesai membeli-belah dengan kad debit milik sang suami.

Gad di pagar utama menyapa mesra. Mereka berbalas senyuman. Tanpa sedar, Zamrud ketinggalan di belakang. Firus maju dengan buku nota kecilnya.

Giliran Zamrud pula melepasi pagar sekolah. Gad sudah mengangkat sebelah tangannya. Pengawas yang bertugas di pagar sekolah turut menegur Zamrud.

"Amboi, banyaknya kamu bawa beg. Pindah rumah ke?" usik gad.

Zamrud membalas dengan sengihan. Saat dia mengangkat kepala, pemegang beg kertas Firus tiba-tiba terkoyak.

Zrap!

Mereka terdengar bunyi carikan yang agak kuat. Perlahan-lahan mata Zamrud jatuh pada beg kertas di tangan kanannya.

Dua bekal makanan mula terkeluar dari beg kertas.

Terbuntang luas mata Zamrud. Bekal pertama hampir terjatuh. Pantas Zamrud menahan dengan beg kamera Firus. Malangnya, bekal lagi satu tidak melekap pada lantai. Malah, bergerak seperti roda menuruni tangga.

Zamrud tergamam.

Satu per satu anak tangga dituruni. Tiada seorang pun sudi menahan bekal makanan itu. Mereka lebih berminat untuk melihat kesudahan ekspedisi tersebut. Zamrud sudah berserah kepada Tuhan.

Kelajuan bekas makanan itu semakin perlahan dan berpusing-pusing sebelum rebah di atas lantai hadapan tembok sekolah. Zamrud menghela nafas kelegaan apabila bekal makanan itu tidak terjatuh ke dalam longkang.

Seorang pelajar lelaki mengutip bekas makanan itu. "Siapa punya bekal ni?"

Ramai pelajar memberi perhatian kepada pelajar lelaki itu. Namun, tiada seorang pun yang mengaku. Lelaki itu menggoncang-goncangkan bekal itu ke atas.

"Siapa punya ni? Helo?"

Tiada jawapan.

Zamrud di pagar utama sekolah sudah memegang kepala.

"Kenapa digoncangnya bekal tu? Ya Allah."

Keluhan Zamrud menyedarkan gad di sisi. Gad tadi segera memanggil pelajar lelaki yang berada di anak tangga pertama.

"Aney! Bekal itu ketua pengawas!"

Lelaki itu menghentikan goncangan. Cepat-cepat dia menoleh ke arah gad yang menjerit dari atas.

"Aney punya ke?" jerit lelaki itu pula.

"Bukan! Aney ini punya!"

Gad menuding ke arah Zamrud beberapa kali.

"Habislah. Habislah aku." Zamrud menepuk dahinya.

Pelajar lelaki itu segera mendaki tangga sambil memegang erat bekal tadi. Tiba di atas, pelajar lelaki itu berdiri di sisi gad. Dia menghulurkan bekal dengan cermat kepada Zamrud.

"Kau punya ya?"

Tangan kanan Zamrud ditarik. Bekal tadi diletakkan di atas telapak tangan kanan Zamrud.

"Ambillah. Sudah, sudah. Jangan menangis." Tenang pelajar lelaki itu berkata sambil menepuk-nepuk bahu kiri Zamrud.

Zamrud mengangkat kepala.

Saat mereka bertentangan mata, senyuman pelajar lelaki itu pudar. Zamrud mengecilkan matanya melihat wajah pelajar lelaki itu.

"Awan Idris ...."

"Uish, Zamrud! Awal kau datang sekolah. Pelajar contoh."

"Kan?"

Gad dan pengawas yang bertugas asyik melihat sketsa yang berlangsung di hadapan mereka. Zamrud segera merangkul leher Awan dan membawanya menuju ke surau sekolah. Awan terjengket-jengket ketika diheret. Beg kertas dan bekal tadi diserahkan kepada Awan. Beg kamera Firus dibawa oleh Zamrud.

Mereka berdua segera menyorok di sebalik tembok tempat mengambil air sembahyang lelaki. Zamrud melilau ke kiri dan ke kanan memastikan tiada kelibat Firus berdekatan.

"Wan, ini kerja gila ni, Wan. Kau tahu tak bekal siapa yang kau goncang macam kena histeria tadi?" soal Zamrud cemas.

"Kau punyalah kan? Apa masalahnya?"

Jawapan dijawab dengan soalan.

Zamrud mengusutkan rambutnya. Awan kekal tenang tidak tahu apa-apa. Polos.

"Ini kerja gila, Wan. Gila!" Zamrud berjalan mundar-mandir. Dagunya dicubit.

Awan meletakkan beg kertas yang sudah terkoyak di atas anak tangga surau. Sebuah bekal makanan dikeluarkan dari beg itu.

Bekas berwarna putih dan penutupnya warna biru laut.

"Macam kenal bekas ni. Kau punya kan?"

Zamrud laju menggeleng.

Awan duduk di atas tangga surau lalu membuka penutup bekal itu dengan penuh berhati-hati. Zamrud yang sedar akan kelakuan Awan segera menghampirinya.

"Rosak ke? Tumpah?"

Awan melepaskan satu keluhan berat. Dia menggeleng perlahan. Zamrud kelihatan sangat cemas ketika Awan belum membuka penutup bekal itu sepenuhnya. Awan memilih untuk merapatkan kembali penutup bekal makanan.

Dahi Zamrud berkerut-kerut melihat tindakan Awan.

"Apa hal?" tanyanya.

Awan menggeleng bersulamkan decitan. "Belum lagi buka bekal ni, aku dapat rasakan ... kemusnahan yang ... dahsyat."

Zamrud pantas berdiri. Dia kembali berjalan mundar-mandir sambil menggeleng. Belakang kepalanya digosok-gosok.

"Habis ... habis ...," ucapnya tanpa henti.

"Siapa punya bekal ni? Takkan kau buat. Kau tu mana reti makan guna sudu garpu. Makan mi pun guna tangan."

Pap! Pap! Pap!

Kedua-dua belah bahu Awan ditepuk-tepuk. Zamrud berdiri di hadapan Awan, menunduk.

Awan tidak memberikan sebarang reaksi ketakutan atau kerisauan. Haruskah dia risau akan Zamrud yang sedang bersusah hati atau risau dengan isi bekal yang dia sendiri tidak tahu siapakah pemiliknya yang sebenar?

"Wan."

"Apa?"

"Tu bekal ...."

"Bekal siapa?"

Zamrud merapatkan mulutnya ke telinga Awan. Dia membisikkan jawapan.

Debuk!

Bekas makanan yang dipegang oleh Awan tadi tiba-tiba terjatuh dari tangannya. Matanya membulat. Zamrud menepuk-nepuk bahu Awan yang sudah kaku seperti rohnya keluar dari mulut.

Bekal yang terjatuh tadi cepat-cepat diangkat lalu dikemaskan. Zamrud kembali berjalan wang-wing.

Awan meletakkan bekal tadi di atas tembok yang lebih tinggi. Dia menanggalkan kasut dan stoking. Kemudian, dia berjalan menuju ke tempat berwuduk. Kepala pili dibuka. Air mutlak deras mengalir.

"Kau nak buat apa?" tanya Zamrud khuatir.

"Aku nak solat taubat. Mana tahu hari ni, hari terakhir aku hidup," jawab Awan sayu.

Zamrud segera meniru perbuatan Awan. Hujung lengan baju panjangnya dilipat kemas ke belakang. Mereka berdua mengambil air sembahyang bersebelahan. Sesudah itu, mereka berdua mendaki tangga masuk ke beranda surau.

Ibu kunci dipegang. "Surau berkunci. Kita solat dekat luar ni," kata Zamrud.

Awan membentangkan dua tikar sejadah.

"Kau imam, aku muazin." Awan mula meletakkan jari telunjuk kanannya ke dalam telinga.

Puk!

Zamrud memukul kepala Awan.

"Otak kau solat sunat ada azan."

"Aku saja nak test kau."

Tanpa mereka sedar, ada seseorang sedangmemerhati mereka berdua dari belakang. Di tangannya ada sesuatu.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna