Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tunggu Dulu, Cinta!
Tunggu Dulu, Cinta!
Ayu Emelda
15/11/2014 11:22:33
38,469
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

MULUT Jinny dari tadi berkicau tanpa henti bertanya itu ini. “Hensem ke? Ada iras-iras pelakon? Penyanyi? Kau dah jumpa dia? Bila kau jumpa dia? Macam mana orangnya? Baik ke? Blah... blah... blah...”

Penat dia hendak menjawab. Nasib baik Jinny tak ada di sebelah. Kalau tak, dah lama dia tampal plaster mulut teman baiknya itu.

“Bila kau kenal dia Aivy? Skandal gila kau... kelllasss... sekarang baru teringat nak bagitahu aku?”

Saat itu dia boleh bayangkan tangan Jinny mengipas-ngipas mukanya. Gaya baru dapat cerita gosip terhangat. Macam dia pula yang dipinang orang.

“Sampai hati kau berahsia dengan aku. Sekarang baru nak cerita, kenapa tak tunggu tahun depan? Tak pun tunggu lepas kau dengan dia dah nikah. Tunggu naik pelamin baru kau ingat kawan kau yang nama Jinny ni,” hambur gadis itu panjang lebar. Sampai tak sempat nak tarik nafas.

“Oi cik kak... kau dengar dulu apa aku nak cerita boleh tak?” Suara Aivy sudah naik satu oktaf.

Gulp! Jinny di seberang sana tercekik. Terkebil-kebil dengan suara Aivy yang melantun tiba-tiba. Membuatkan akalnya yang teruja overdosesebentar tadi, kembali ke dunia nyata.

“Aku tak pernah kenal dengan dia. Jumpa pun belum. Hensem ke... muka senget ke... ala-ala selebriti ke aku tak tahu.”

Jinny diam bila kena libas.

“Arrr?!” Jinny jadi lebih saspens.

“Aku pernah cerita dengan kau pasal Uncle Ibrahim...”

“Uncle mangkuk tingkat tu?” Dengan tak sabarnya, Jinny memotong.

“Biar la aku habiskan cerita dulu. Kau jangan potong boleh tak? Nanti aku offaje telefon ni.”

“Oh... ya... yalah...”

“Yang aku tahu nama dia Kamal... Kamal Noah bin Ibrahim. Umur... dia lebih tua. Aku tak pasti sangat, mungkin lima atau enam tahun.”

Aivy mula buka cerita dari A sampai Z. Bagaimana dia kenal dengan Uncle Ibrahim. Bagaimana lelaki itu bertanya soalan yang hampir membuatkan dia tumbang. Tapi ironinya, hanya salah sangka.

Dan yang paling penting, perbualannya dengan lelaki bernama Kamal semalam. Ada sesuatu tentangnya yang membuatkan dia tertarik. Bahkan permintaan untuk bertemu keluarganya membuatkan dia berat mahu menolak.

“Jadi, kau nak aku temankan kau?”

Aivy mengangguk perlahan-lahan seolah-olah Jinny boleh nampak apa yang dia sedang buat.

“Aivy!” Suara Jinny melantun bila temannya diam.

“Yalah... kau tolong temankan aku jumpa Kamal dengan keluarga dia nanti. Ibu aku tu bukan setakat beri green light, disuruh-suruh lagi adalah.”

Aivy masih teringat-ingat suara ibu pagi tadi.

“Elok sangatlah tu. Pergilah berkenal-kenalan dulu. Manalah tahu kalau dah jumpa nanti, ada chemistry. Bila?”

“Esok...”

“Lah... ingatkan malam ni jugak. Kenapa lambat sangat? Kenapa kena tunggu sampai esok?”

“Ibuuu...” Dia pula yang walang.

Senyuman manis bergula ibu memang tak boleh diselindungkan lagi. Sampai tersungging semua gigi depan.

“Kau tak menyesal ajak aku?”

Suara Jinny menghalau kenangan pagi tadi. “Kau sahaja orang kanan dan orang harapan aku.”

“Okay, confirm!” Jinny terjerit riang. “Cuma...”

“Aku pantang betul kalau kau mula dengan perkataan saspens macam tu. Jangan nak buat spoil moodaku boleh tak?”

“Khairy...”

Nama itu membuatkan Aivy diam membisu. Buat seketika, wajah lelaki itu menjelma. Segera ditepis.

“Kau dah boleh lupakan dia?”

"Kalau boleh sebut nama dia pun, aku tak mahu dah.”

“Eloklah. Aku pun nak tengok kau bahagia, Aivy.”

Hakikatnya dia terpaksa melupakan Khairy. Dengan payah! Nanar juga hidupnya bila cinta yang disulam sejak di bangku sekolah berakhir dengan tragis. Sebuah perpisahan yang begitu menyakitkan!

Dia hanya mendoakan lelaki itu bahagia. Moga berkekalan dengan cinta barunya. Dengan rumah tangga yang telah dibina dengan gadis lain.

“Kau okey?”

Suara Jinny menarik Aivy kembali ke alam realiti. “Aku tak apa-apa.”

Sebaik memutuskan talian, Aivy menghela nafas panjang. Kamal. Mungkin ada baiknya dia beri peluang kepada dirinya untuk mengenali lelaki itu. Betapa dia rasa gementar untuk bertemu dengan lelaki itu. Dalam dadanya huru-hara. Bagai popcorn tengah meletup-letup dalam microwave.

Tubuhnya direbahnya ke tilam Dreamland. Dengan posisi yang cukup santai, akalnya mencongak sendiri. Rasa cukup selesa walaupun hanya tilam secondhand. Hasil ehsan Mak Cik Sakinah, bekas jiran sebelah rumah. Katanya anak dara dia nak beli tilam baru untuk majlis nikahnya nanti.

Aivy mendesah panjang. Menepuk tilam Dreamland itu dua, tiga kali. Mengharap agar dia akan mimpi yang indah-indah malam ini. Mungkin termimpikan Kamal Noah. Bagaimanakah orangnya?


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayu Emelda