6,398
Kategori:
Genre:
Bab 2

PAKAIAN Kaiser aku campak ke tangga. Geram aku masih belum habis. Semua barang-barang kepunyaan dia juga aku buang bersama. Habis segala syampoo, deodorant bersepai ke lantai dan terkena baju-baju Kaiser.

Aku puas. Aku pasti Kaiser akan mengamuk dan pukul aku. Memang itu yang aku nak agar aku ada bukti yang Kaiser kasari aku.

Lalu, aku masuk semula ke bilik menanti kepulangan dia. Walaupun hati terasa debar, aku dah nekad. Aku akan lawan dan paksa lelaki tu ceraikan aku!

Telefon bimbit aku letak di hujung almari solek. Di tempat yang agak tersorok agar aku boleh rakam semua perbuatan Kaiser dan simpan sebagai bukti.

Hampir setengah jam aku tunggu. Namun, Kaiser tak balik-balik lagi. Tapi, telinga aku menangkap bunyi dari ruang tamu. Macam ada orang dekat bawah.

Lantas aku capai telefon dan berjalan menuju ke pintu bilik. Perlahan aku buka pintu itu dan menjengah ke tangga.

Ada bunyi suara TV.

Takkan Kaiser dah balik? Kalau dah balik, dia tak nampak ke baju-baju dia yang aku campak tu? Detik hatiku.

Lalu, dengan berhati-hati, aku keluar dari bilik dan menapak perlahan ke tangga. Satu per satu anak tangga aku pijak sampailah anak tangga terakhir.

Ya. Kaiser dah balik. Dia tengah tengok TV. Macam takda apa yang berlaku. Aku jadi sakit hati bila dia sikit pun tak mengamuk. Baju-baju dia dah beralih dari tangga ke ruang tamu. Dia kumpul setempat.

Tenang betul dia. Sampai aku pula rasa tak bertenang.

Terus aku berjalan ke ruang tamu. Dengan rasa marah, aku rampas alat kawalan jauh dari tangan Kaiser. Dia nampak terkejut. Tetapi, wajahnya tetap tenang.

TV aku tutup dan alat kawalan jauh aku campak semula pada dia dengan kasar. "You sengaja berlagak tenangkan?" Aku mula cari gaduh.

"Dah la, Ammara. You tak penat ke bergaduh?" Nada Kaiser seakan memujuk.

"I nak you ceraikan I. Kenapa you tak nak faham???" Jerkahku. Aku rasa urat leher aku macam nak terkeluar dah masa ni.

Tapi, Kaiser tetap macam tadi, tenang. Takda pun riak marah diwajah dia. Aku betul-betul tak faham. Kenapa dia boleh setenang ni.

"I takkan ceraikan you. Tu je yang perlu you faham," tegas Kaiser. Lalu, dia cuba bangun dari situ. Namun, cepat-cepat aku menghalang. Lengan kekar Kaiser aku tarik kasar. "Ceraikan aku lah!!! Jantan tak guna!!" Aku menjerit macam orang gila.

Kaiser rentap kembali tangan dia. Bahu aku dia tolak sehingga aku terduduk ke sofa. "Jangan cabar I. I tak mengamuk you buat barang-barang I macam ni, bersyukur sikit. Jangan sampai I hilang sabar dengan you Ammara!" Keras nada Kaiser beri amaran.

"Pukul lah! Pukul aku!" Aku jerit lagi kuat dari tadi. Anak tekak terasa macam nak terkeluar.

"You ingat I bodoh? Tak tahu apa yang you rancang? You nak I pukul you dan jadikan bukti supaya I boleh lepas kan you kan?" Tebak Kaiser.

Aku terkebil-kebil menatap muka garang Kaiser. Kata-kata Kaiser buat aku terdiam. Senang betul dia baca fikiran aku.

"Jangan mimpi I nak ceraikan you, Ammara," suara Kaiser mengendur.

Aku makin geram setiap kali Kaiser cakap yang dia takkan ceraikan aku.

"Kenapa kau tamak? Kau dah ada isteri lain. Ceraikan aku! Ceraikan aku!" Masih sahaja aku terjerit-jerit pada Kaiser.

"Kenapa you beria-ia nak bercerai ni? Ada jantan lain dah tunggu?" Kaiser pula tuduh aku. Makin aku jadi geram. Dia yang buat masalah, aku pula yang dia tuduh.

Aku buntang mata menatap muka Kaiser. Lalu, dengan kasar aku tolak tubuh aku bangun dari situ. "You yang kahwin dua, curang, jangan tuduh I ada jantan lain. Lelaki tak guna macam you ni, akan cari seribu alasan untuk pertahankan kesalahan sendiri!" Jari telunjuk aku halakan tepat pada muka dia.

"So, buat apa I nak lepaskan you? Kalau I mampu untuk ada dua isteri. I tetap balik sini teman you, jalankan tanggungjawab I. Tapi, you isteri tak reti bersyukur. Terjerit-jerit pada suami. Eh, kalau I tak reda dengan sikap you, you ke neraka tau!" Suara Kaiser dah terdengar geram.

Ewah... Main neraka pula dia. "Hei, you ingat, you lelaki yang boleh masuk syurga ke? Sakitkan hati isteri. Menipu isteri. I pun boleh tak reda dengan perangai you tau!" Masih sahaja aku membentak tak nak kalah.

"Lelaki boleh kahwin lebih dari satu. Dan I mampu." Yakin sungguh Kaiser menjawab.

Dah habis modal lah tu. Nak nerakakan aku konon. Kau pun perangai macam setan! Kutuk aku dalam hati.

"I akan buat sampai you ceraikan I Kaiser!" Aku jerit lagi pada dia. Geram sangat bila dia masih nak simpan aku sebagai isteri. Lantaklah aku bercinta dengan dia dah lama pun. Kalau dikhianiati macam ni, siapa yang nak setia lagi? Perempuan bodoh je masih menunggu. Dan aku... Bukan perempuan tu!

Kaiser ukir senyum sinis. "Dalam mimpi you," balas dia dengan tenang. Dan seperti selalu, Kaiser keluar. Tetapi, kali ini dia bawa bersama semua pakaian dia yang aku campak tadi.

Nak suruh bini kedua basuhkan lah tu. Pergilah! Pergi! Aku tak heran lah! Hatiku membentak macam nak gila.




SKRIN komputer aku tatap kosong. Langsung tak boleh fokus pada kerja. Sekali sekala air mata aku bergenang.

Setiap kali aku melihat media sosial, puas aku mencari inspirasi dari wanita-wanita yang mengalami nasib yang sama macam aku.

Kata-kata semangat. Kata-kata hikmah. Entahlah. Kadang semua ayat-ayat itu sedikit pun tak buat aku lega. Malah bertambah-tambah marah saat membaca komen wanita-wanita yang sama spesis nya dengan bini kedua Kaiser. Pelakor. Penyondol.

Diorang suruh reda. Reda yang diri ini di madukan. Ahh! Gila! Perempuan bodoh je reda. Kena tipu pun reda? Aku bukan perempuan lembik macam tu.

Akhirnya aku berhenti melihat media sosial kerana semua tu buat hati aku bertambah sakit.

Aku termenung lagi. Macam-macam yang aku fikir untuk buat Kaiser ceraikan aku. Tapi, aku rasa semuanya tak mudah. Sebab Kaiser tetap jalankan tanggungjawab dia macam biasa. Dia balik ke rumah duduk dengan aku. Dia bagi nafkah macam selalu walaupun aku tak hingin nak guna duit dia. Tetap dia bagi.

Kaiser juga cuba layan aku macam dulu. Macam takda apa-apa yang berlaku. Tapi, semua tu buat hati aku bertambah sakit. Dia langsung tak endah apa aku rasa.

Hubungan kami atas katil? Ada je dia cuba. Tapi, aku memang tak nak dia sentuh aku lagi. Aku benci! Aku tolak permintaan dia mentah-mentah. Lantaklah nak berdosa pun!

Tapi, semakin hari, semua tu buat hati aku bertambah tak tenang. Aku penat. Penat nak hadap Kaiser. Penat nak sakit hati walaupun Kaiser tak pernah ajak aku gaduh. Aku je yang selalu marah-marah dia kalau dia balik rumah.

Isteri yang dikhianati macam aku ni, tak mungkin akan okey sekelip mata. Aku tahu aku berdosa sebab layan Kaiser macam tu. Tapi, hati aku sakit sangat. Terlalu sakit. Takda perkara yang boleh buat aku terpujuk melainkan dia ceraikan aku secara rela.

Kluk!

Pintu bilik aku dibuka seseorang. Terus aku menatap pada sosok tubuh yang masuk ke situ.

Dahi aku berkerut saat melihat seorang wanita masuk ke ruangan bilik aku. "You siapa? Ada buat appointment dengan I ke?" Soalku.

Wanita itu tersenyum sinis. Soalan aku tak dijawab. Malah matanya meliar melihat sekeliling pejabat aku.

Selepas puas meneliti bilik aku, wanita itu berjalan menghampiri mejaku. Dia cuma berdiri tanpa duduk di kerusi yang ada. Mata kami bertembung.

"Abang Kaiser suruh saya datang sini." Katanya. Saat nama Kaiser disebut, hati aku tersentap. Tapi, aku tayang muka tenang.

"Abang Kaiser? You siapa?" Soalku dengan nada dingin.

Wanita itu tayang senyum mengada. Aku macam dapat agak dia siapa. Tapi, aku tunggu dia sendiri cakap pada aku.

"Saya Julia. Isteri kedua Abang Kaiser," langsung tak bersalah muka wanita itu saat dia memperkenalkan dirinya.

Serta merta jantung aku berdegup kencang. Rasa marah membuak-buak dalam dada. Sehabis baik aku kawal agar tak bertindak di luar kesedaran aku.

"Kenapa dia suruh kau datang sini?" Panggilan sudah berubah. Nada suara aku macam tercungap dek kerana menahan marah.

Berani dia datang sini tunjuk muka depan aku. Dia fikir dia siapa? Aku tak rasa Kaiser yang suruh. Tapi, perempuan ni yang tergedik-gedik nak tayang muka penyondol dia pada aku.

Perempuan tu tersenyum lagi saat mendengar soalan aku. Makin benci pula aku tengok reaksi dia ni. Tangan aku dah mula menggigil marah.

"Abang Kaiser suruh saya datang kenalkan diri saya pada isteri tua dia," 

Isteri tua? Bullshit! Sial punya betina!

PAP!!!

Aku dah tak tahan, kedua-dua telapak tangan aku tepuk ke meja dengan kuat. Dan aku berdiri tegak menatap muka betina gatal tu dengan pandangan tajam.

Perempuan tu nampak terkejut. Reaksi takutnya membuatkan aku bertambah berani.

"Berani kau datang sini tayang muka penyondol kau depan aku? Kau memang perempuan tak tahu malu kan???" Melengking suara aku melepaskan amarah yang terbuku tadi.

"Abang Kaiser yang suruh datang sini jumpa akak," masih berani sahaja Julia menjawab.

"Akak? Siapa kakak kau?" Jerkah aku lagi. Biar dia tahu aku memang tak kasi can dia nak bercakap.

Tak menunggu lama, aku meluru ke arah dia dan tudung dia aku rentap kuat.

"Aarrgghh!!! Sakit!" Jerit Julia. Dia cuba tarik rambut aku, tapi, gagal. Dia tak kan boleh kalahkan aku sebab aku ada tali pinggang judo tau. Walaupun tak habis belajar. Tapi, basic judo tu tetap ada.

Aku pulas tangan dia dengan kuat dan aku tolak dia ke dinding. Melekap muka dia dekat situ. Puas hati aku!

"Sakit!!!" Julia jerit lagi.

Aku gelak jahat tengok dia macam perempuan tak siap dekat situ. Siapa suruh berani jumpa aku. Takkan Kaiser tak bagi tahu yang aku ni kepala angin? Memang meminta la kau datang sini!

"Sebelum aku pukul kau sampai separuh mati, lebih baik kau keluar dari sini!"

Julia dah menangis dek kerana sakit. Aku pula senyum lebar. Puas hati dapat pukul perempuan penyondol ni. Kalau ikutkan hati, memang lunyai aku kerjakan. Tapi, aku masih waras dan tahu undang-undang. Buat apa aku kotorkan tangan aku untuk perempuan tak bermaruah ni? Buang masa!

Belum sempat Julia keluar, tiba-tiba Kaiser masuk. Aku renung muka Kaiser dengan tajam.

"Kenapa ni Julia?" Soal Kaiser pada Julia. Prihatin nampaknya bila tengok isteri muda kena belasah.

"Isteri tua abang pukul saya." Tergedik-gedik dia menangis pada Kaiser.

Makin geram aku dengar. Masih saja dia gelar aku bini tua. Sial betul!

"Kau nak kena pukul lagi ke apa?" Suara aku dah tak boleh kawal.

"Ammara! Kenapa you pukul dia?" Kaiser marah aku.

Aku gelak sinis. "Lebih baik you bawa betina sundal ni keluar dari sini sebelum I buat report polis. Dia datang pejabat I dan serang I." Saja aku tabur fitnah.

"I yang bawa dia datang sini." Kata Kaiser.

"For what??" Tengking aku. Geram dengan Kaiser. Berani dia bawa perempuan tu datang sini.

Yelah, pelik juga macam mana perempuan tu tahu aku kerja sini? Rupa-rupanya si lahabau ni yang angkut datang sini. Tak guna betul!

"I nak bawa dia datang rumah, you tak bagi. So, I bawa dia datang sini," alasan Kaiser buat aku bertambah marah.

"Lebih baik you bawa perempuan ni keluar dari sini sebelum I mengamuk dekat sini!" Suara aku dah tak dapat tahan lagi. Sakit hati sangat rasa.

Apa yang Kaiser fikir? Dia ingat dengan cara ni, aku akan terima betina gatal tu sebagai madu? No way!

Kaiser memang langsung tak jaga hati aku!

"Abang... Jom lah balik. Ju sakit ni," rengek Julia.

Makin panas telinga aku ni dengar betina tu merengek pada Kaiser.

Aku dah tak tahan. Kasut tumit tinggi aku buka dan aku halakan pada mereka. "Lebih baik korang berdua keluar dari sini sebelum aku ketuk korang dengan kasut ni sampai berlubang kepala korang aku kerjakan!" Jerkah aku. Berombak kencang dada aku menahan marah.

Kaiser terus raih tangan Julia dan mendorong wanita itu keluar dari situ. Entah kenapa, hati aku luluh saat melihat adegan itu. Sepatutnya Kaiser tak buat macam ni pada aku.

Keluar sahaja mereka dari bilik aku, aku terduduk ke lantai pejabat. Aku menangis lagi. Sakit yang ada dalam hati aku ni, tak dapat aku simpan lagi.

Kenapa baru sekarang aku nampak Kaiser ni lelaki tak guna? Kenapa bukan dulu?


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.