BAB 1

| Sahabat itu adalah cerminanmu, maka carilah cerminan yang bakal membuatkan dirimu kelihatan lebih cantik, bukan sebaliknya |


•••


"Ratna..."

"Ratna..."

"Ratna..."

"An-Nur Adiratna Nadhirah! Aku cakap dengan kau ni!"

Aku menjeling sekilas sebelum kembali menghadap screen handphoneku.

Ya. An-Nur Adiratna Nadhirah. Itulah nama aku. Cantik bukan? Kreatif betul ibu aku beri nama pada anak dia yang seorang ni.

"Tengok tu! Bukan nak kisah aku panggil."

Haih. Budak ni pula masalah bagi aku. Aku tahu saja kenapa dia datang dekat aku sekarang ni.

Huh, pantang nampak aku tengah scroll aplikasi Shopee... Mesti ada benda yang dia nak.

"Nak apa? Duit sendirilah."

'Budak' tadi kelihatan mencebik. Nak merajuk? Merajuk jelah. Kalau dia murung dengan aku pun, bila lapar nanti aku juga yang dicarinya. Yalah, asyik suruh aku belanja dia 24 jam.

"Nak buku karya Cik Hasya! Aku tak beli lagi terbitan terbaru dia..."

Ha, kan aku dah cakap mesti ada benda yang dia nak. Tambahan pula, 'budak' ini hantu novel. Aku boleh jamin yang dia dah pernah beli satu kedai buku dulu.

Padahal aku sekarang ini hanya buka saja aplikasi Shopee tu. Langsung tiada niat nak beli apa-apa. Sekadar mencuci matalah katakan.

"Kau macam tak boleh beli sendiri. Kita nak cuti semestar dah kan? Tak payahlah beli sekarang... Balik nanti kau belilah semua jenis novel yang wujud dekat dunia ni," jawabku bersahaja.

"Haahlah kan. Sebut pasal cuti... Kau tak nak ikut aku balik ke? Aku onz je kalau kau nak balik dengan aku. Mak dengan ayah aku pun okay je."

Ah sudah. Ini satu topik yang dia tak suka.

Kenapalah cuti semestar perlu wujud dalam kamus hidup sebagai seorang pelajar? Tak boleh ke kalau duduk dan belajar sahaja? Tak payah nak ke hulur ke hilir untuk balik ke kampung.

Tapi, aku seorang saja yang rasa macam seperti itu. Sedangkan orang lain menanti waktu cuti hadir.

Yalah, sama ada cuti atau tidak, aku tetap berseorangan. Kalau balik kampung pun, bukannya ada sesiapa. Nak tinggal di hostel ni seorang diri dalam jangka masa yang lama, seram pula aku. Jadi keputusan terbaik, balik sajalah rumah dan berdatinglah aku dengan katil.

"Ha! Eloklah tu... Bila aku cakap bukannya nak dengar. Asyik mengelamun je."

'Budak' tadi kelihatan sudah bangun dari katil aku. Ha, baguslah.

"Kau tak nak ikut aku balik? Tak menyesal?"

Nyeh... Tak habis lagi rupanya.

"Kenapa aku nak menyesal pula? Bukan ada apa pun dekat rumah kau tu. Kalau setakat nak cari buaya, aku boleh aje nak pergi cari dekat pantai kawasan sini. Tak payah jauh-jauh sampai kena ikut kau balik Kedah sana..."

Pap!

"Dah kenapa tampar aku pula?"

Terkejut aku tiba-tiba ada tangan menghempap pipi aku.

Dahlah kuat. Sakit tau?

"Kau belajar mana buaya ada dekat pantai, ha? Buaya duduk sungai ajelah bijak. Lagi satu, apa kena mengenanya buaya dengan hal sekarang ni?"

"Kau yang tak belajar," jawabku endah tak endah.

Daripada aku layan dia ni, lebih baik aku kemas-kemas sikit barang aku yang bersepah ni.

Sambil aku mengemas, aku melilaukan pandanganku ke seluruh ruang bilik yang tidaklah luas sangat sebenarnya. Tapi bagi akulah, bilik aku sekarang ni dah macam bilik dekat rumah orang-orang kaya sana. Bukan apa, tapi design bilik ni 'budak' tu yang tolong hiaskan. Bila tangan yang berseni menghias, tak mustahillah bilik yang pada awalnya macam tongkang pecah kini boleh berubah tiga ratus enam puluh darjah jadi cantik macam sekarang.

Ton warna yang dikenakan pun lawa. Nampak tenang aje...

Tiba-tiba, aku rasakan yang ada sesuatu memegang peha aku.

Eh! Bukan pegang. Cubit!

"Wei! Sakitlah!"

Sekali lagi, aku diserang. Sakit tau tak kalau dah kena cubit dengan dia ni. Tangan tak ubah macam ketam!

"Nak lawan Hajar lagi..."

Oh ya. Aku lupa nak kenalkan budak ni.

Nampak kami seperti anjing dengan kucing bukan? Tapi hakikatnya, kami bagai isi dengan kuku. Bagai cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Serius. Aku bersyukur sangat sebab Tuhan temukan kami.

Dalam susah aku, dia tetap ada. Dia antara orang yang tahu banyak perkara tentang aku. Dia tahu apa yang menimpa diriku. Paling penting, dia faham aku.

Hajar Shakira. Satu nama yang aku tak akan lupakan sampai bila-bila.

"Menangis dah kenapa?" tegur Hajar.

Menangis? Aku menangis ke?

Aku buat tindakan drastik. Telapak tangan aku dibawa memegang tubir mata. Berair.

Ya Allah....

"Dahlah, kau tidur dululah. Asar nanti aku kejut."

Jam di dinding aku kerling sekilas. Tiba-tiba rasa macam cepat pula masa yang berlalu. Ingatkan baru jam satu petang.

Aku perlu tidur sekarang untuk menggantikan waktu malam nanti.

"Thanks."

Badanku direbahkan ke atas katil hostel yang sememangnya tidak empuk. Paling tidak, aku ada tempat untuk tidur kan?

•••


Allahu Akbar Allahu Akbar

Bunyi azan berkumandang dari masjid depan kolej aku membuatkan mataku terbuka luas.

Dah masuk waktu asar.

Macam biasa, aku terus bangun dari pembaringan. Perkara pertama aku cari mestilah handphoneku.

Aku menggeliat kecil sambil tangan dah berkali-kali menutup mulutku yang ternganga luas.

Handphone aku buka sekejap. Mana tau sepanjang aku tidur tadi, ada apa-apa perkara penting yang aku terlepas. 

Punat 'data network' ditekan. Macam biasa, orang famous macam aku memang tiba-tiba je berdentum mesej masuk.

Lagi aku rasa bangga bila tengok yang mesej tu semua dari group universiti aku. 

Aduhlah... Ingat tadi ada peminat mesej nak minta jumpa kat kedai makan lima bintang. Mana tahu, dapat juga aku merasa lobster seekor. Rupanya ada yang tengah berbincang tentang assigment... Maklumlah, tugasan itu nanti akan diambil kira sebagai markah dalam exam.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. 

Hajar. 

Haih... Mana pulalah perginya dia ni? Susah sangat ke nak menetap diam-diam dalam bilik?

Tapi sekejap saja aku fikirkan tentang dia. Lepas aku sedar yang dia tu bukan budak kecil lagi, terus aku pergi ke bahagian meja belajar aku.

Nak siapkan tugasan dulu. Lepas siap nanti aku pergilah solat asar.

Hmm... Ni kalau Hajar tahu yang aku tangguh solat, mesti dah berbakul bebelan dia bagi dekat aku.

Mulalah dia kata... Kalau nak hidup diberkati, rezeki mudah datang, nak hati tenang... kena solat awal waktu. Lepas tu mulalah dia sambung dengan kisah Sultan Muhammad Al-Fateh. Katanya, salah satu faktor beliau dapat buka Kota Konstatinopel adalah sebab beliau tak pernah miss untuk solat awal waktu.

Haih... Suka sangat membebel budak seorang tu.

Tapi kalau difikirkan balik, apa yang Hajar cakap tu memang betul. Aku je yang liat sikit. 

Liat sangat kot. Entahlah.

Aku sekarang dah duduk atas kerusi belajarku. Tapi masa nak buat assigment nilah rasa malas tiba-tiba datang.

Tadi nak buat sangat. Bila dah duduk, mood pula pergi melayang.

Krik...

Secara mengejut, aku dengar bunyi pintu dikuak. Cepat-cepat aku pandang ke arah pintu.

Lega sikit hati aku bila tahu yang buka pintu tu tadi ialah Hajar. Tapi sekejap saja rasa lega itu datang.

Sebab aku memang tengah terkejut sangat sekarang. Mulut aku macam tak boleh nak tutup.

"H... Hajar... Ma... Macam mana kau boleh basah kuyup macam ni?"


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh