Home Novel Kisah Hidup Himpunan cerita kontot
Himpunan cerita kontot
Maryani Zailani
14/9/2024 17:57:38
5,545
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
CK 5
CERITA KONTOT 5: KAIN PUTIH


Habis sahaja kelas silat pada 11 malam, Fahana tidak terus mandi. Bimbang tiba-tiba timbul parut. Selalunya, dia akan mengeringkan badan di bawah kipas sambil membaca novel seram. Rakan sepergajian sudah masuk ke dalam bilik tidur sebaik sahaja jarum jam menunjukkan ke angka 12. Ruang tamu itu sunyi daripada sebarang bunyi.

 Biasanya, pukul 1 pagi barulah Fahana membersihkan diri. Baju kotor dibasuh sekali. Selesai berpakaian, dia akan terus menyidai baju basah di ampaian luar. 

 “Ah!” Fahana terjerit kuat sebaik sahaja pintu belakang dibuka. Baldi terhempas ke lantai. Bagai nak gugur jantungnya terlihat kain putih berkibar-kibar di ampaian. Bayangan hantu bungkus melompat-lompat melintas di fikiran Fahana. “Astagfirullah al- azim!”

 “Apa ni Hana bising-bising?” Liya muncul sambil memisat mata. 

 “Tu... tu... tu...” Fahana masih dalam fasa terkejut.

 Tidak semena-mena, Liya ketawa.

Fahana menyiku sahabatnya itu. “Woi, kenapa kau ketawa?” 

 “Kain putih aku tu. Dah berhabuk sangat. Aku basuh tengahari tadi. Lupa nak angkat.”

 “Engkau pun... dah kenapa tak angkat? Aku mati-mati ingat kak cong!”

 “Sorry buat kau terkejut.” Liya mengangkat kain putih yang sudah kering itu.

 “Aku pelik dengan kau. Kau buat apa dengan kain tu?”

 “Aku memang bawa kain ni tak kira ke mana aku pergi. Untuk ingatkan diri aku sendiri pada kematian. Kuranglah sikit nak buat dosa.”

 Fahana meneguk liur. “Kain kapan ke ni?”

 Liya mengangguk. Dia menguap. “Dahlah. Aku nak masuk tidur.” 

 “Eh, temankanlah aku sidai kain dulu.” Fahana menarik lengan baju tidur Liya.

 “Kenapa?” Liya menggerakkan kening lalu mendekatkan wajahnya kepada Fahana. Sengaja mengeluarkan bunyi tawa yang menyeramkan! Gigi taring Liya kelihatan menakutkan pula pada waktu malam itu! Dia bersuara garau, “Takut terjumpa kak pon pula?” 

 “Hoi!” Dan, bayangan hantu-hantu Melayu yang menakutkan kembali terlintas dalam minda Fahana. 

 Sudahnya, dia tidak jadi menyidai baju.

- TAMAT -

28 OGOS 2024


Previous: CK 4
Next: CK 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.