Home Novel Kisah Hidup SISIH
SISIH
Lentera Kalbu Shaz
10/1/2020 10:54:07
28,010
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Bab 4
PENANTIAN YANG PANJANG

Mencari keserasian dalam hidup itu memang tak mudah. Tidak semudah kita membaca ABC atau pun 123. Bukan senang menggabung rasa andai cantuman hati itu sudah retak. Kukira pelayaranku sudah usai, rupa-rupanya belum lagi. Banyak yang harus kujalani, lalui dan pelajari di beting pasir ini. Pelbagai cabaran mendatang, tidak satu pun menggoyah nurani. Menguis butiran pasir di hujung kaki bagai menguis ketulan batuan kelikir di pinggir sungai. Perdebatan frasa yang maha hebat bergolak dan terus bergolak tanpa mengira waktu bila ia harus berkolaborasi dengan simetri mimpi. Petualang apakah yang menyentap sanubari ini hingga tak terkawal rasa itu hingga harus menempuh dengan sendiri walau hakikatnya tak mampu untuk dilalui dan tak mampu untuk diteruskan lagi. Merenung ke lautan luas itu mungkin yang terbaik saat ini, apa yang perlu kucari hanyalah kedamaian dan ketenangan. Teruskanlah bisik hati. Aku tak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Tak terbendung lagi, menangislah wahai hati, andai itu melegakan perasaan dan menangislah sepuas hati. Maafkan aku, aku hanya manusia biasa. Hidup kita di dunia ini lahir dengan cerita kita yang tersendiri. Secara lahiriah Allah dah tulis sejak azali. Jangan pernah mengeluh dengan jalan cerita yang telah ditetapkan untuk kita. Sentiasalah positif memandang terus ke hadapan. Aku sentiasa memegang teguh prinsip ini ‘selagi langit terbentang luas, selagi itu perjalanan perlu diteruskan. Jangan pernah berhenti.’ Selagi kita memandang keburukkan itu sebagai satu yang positif selama itulah kita akan kekal teguh dan utuh. Kadang-kadang dalam menanti tiba masanya yang aku mahukan terasa lambat ia berlalu. Senyum dalam tangis. Ya. Itulah yang sesuai untukku gambarkan perasaanku yang menanti sebuah jawapan dalam penantian yang panjang ini. Setelah di tolak tambah darab bahagi namun hati ini tetap mengatakan sayang walau apa pun adanya. Sayang itu yang membuatkan hatiku tetap utuh di sini menemani hari-hari bersama anganku di sisi. Kupertahankan cinta yang kononnya abadi demi kasih suci biar badai datang melanda. Itu cerita hidupku di episod-episod yang lepas namun telah aku tinggalkan jauh nun di belakang layar kehidupanku. Kini, aku belajar melepaskan apa yang bukan untukku. Belajar memaafkan sesiapa saja yang pernah menyakitiku, mestiku tahu memang sukar bagiku hingga ke saat ini. Walau berat untuk aku lakukan namun aku juga harus belajar untuk tidak membalas seperti apa yang telah mereka lakukan kepadaku sebelum ini. Aku kini hanya ada Allah Yang Maha Kuasa untuk mendengar doaku semoga diriku ditabahkan, agar dikuatkan menempuh segala ujian dalam pelayaranku kali ini dan semoga juga aku sentiasa dilindungi. Aku sangat percaya aku tidak sendirian di sini. Aku teringat satu petikan kata-kata dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi ‘only the man who crosses the river at night knows the value of the light of day.’ Ayat inilah yang aku jadikan inspirasi untuk terus memberanikan diri. Aku tak nak berlengah lagi. Aku tahu di dalam kegelapan pasti akan kutemui jua cahaya di hujung kegelapan itu nanti. Aku genggam semangatku dengan tekad meletakkan dunia ditanganku dan tidak sekali-kali aku meletakkan dunia di hatiku. Dari kaca mata orang lain mungkin aku terlihat terlalu berambisi menakluk dunia fantasiku. Apa yang kalian tahu tentang aku? Sepertimana terbakarnya kiriman kotak kasihku suatu masa dulu, seperti itulah juga maraknya api amarahku dan leburnya kasihku yang telah lama menghamba abdikan diriku beberapa tahun kebelakangan ini. Aku bangkit dengan payah, aku bernafas dengan susah dan aku berlari dengan laju sekali untuk berada di dimensi aku yang sekarang ini. Tingkat tertinggi dalam kebangkitan rasaku si berjubah api berbaju besi yang telah lama aku lupakan selama ini. Jika dahulu aku dibunuh dan mati, bangkit dan terbunuh lagi. Sakitnya hanya aku yang rasa. Kamu hanya sekadar ketawa melihat dari jauh. Kamu lebih senang menari di atas kematian dan kebangkitan semula rasa milikku. Melepasi frasa cabaran ini pelbagai yang dilalui. Adakalanya payah dalam lelah, adakalanya nangis dalam tertawa dan tak kurang juga senyum dalam amarah. Hingga aku rasa seperti gila. Cukup! Cukup lengkap semuanya untuk mengubah aku yang dahulu lemah. Semakin hari semakin aku gagahi diri dengan menebalkan motivasi diri. Kerana aku fikir bukan hanya aku sahaja yang diduga sebegini rupa di dalam dunia ini, malah mungkin beratus atau beribu orang lagi selain aku di luar sana yang turut sama mengalami pergolakan seperti gabungan dalam kelompok jiwaku ini. Maka dengan itu aku tidak gentar lagi hingga ke hari ini dan moga aku terus berani meniti hari-hariku ke depannya nanti. Aku di perhentian yang satu ini sekadar melepas penat, bukan untukku jadikan persinggahan yang abadi. Aku di sini mencari kekuatan diri bukan untuk membazir waktu menangisi nasib malang diri. Malah aku di sini mengumpul seni mempertahan dan memperkuat diri. Semoga aku setelah dari yang satu ini nanti akan terus berjalan mapan bergerak terus ke hadapan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.