Prolog
Cempaka mencabut rumput-rumput renek yang sudah mula tumbuh di atas kubur itu. Sudah hampir 2 minggu jenazah selesai dikebumikan. Batu nisan pun baru ditempah kelmarin. Katanya akan siap minggu depan. Tidak mengapalah, Nadim, abang Cempaka ada. Dia boleh datang dan dirikan batu nisan.
Entah mengapa, sedang Cempaka bersiar-siar di sekeliling kampung tadi, kakinya melangkah hingga sampai ke tanah perkuburan Masjid Musab ini. Rindu mungkin dengan empunya jasad di dalam kubur itu.
Keluh Cempaka disimpan dalam, kerana semua ini sudah termaktub dalam perancangan Tuhan yang Maha Esa. Dialah sebaik-baik Perancang, dan Cempaka akur.
“ Baru Cempaka sedar betapa pendeknya masa kita di dunia ini.”, kata-kata itu seperti ditujukan kepada si penghuni kubur di hadapannya. Saki baki rumput yang dicabut, digenggam. Dia bangun dan mengibas bajunya yang sudah dipenuhi pasir.
###
Sekejap. Putar balik masa, putar balik masa. Ini dah jauh sangat. Kita kena mulakan cerita lagi awal lagi. Nak mula dekat mana ya? Eh, pembukaan dulu ya.
Cerita ini sebahagian darinya adalah benar dan sebahagian laginya hanyalah rekaan semata mata. Yang mana benar dan yang mana bukan, terletak pada kamu. Kerana cerita ini milik aku, si pencerita dan juga kamu, si pembaca.
Masih di sini? Bagus. Sepanjang pembacaan kamu selepas ini, perhatikan tingkah 4 orang manusia ini. Mereka boleh dikira teraju utama cerita : Cikgu Awang, Jebat, Cempaka dan Fatih. Cerita tanpa watak yang berwarna-warni adalah seperti tubuh yang tidak bernyawa. Mati. Lalu seperti itu juga kehidupan kita, dipenuhi insan yang menyimbahkan cat warna yang kadangkala busuk ke atas kanvas hidup kita.
Heh. Cat warna.
- - -
Ah nostalgia… oh maaf, kadang memori lalu datang menyinggah seperti sekarang.
Mungkin perlu dijelaskan juga apa yang pembaca akan temui di dalam kisah ini.
Keberantakan keluarga.
Pengkhianatan sahabat.
Menanti kematian.
Agak tidak jelas sebenarnya… tapi ya! Cerita ini akan terbahagi kepada tiga bahagian yang berturutan dan punya kaitannya di antara satu sama lain. Seperti juga hidup kita sebagai manusia di dunia yang lansung tidak terlepas untuk berkait di antara satu sama lain dan memerlukan sesama kita. Maka cukup-cukuplah si pencerita ini merodok falsafah murahnya ke dalam minda pembaca.
Dah bersedia?
Tanpa membuang masa lagi, kita mulakan kisah ini di sebuah sekolah rendah yang terletak di pinggir bandar, dikelilingi kampung yang tenang dan sawah padi yang terhampar sejauh mata memandang. Loceng sekolah baru berbunyi, dan murid-murid bergegas ke tapak perhimpunan, teruja ingin memulakan penggal sekolah baru…..