Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
6/1/2013 19:04:37
12,605
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 4

"ASSALAMUALAIKUM.” 

Segera kaca mata hitam ditolak ke atas kepala.  Dia disapa, baru tidak sampai lima minit tadi dia mengambil tempat di situ  sementara menunggu gilirannya beraksi semula di lokasi itu.  Hajat awalnya hanya mahu berehat di senggang waktu yang diberi pengarah.

Senyum pemberi salam disambutnya seraya menyambut salam juga, perlahan.  Dia turut membetulkan kedudukan, dari bersandar santai hampir berbaring, dia bergerak menegakkan sedikit penyandar agar tampak lebih kemas dan lebih bersedia menyambut kunjungan demi menghormati tetamu.  Cuaca panas di situ memaksanya kembali mengenakan kaca mata hitam.

Sorry, panas sangat.”  Ungkapnya perlahan, meminta izin.  Botol air sejuk di sisinya diambil lalu diteguk dua kali.  Tepi bibir diseka dengan jari, cermat gayanya.

It’s okey.”  Wanita yang menghampirinya sudah menarik sebuah kerusi kecil tidak jauh dari kerusi sandar Neor lalu duduk berdekatan.

“Kenal saya, kan?”  tanda nama bergambar yang tergantung di lehernya ditunjuk.  Neor sekadar angguk dan senyum ringan. Dalam hati berasa tidak senang ditemu begitu di masa  itu.  Namun dibujuk hati agar bersabar dan menerima keadaan seadanya.  Dia membiar gadis itu memperkenalkan diri dan menyebut juga dari media mana datangnya.  Memang begitu seadanya, wartawan tetap memperkenalkan diri dan tujuan pertemuan.  Itu etika pekerjaan mereka, dia tahu dan faham itu.

“Bagaimana pengambaran hari ni?”

“Ok, berjalan lancar.”

“Berapa scene dah selesai?”

“Yang melibatkan saya, dua scene.”

“Laju?”  wanita itu tidak mencatat apa-apa, dia sekadar berbahasa-basi seraya menyedia buku catatan & perakam juga.  Neor hanya membiar, memang begitu juga selalunya dan dia faham benar.

“Alhamdulillah….”  Masih bersahaja dia.

“Saudara berpuas hati pada skrip drama ini?”

Neor mengangguk yakin.

“Apa harapan saudara dalam dunia lakonan?”

“Berharap dapat watak yang lebih mencabar, mungkin?”

Wartawan mengangguk-angguk, terus mencatat di buku notanya.

“Lagu tema masih dinyanyikan  Saudara Neor?”

Neor mengangguk perlahan.

“Lagu dan lirik oleh siapa?”

“Saya sendiri.”

“Bila  nak terbit album?”

“Belum bersedia untuk merakamkannya.  Saya dan produksi bercadang nak kumpul sampai 5 lagu.”

Wartawan mengangguk perlahan.  Dia sudah semakin bersedia.

“Sebenarnya saya nak tanya sikit berkenaan perhubungan Saudara Neor dengan pelakon baru yang  namanya sedang hangat sekarang ni.”

Neor mengambil masa sedikit lama untuk memberi maklum balas.  Senyum dia meski dalam hati menjerit memberontak.  Wartawan setia menunggu, soalan lain mahu diajunya tetapi Neor segera memintas pula.

“Saya tidak ada apa-apa perhubungan istimewa dengan dia dan dengan sesiapa untuk masa ini.”

“Tapi ramai yang nampak saudara dengan dia sudah semakin intim, sering kelihatan berdua-duaan.”

“Itu cuma gosib, saya tidak pernah hanya berdua dengan dia walau ke mana.  Kami berurusan hanya kerana kerja.”

Wartawan mencatat lagi, laju pen ditarikan di muka halaman buku catatan.

“Apa pendapat saudara apabila   saudara dikatakan menjadi punca pertunangannya putus?”

“Saya tidak ada kaitan sama sekali dengan perkara itu.  Pertama kali saya berganding dengan dia, dalam drama Cahaya. Waktu itu saya diberitahu dia sudah putus tunang.”

“Siapa beritahu saudara?”

“Rakan-rakan produksi.”

“Siapa?”

Dia tertawa perlahan, lembut. “Kena sebut namakah? Nanti tak pasal-pasal dia yang tak glamor akan jadi glamor. Saya, juga yang dipersalahkan.”

“Untuk kita-kita aje, bukan untuk bacaan umum.”  Bijak wartawan memancing namun dia tidak mungkin terpedaya.

“Tak perlulah. Siapa pun yang memberitahu saya, ceritanya tetap sama. dia putus tunang sebelum mula pengambaran dan sebelum berkenalan dengan saya.”

Wartawan angguk, meski mungkin belum  berpuas hati.

“Apakah benar perkenalan saudara dengan dia lebih awal dari pengambaran itu?”

“Itu tidak benar.”  Tegas namun masih terlukis senyuman.

“Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang?”  senyum lagi dia.  Ternyata bijaknya wartawan cuba memperdaya supaya yang disoal boleh melatah.

Dia  tertawa perlahan.  “Bijak benar awak,” tersenyum terus, menunjuk wartawan dengan jarinya.

“Kadang-kadang, pokok bergoyang bukan sebab angin, tapi tupai atau beruk.”  Sendanya disusul tawa ringan.

Wartawan turut tertawa namun singkat benar.

“Contohnya oleh wartawan sendiri? Dalam hayalan wartawan?”  bersenda meski hati rasa sakit benar.

“Tapi saudara Neor selalu dilihat bersama artis itu?”

“Hanya atas urusan kerja.”

“Ramai yang mengatakan saudara tampak intim dengan dia sewaktu di lokasi pengambaran?”

“Saya intim dengan semua pelakon yang terlibat dengan pengambaran, dengan semua kru pengambaran juga saya intim.  So, intim yang macam mana saudara maksudkan?”

Ada yang kata, makan bersama disetiap kali waktu makan?”

Dia tertawa lagi.  Lama pula tawanya berkesudahan dengan anak tawa yang semakin ringan.

“Kami bukan makan berdua saja, tapi dengan pelakon lain dan seluruh production yang terlibat di lokasi waktu itu.  Kecuali jika yang memilih makan di luar lokasi.”

“Saudara lebih senang makan di lokasi atau  keluar?”

Angguk perlahan.  “Bagi saya, makan di mana-mana pun boleh.  Asal kenyang, nasi bungkus pun tak mengapa.”

Ada yang mengatakan, saudara sering menghantar sms pada gadis itu di lewat malam?”

“Tak pernah.”  Menggeleng berkali-kali, pantas.

Call?”

Menggeleng lagi.  “Juga tak pernah.  Kalau ada bukti, pihak yang menuduh boleh kemukakan.”   Berani dia mencabar namun geruhnya disulam tawa ringan demi melindungi perasaannya yang semakin membengkak, benci.

Ada yang mendakwa, saudara pernah menghubungi artis itu sewaktu dia sedang berhibur dengan rakan-rakannya di pusat hiburan?”

Menggeleng lagi dia, sudah semakin benci namun disimpan reaksi itu.  “Tak benar semua tu, agaknya you sendiri yang reka kut…?”   Neor menggiat lembut, tertawa lagi dia.  “Untuk membuat saya melatah.”  Disambung tawanya lagi, berlangsung sedikit lama.  Wartawan wanita turut tertawa, tidak langsung marah dituduh begitu.  Mungkin pengalamannya mengajar dia tidak langsung gentar.

Ada juga yang pernah ternampak saudara bersentuhan dalam erti kata berpegangan tengan dengannya?”

“Mungkin dalam mimpi orang itu…”  tawanya diteruskan, membuat wartawat turut tertawa.

“Betulkah berita yang mengatakan Saudara Neor sering berhibur di pusat hiburan?”  tidak dipedulinya penolakan Neor.  Terus juga mara dengan soalan panas yang lain.  Sudah serius kembali dia.

“Kadang-kadang.”  Ringkas dan padat menjawab.

“Bersama siapa kalau bukan dengan si dia?”

“Si dia yang mana pulak?”

“Dengan gadis yang kita sedang bicarakan.”

“Oh, tidak pernah dengan dia.  Cuma baru-baru ini saya ke kelab malam  bersama rakan artis untuk meraikan ulang tahunnya.  Dan kami pergi bertiga, semuanya lelaki.”

 “Saudara masih berani menyangkal jika ada orang menunjukkan gambar saudara bersama artis wanita itu?”

“Ya, tunjuklah kalau ada bukti.”

Wartawan itu senyum terus.  Terus mahu menelingkah.

“Memang malam itu dia ada di situ, tetapi kami tidak datang bersama.  Saya bersama kawan-kawan saya dan dia saya tak tahu bersama siapa.”

Wartawan sudah semakin menghampir sasaran, senyum dia menguja.

“Di situ saudara duduk semeja dan turut menari bersama, kan?”

“Duduk semeja bukan bererti kami bercinta dan saya tidak sama sekali menyentuhnya walau di mana.  Dan kenyataan saya menari bersamanya, tidak benar sebab kecederaan di pergelangan kaki saya  masih belum sembuh waktu itu.  Untuk berjalan saja saya menggunakan tongkat sementara, mana mungkin menari?”

“Saudara kemalangan?”

Neor mengangguk perlahan, pergelangan kaki ditunjuknya. “Jatuh sewaktu mengambaran vedio klip.”  Dia menunjuk tempat yang dimaksudkan dan wartawan menunduk, menurut telunjuk Neor.

“Sekarang masih bertongkat?”

Dia menggeleng.

“Saudara sering dikaitkan dengan artis-artis wanita baru, kenapa ya?”

“Entah.”

Kening wartawan berkerut, tidak bersetuju jawapan yang ringkas begitu.

“Mungkin sebab saya masih solo…”

“Jadi, bila nak mencari pasangan?  Atau saudara terlalu memilih barangkali?”

“Saya belum terfikir untuk mencari pasangan di waktu terdekat ini dan tidak juga mahu terlalu memilih, cuma belum terbuka hati untuk berpasangan.”

“Kenapa?  Tidak berminat pada kaum hawa, atau pernah dikecewakan?”

Neor tertawa perlahan.  “Saya lelaki sejati dan sekiranya ada kekecewaan masa lalu, itu bukan halangan untuk saya mencipta kebahagiaan di hari ini dan akan datang.  Cuma saya belum ada kelapangan untuk memikirkan soal diri sendiri.  Itu yang pasti.”

 

DARI JAUH sudah dibalas senyum Ezeti  yang melambai,  dia turut mengangkat tangan, ramah.  Tanpa dipelawa lagi, punggung dicecah ke kerusi hadapan Ezeti, membelakang pintu masuk restoran.

“Lama tunggu?”

“Bolehlah tahan.”

“Lama ya?”

“Sejam setengah.”

“Husy.”  Jam di tangan kiri dibaca ringkas.  Berkerut pula kening memanah Ezeti  yang bersahaja.

“Tak adalah, baru lima minit.  Air pun belum order lagi.” 

Dari belakang muncul seorang pelayan lelaki berkulit gelap menghampir meja.

“Teh o ais laici limau?”  Neor sudah hafal minuman kegemaran sahabat itu.

Ezeti tersenyum seraya mengangguk senang.  Dia mengucap terima kasih, perlahan.  Pelayan menulis pesanan Neor bagi pihak Ezeti.  Neor menyebut air pilihannya pula sebelum mempelawa Ezeti membuat pilihan makanan.  Ezeti menggeleng seraya mengucap terima kasih dalam bahasa Inggeris, perlahan. Jelas memberi maksud tidak berminat untuk memesan makanan.

“Dari lokasi ke?”  sebaik lelaki pelayan pergi.

Sekadar mengangguk dia  mengiakan.

“Selesai semua scene dalam jadual?”

Mengangguk lagi.  Ezeti  turut mengangguk berucap tahniah.

“Nampak penat benar?”

Angguk juga.  Mengeluh juga perlahan dia.  “Kerja tak penat.”

“Habis tu, apa yang membuat awak macam  tak bermaya benar?”

“Jiwa.”  Bersungguh-sungguh meski bersenda.  “Perasaan.”  Dada ditunjuk dengan jari telunjuk, rapat hingga mencecah ke dada sendiri.

Ezeti  tertawa mendadak.  Terangguk-angguk mengikut rentak tawa.  “Macam-macam,” ucapnya perlahan sehabis tertawa.   “Masih terbawa-bawa dialog dalam skrip?”

Neor senyum, berasa disindir.

So, apa cerr?”  Ezeti  menyingkat perkataan cerita, begitu seringnya mereka.  Dia menurut permintaan Neor untuk bertemu di situ tanpa sempat bertanya apa-apa.

“Saya call dia, dia tak jawab.”

“Siapa?”

“Kawan awak.”

“O, Ira?  Bila?”

“Malam tadi, sebaik awak bagi nombor telefon dia. Tengah hari tadi call lagi dua kali, juga tak dijawab.”

Ezeti  senyum sumbing, membiar lelaki berkulit sedikit gelap itu meletak air pesanan mereka di atas meja.  Sebelum berlalu, sekeping kertas kecil harga minuman diselit di bawah penadah habuk rokok di tepi meja.  Neor sempat mengucap terima kasih dan Ezeti  turut mengangguk melempar senyum.

“Dia tak akan jawab panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali lebih-lebih di luar waktu kerjanya.”

Neor menujah mata Ezeti, tidak menyangka sama sekali.

“Saya nak tolong, awak kata awak boleh urus sendiri?”

Neor diam terus.  Dalam hati berharap tidak akan dibantu sahabat itu dalam soal pencarian pulau kasihnya.

“Nak saya tolong tak?”

Neor diam juga.  Air di cawan sudah diteguk perlahan.

“Tak panas ke? Kenapa tak order air batu?” 

Neor sekadar menggeleng perlahan.

“Oh, sorry, saya lupa awak kena rakam lagu untuk   tema drama.”

Neor angguk juga, perlahan.  Dia sudah semakin pendiam sejak momen luka semalam menjengah   dan dalam usaha pula menganyam rentak baharu bersama sahabat karib Ezeti.

“Kalau nak saya panggilkan dia, sekarang juga saya boleh panggil.” 

“Dia free ke sekarang?”

“Manalah saya tahu, tapi kan boleh tanya?”

“Ha, tanyalah.” 

Ezeti  mencari nombor  di telefon bimbitnya.  Tidak sukar kerjanya dan tidak lama menunggu panggilan dijawab, dia mempelawa Mutiara  ke restoran itu.  Bulat mata Neor mendengar pelawaan ringkas itu.

“Dia minta lima minit untuk ke sini.”

“Dia kat mana?  Tak susah ke?”  terpinga-pinga Neor.  Dia turut membetul topi dan kaca mata hitam sambil menetapkan kedudukan.  Gayanya mahu betul-betul bersedia.

“Awak  rasa dia suka tak pada saya?”

Ezeti  menjungkit bahu, gaya gementar Neor mencuit hatinya namun disembunyi perasaan itu demi tidak menyinggung Neor yang tampak berlainan benar.

“Kalau jadi, saya nak terus kahwin je.”

“Hoi! Gila ke apa ni?”

“Kenapa? Orang gila saja ke boleh kahwin?”

Ezeti  tertawa perlahan, dikawal juga ledaknya tidak mahu menyinggung anak muda yang tampak bersungguh-sungguh itu.

“Saya nekat.  Saya  dah tak sanggup terus begini.”

“Awak macam mana sekarang?”  kening Ezeti  berkerut, berpura-pura mencari sesuatu yang mungkin terlukis di wajah Neor.  Tubuh juga.

“Awak kenapa sebenarnya?”  masih hairan selepas tidak ditemui apa-apa selain sedikit murung dan gelisah.

“Sunyi.”

“Sebab sunyi awak, awak  nak pertaruhkan perasaan Ira? Jangan buat pasal  Neor. Dia  bukan bahan penghibur lelaki sepi.”

“Saya cintakan dia.”

“Dalam masa yang tak sampai sejam awak dah jatuh cinta? Apa makna cinta pada awak?”

“Itulah namanya cinta pandang pertama.”  Serius rupanya namun manis sungguh.

“Saya janji, saya tidak akan mensia-siakannya.  Dialah isteri saya dunia akhirat.  Awak pun tahu saya kan?  Saya jenis setia.  Sekali jatuh cinta, susah untuk saya melupakannya.”

“Cinta dulu dah lupa ke belum?”

“Bohong kalau saya kata saya dah lupa semuanya.  Mana boleh melupakan sejarah yang pernah dilalui bersama, tapi sekadar mengenangnya.  Tidak langsung berharap ianya kembali.”

“Rindu?  Ada?”

“Kadang-kadang rindu juga, sampai menyakitkan.  Tapi setakat ini saya masih berjaya mengawalnya.”

“Masih mengharap dia kembali?”

Neor menggeleng perlahan, kesal benar rupanya.

Ezeti  mengangguk pula beberapa kali, faham dan yakin perasaan Neor.

“Orang seni ni jiwanya halus, susah untuk difahami.”

“Kita sama-sama orang seni kan?”

“Ya, sebab itu saya faham awak.”

Telefon bimbit Ezeti  bernada panggilan, pantas dijawabnya selepas melihat nama tertera di skrin telefon.

“Kat restoran bawah ni, marilah.  Ada kawan nak belanja kita minum.”  Seringkas itu menjawab, di hadapan restoran sudah berdiri si manis,  masih melekap telefon bimbit di telinga.  Ezeti  melambai sambil mematikan panggilan.

Neor turut menoleh dan bersedia menyambut tetamu yang benar-benar diundangnya.  Ezeti  sudah bangun, mempersila sahabat itu menempat di kerusi bersebelahan.  Neor turut bangun memberi hormat, menunjuk juga pada kerusi yang sudah direnggangkan Ezeti.

“Kami mengganggu ke?”  tanyanya ramah.  Ezeti  hanya membiar.  Dia sudah melambai seorang pelayan.

No, saya pun dah nak balik ni.”

Neor angguk seraya membaca waktu di jam tangannya, memastikan waktu tika itu.  Office dekat-dekat  sini ke?”  dia memaksudkan di kawasan restoran itu.

Mutiara  hanya senyum, mengangguk tidak menggeleng juga tidak.

Order dulu.”  Ezeti  memberi arahan kepada Mutiara  sebaik pelayan menyinggah.

Mutiara   menurut, segelas air tembikai susu sejuk dipesannya.

“Makan?”  Neor mempelawa.  Pelayan menunggu dengan catatan.

No, thanks.”

Pelayan lelaki meninggalkan mereka selepas pasti tidak ada lagi yang diperlukan.

“Semalam saya call, mungkin Cik Ira sibuk barang kali?”  selepas lima minit Ezeti berbual perkara tidak begitu penting dengan Mutiara, Neor memotong.

“Semalam? Pukul berapa?”

“Sepuluh lebih.  Tengah hari tadi pun saya call, mungkin you masih belum free.” 

“O, mungkin nombor-nombor yang tak saya kenal tu, panggilan dari Encik Neor?”  Mutiara  sudah mengeluar telefon bimbit dari dalam beg tangannya lalu mencari data panggilan yang telepas.  Ditunjuk pula kepada Ezeti, Ezeti  mengangguk.

Sorrylah.”  Dia  senyum sumbing, menyimpan semula telefonnya. 

It’s okey.  Tak berapa penting.”

“Kenapa cari I ya?”

“No, nothing.  Tak ada yang penting.”

“O, okay.”

Savekanlah nombor telefon dia, nanti dia call lagi, engkau tak jawab lagi.”  Ezeti  membantu Neor menyampaikan hasrat.

Hati  angguk, telefon bimbit dikeluarkan semula.  Melakukan sesuatu sendirian lalu menyimpan semula.

“Dah save?”  Neor sekadar memastikan kerja Mutiara   menjadi.

Mutiara  senyum, mengangguk cuma.

“Awak berdua nak lama lagi ke?  Saya nak cepat, nak buat persiapan di studio.”

“Tak habis kerja lagi?”  Mutiara  berkerut kening.

“Malam ni ada foto shoot untuk bakal pengantin.”  Ezeti  sudah bersedia untuk bangun, mahu pamit.  Kamera di atas meja diraihnya lalu disandang seperti biasa.  Beg sandang digalas di bahu sebelah lagi.

Mutiara  merenung Ezeti dengan tanda tanya bisu.  Air yang dipesan belum diteguk, Ezeti  sudah bersedia meninggalkannya.

“Awak minum dengan Neor saja, ya?”

Mutiara  berkerut kening, tidak langsung faham drama yang cuba dimainkan dua sahabat itu.

“Neor boleh percaya, dia tak akan berani melakukan apa-apa yang salah.”  Sendanya pula.

Neor hanya senyum, berharap pertemuan petang itu menjadi.

“Neor, layan Mutiara  baik-baik tau? Jangan buat macam-macam.”  Senyum dia lagi.

“Nanti saya hantar Cik Ira  balik.”  Janjinya pada Ezeti.

“Tak payah hantar, bawa kereta sendiri kan?”  Ezeti  menuding Mutiara  dengan matanya.

Mutiara  sekadar angguk.

“Ha, tak payah hantar dia, just temankan ke parkir sudah.  Apa-apa terjadi pada Mutiara   dari sini ke keretanya, saya cari awak.”  Ugutan Ezeti  disambut baik Neor meski sahabat itu cuma bersenda. 

Neor  masih tertawa perlahan, membiar Ezeti  meninggalkan mereka, dilambainya tangan kepada Ezeti.

“Sila.”  Neor mempelawa Mutiara   selepas Ezeti  berlalu.

Mutiara  angguk cuma dan mengucap terima kasih dalam bahasa Inggeris, perlahan. “mso-spacerun:yes
Previous: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.