TERIMA KASIH CIKGU
Sudah hampir tiga minggu Peperiksaan Percubaan UPSR telah berlalu. Hari ini adalah hari bagi “Majlis Titisan Ilmu”. Semua ibu bapa murid-murid Tahun 6 dijemput hadir bagi menyaksikan anak-anak mereka mendapat restu daripada guru-guru masing-masing.
Kak Munah dari jauh memerhatikan Hanafi berbaris bersama-sama murid-murid lain bersalam-salaman dengan guru-guru mereka. Hatinya mula sebak dan air mata mula mencurah apabila baru mendapat tahu anaknya ditimpa musibah beberapa bulan yang lalu. Itupun secara tidak sengaja dia terdengar perbualan seorang ibu yang duduk di sebelah kirinya semasa Guru Besar mengumumkan nama Hanafi di antara murid yang berjaya mendapat 5A 1B dalam Peperiksaan Percubaan UPSR sebentar tadi.
“Kesian si Hanafi ni ya,” tutur seorang ibu pertengahan umur yang memakai tudung rona biru muda.
“Oh! Hanafi ni la yang dituduh curi anting-anting tu?”Soal seorang ibu lagi yang bertudung hitam.
Menyirap darah Kak Munah semasa mendengar anaknya dituduh mencuri. Dadanya mula bergetar. Perasaan ingin tahunya meronta-ronta,rasanya mahu dicari Hanafi untuk disoal satu persatu.
“Ya, tapi sebenarnya budak perempuan tu yang salah letak,” sahut si ibu bertudung biru muda itu lagi.
“Anak saya cakap, budak ni bukan saja pandai tapi baik sebab tu ramai cikgu sayangkan dia,” ceritanya lagi.
“Lebih-lebih lagi Cikgu Munirah,” dia menyambung.
“Bertuah ibu bapanya,” sampuk si ibu yang bertudung hitam sambil mengangguk-angguk.
Tiba-tiba mata Kak Munah terpandang ke arah Cikgu Munirah yang sedang berjalan seorang diri di kaki lima sekolah. Kak Munah cepat-cepat menarik tangan Maria dan Zizah lalu terkocoh-kocoh menuju ke arah Cikgu Munirah. Perasaan ingin tahunya semakin membuak.
Suara salam Kak Munah dengan nafas yang kedengaran turun naik mematikan langkah Cikgu wanita yang sudah ke hadapan itu. Cikgu Munirah sambil membalas salam menoleh ke arah Kak Munah yang datang dari arah kirinya itu
“Boleh saya bercakap dengan cikgu sekejap?” Tanya Kak Munah lembut.
“Boleh, boleh…mari kita duduk di sana,” ajak Cikgu Munirah sambil memegang bahu Kak Munah ke arah kerusi simen fero berhampiran pagar sekolah.
“Sebenarnya Munah, saya memang dah rancang nak ke rumah Munah… tapi belum ada kesempatan lagi,” jelas Cikgu Munirah sebaik sahaja Kak Munah mengajukan soalan yang berligar-ligar di kepalanya.
“Semuanya sudah selesai. Si Nadia tupun sudah minta maaf,” beritahu Cikgu Munirah.
“Kebetulan kita dah jumpa ni, saya nak minta maaf dengan Munah. Hanafi tu saya anggap macam anak saya sendiri dan bukan niat saya membelakangkan Munah dan Encik Osman,” tutur Cikgu Munirah.
“Oh! Sepatutnya saya yang minta maaf kerana menyusahkan cikgu. Saya yang patut berterima kasih pada cikgu,” ujar Kak Munah tercungap-cungap.
“Mujur juga saya baru tahu, kalau saya tahu awal,entahlah… mungkin lain jadinya,” sambung Kak Munah.
Mereka ketawa.
“Apa-apapun, anak Munah tidak bersalah,” jelas Cikgu Munirah lagi.
“Tu la, kalau saya tahu awal takut-takut saya dah salah hukum dia. ”
Cikgu Munirah tersenyum. Perlahan-lahan dia menepuk paha Kak Munah.
“Saya lihat, Napi dah banyak sangat berubah. Dia tidak trauma lagi,” Cikgu Munirah menggosok-gosok kepala Maria yang berada di sebelah emaknya.
“Munah tengok…Dia masih mampu dapat 5A 1B dalam percubaan.”Cikgu Munirah membetulkan duduknya.
“Saya ni…banyak terhutang budi dengan cikgu…”
“Tak terhutang…hutangnya,” sampuk Cikgu Munirah pantas.
“Saya ada satu permintaan pada Munah dan Encik Osman,” sambung Cikgu Munirah lagi.
“Permintaan apa cikgu?” Kak Munah terkulat-kulat. Biji matanya tepat memandang Cikgu Munirah. Zizah yang dari tadi terlelap dipangkuannya mula mengeliat. Kak Munah menepuk-nepuk perlahan sambil mengoyang-goyang tubuh Zizah.
“Hahaha, tak ada apa, saya cuma bercadang nak buat kenduri di rumah Munah. Cadangnya selepas Napi habis periksa UPSR, apa pendapat Munah?” Ungkap Cikgu Munirah dalam ketawa setelah dilihatnya Kak Munah terperanjat.
“Kenduri apa cikgu?” Kak Munah masih kebingungan.
“Kesyukuran…syukur kerana semuanya selamat. Semua perbelanjaan, Munah jangan risau. Saya tanggung semua,” bebola mata Cikgu Munirah masih menoleh ke arah Kak Munah yang masih dalam serba salah.
“Tak nyusahkan cikgu ke?”
“Hiss…Susah apanya, sambil tu kita buat kenduri arwah sekali. Pahalanya sedekahkan pada orang tua kita yang dah lama meninggal dunia,” cadang Cikgu Munirah lagi.
Kelopak mata Kak Munah digenangi air jernih, dia sungguh terharu dengan kebaikan dan keikhlasan Cikgu Munirah terhadap keluarganya.
“Macam mana Munah?” Tanya Cikgu Munirah lagi.
“Saya ikut aje cikgu, tapi nak buat bila?”
“Saya rasa…masa yang sesuai selepas keputusan UPSR,boleh?”
Kak Munah mengangguk dan Cikgu Munirah tersenyum.
“Assalamu ‘alaikum…”
Hanafi tiba-tiba muncul dengan peluh yang lencun di baju.
Kak Munah dan Cikgu Munirah membalas salam itu serentak. Tubuh mereka dipusing ke arah Hanafi.
“Cikgu tahu, kamu boleh Napi. Ini baru percubaan. Cikgu tidak mahu kamu hilang tumpuan. Usaha lebih kuat lagi. Buktikan… Insya-Allah,cikgu yakin kamu akan berjaya. Berjanji pada emak kamu?” Cikgu Munirah tidak jemu menasihati Hanafi kerana kebimbangannya melebihi kebimbangan Hanafi sendiri. Baginya, kejayaan murid-muridnya adalah kejayaannya sendiri.
Apa yang meruntun hatinya tentang Hanafi adalah kesusahan hidup anak muridnya ini. Walaupun berpakaian yang serba tidak sempurna namun masih bersemangat untuk ke sekolah.Walaupun tidak pernah memasuki kelas tuisyen berbayar di luar sekolah macam murid-murid lain namun masih mampu meraih markah yang cemerlang di dalam setiap mata pelajaran. Murid ini memang pintar dan Hanafi seumpama permata di lumpur.Tidak perlu diasah, lebih-lebih lagi dicanai. Memadai hanya dibasuh dan digilap sahaja.
Kak Munah hanya memandang sambil mengosok-gosok kedua matanya. Di dalam hatinya tidak putus-putus mengucap syukur kepada Allah kerana dikurniakan anak yang baik dan pintar. Juga kerana diketemukan dengan seorang insan yang berhati mulia seperti Cikgu Munirah. Pandangannya kembali berkaca.‘Maha Besar Allah, yang memberikan kami rezeki dari sumber yang tidak kami sangka-sangka,’ getus hati kecilnya.