“Beta arahkan kamu berdua kembali ke
istana,” kata Ryan dingin di atas kudanya kepada dua orang askar yang telah
diarahkan untuk mengirinya ke sebuah hutan tebal yang yang terletak di tepi
tasik yang mengelilingi Mahligai Emas.
“Tapi,
kami diarahkan oleh Yang Mulia untuk...” salah seorang daripada skar tadi cuba
membantah.
“Kamu
tak percayakan beta? Cukuplah gadis comel ini di sisi beta. Beta yakin dia
boleh lindungi beta,” tambah Ryan lagi. Merah wajah Erica ketika dipanggil
comel oleh Ryan.
“Tapi
Ryan...” Erica cuba membantah namun Ryan terlebih dahulu menunjukkan isyarat
dengan jari telunjuknya supaya Erica sekadar membisu, tidak menyampuk
perbualannya.
“Kalau
macam tu, pasti Yang Mulia akan bunuh kami nanti, kalau sesuatu terjadi pada
putera,” tutur askar yang lain pula.
“Kalau
macam tu, biar beta bertarung dengan kamu berdua. Kalau beta kalah, kamu boleh
buat apa sahaja, tetapi kalau beta yang menang, kamu harus tinggalkan beta
dengan Erica?”
Kedua-dua
orang askar tadi saling berpandangan sebelum mengangguk setuju dengan cadangan
Ryan.
“Sekurang-kurangnya
kami mempunyai alasan jika ditanya oleh Yang Mulia nanti,” gumam askar tadi
sambil melompat turun dari kudanya. Ryan turut melakukan hal yang sama dengan dua
orang askar pengiringnya.
Ryan
kelihatan sedang meliang-liukkan badannya bagi sesi memanas badan sebelum memulakan
pertarungan. Pedang Naga ialah sejenis pedang jenawi. Ianya perlu dipegang
dengan kedua-dua belah tangan melainkan pemegangnya merupakan seorang yang
kuat. Pedang ini biasanya digunakan untuk menikam dan bertahan. Hulu Pedang
Naganya dipegang erat oleh Ryan sambil melontarkan renungan tajam ke arah dua
orang askar itu.
Dua
orang askar yang juga bersenjatakan pedang menyerang serentak Ryan dari arah
kiri dan kanan. Mujurlah kepantasan Ryan menghayunkan pedangnya berjaya menepis
serangan dua orang askar tadi. Berundur mereka berdua dibuat Ryan.
“Seranglah
lagi,” provok Ryan sambil melontarkan renungan sinis.
Salah
seorang daripada askar tadi berlari dengan sangat deras ke arah Ryan lalu cuba
menjatuhkan senjata Ryan dengan pedangnya. Namun, Ryan lebih pantas apabila
berjaya mengelak lalu menghulurkan kakinya membuatkan askar tadi tersembam
jatuh. Kemudian, Ryan menendang pedang askar tadi lalu menghunus pedangnya
tepat di leher askar itu.
“Kau
dah kalah. Tinggal kawan kau itu,” gumam Ryan.
Askar
tadi menumbuk-numbuk tanah seperti menyalahkan dirinya di atas kecuaian tadi.
Putera Ryan Alhazred memang seorang pahlawan pedang yang sangat hebat. Askar
yang masih bertahan kelihatan menggigil lututnya ketika Ryan menghampiri
setapak demi setapak.
“Beta
terfikir untuk menguji ketajaman pedang beta. Sudikah kamu berkorban untuk hobi
baru beta ini?” kata Ryan sambil menghayunkan pedangnya ke kiri dan kanan
sambil menghampiri askar yang ketakutan itu.
Tiba-tiba,
askar tadi melutut sambil melepaskan senjatanya.
“Patik
menyerahkan kalah. Patik bukan tandingan putera...” tutur askar tadi sambil
menundukkan wajahnya. Pedang Ryan pula hanya seinci sahaja dari memamah batang
hidungnya.
“Terima
kasih. Kali ini sahaja beta merayu pada kamu, beta mahu rasa apa itu
kebebasan,” kata Ryan lalu menjauhkan pedangnya daripada askar tadi lalu
kembali menyarungkan di sebuah sarung yang tersadang di belakang tubuhnya.
“Baik...”
balas lelaki itu tergagap-gagap.
***
Permaisuri
Inoue kelihatan tidak senang duduk
dengan berita baru yang ditemuinya. Anaknya yang baru mencecah umur 18 tahun
itu semakin melampau. Erica yang diharapkannya pula tidak berani berbuat
apa-apa.
“Ini
semua salah kanda. Kanda terlalu memanjakan budak tu,” rungut Permaisuri Inoue sambil berpeluk tubuh di atas katil emas. Maharaja
Alexander hanya tersenyum kecil.
“Biasalah
tu budak-budak. Jiwa remaja ialah jiwa yang memberontak. Biarlah dia buat apa
yang dia suka. Budak tu selama ni terikat dengan peraturan istana dan
adat-istiadat. Sekali-sekala, kita berikan kebebasan kepadanya. Apa-apa pun,
kita tangguhkan dulu misi kita,” jelas Maharaja Alexander.
“Kanda...
dinda risau bahawa sesuatu yang buruk mungkin terjadi pada Ryan,” luah Permaisuri
Inoue tiba-tiba. Maharaja Alexander yang
berkira-kira mahu meneruskan tidurnya menoleh ke arah isterinya.
“Dahlah,
jangan dilayan perasana dinda. Dia anak yang kuat. Lagipun, kanda percaya yang
Panglima Syakir dah mengajar budak itu ilmu pertempuran yang cukup. Dia pasti
selamat di dalam hutan tu,” jelas Maharaja Alexander lagi.
Ratu
Inoe sekadar mengangguk pendek.
***
Kuda
hitam milik Ryan bertungkus-lumus mengejar kuda Erica yang sedang mengejar
seekor rusa yang sedang melarikan diri. Sudah dua busur panah Erica tersasar
namun itu tidak langsung mematikan hasrat Erica. Malah, gadis itu kelihatan
sangat bersemangat.
“Belok
ke tepi,” teriak Erica memberi arahan. Mata gadis itu sangat tajam menangkap
penggerakan rusa walaupun hari sudah menjengah malam. Ryan sekadar tersenyum
yang penuh dengan perasaan kagum.
Siapa
yang tidak kenal Panglima Erica. Salah satu daripada 7 Pelindung Exathus. Gadis
yang selalu diamanahkan untuk melatih pasukan memanah Exathus itu dikatakan
antara pemanah terhebat yang pernah dimiliki oleh Exathus.
Mereka
semua pasti mengingati ketika peperangan antara Exathus dan Cloudyst dahulu.
Mendiang Raja Zakry III mati kerana busur panah Erica yang menembusi tekaknya.
Malah, ketika menyertai peperangan itu, Erica hanya berusia 15 tahun. Sepuluh
tahun sudah berlalu, kebolehan Erica semakin bertambah hebat sehinggakan orang
menyamakan Erica dengan Lady Deana, pemimpin kaum elf hutan, pemanah legenda
yang mampu memanah dengan mata yang tertutup.
“Dapat!”
teriak Erica kegembiraan.
Serentak
itu Erica terus melompat dari kudanya dan berlari ke arah rusa yang sedang
menggelupur menghadapi maut. Panah Erica yang disalut racun daripada lidah naga
itu mampu membunuh dua kali lebih pantas daripada bisa ular tedung.
“Benda
ini akan jadi makanan malam kita,” tutur Erica kegembiraan. Dia sedang duduk
bercangkung sambil mengamati bangkai rusa tersebut. Ryan menghampirinya.
“Awak
memang hebat, Cik Erica Forestone,” tutur Ryan sambil menepuk-nepuk bahu Erica.
“Tapi, awak tahu tak kita kat mana ni?” Erica terdiam. Tiba-tiba sahaja air
liur terasa mengental di kerongkongnya.
Baru
dia sedar dia terlalu jauh meneroka ke dalam Royal Hunter Craft. Erica menatap
dada langit yang sedikit terlindung oleh pokok-pokok oak. Bulan sedang
mengambang penuh pada malam itu. Laungan serigala tiba-tiba bergema di dada
angkasa.
“Puak
Wolfox,” gumam Ryan. Namun, tidak sedikit pun kedengaran gerun nada suaranya.
Malah, wajah Ryan yang sedikit disuluh oleh cahaya bulan itu kelihatan sangat
teruja. “Mereka lapar. Rasanya dah lama mereka tidur sampai malam ini. Kita
salah pilih hari.”
“Kita
kena pergi dari sini. Keselamatan Ryan terletak di tangan Erica,” kata Erica
cemas.
“Jangan
risau. Sebenarnya dah lama Ryan tunggu saat ini. Puak Wolfox ya? Menarik...”
“Janganlah
buat gila! Kita kena pergi dari sini!” marah Erica.
“Auuuuu........”
laungan yang bergema buat kali kedua membuatkan Erica dan Ryan terdiam. Angin
tiba-tiba berhembus di sekeliling mereka. Kedengaran bunyi sesuatu menghampiri
mereka. Semak-samun turut terjaga mendengarkan bunyi itu.
“Mardock!”
gumam Erica sambil mengeluarkan panahnya. Seekor manusia separuh serigala
sedang berdiri di hadapan mereka. Kelihatan matanya merah, giginya tajam dan
besar-besar belaka. Separuh daripada badan mereka pula berbulu lebat yang
bewarna kelabu.
“Awak
kenal dia?” tanya Ryan tidak percaya.
Erica
sekadar mengangguk.
Kemudian,
keluar lagi beberapa ekor serigala jadian di sekeliling mereka. Mereka berdua
terkepung. Ryan pula sudah bersiap sedia dengan pedangnya sebaik sahaja Mardock
menampakkan diri.
“Selamat
bertemu kembali anak jagaan Elf Hutan,” ujar Mardock dengan suara garaunya itu.
Ryan tidak percaya mendengarkan kata-kata Mardock itu. Sempat juga Ryan menoleh ke arah Erica,
cuba mendapatkan kepastian gadis itu.
“Jangan
kau ungkitkan kisah lama. Tinggalkan aku dan lelaki ni,” balas Erica. “Kalau
tidak, kau akan merasa betapa siksanya penangan busur panah beracun aku.”
Mardock
ketawa besar mendengarkan ugutan Erica.
Tidak sedikit pun terasa gentar dengan ugutan Erica.
“Kau
fikir aku bodoh? Hey Erica. Bangsa kami ini sudah lali dengan racun kaum elf
itu. Air liur dari lidah naga tidak akan dapat mengapa-apakan kami,” kata Mardock
sinis. Dahi Erica berkerut mendengarkan
jawapan Mardock .
“Apa
yang kau nak daripada kami?” Kali ini Ryan memutuskan untuk bersuara. “Lepaskan
kami atau kau akan merasa belahan pedang aku ini.”
Mardock
ketawa lagi. Anak-anak buahnya hanya
berdiri tidak jauh daripada tempat Ryan dan Erica berdiri. Kemudian, Mardock menepuk-menepuk perutnya. Dia melolong lagi
kemudian disambut oleh anak-anak buahnya.
“Kami
dah tidur lama. Malam ini, kami mahu mencari makanan. Lagipun dah lama kami tak
merasai daging manusia,” tutur Mardock . Dia kelihatan sedang menjilat
kuku-kukunya yang panjang itu.
“Kalau
macam tu, kita bertempur,” gumam Ryan sambil menjulang pedang gergasinya itu
dengan hanya satu tangan. Mardock tidak
lagi berkata-kata sebaliknya berlari deras ke arah Ryan. Lariannya lain
daripada yang lain. Sekelip mata Mardock berada di belakang Ryan.
Bam!
Ryan terpelanting jauh. Tubuhnya menghempas sebatang pokok oak. Erica cuba
mendekati Ryan tetapi malangnya tangan Mardock yang dua kali ganda daripada
batang tubuhnya menyambar leher Erica.
“Aku
dah lama berdendam dengan kau Erica!” tutur Mardock sambil mencengkam tubuh Erica. Terangkat Erica
di udara manakala panah yang dipegang oleh Erica terjatuh di atas tanah.
“Tolong
jangan apa-apakan.... Yang Mulia Putera Ryan Alhazred...” terpututs-putus suara
Erica. “Kau berdendam... dengan aku. Bunuh aje aku... bukan dia...” Mardock kelihatan terkejut dengan pengakuan Erica itu.
“Kau
bawa anak Alexander dan Inoue ya masuk dalam hutan ni? Pada malam bulan
mengambang pula? Kau memang bodoh...” ujar Mardock sinis. Ryan pula sedang berusaha untuk bangkit.
Dalam kelalaian Mardock berbual dengan
Erica, Ryan mengumpul seluruh tenaganya lalu menusukkan pedangnya, menembusi
perut Mardock .
“Aku...
rasa sakit yang teramat sangat...” tutur Mardock . Anak buahnya yang lain
melolong melihat keadaan ketua mereka itu. Mardock terlepas pegangan tangannya
dan tubuh Erica jatuh terlentang di atas tanah.
Ryan
sempat menarik pedangnya yang menembusi perut Mardock lalu. Kemudian, dia menyarungkan kembali
pedang itu di sarung yang tersadang di belakang tubuhnya. Pergelangan tangan
Erica dicapai oleh Ryan.
“Naik
kuda dengan saya. Kuda saya yang paling pantas,” bisik Ryan. Dia membantu Erica
untuk memanjat kuda hitam yang diberi nama Blachert itu. Kemudian, Ryan
melompat sendiri ke atas Blachert.
“Blachert!
Jalan!” teriak Ryan. Kuda tadi berteriak aneh lalu memulakan larian derasnya.
Kelihatan beberapa ekor serigala jadian mengejar mereka dari belakang. Manakala
serigala jadian yang lain pula kelihatan sedang membantu Mardock yang cedera parah.
“Awak
peluk tubuh saya erat-erat,” tutur Ryan.
Entah
kenapa, baru hari ini Erica menyedari betapa kacak dan tampannya anak muda itu.